Teater Bidasari



Teater ‘Bidasari’ Terpaksa Diolah Agar Lebih Segar

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI


Raja Azura dan Jalaluddin Hassan

KUALA LUMPUR: Pementasan teater Bidasari yang diangkat daripada filem arahan Datuk Jamil Sulong pada tahun 1964 tidak mengikut jalan cerita asal karya lakonan Datuk Sarimah Ahmad dan Tan Sri Jins Shamsuddin itu.

Pengarahnya, Lokman Ghani berkata, pihak produksi melakukan perubahan hampir 70 peratus terhadap jalan cerita asal terutama dari sudut konflik penceritaan agar lebih segar dan menarik untuk dipersembahkan sebagai naskhah teater.

"Pada asasnya ia masih berlandaskan kepada filem asal cuma kita olah dan tambah konflik penceritaan supaya ia tidak membosankan dan lebih menarik apabila dipentaskan nanti," katanya kepada mStar Online.

Teater Bidasari bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya pada 10 hingga 17 Februari ini.

Ia membariskan pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Azura, Aiman Hakim Ridza, Nur Fathia, Hairul Azreen, Radhi Khalid dan Fadilah Mansor.

 Para pelakon teater Bidasari.

Filem berkenaan diingati penonton kerana dialognya yang berirama berasaskan puisi Melayu bertajuk Bidasari.

Dalam perkembangan sama, Lokman berkata, pihaknya turut menekankan sudut teknikal pada pementasan itu bagi memberi impak kepada penonton selain muzik skor dan tarian.

Katanya, kecanggihan sistem dan teknologi di Istana Budaya akan digunakan bagi menghidupkan lagi kisah bangsawan berkenaan.

"Walaupun ia kisah klasik tetapi kecanggihan teknologi di Istana Budaya mampu mengubah teater ini lebih kepada kontemporari sesuai dengan zaman sekarang.

"Ia juga dilihat mampu menarik minat anak-anak muda untuk datang menonton ditambah dengan barisan pelakon yang hebat," katanya.

Sementara itu, Lokman berkata, dia yakin dengan kredibiliti dua pelakon utamanya iaitu Aiman Hakim Ridza dan Nur Fathia walaupun kedua-dua mereka pendatang baharu dalam dunia teater.

Hairul Azreen (kanan) dan Nur Fathia.

Jelasnya, kesungguhan mereka mendalami teknik dan gaya lakonan teater dalam masa singkat cukup mengagumkan.

"Saya harus beri pujian kepada mereka kerana usaha yang ditunjukkan walaupun kami berlatih dalam masa singkat.

"Jika prestasi itu dikekalkan mereka berdua mampu pergi jauh dalam industri teater," katanya.

Tambah Lokman, pelakon seperti Jalaluddin Hassan dan Raja Azura pula berpengalaman luas dan memudahkan latihan yang dijalankan sejak sebulan lalu.

Tiket untuk menyaksikan teater ini dijual pada harga RM30 hingga RM250 manakala RM20 untuk pelajar.

Bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas, diskaun 10 peratus diberikan kepada mereka.

Untuk tempahan tiket dan maklumat lanjut boleh melayari www.redtix.airasia.com atau menghubungi 03-8775-4666 atau 03-4026-5520.

mstar online


TEATER BIDASARI


Tarikh : 10 hingga 17hb Februari 2014
Masa : 3:00 petang dan 8:30 malam
Tempat : Panggung Sari, Istana Budaya
Tiket : RM30, RM50, RM70, RM100, RM150 dan RM250
(a) Pembelian Early Bird diberi diskaun 20%
(b) Pelajar IPT/IPTS dan Sekolah diberi flat rate RM20
(c) Diskaun 10% untuk Warga Emas dan OKU

Pelakon : Raja Azura, Dato' Jalaluddin Hasan, Fathia, Radhi Khalid dan ramai lagi!!!


Sinopsis :

Kisah yang diangkat daripada cerita Melayu Klasik. Bidasari yang cantik rupawan tiada tolok bandingannya sehinggakan mengalahkan kecantikan Permaisuri Laila Sari,isteri Sultan di negeri Zamin Ambar yang mempunyai seorang putera bernama Tengku Indra. Bidasari anak angkat kepada saudagar Amir Abdullah yang nyawanya berkembar dengan seekor ikan. Permaisuri Laila Sari yang mengetahui ada orang yang lebih cantik darinya berasa amat marah dan cemburukan Bidasari dan telah membuat satu rancangan. Permaisuri menjemput Bidasari ke istana untuk membuat sebuah persembahan. Ketika Tengku Indra terpandang kecantikan Bidasari ketika inilah juga Permaisuri meminta izin saudagar supaya Bidasari tinggal di istana. Bagaimanakah kesudahan nasib Bidasari ketka di istana? Apakah maksud di sebalik rantai yang sering dipakai Bidasari? Dan bersambutkah cinta pandang pertama Tengku Indra pada Bidasari?

Saksikan kesudahannya...

Comments