Cerita Cinta



Isteri meminang 'madu'
Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
13 Februari 2014


KEKAL romantis ke usia senja, pasangan ini hanya mahukan kebahagiaan berkekalan.

Sesampainya di Istana Budaya, lokasi yang sudah dijanjikan untuk bersua muka, hanya kelibat Datuk Zulkifli Zain sahaja yang kelihatan.

Ditanya di mana isterinya, Zulkifli Zain memberitahu isterinya ada di ruang dalam. Tidak mahu isterinya berpanas di luar, melihat kelibat saya barulah dipimpinnya si isteri untuk ditemu bual.

Benar, saat usia perkahwinan sudah menginjak ke usia 39 tahun, masih terlihat betapa romantis hubungan cinta mereka.

Hampir satu jam menemu bual pasangan ini, Normala sempat berkongsi sebuah cerita yang bukan sahaja mengejutkan, malah rasanya tidak sanggup dilakukan oleh wanita lain yang bergelar isteri.

Masakan tidak, Normala pernah meminang seorang gadis untuk dijadikan isteri buat suaminya atas rasa cinta kepada rumah tangga yang dibina.

Zulkifli yang ketika itu diam mula berkongsi cerita ketika bagaimana isterinya mula mengetahui bahawa dia sedang mengenali seorang gadis.

“Saya tidak nafikan, isteri memang memberi kebebasan kepada saya sehingga kini. Saya boleh keluar berjumpa rakan-rakan, bila-bila masa sahaja.

“Memang dia ada telefon sekiranya saya keluar terlalu lama, tetapi dia bertanya apa yang saya buat bermakna dia mengambil berat tentang saya," jelasnya.

Tetapi lelaki juga ada nakalnya dan Zulkifli sendiri menceritakan bagaimana dia menyalah gunakan kepercayaan yang diberikan isterinya.

“Ketika dia tahu saya menaruh hati pada seorang gadis, dia cakap mahu berjumpa dengan gadis itu dan mahu meminang untuk pihak saya.

“Masa itu, dia sendiri yang pergi meminang, mungkin dia tidak mahu saya terjebak dengan dosa atau sebagainya.

“Malah, ketika itu, isteri menyuruh saya untuk duduk di belakang bersama dengan gadis itu sementara dia memandu kereta," kongsinya.

Tambah Zulkifli, mungkin sudah ditakdirkan tiada jodoh, perkahwinan itu tidak menjadi dan bila difikirkan semula, itu menunjukkan pengorbanan isteri kepadanya.

Bagi Normala, tipulah jika dia tidak mempunyai secubit perasaan cemburu. Tetapi baginya, apa guna untuk memaksa seseorang itu untuk kekal mencintai dirinya seorang.

“Masa itu memang tidak boleh terima suami bercinta dengan gadis lain. Apatah lagi mengenangkan perkahwinan kami sebelum ini mendapat tentangan keluarga.

“Tapi saya fikir kembali, kalau saya tak beri kahwin, dia akan buat juga di belakang dan saya tidak mahu ia menjadi sesuatu yang lebih buruk.

“Cuma saya dah pesan awal-awal, sekiranya dia berat sebelah, maka saya akan minta dia untuk berpisah dengan saya," katanya.

Tetapi jodoh pasangan ini lebih kuat. Biarlah badai memukul bahtera, jodoh mereka tetap kuat dan romantisnya hingga kini.


Dari mata turun ke hati.Itu kesimpulan yang boleh dibuat bila mendengar kisah bagaimana hati Zulkifli buat pertama kali tertaut dengan isterinya.

Menceritakan detik yang masih diingati jelas itu, cerita Zulkifli, ketika itu dia dan Normala berada dalam satu kumpulan tarian telah dijemput untuk menghadiri majlis keraian di rumah salah seorang Menteri Kebudayaan ketika itu.

“Pada malam itu, saya seperti terpukau melihat Normala. Dia tampak istimewa dan dengan sekali pandang, saya terus terpaut hati.

“Ketika itu saya memang suka dengan wanita berkebaya dan Normala pada malam itu tampil dengan kebaya dan bercucuk sanggul," katanya tersenyum mengingat kisah manis itu.

Ketika majlis tari menari, Zulkifli tampil memaut tangan Normala mengajaknya untuk menari.

“Ketika itu, joget lambak ini memang biasa. Masa itu, saya terus terang dengan dia. Saya cakap, you nak kahwin dengan I tak?"

Normala yang mendengar kisah ini menyelit.

“Bukan macam itu dia cakap. Masa tari menari itu, dia terus cakap, jom kahwin. Saya pula masa itu terus balas, 'jom," kata Normala menahan tawa.

Menyambung bicara, Zulkifli memberitahu, selepas dia menyatakan hasratnya itu, baharulah mereka mula berbincang untuk berkahwin dan bermulalah episod cinta mereka.

“Ketika hendak berkahwin, ibu bapa Normala tidak beri kebenaran apatah lagi beza umur kami 11 tahun. Dia ketika itu baharu berusia 17 tahun.

“Masa itu, ibu bapa Normala menyuruh dia untuk berhenti kerja sebagai penari supaya kami tidak dapat berjumpa lagi, " ujarnya.

Tambah Zulkifli, mungkin sudah jodoh, mereka berkahwin dan ketika itu, dia sedar, ibu bapa mertuanya tidak suka dengan dirinya.

“Hendak buat bagaimana, kami saling mencintai. Tetapi saya pun ada cuba mengambil hati kedua ibu bapa mentua selepas berkahwin.

“Alhamdulillah, selepas kami menimang cahaya mata (Norzizi) baharulah mentua mula menerima saya sebagai menantu," katanya yang sedikit pun tidak berkecil hati.

Dari luaran, nampak Normala ceria sahaja. Hakikatnya keadaan hidupnya agak terjejas ekoran masalah matanya yang kini buta sebelah kiri akibat penyakit kencing manis semenjak lebih dua tahun lalu.

“Suatu hari, ketika bangun pagi, saya langsung tidak nampak apa-apa. Masa itu memang rasa tertekan dan menangis sebab semuanya dah gelap. Ketika itu, bermacam-macam perasaan negatif mula bermain di minda. Malah, ada ketika saya merasakan suami saya akan meninggalkan saya," katanya.

Di sebalik pemikiran negatif itu, Normala sangat bersyukur kerana dikurnia seorang suami yang begitu mengambil berat tentang dirinya.

"Sekarang saya sudah mampu menerima hakikat. Anak-anak dan cucu-cucunya banyak memberi semangat. Ini dugaan tuhan dan saya terima dengan hati yang reda dan kita memohon yang terbaik untuk diri," jelasnya, pasrah.

Bagi Zulkifli, mana mungkin dia akan meninggalkan isterinya saat wanita itu memerlukan dia sebagai kekuatan dalam hidupnya.

“Saya akan bantu dia. Malah, makan pun saya yang suapkan. Bukan sebab tak nampak, tetapi saya buat sebab itu menjadi pengikat kasih kami. Memasak pun saya yang buat sekarang ini. Saya akan tanya apa yang dia hendak makan, dan saya akan masakkan untuk dia," jelas Zulkifli.


Utusan  Malaysia

Comments