Kemarau


Tanah tandus nanti hujan
Oleh Siti Salmiah A Hamid

SEWAKTU menyelak akhbar bertarikh 25 Februari 2014, catuan air di Selangor bakal dimulakan sebagai langkah untuk menjimatkan penggunaan air sewaktu negara menghadapi musim panas.

Bukan itu saja, takungan air di beberapa empangan utama di seluruh negara terus merosot dan menghampiri paras minimum.

Jika dilihat pada jadual yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Empangan Padang Saga, Kedah kini hanya berbaki 0.64 meter, Empangan Machap di Johor, 1.23 meter dan Empangan Ahning MADA pula 2.13 meter.

Keadaan yang berlaku dalam negara ini, sesete­ngah pihak menganggap ia sebagai musim panas dan bukan­nya musim kemarau justeru, mengapa tiada penurunan hujan?


KESAN kebakaran hutan tanah gambut di Hutan Lembah Bidong Terengganu dipantau anggota Bomba.


Apakah cuaca yang panas melampau di negara kita ini menerima tempias daripada fenomena kecelaruan iklim dunia?


Kejadian glasier besar yang mencair di Antartika menyumbang kepada pening­katan paras laut yang berlaku ketika ini. Sebelumnya, keadaan di Filipina umpama padang jarak padang tekukur apabila dilanda Taufan Haiyan atau Yolanda pada November 2013.

Berlainan pula kesnya apabila baru-baru ini, Mesir sebuah negara yang ber­iklim panas, menerima salji buat kali pertama dalam 112 tahun dan Vietnam turut mengalami jatuhan salji meskipun tidak sebegitu berat berbanding Mesir selain United Kingdom mengalami banjir yang tak dijangka hingga melumpuhkan ekonomi negara.

Malaysia sendiri adalah negara yang beriklim khatulistiwa iaitu panas dan lembap sepanjang tahun. Tetapi, kejadian yang dilalui masyarakat ketika ini adakah memungkinkan negara mengalami perubahan arah paksi bumi?

Timbalan Dekan Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Ahmad Makmom Abdullah berkata, meskipun kekurangan air berlaku dalam jangka masa singkat, ia tetap dianggap sebagai musim kemarau.

“Perubahan iklim di Malaysia sebenarnya adalah berdasarkan kepada corak tahunan iaitu apabila tiba­nya bulan Februari, berlaku­nya perubahan musim antara monsun.

“Pada Januari lalu, negara mengalami musim tengkujuh dan apabila memasuki Februari, negara mula menerima tiupan angin monsun barat daya.

“Monsun barat daya terhasil apabila angin bertiup dari kawasan tekanan tinggi di Australia ke kawasan tekanan rendah di Asia ­Tengah dan menghasilkan angin monsun barat daya di kawasan tropika.

“Angin monsun barat daya pada asalnya adalah angin monsun tenggara dari Australia dan New Zealand. ­Angin yang membawa zarah air hujan dari Lautan Hindi ini mula beralih arah apabila sampai di garisan lintang Khatulistiwa. Namun, hujan lebat tidak berlaku di Semenanjung Malaysia kerana terhalang oleh Banjaran Barisan di Pulau Sumatera.

“Situasi berpanjangan seperti hari ini mungkin akan berakhir pada pertengahan atau akhir Mac. Justeru, negara yang berada di garis lintang Khatulistiwa bakal menerima kembali perubahan angin secara normal namun ia adalah berbeza bagi setiap negara,” katanya.

Menurut Dr Makmom, cuaca panas yang dialami ketika ini adalah disebabkan kurangnya pelepasan angin dari Sumatera selain berlakunya letusan gunung berapi yang agak aktif di Indonesia.

Apabila berlakunya kebakaran atau letusan gunung berapi di Indonesia, menyebabkan negara menerima jerebu yang dibawa angin dari sana diikuti kemarau yang melanda ketika ini.

Justeru, perubahan iklim adalah hasil daripada pergerakan monsun yang sememangnya berlaku mengikut kitaran sebenar. Namun, waktu panas antara peralihan monsun pada Februari ini dikhuatiri berpanjangan. Apatah lagi, kelembapan dan tiada penurunan hujan me­nyebabkan negara menerima suasana panas yang berterusan.

Ditanya mengenai perubahan cuaca global menurutnya, fenomena yang berlaku di Mesir adalah di luar jangkaan manusia dan tiada rekod yang tercatat mengenai perubahan terbabit sejak 100 tahun yang lalu.

“Begitu juga di Belanda, apabila negaranya teng­gelam akibat banjir yang berlaku 50 tahun sekali. Justeru, penduduk di negara itu mendirikan benteng sebagai persediaan menghadapi banjir.

“United Kingdom sememangnya menghadapi musim hujan setiap tahun namun jumlah hujan yang turun baru-baru ini adalah di luar kebiasaan hingga menyebabkan banjir.

“Oleh itu, jika dikaitkan dengan kecelaruan cuaca global yang berlaku secara tiba-tiba, kebanyakan negara tidak dapat memastikan malah tidak mengumpul atau mempunyai rekod untuk menjangkakan bila ia akan berlaku lagi,” ujarnya.

Persoalan turut tertumpu mengenai paksi bumi, ­apabila wujud pendapat di Internet terutama daripada penulis blog yang mengatakan iklim dunia berubah akibat perubahan pada paksi bumi.

“Sekiranya dikatakan paksi bumi berubah, ­mustahil negara akan me­ngalami cuaca empat musim malah tiada siapa dapat menjang­ka perubahan ­cuaca negara dalam masa 50 tahun akan datang.

“Peredaran paksi bumi adalah seimbang kerana wujudnya darat dan lautan. Kedua-duanya mempu­nyai peranan utama dalam ­menyeimbangkan kedudukan dan peranan bumi
ini.


“Justeru, konsep yang lebih besar diperlukan jika ada di antara mereka mengeluarkan pendapat mengenai perubahan pada paksi bumi malah melalui kajian saja boleh menentukan sama ada ia benar-benar berlaku,” tambahnya.

Ujar Dr Makmom lagi, masyarakat seharusnya sedar musim kemarau ketika ini akibat sikap masyarakat sendiri yang tidak me­ngutamakan ekosistem dan ­persekitaran hijau.

“Negara luar seperti ­Tokyo sangat mementingkan kawasan hijau sehingga mereka mampu membentuk taman negara di tengah-tengah bandar seperti Taman Negara Shinjuku Gyoen.

“Kawasan hijau sepatut­nya lebih banyak diwujud­kan di bandar besar seperti di Kuala Lumpur selain ­me­ngekal dan menyelenggara hutan simpan dengan lebih berkesan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan persekitaran hijau sekali gus menurunkan suhu panas yang dialami.

“Pengeluaran asap daripada perindustrian, pembakaran secara terbuka bagi meluaskan kawasan perladangan, sistem saliran ­perkilangan ke kawasan sungai atau laut yang tidak dipantau, penggunaan ­tenaga elektrik yang berlebihan dan pertambahan jumlah kenderaan antara aspek utama ke arah peningkatan pemanasan global kerana pelepasan gas karbon dioksida melebihi oksigen.

“Kesedaran ini seharusnya bukan diletakkan kepada kerajaan semata-mata tetapi individu dan agensi berkaitan harus giat menangani pelbagai isu berkait ­dengan pemanasan global dan musim panas yang negara hadapi,” katanya.

harian metro




Krisis air uji kesepakatan politik
 Kunta Kinte
1 Mac 2014

Bila Kunta Kinte tengok gambar surat khabar orang berebut ambil air dari lori tangki, Kunta Kinte boleh rasa kesusahan mereka dan kalau mereka marah pun Kunta Kinte tak salahkan mereka.

Biarlah dari awal-awal lagi Kunta Kinte kata, ini bukanlah keadaan dan pemandangan yang kita seronok tengok.
Kalau masa 10 atau 20 tahun lepas merdeka kita hadapi masalah bekalan air, Kunta Kinte tak hairan dan tak salahkan sesiapa. Itulah yang Kunta Kinte alami setiap musim kemarau di Kedah hinggalah air paip sampai ke kampung Kunta Kinte pada tahun 1970-an.


Itu pun bukanlah hebat sangat. Sampai hari ini pun bekalan air luar bandar masih standard Dunia Ketiga. Kadang-kadang ada, kadang tak ada. Kadang elok, kadang-kadang lebih keruh daripada air bendang. Tapi orang kampung dah mangli. Mereka tak larat nak merungut lagi.


Tapi bila Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia dan Lembah Klang, pusat industri nombor satu negara, tak putus-putus kekurangan dan keputusan air, Kunta Kinte pun naik pelik juga.
Lagi pula ini bukan cerita baharu. Sebaliknya kalau kita ikut pergerakan masa, bukan tambah baik malah tambah buruk.

Masa Kunta Kinte hijrah ke Kuala Lumpur pada 1969 dan tumpang rumah haram sepupu di Kampung Pandan, kita mandi air hujan yang kita takung dalam tong 40 gelen atau kita pergi ke kolam lombong berdekatan.

Masa itu istilah rumah setinggan belum luas digunakan. Kita kata rumah haram sebab dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa. Bila Kunta Kinte pindah ke rumah haram di Kampung Kerinchi pun sama juga.

Cuma kita rasa bangga mandi di anak sungai yang mengalir antara Universiti Malaya dan Lebuh Raya Persekutuan. Bila orang tanya, kita dengan bangga kata kita mandi dekat UM.

Kemudian bila Kunta Kinte pindah ke Pekan Batu 14, Hulu Langat yang tak jauh dari kolam takungan Pansoon pada 1972, keadaan lebih kurang macam itu juga.
Ada masa kena ambil air dari lori tangki sampai berbulan-bulan lamanya. Tapi tak boleh lawan Batu Pahat dan Muar. Bertahun-tahun orang Batu Pahat dan Muar tadah air lori di tepi jalan.

Jadi minta maaflah kalau Kunta Kinte kata, Kunta Kinte dah mual dengan cerita kekurangan air, air kotor, punca air cemar, air kena catu, paip kering dan paling baru cerita cakar mencakar anjing-kucing mengenai Langat 2.

Daripada apa yang Kunta Kinte baca dalam surat khabar, masalah sekarang adalah antara Kerajaan Pusat, kerajaan Selangor dan pemegang konsesi, SYABAS.

Kunta Kinte seronok dan lega baca berita kata memorandum persefahaman mengenai projek itu dah ditandatangani di Putrajaya antara Kerajaan Pusat dan Selangor. Tahniah dan terima kasih.

Cukuplah mereka bagi macam-macam alasan dan buat macam-macam helah. Cubalah fikir pula masalah rakyat jelata yang kena angkut air lima enam tingkat naik pangsapuri atau yang dah tak mandi dua tiga hari.

Pada pandangan bodoh Kunta Kinte, kalau parti-parti politik nak berdamai, nak bertolak-ansur dan nak buktikan yang mereka peduli masalah rakyat, inilah isu yang mereka boleh ambil sebagai eksperimen.

Jadi Kunta Kinta sangat berharap eksperimen ini berjaya. Insya-Allah.
Tak guna ada slogan itu dan ini kalau nak pakat bawa kebaikan kepada rakyat jelata dan ekonomi pun tak boleh. Apatah lagi guna kesusahan rakyat untuk kaut keuntungan politik. Dosa besar.

Takkanlah dalam abad ke-21 ni kita nak suruh rakyat jelata turun telaga untuk cedok air pada musim kemarau macam Kunta Kinte buat pada tahun 1950-an dan 1960-an dulu.

Kita turun perigi dan gali lopak supaya air bertakung. Bila air dah bertakung, kita cedok guna timba upih. Kita guna timba upih sebab ringan jadi tak keruhkan air.

Itu pun belum jamin kita ada air untuk masak dan minum. Silap hari ada kaki malas yang curi air dari perigi kita sampai terjadi pergaduhan.


Akhir kalam, kita wajib ingat. Allah Taala bagi kita bumi yang bertuah. Ada hutan rimba, gunung-ganang dan sungai untuk tadah dan takung air. Tuhan bagi banjaran tulang belakang. Air mengalir ke timur dan barat. Semua sungai milik kita. Tak payah bergaduh, tak payah berebut.

Jadi bila kita kekurangan air juga, siapa nak kita salahkan? Takkanlah otak yang Allah Taala bagi kepada kita ‘low class’ sampai nak selesaikan masalah keperluan asas macam bekalan air pun tak boleh. Kena bergaduh dan salah-menyalahkan antara satu sama lain.

Allah Taala bagi, tapi kalau kita tak jaga kita tak urus akhirnya musnah juga. Maaflah kalau Kunta Kinte kata kalau kita tak guna otak, tak ada perancangan, pelaksanaan kucar-kacir dan tak ada disiplin, sampai bila-bila pun kita tak akan jadi negara maju.

Wallahuaklam.

Berita Harian





Kemarau: Bantuan untuk petani, penternak, nelayan dikenal pasti
25 Feb 2014

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menunggu laporan terperinci daripada Jawatankuasa Khas Bencana berhubung jenis bantuan perlu disalurkan kepada petani, penternak dan nelayan terjejas akibat cuaca panas dan kering akhir-akhir ini.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata jawatankuasa dipengerusikan ketua setiausaha kementerian Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah sedang mendapatkan maklum balas dari negeri-negeri terjejas.
Selain petani, penternak dan nelayan di Kelantan, Kedah dan Perlis, beliau berkata laporan awal mendapati golongan itu di Melaka dan Negeri Sembilan turut terjejas.


"Kita sedang menunggu laporan terperinci dan menyeluruh daripada jawatankuasa tersebut agar dapat menilai jumlah kerugian. Selain itu, kita dapat mengenal pasti masalah dihadapi para petani, penternak dan nelayan serta mencari jalan untuk mengatasinya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.


Semalam, kementerian menyalurkan RM39.2 juta kepada 5,447 pesawah yang mengalami kerugian akibat kemarau dan tanah jerlus di Kedah dan Perlis.

Sementara itu, Ismail Sabri mahu pegawai kementerian mengambil langkah proaktif dalam membantu golongan petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat cuaca panas dan kering ini.

"Jangan sampai media laporkan baru nak memaklumkan kepada saya. Saya tidak salahkan media yang melaporkan masalah yang dihadapi golongan itu tetapi media harus dijadikan penandaaras kepada pegawai kementerian, jabatan dan agensi.
"Kalau media tahu lebih awal bermakna mereka (pegawai) tidak bekerja," katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri juga menerima Aku Janji Petunjuk Prestasi Utama oleh Setiausaha Bahagian, Ketua Pengarah dan Pengurus Besar dari jabatan dan agensi di bawah kementerian. - BERNAMA

Berita Harian

Comments

Post a Comment