1 Mar 2014

Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah


PM rasmi Jambatan Kedua Pulau Pinang
Bernama | Mac 01, 2014


GEORGE TOWN: Ikon terbaharu negara, Jambatan Kedua Pulau Pinang atau JK2PP, dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini dengan disaksikan lebih 10,000 orang.

Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada kira-kira 8.30 malam untuk merasmikan jambatan sepanjang 24km itu, yang merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara.

Turut mengiringi Najib ialah Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Acara bersejarah penuh warna-warni itu turut disaksikan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeane Abdullah, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu serta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak berkuasa Pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq dan barisan exco kerajaan negeri.

Ketibaan Najib dan Rosmah disambut dengan nyanyian 1M4U dan orang ramai dilihat berpusu-pusu mahu bersalam dan mengambil gambar mereka.

Sejurus Perdana Menteri merasmikan jambatan kedua itu, langit pulau mutiara diserikan dengan pertunjukan bunga api sebagai simbol perasmian jambatan baharu itu.

Perdana menteri dan isteri turut menaiki bas dua tingkat tanpa bumbung dari persimpangan Batu Maung hingga ke gerbang jambatan itu.

Setelah dinanti-nantikan selama lima tahun, jambatan baharu itu akan dibuka pada 12.01 tengah malam ini untuk membolehkan orang ramai melihat sendiri keunikan struktur jambatan dan plaza tol itu, yang dikatakan terbesar di negara ini dengan 28 kiosk bayaran.

Jambatan sepanjang 24 kilometer dengan 17 kilometer daripadanya merentasi laut dan tujuh kilometer di daratan, bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri terutama di zon perindustrian tanah besar di Batu Kawan.

Selain mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang, jambatan itu yang diilhamkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan direalisasikan Abdullah, akan merapatkan lagi pembangunan sosial dan ekonomi antara Batu Maung di kawasan pulau dan Batu Kawan di tanah besar.

Projek mega itu yang menelan kos RM4.5 bilion dikendalikan oleh kontraktor China Harbour Engineering Co Ltd (CHEC) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) sebagai pemegang konsesi untuk 45 tahun.

Selain dibina dengan reka bentuk bersifat lestari alam sekitar, JK2PP mempunyai kelebihan kerana menggunakan sistem galas getah redaman tinggi (HDRB) yang mampu menahan kesan gegaran gempa bumi sehingga 8.2 pada skala richter pada jarak 300km daripada punca gempa bumi.

HDRB adalah produk daripada getah asli yang direka bentuk oleh Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di United Kingdom, iaitu makmal milik Lembaga Getah Negara dan dihasilkan sepenuhnya di dalam negara.

Pada 30 April tahun lepas, Najib menjadi pemimpin pertama negara yang menggunakan laluan JK2PP dari bahagian pulau ke tanah besar untuk menghadiri satu majlis di Kepala Batas, Seberang Perai.


astro awani


Jambatan Kedua Pulau Pinang dirasmikan

Batu Maung: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan nama rasmi jambatan kedua Pulau Pinang kepada Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dalam majlis perasmian jambatan itu di dataran Batu Maung di sini, sebentar tadi.

Beliau juga mengumumkan jambatan sepanjang 24 kilometer itu dibuka kepada orang ramai selepas jam 12 malam ini tanpa sebarang bayaran tol selama sebulan.


PERCIKAN bunga api tanda perasmian Jambatan terpanjang di Asia Tenggara , Jambatan Kedua Pulau Pinang (JKPP) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 
FOTO Amir Irsyad Omar







Jambatan kedua P.Pinang ikon terbaru negara
28 Februari 2014


Jambatan kedua P.Pinang Jambatan kedua Pulau Pinang - Foto Bernama


GEORGETOWN - Pulau Pinang, negeri yang terbahagi kepada dua bahagian oleh Selat Melaka, mempunyai satu lagi mercu tanda menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar apabila Jambatan Kedua Pulau Pinang dibuka secara rasmi pada Sabtu malam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dijadual mula beroperasi untuk orang ramai mulai 12.01 tengah malam selepas perasmiannya, jambatan bernilai RM4.5 bilion itu dijangka dapat menarik sehingga 25 peratus daripada 100,000 kenderaan yang menggunakan jambatan pertama setiap hari, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di jambatan pertama.

Jambatan sepanjang 24km iaitu jambatan terpanjang di Asia Tenggara, menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di bahagian pulau, merupakan jambatan kedua merentangi laut menghubungkan kedua-dua bahagian negeri itu.

"Kami jangkakan 25,000 kenderaan sehari menggunakan jambatan ini terutama kenderaan dari selatan," kata Pengarah urusan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) Datuk Dr Ismail Mohamed Taib.

Jambatan Kedua Pulau Pinang atau dikenali sebagai (JK2PP), merupakan projek kerajaan persekutuan dalam usaha mengurangkan kesesakan aliran trafik di jambatan pertama terutama pada waktu puncak, turut dilihat bakal meningkatkan pembangunan dan ekonomi kawasan perindustrian di Batu Kawan dan Batu Maung serta merancakkan sektor pelancongan negeri.

"Jambatan itu bakal menjadi ikon baharu kepada industri pelancongan Pulau Pinang dan Malaysia," kata Pengerusi Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) cawangan Pulau Pinang, Johari Shafie.

Beliau berkata jambatan baharu itu mampu menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing, selain dapat memberi nafas baharu kepada produk pelancongan di Batu Maung dan Bayan Lepas seperti Muzium Perang, Akuarium Batu Maung dan Tokong Ular.

"Selain itu, jambatan yang unik strukturnya ini dapat menarik perhatian pelancong asing dan pelancong tempatan, yang ingin cuba laluan jambatan terutama pada waktu malam kerana ia dihiasi lampu warna-warni," katanya.

Johari berkata jambatan baharu itu juga dapat memberi peluang perniagaan kepada penduduk setempat jika industri pelancongan dapat mewujudkan produk pelancongan kepada pelancong pada waktu malam untuk bergambar serta menghayati pemandangan di situ.

JK2PP, projek mega hasil perancangan kerajaan persekutuan itu, turut memberi rangsangan ekonomi kepada kerajaan negeri pimpinan DAP dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar, sekali gus menguntungkan rakyat Pulau Pinang.

Kawasan Batu Kawan di tanah besar, yang sebelum ini agak kosong dan sunyi kini mula membangun dengan projek-projek perumahan, malah gedung perabot terkenal dari Sweden, Ikea, akan membuka cawangan keduanya di kawasan itu.

Limpahan ekonomi itu jelas dapat dilihat apabila Ikano Pte Ltd iaitu syarikat francaisee bagi Ikea di Malaysia, Singapura dan Thailand bergabung dengan syarikat tempatan, Aspen Vision untuk membangunkan kompleks beli-belah serta kawasan perniagaan dan kediaman di Batu Kawan.

Bagi memenuhi hasrat itu Aspen Vision telah membeli tanah seluas 98 hektar berharga RM483.95 juta daripada agensi negeri, Penang Development Corporation.

Naib Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Dr Ooi Eng Hock berkata jambatan baharu itu akan merancakkan kawasan industri di Bayan Lepas dan Batu Kawan di seberang.

"Jambatan baharu itu bukan sahaja akan menarik lebih banyak kilang-kilang baharu di zon perindustrian Bayan Lepas dan Batu Kawan, malah pengilang yang sedia ada dapat menikmati kemudahan selesa dari segi logistik dan pengangkutan.

"Jambatan itu harus dilengkapi aspek keselamatan kerana ada lori-lori yang membawa muatan berharga dan jambatan itu dapat memendekkan masa perjalanan," katanya.

Pelan untuk membina JK2PP itu terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dan pada 12 Nov 2006, upacara penanaman cerucuk besi Jambatan Kedua Pulau Pinang dilakukan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang merupakan perdana menteri pada ketika itu.

Walaupun Pulau Pinang kini di bawah pemerintahan DAP, kerajaan persekutuan tetap komited untuk melaksanakan pembangunan demi kepentingan rakyat negeri itu.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian berkata jambatan baharu itu merupakan usaha kerajaan persekutuan untuk memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada penduduk setempat dan pelabur.

"Apa yang kita lihat di Pulau Pinang hari ini adalah hasil usaha pentabdiran sebelum ini iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Dr Sivamurugan berkata hakikat bahawa kerajaan BN tetap meneruskan projek jambatan kedua itu walaupun Pulau Pinang tidak lagi di bawah BN, menunjukkan kerajaan pusat mahu Pulau Pinang terus menikmati pembangunan lebih baik supaya rakyat mendapat manfaat daripadanya.

Beliau berkata kerajaan negeri Pulau Pinang perlu memberi penghargaan kepada BN dalam usaha merancakkan sektor pelancongan dan perindustrian, demi faedah rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata Jambatan Kedua Pulau Pinang juga dijangka menaikkan harga hartanah di kawasan seperti Bayan Baru, Batu Kawan dan Nibong Tebal kerana ia terletak dalam kawasan jaringan pembangunan.

Projek pembinaan jambatan usaha sama antara China Harbour Engineering Company (CHEC) Ltd dan UEM Builders Bhd itu bermula pada 2008. Jambatan itu mempunyai empat lorong dengan dua lorong motosikal dan enam persimpangan lebuh raya serta dilengkapi 29 CCTV.

Sepanjang 17km dari jambatan itu akan merentasi Selat Selatan, selat yang menghubungkan Pulau dan Seberang Perai, 1.5km berada di kawasan Batu Maung, manakala 6km di kawasan Batu Kawan.

Jambatan itu juga mengaplikasikan penggunaan Bearing Getah Redaman Tinggi (HRDB) dalam pembinaannya, yang berkeupayaan menahan gegaran gempa bumi sehingga 8.2 pada skala Richter. - Bernama

Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena