Nasib Seniman




Apa nasib ahli Seniman?
Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
2 Feb 2014

DUA bulan berlalu tetapi kemelut yang melanda Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) masih belum menampakkan tanda reda. Sepatutnya di dalam tempoh tersebut persatuan itu sudah pun mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) seperti yang diperintahkan mahkamah.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa Mesyuarat Agung Seniman kali ke-14 yang telah diadakan pada 25 Mei 2012 adalah tidak sah dan terbatal.

Namun sehingga tarikh 21 Januari lalu mesyuarat tersebut masih belum diadakan untuk melantik kepimpinan baru persatuan yang menaungi artis-artis tempatan tanah air.

Sepanjang tempoh dua bulan itu juga pertelagahan dan tuding menuding berlaku di antara Abu Bakar Omar (pemula saman) dan Zed Zaidi (Presiden yang dibatalkan) menyebabkan kemelut berterusan sehingga hari ini.

Ahli-ahli persatuan juga mempersoalkan tentang AGM yang sepatutnya telah pun diadakan tetapi sehingga kini masih tidak berlaku.

Ini membuatkan ahli-ahli berang dan memaksa mereka mengadakan piket aman di hadapan pejabat Seniman, Selasa lalu sebagai tanda protes.

Protes ini sebagai tanda bantahan berikutan AGM yang masih belum diadakan selain keahlian mereka terbatalkan selaras dengan keputusan mahkamah itu.


ZED ZAIDI yang lantang bersuara tentang isu berkenaan ketika dihubungi Pancaindera menolak dakwaan yang mengatakan dia menganjurkan piket berkenaan dan menegaskan tidak tahu menahu tentang perkara tersebut.

"Apabila keahlian terbatal dan tidak sah sudah pasti rezeki mereka terjejas. Mungkin sebab itu mereka melakukan piket sebagai tanda membantah," luah Zed.

Malah katanya, permasalahan AGM yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak sebelum ini hanya menjerat diri sendiri.

Ibarat Ć¢€˜lembagaĆ¢€™ yang tidak bertuan, Seniman harus diselamatkan, kata Zed turut menubuhkan Gerakan Selamatkan Seniman (Geli) pada 23 Januari lalu bagi mendesak AGM diadakan dengan kadar segera.

"Mereka buat Seniman tak ada ahli jawatankuasa dan mereka juga tidak mempunyai kuasa memanggil ahli untuk AGM. Kini Seniman menjadi persatuan yang tergantung," kata Zed.


SEMENTARA Abu Bakar Omar yang dihubungi tidak menafikan piket tersebut mengguris hatinya.

"Kenapa tak jumpa saya dan bertanya tentang perkara yang sebenar. Kalau tak mahu jumpa saya boleh berjumpa dengan peguam yang mengendalikan kes.

"Saya sebak mengenangkan tindakan mereka berpiket apabila nasib ahli menjadi alat kepada orang lain," kata pelakon ini lagi.

Ditanya apakah status terkini tentang ahli persatuan, Abu Bakar mahu semua ahli yang terbatal pendaftaran sejak 28 April 2010 memahami situasi berkenaan dan bertanyakan tentang hal itu terus kepadanya.

Ujarnya, pihak mahkamah telah membuat keputusan dan harus diterima dengan hati terbuka oleh semua ahli.

"Mereka (ahli) yang berdaftar selepas tarikh berkenaan tidak sah akibat pindaan perlembagaan yang tak sah dibuat oleh jawatankuasa sebelum ini.

"Selain itu antara sebab lain kita tidak mengadakan AGM kerana pihak audit masih belum dilantik untuk melaksanakan tugas-tugas mengaudit bilangan ahli persatuan yang layak.

"Ada ahli yang tak faham dan tidak tahu perlembagaan tak sah dan mereka menuding jari menyalahkan pihak saya," kata Abu Bakar lagi.

Ditanya sama ada dia akan mengambil alih tampuk pimpinan sekiranya AGM diadakan dalam masa terdekat, Abu Bakar berkata dia tahu kemampuan diri sendiri.

"Sesiapa sahaja boleh mengambil alih tampuk kepimpinan sekiranya mereka jujur, amanah dan ikhlas bekerja," tambahnya.

utusan online



Bubarkan saja Seniman

BICARA RASDAN
24 Nov 2013

KEMELUT yang sedang melanda Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) baru-baru ini secara tidak langsung telah memperlihatkan urus tadbir yang lemah.

Tidak sependapat mungkin menjadi punca utama kemelut yang sedang berlaku ketika ini sehingga persatuan yang sepatutnya membela artis ini telah dibatalkan Mesyuarat Agung ke-14 tahun lalu.

Persatuan Seniman yang ditubuhkan pada pada tahun 1974 dan Presiden pertama ialah Zainudin Zimbo, dilihat semakin tidak releven ketika ini. Bertitik tolak daripada kemelut yang sedang melanda ini, Seniman sepatutnya terus dibubarkan. Tidak perlu diselamatkan lagi kerana artis sudah mempunyai sebuah lagi persatuan iaitu Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan). Karyawan ditubuhkan kerana Seniman tidak berfungsi sebaiknya untuk membela nasib dan hak artis-artis tempatan.

Berlaku pertindihan antara Karyawan dan Seniman, kini selepas Seniman menghadapi krisis kepimpinan, eloklah diganti dengan Karyawan.

Karyawan telah memperlihatkan pencapaian yang baik dan telah banyak membantu artis dengan skim pencennya tidak lama dulu.

Mungkin dengan hanya ada satu persatuan sahaja, itu akan memudahkan dan melancarkan lagi pengurusan artis terutamanya berkaitan dengan kebajikan.

Bukan itu sahaja, terlalu banyak persatuan yang wujud juga mengundang musibah gara-gara tugas sama tetapi hanya berbeza dari segi tampuk kepimpinan. Ini antara perkara yang tidak sepatutnya wujud.

Misalnya sebelum ini persatuan Karyawan ditubuhkan hanya kerana ingin menutup kelemahan yang ada pada persatuan Seniman.

Terlalu banyak persatuan juga dilihat tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang membelenggu artis-artis kita malah hanya akan mengusutkan lagi keadaan yang sedia ada.

Sepatutnya persatuan-persatuan yang ada (yang dianggotai oleh artis secara umum) digabung menjadi satu. Biarlah Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) kerana persatuan itu dianggotai oleh pengarah, PAPITA pula oleh penyanyi dan komposer.

Tetapi kal;au sekiranya ada pihak yang bernostalgia dengan Seniman dan mahu terus menghidupkan Seniman, diharapkan kepimpinan Seniman yang baru (selepas mesyuarat agung diadakan semula dalam tempoh dua bulan ini) perlulah memiliki ciri-ciri pemimpin yang boleh memajukan persatuan.

Sesiapa juga yang dipilih harus memberikan idea serta pendangan yang membina, jangan ulangi lagi urus tadbir yang sambil lewa seperti sebelum ini.

utusan online


Pemimpin Tidak Sah Seniman Ditegah Jalankan Aktiviti

Oleh NIEZAM ABDULLAH (Instagram: niezamabdullah)
22 Nov 2013



KUALA LUMPUR: Semua bekas pemimpin Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) termasuk bekas presidennya Zed Zaidi atau Rozaidi Abdul Jamil, 33, diberi amaran agar tidak menjalankan apa-apa kegiatan di pejabat persatuan itu kerana mereka adalah pemimpin yang tidak sah.

Peguam kepada lima artis veteran yang berjaya dalam kes tuntutan terhadap persatuan itu, Yusfarizal Yussoff berkata, pemimpin-pemimpin berkenaan tidak layak untuk melakukan apa-apa aktiviti di pejabat berkenaan dan perlu mengosongkannya.

“Secara undang-undangnya, sebagai pemimpin yang tidak sah, mereka tidak boleh buat apa-apa atas nama persatuan serta tidak boleh menjalankan aktiviti di pejabat berkenaan.

“Malah segala akaun bank persatuan juga tidak boleh diusik,” katanya kepada pemberita di sebuah restoran di Diamond Square, Jalan Gombak di sini pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai kejayaan lima artis veteran dalam tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bagi mendapatkan pengisytiharan mesyuarat agung ke-14 (AGM) persatuan itu adalah terbatal dan tidak sah.

Lima artis veteran berkenaan yang turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (S. Shalan), Mior Ahmat Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang.

 Abu Bakar Omar

Hadir sama lima peguam yang mewakili artis veteran tersebut.

Dalam pada itu Yusfarizal berkata, pihaknya berpuas hati apabila 12 perkara termasuk isu-isu penyelewengan yang dilakukan bekas pemimpin-pemimpin berkenaan diterima mahkamah.

Malah pihaknya akan menunggu tarikh yang akan ditentukan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula ahli jawatankuasa bagi membolehkan persatuan berkenaan digerakkan.

“Pihak kami berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan apa yang dilakukan ini sebenarnya untuk menjaga kebajikan ahli-ahli Seniman selain mengelak daripada berlakunya unsur-unsur tidak sihat dalam sesebuah persatuan,” ujarnya.

Sementara itu Abu Bakar Omar yang merupakan plaintif pertama dalam kes berkenaan berasa terharu dengan kejayaan tersebut selain memberitahu tindakannya itu adalah untuk menyelamatkan Seniman.

Malah dia juga berasa malu apabila kes berkenaan menjadi besar sehingga terpaksa melibatkan campur tangan mahkamah.

“Kalau boleh saya mahu kes ini diselesaikan dengan cara baik. Tak mahu ia diperbesar-besarkan kerana yang malu nanti, artis juga. Tetapi apa boleh buat? Bila kita nak selesaikan dengan cara baik, mereka tak nak terima.

“Sebaliknya mereka bermegah kononnya mereka ada kelulusan dalam bidang undang-undang dan sebagainya tetapi... ini yang terjadi,” katanya.


Zed Zaidi

Dalam pada itu Zed Zaidi yang dihubungi wartawan mStar Online, Mohd Al-Qayum Azizi enggan mengulas mengenai keputusan mahkamah sebaliknya akan mengadakan mesyuarat dengan defendan-defendan lain yang terlibat dalam kes berkenaan.

"Buat masa ini saya tidak boleh ulas mengenai keputusan itu dan saya akan memaklumkan kepada pihak media selepas satu mesyuarat yang akan kami jalankan.

“Buat masa ini semua aktiviti persatuan Seniman dikendalikan oleh Setiausaha Kerja yang bekerja dengan persatuan,” katanya.

Di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop memutuskan bahawa apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei 2012 di Dataran Karyawan Finas, Kompleks Studio Merdeka di sini, adalah tidak sah.

Rosilah memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim atau Harun Salim Bachik, Omar Kamarudin dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Persatuan Seniman.

Beliau juga memerintahkan defendan membayar kos RM60,000 kepada kesemua plaintif.

Pada 25 Januari lepas lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap persatuan itu termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan.

mstaronline

Comments