14 Mar 2014

Jerebu



 Sekolah diarah tutup berikutan jerebu

SHAH ALAM - Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) telah mengarahkan kesemua 71 buah sekolah di daerah Kuala Langat supaya ditutup hari ini berikutan jerebu, selain 131 sekolah di daerah Klang.

Pengarah Pendidikan Selangor, Datuk Mahmud Karim berkata sekolah boleh ditutup sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 200 iaitu bacaan sangat tidak sihat.

Bacaan IPU di Pelabuhan Klang di dalam daerah Klang ialah 233 (sangat tidak sihat) pada 6 petang semalam, tetapi meningkat kepada paras berbahaya 352 setakat 7 pagi tadi.

Manakala IPU di Banting di daerah Kuala Langat ialah 189 (sangat tidak sihat) semalam dan meningkat kepada 316 (berbahaya) hari ini.

Mahmud berkata semasa arahan penutupan sekolah di Kuala Langat dilakukan hari ini, para pengetua mendapati pelajar di sesetengah sekolah di Tanjung Sepat, Banting mula mengalami masalah mata merah dan berair.

"Kita benarkan pengetua menggunakan budi bicara masing-masing untuk menutup sekolah," katanya. - Bernama

sinar harian


Jerebu Di Banting, Pelabuhan Klang Pada Tahap Berbahaya

PETALING JAYA: Jerebu di Banting dan Pelabuhan Klang bertambah buruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua lokasi mencecah ke tahap yang berbahaya.

Sejak tengah malam Jumaat, Banting mencatatkan bacaan IPU melewati 300, memuncak kepada 322 pada pukul 4 pagi. Ia mencatatkan bacaan IPU 316 pada pukul 7 pagi.
Port Klang juga mencatatkan bacaan hampir sama, memuncak pada 352 pada jam 7 pagi.

Pada hari Khamis, Pengarah Pendidikan Selangor Datuk Mahmud Karim mengeluarkan arahan supaya semua sekolah di daerah Klang ditutup pada Jumaat.

Bacaan IPU antara 51-100 dianggap sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 301 dan ke atas adalah berbahaya.

13 lagi kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat pada pukul 7 pagi Jumaat.

Kawasan tersebut adalah Muar (111), bandar Melaka (115), Bukit Rambai (134), NIlai (165), Port Dickson (168), Seremban (155), Tanjung Malim (107), Kuala Selangor (152), Petaling Jaya (186), Shah Alam (165), Batu Muda (176), Cheras (147) dan Putrajaya (176).

mstar




Bacaan IPU catat lebih 100
14 Mac 2014

KUALA SELANGOR - Pelbagai pendekatan diambil agensi kerajaan bagi membendung kebakaran terbuka di Hutan Raja Musa, Bestari Jaya dan Hutan Simpan Bukit Belata, Hulu Selangor berikutan indeks pencemaran udara (IPU) di daerah ini mencatat lebih 100.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Suliman Abd Rahman berkata, kebakaran terbuka kini sudah mencecah hampir 400 hektar kawasan hutan gambut di daerah ini dan Hulu Selangor yang dilaporkan berlarutan sejak 24 Februari lalu.

Menurutnya, pelbagai pendekatan diambil agensi kerajaan yang berusaha membendung kebakaran terbuka ini termasuk menyalurkan sumber air lombong ke lokasi kebakaran sejauh 700 meter dahulu.

“Pada asalnya saluran air sejauh 1.5 kilometer bagaimanapun untuk peringkat awal, kita buat sejauh 700 meter ke kawasan perintang kebakaran ‘fire break’. Jika ada keperluan jarak saluran air akan ditambah," katanya.

Suliman berkata, peralatan seperti pam sedutan turut dipinjam daripada agensi berkaitan manakala kerja pemasangan paip PVC untuk menyalurkan air di kawasan kebakaran dengan tujuan untuk membanjiri tanah yang terjejas turut dibuat.

“Langkah sederhana itu mungkin dapat membantu selain ‘water bombing’ yang dilaksanakan di Sungai Tengi bagi mengelakkan api dari terus merebak ke kawasan lain.

“Keluasan sebenar kawasan yang terjejas dalam kebakaran itu masih belum dapat dikenal pasti berikutan helikopter tidak boleh terbang tinggi akibat jerebu tebal,” katanya, semalam.

Suliman juga tidak menolak tindakan individu tidak bertanggungjawab yang kononnya mahu membersihkan kebun mereka antara punca kebakaran terbuka terus berlarutan sehingga menjejaskan penduduk setempat.

“Bagaimanapun gerak kerja memadamkan kebakaran giat dijalankan semua pihak yang berkaitan dan menasihatkan semua supaya tidak membuat pembakaran secara terbuka meskipun di tanah milikan sendiri.

“Saranan ini penting untuk dikongsi bersama sebab IPU di daerah ini sudah mencatat tidak sihat dan jangan ambil kesempatan membersihkan kebun ketika musim kering.

“Saya juga menyifatkan musibah cuaca kering yang melanda negara ini adalah fenomena luar biasa sehinggakan air di kawasan empangan menyusut dengan begitu ketara menyebabkan catuan air kali ketiga dibuat,” katanya.

Sinar Harian




 Jerebu Landa Lembah Kelang
Oleh Nurul Huda Kosnon

Kuala Lumpur: Keadaan jerebu yang melanda hampir di seluruh negara dijangka berlarutan sehingga hujung Mac dan akan merebak jika tiada hujan.

Menurut laporan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), enam lokasi berada pada paras tidak sihat dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi bacaan 100 sehingga jam 5 petang, berbanding satu pada pagi ini.

Pelabuhan Klang mencatat bacaan paling tinggi dengan IPU 131 berbanding 101 pada 10 pagi tadi, manakala bacaan IPU di Putrajaya mencatat paras 110.

Cheras dan Banting turut mencatatkan bacaan IPU pada tahap 105 dan 117 masing-masing manakala bacaan di Seri Manjung, dan Kg Air Putih, Taiping, berada pada tahap 107 dan 102.
Foto


KEADAAN jerebu di KLIA yang dirakamkan pada pukul 4.30 petang dengan bacaan index pencemaran udara 113 yang diketegorikan tidak sihat. FOTO Mohd Fadli Hamzah


Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, manakala 51 hingga 100 sederhana, 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).


Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Che Gayah Ismail berkata, jerebu adalah perkara biasa yang selalu berlaku ketika musim panas dan kering.



“Keadaan jerebu yang melanda beberapa tempat kebelakangan ini adalah disebabkan pembakaran yang dilakukan secara terbuka,” katanya.

Che Gayah berkata, JMM hari ini melakukan operasi pembenihan awan yang pertama di Gombak dan Hulu Langat bagi menghasilkan hujan berikutan cuaca panas, jerebu dan krisis air yang serius.

“Operasi itu dilakukan berdasarkan keadaan atmosfera yang sesuai dalam usaha membantu menurunkan hujan dan mengelak keadaan jerebu berada pada paras berbahaya.

“Pihak kami akan meneruskan operasi ini ke beberapa lokasi lain terutama tempat tadahan empangan di Selangor dan Negeri Sembilan yang berlaku catuan air selain akan memantau secara berterusan keadaan atmosfera.

“Operasi pembenihan ini dijadual dilakukan sehingga paras empangan tidak lagi kritikal,” katanya.

Darurat pernah diisytiharkan di Putrajaya, Muar dan Ledang, Johor kerana udara dikategorikan sebagai bahaya apabila melebihi bacaan IPU 300 akibat pembakaran hutan secara terbuka di Indonesia pada Jun 2013 lalu.

Mymetro





0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena