Semakin dingin

New updated post

Suhu sejuk dijangka berlarutan sehingga awal minggu depan
Aizat Sharif

KUALA LUMPUR: Suhu sejuk yang melanda beberapa tempat di Pantai Timur dan Kedah kini telah mulai meningkat sedikit demi sedikit.

Pengarah Ramalan Kaji Cuaca Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata suhu rendah yang dicatatkan di beberapa tempat seperti Kuala Krai, Besut, Alor Star dan Kangar telah mulai naik antara satu hingga dua darjah celcius.

“Antara malam hingga pagi tadi, suhu di Kuala Krai yang sebelum ini mencatatkan cuaca terendah iaitu 17.5 darjah celcius telah mulai meningkat ke 19 darjah celcius,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Suhu rendah normal yang sering dicatatkan di Kuala Krai adalah sekitar 21.7 darjah celcius.

Beliau menambah, kenaikan suhu ini disebabkan adalah perubahan arah angin dari Timur Laut ke Barat Laut dimana sebelum ini, angin kering dari China telah bertiup dan membawa ke hawa sejuk di beberapa bahagian Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu, Kelantan dan beberapa tempat di Kedah dan Perlis.

“Suhu sejuk ini dijangka akan berlarutan sehingga awal minggu hadapan dan ianya tidak merebak ke negeri-negeri lain di Malaysia dan keadaan dijangka kembali normal sekitar minggu hadapan ,” katanya lagi.

Purata suhu rendah normal pada bulan Januari di Malaysia adalah sekitar 22 hingga 23 darjah celcius.

Pada Rabu, suhu cuaca terendah telah direkodkan di Kuala Krai dimana ianya telah jatuh sehingga 17.2 darjah celcius dan menyebabkan penduduk di Kuala Krai terpaksa menggunakan baju sejuk, jaket dan juga selimut untuk keluar rumah di waktu pagi.

Penurunan drastik suhu juga direkodkan di tempat-tempat seperti di Besut, Alor Star dan Kangar.


astro awani


Pantai Timur catat suhu terendah dalam sejarah
SITI FATIHAH AWANG & RAHAYU MUSTAFA



KOTA BHARU - Keadaan suhu sejuk dan mendung seharian mencetuskan suasana baharu yang tidak pernah dialami masyarakat negara ini.

Tidak terkecuali di Kelantan, apabila beberapa lokasi di negeri ini mencatatkan suhu terendah dalam sejarah.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan dan Terengganu, Jenuwa Husin berkata, penurunan suhu dan udara yang sejuk dialami beberapa daerah di negeri ini merupakan satu rekod baharu.

Menurutnya, daerah Kuala Krai mencatatkan suhu penurunan minimum sehingga 17 darjah Celsius pada jam 7 pagi kelmarin berbanding 21.8 Celsius suhu purata.

“Penurunan suhu di Kuala Krai itu adalah yang paling minimum manakala Pasir Putih pula mencatatkan bacaan 19 darjah Celsius selain Kota Bharu dan Gong Kedak dengan purata 20 hingga 25 darjah Celsius.

“Di antara punca utama penurunan suhu itu ialah disebabkan tekanan suhu sejuk di tanah besar China yang memasuki Laut China Selatan selain daripada keadaan musim tengkujuh yang melanda kawasan Pantai Timur yang masih belum tamat,” katanya.

Menurutnya, fenomena tekanan suhu dari China itu terjadi semasa monsun timur laut dan tiupan angin kencang tersebut berlaku apabila kurangnya awan terbentuk pada waktu malam di kawasan Pantai Timur Semenanjung.

Beliau berkata, disebabkan penurunan itu penduduk di kawasan berhampiran pantai terutamanya akan mengalami suhu sejuk yang terlampau berbeza dengan keadaan biasa.

Dalam masa sama, Jenuwa berkata, amaran ketiga angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan pihak Meteorologi kepada nelayan dan orang awam bagi mengurangkan sebarang aktiviti pantai.

“Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Untuk rekod, suhu di tanah tinggi Cameron Highland purata sekitar 12 hingga 26 darjah Celsius manakala 13 -16 darjah Celsius pada waktu pagi.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di negeri ini mendapati keadaan cuaca sepanjang hari redup dan sejuk. Orang ramai dan murid-murid sekolah yang mengenakan baju sejuk di luar bangunan walaupun pada jam 11 pagi.

Seorang penduduk di Kuala Krai, Rosdi Ismail, 49, berkata, perubahan mendadak suhu sejak selepas banjir gelombang kedua begitu dirasai.

Menurutnya, kedudukan kampung berkenaan yang dikelilingi bukit menyebabkan kesannya begitu terasa.

“Setiap kali keluar rumah untuk ke tempat kerja saya akan memakai baju sejuk kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk sekarang,” katanya.
Suhu di Besut

19 darjah Celsius

Suhu di kawasan Besut pula mencatatkan penurunan sehingga 19 darjah Celsius pagi kelmarin, menjadikan ia rekod suhu terendah yang pernah dicatatkan di daerah itu.

Jenuwa berkata, suhu itu disifatkan sebagai satu rekod kerana suhu biasa yang dicatatkan paling minimum bagi dua kawasan itu sebelum ini hanyalah sekitar 23 darjah Celsius.

Katanya, daerah lain di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman mencatatkan sedikit penurunan iaitu sekitar 21 darjah Celsius berbanding hari biasa.

Selain itu katanya, Jabatan Meteorologi turut memaklumkan, angin kencang timur laut berkelajuan dari 60 kilometer sejam dengan ombak melebihi 5.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Terengganu dan Kelantan dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Menurut beliau, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

“Angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya.

Seorang penduduk di Besut, Yusof Ali, 72, berkata, keadaan suhu sejuk dirasakan sejak beberapa hari lalu, memaksa dia memakai baju lebih tebal.

Menurutnya, seingatnya, kali terakhir suhu sejuk berlaku di daerah ini ketika dia berusia 15 tahun, kira-kira 57 tahun lalu dan tidak berlaku lagi selepas itu sehinggalah ia berulang sekarang.

sinar harian


Beberapa Bandar Dan Daerah Alami Cuaca Sejuk
Oleh T.AVINESHWARAN

PETALING JAYA: Banyak bandar dan daerah di Malaysia mengalami cuaca sejuk ekoran angin sejuk monsun Timur Laut.

Bandar-bandar seperti Subang Jaya, Kota Kinabalu, Sandakan, Kota Bharu, Kuantan dan Petaling Jaya mengalami suhu di bawah 25°C, menyamai Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Suhu minimum dicatatkan sejak Tahun Baru dan ia dijangka berterusan untuk beberapa minggu akan datang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) melaporkan pada hari Khamis bahawa dari 1 hingga 22 Januari, suhu yang paling rendah dicatatkan di Kuantan iaitu 21.0°C, Kota Kinabalu 22.1°C, Petaling Jaya 23.6°C, Kota Bharu 23°C, Kuching 22.0°C manakala daerah di utara seperti Alor Setar, Kedah dan Chuping, Perlis masing-masing mencatatkan suhu 22.4°C dan 23.3°C.

"Berdasarkan maklumat kami, dalam semua bulan, Januari akan sentiasa mencatatkan suhu yang paling rendah setiap tahun."

Menurut JMM, penurunan suhu adalah disebabkan oleh angin sejuk dari monsun Timur Laut dan ini bukan kali pertama fenomena ini telah berlaku.

"Suhu turun naik dari semasa ke semasa dan semasa monsun Timur Laut, rekod minimum seperti itu adalah biasa dan telah berlaku banyak kali sepanjang musim ini."

"Suhu dingin biasanya direkodkan di Pantai Timur dan kawasan utara Semenanjung Malaysia kerana angin monsun Timur Laut yang cukup kuat.

"Angin bertiup dari Tanah Besar China, yang sedang mengalami salji sekarang.

"Selain itu, cuaca yang baik dan tidak mendung di Malaysia minggu ini telah membantu mengurangkan suhu di awal pagi dan waktu malam.

"Atmosfera tanpa awan adalah sama dengan keadaan di mana tidak ada selimut untuk membuatkan kita berasa panas. Selimut adalah awan dan badan kita adalah bumi," kata JMM.

JMM juga menafikan khabar angin bahawa salji turun di Indonesia kerana adalah mustahil untuk sebuah negara tropika mengalami fenomena itu.

mstar online

Suhu sejuk di pantai timur Johor cecah 17 °C


KUALA LUMPUR 23 Jan. - Beberapa buah kawasan di negeri pantai timur dan Johor dilanda cuaca sejuk apabila mencatatkan suhu purata serendah 17 darjah celsius.

Pengarah Pusat Ramalan Jabatan Meteorologi, Muhamad Helmi Abdullah berkata, keadaan yang dijangka berlanjutan sehingga minggu depan itu berlaku ekoran perubahan aliran udara sejuk dan tiupan angin yang berlaku di Laut China Selatan.

Katanya, suhu berkenaan antara yang paling rendah pernah dicatatkan rekod Stesen Meteorologi sejak lebih 20 tahun lalu.

“Kita pernah catat suhu yang sama sebelum ini di beberapa kawasan di negeri pantai timur dan kali ini berlaku di Kuala Krai, Kelantan apabila suhu dicatat sekitar 17 darjah celsius.

“Bagaimanapun, ini adalah fenomena biasa yang berlaku pada musim monsun dan keadaan cuaca negara kita dipengaruhi oleh aliran sejuk dari China dan Siberia," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, terdapat beberapa sumber di internet yang memaklumkan beberapa kawasan dilanda cuaca sejuk luar biasa antaranya Gua Musang, Kelantan yang mencatatkan suhu purata 19 hingga 21 darjah celsius menyamai suhu di Cameron Highlands sedangkan kebiasaannya adalah 30 hingga 35 darjah celsius.

Selain itu, laman perkongsian video, YouTube turut menggemparkan orang ramai apabila memaparkan rakaman sebuah daerah di Indonesia dilanda salji, bagaimanapun belum ada pihak mengesahkan kejadian itu sehingga kini.

utusan online

Comments