Kalimah

Keputusan kebenaran merayu ditangguh
5 Mac 2014


PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan keputusan berhubung permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan, 'The Herald' daripada menggunakan kalimah ALLAH, dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mempengerusikan panel tujuh hakim, berkata mahkamah menangguhkan keputusannya sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Terdahulu, panel itu mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili gereja itu, enam majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), di samping penghujahan daripada peguam kanan persekutuan mewakili Kementerian Dalam Negeri.

Enam negeri itu ialah Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Wilayah Persekutan dan Selangor.

Turut bersidang dalam panel itu bersama Arifin ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali serta Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Gereja itu memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Oktober tahun lepas yang melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Herald untuk menggunakan kalimah ALLAH selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah ALLAH adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 2009, gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Majalah mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia, terutamanya bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan dalam usaha membawa rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia.

Di bawah peruntukan itu, seseorang pemohon yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan, perlu memuaskan Mahkamah Persekutuan bahawa terdapat persoalan undang-undang melibatkan kepentingan awam yang turut mengandungi persoalan tentang prinsip umum yang belum pernah diputuskan sebelum ini oleh Mahkamah Persekutuan, yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Apabila Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan pemohon telah memenuhi keperluan perundangan, Mahkamah Persekutuan kemudiannya akan memberi kebenaran merayu.

Jika Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak memberi kebenaran merayu kepada gereja, keputusan Mahkamah Rayuan tetap terpakai dan gereja tidak boleh lagi mengemukakan rayuan. - Bernama

sinar harian 


'Pahlawan Melayu' hadir di luar Istana Kehakiman
5 Mac 2014

PUTRAJAYA - Suasana di luar bangunan Istana Kehakiman agak berbeza hari ini dengan kemunculan seorang iman muda berpakaian seperti pahlawan Melayu, di tengah-tengah hampir 1,000 orang awam yang berkumpul untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan isu kalimah Allah.

Di mahkamah itu berlangsung prosiding permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa penerbitan mingguannya The Herald dilarang menggunakan kalimah Allah.

Imam muda itu Mohd Ikhwanruddin Ismail, dari Masjid Al-Hidayah, Bayan Lepas, Pulau Pinang berkata beliau hadir di situ kerana berasa bertanggungjawab terhadap agama dan bagi menyokong Kementerian Dalam Negeri berhubung isu itu.

"Saya hadir demi keutuhan Islam, bukan untuk menunjuk-nunjuk," katanya yang juga bimbang dengan kesungguhan pihak gereja untuk menggunakan Kalimah Allah.

Orang ramai mula berada di hadapan bangunan Istana Kehakiman kira-kira pukul 7.30 pagi dan ada di antaranya melakukan solat sunat hajat serta membaca 'surah yasin'.

Antara sepanduk yang mereka bawa tertulis 'Allah Just For Muslim' dan 'Jangan Cabar Kami'.

Dalam perhimpunan itu, telah berlaku kekecohan apabila beberapa orang penyokong bertindak membaling botol air minuman, namun tiada sebarang kecederaan berlaku dan pihak polis telah mengambil tindakan mengawal keadaan.

Beberapa orang awam yang mendakwa menyokong pihak gereja turut hadir dan membawa bunga sebagai sokongan.

Selepas prosiding Tan Sri Murphy Pakiam, yang bertindak memfailkan permohonan bagi pihak gereja, berkata beliau menyerahkan segalanya kepada mahkamah dan berharap ia akan menyebelahi mereka.

Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan, 'The Herald' daripada menggunakan kalimah Allah, dalam versi bahasa Melayu terbitannya. - Bernama

sinar harian


Sidang keputusan kalimah Allah dicemari provokasi memanggil umat Islam 'lembu'

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan berhubung permohonan kebenaran merayu oleh Gereja Katolik terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguannya, 'The Herald' daripada menggunakan kalimah Allah.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel tujuh hakim berkata, mahkamah menangguhkan keputusannya sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Ratusan hadirin dilihat berkumpul di hadapan Istana Kehakiman di sini pada awal pagi bagi menantikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Pelbagai kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Islam telah berada di perkarangan mahkamah seawal jam 7 pagi untuk memberikan sokongan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dieksklusifkan kepada umat Islam sahaja.

Ada antara ahli-ahli NGO ini seperti PERKASA, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Jalur Tiga (JATI), Persatuan Mukabuku dan Pertubuhan Islam Gabungan Amal (PETIGA) tiba dari pelbagai negeri seperti Pulau Pinang.

Mereka melaungkan slogan-slogan sokongan terhadap Islam termasuk juga mengadakan solat hajat dengan harapan agar panel hakim yang juga terdiri daripada Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Hwa akan kekal dengan keputusan Mahkamah Rayuan iaitu memberikan hak eksklusif dalam penggunaan kalimah Allah.

Terdapat sedikit kekecohan berlaku dalam perhimpunan tersebut dimana seorang peguam telah muncul sambil membawa bunga dan mendakwa tidak semua orang Melayu beragama Islam yang mempunyai pemikiran yang serupa seperti PERKASA dan ISMA.

Dalam ucapan ringkas itu juga, beliau turut membuat provokasi dengan memanggil orang Islam yang berkumpul disitu sebagai ‘lembu’ kerana senang dipengaruhi oleh sesetengah pihak.

Ternyata, ucapannya itu telah menimbulkan kemarahan sesetengah pihak dan pihak keselamatan yang bertugas terpaksa menenangkan seorang ketua NGO yang cuba bersemuka dengannya.

Gereja melalui peguamnya mengemukakan 26 soalan tentang Perlembagaan, undang-undang tadbir dan kuasa mahkamah untuk membenarkan menteri dalam negeri mengharamkan sesuatu perkataan keagamaan.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan yang terdiri oleh panel tiga hakim termasuk Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali telah membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang penerbitan mingguan Katolik, Herald, daripada menggunakan kalimah Allah.

astro awani

Comments