Mek Mulung

Menurut Prof. Madya Dr. Samad Salleh mek mulung adalah kesenian milik negeri Kedah kerana ia hanya terdapat di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah, tidak di tempat-tempat lain. Ini adalah keunikan tersendiri yang tidak dapat disangkal lagi.

Mek Mulung merupakan satu adunan kesenian yang menggabungkan unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam suatu persembahan. Meskipun seimbas lalu persembahannya kelihatan begitu mudah, tetapi ia tetap mempunyai keunikan yang tinggi nilainya. Menurut satu laporan seorang pengamal kesenian Mek Mulung yang boleh dikatakan waris terakhir, terdapat himpunan sebanyak dua puluh cerita hikayat asal, namun sedikit sahaja yang dikatakan masih kekal.

Mek Mulung adalah drama tari rakyat yang berasal dari Siam tetapi telah diperkenalkan kepada masyarakat Negeri Kedah iaitu Kampung Perik, Kuala Nerang dan akhirnya ke Kampung Wang Tepus, Jitra. Persembahan Mek Mulung akan dimulakan dengan 'bertabuh' di mana alat muzik akan dimainkan serentak. Upacara pembukaan akan dimainkan dengan 'lagu bertabik'. Raja atau Pak Mulung merupakan watak utama. Ia dibantu oleh tiga peranan iaitu Peran Tua, Peran Muda, Peran Kiau dan ahli nujum yang dipanggil Tok Wak. Pakaian Raja atau Pak Mulung ialah sepasang baju Melayu, samping songket, tengkolok, sibai, ikat bengkung dan sebilah keris. Manakala Peran memakai kain pelekat, ikat pinggang, baju singlet serta seluar. Tok Wak pula memakai kain biasa serta topeng. Alat-alat muzik terdiri dari semborong, ibu semborong, anak semborong, gong, serunai dan cerek.

Mek Mulung merupakan kesenian yang terkenal di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah. Kesenian ini mempunyai unsur-unsur lakonan, nyayian, tarian dan juga muzik. Terdapat beberapa cerita pokok dalam kesenian ini antaranya yang terkenal ialah cerita Puteri Cahaya Bulan. Selain persembahan, kesenian Mek Mulung ini juga mempunyai unsur ritual yang tersendiri.

Ikuti beberapa petikan akhbar sebagai rujukan penting persembahan Mek Mulung





Mek mulung milik Kedah
Oleh Zaidin Abadi


MEK MULUNG sebuah teater tradisional Melayu yang menyerupai bentuk dan struktur persembahan makyung, menora dan jikey, mempunyai beberapa keunikan yang tidak terdapat dalam teater tradisional yang lain.

Meskipun ada pengkaji yang menyatakan mek mulung berasal dari Ligor, Thailand, tetapi ahli-ahli panel forum Mek Mulung Sebagai Pemangkin Awal ke Arah Memartabatkan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah bersepakat merumuskan mek mulung warisan Kedah.

Salah seorang panel, Prof. Madya Dr. Samad Salleh berkata, mek mulung adalah kesenian milik negeri Kedah kerana ia hanya terdapat di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah, tidak di tempat-tempat lain. Ini adalah keunikan tersendiri yang tidak dapat disangkal lagi.

Dengan mengekalkan ciri-ciri tradisional yang bertunjangkan sejarah silamnya dengan cerita-cerita serta watak-watak yang tidak berubah, termasuklah muzik dan lagu-lagunya meletakkan mek mulung sebagai sebuah teater tradisional yang indah dan menarik.

Selain itu, teater mek mulung masih mengekalkan dialek Kedah Tua dalam dialog para pelakonnya. Gaya bahasa ini amat unik dan tidak dapat ditiru oleh mana-mana pelakon yang bukan berasal dari Kedah.

Jelasnya, satu lagi keunikan mek mulung ialah pelakon-pelakonnya terdiri daripada lelaki sahaja, meskipun memainkan watak wanita. Keempat-empat faktor inilah yang mengukuh dan menyokong mek mulung sebagai teater tradisional milik negeri Kedah.

Forum tersebut turut juga menyentuh beberapa aspek lain dalam mencari formula untuk memartabatkan teater tradisional tersebut.

Seorang lagi ahli panel, Badrul Munir Md. Isa, menyentuh peranan yang perlu dimainkan beberapa pihak, terutama pihak pembuat dasar, pihak pengurusan kesenian dan kebudayaan serta para aktivis teater keseluruhannya.

Beliau menyarankan agar kerajaan negeri Kedah mengiktiraf mek mulung sebagai sebuah kesenian milik negeri Kedah sebelum timbul dakwaan pihak-pihak lain bahawa mek mulung bukannya berasal dari negeri ini. Usaha untuk mengesahkan mek mulung sebagai milik Kedah harus segera dilaksanakan.


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah (JKKN), Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK) dan Majlis Teater Negeri Kedah (MTNK) perlu menggembleng usaha dan tenaga menyusun gerak kerja memartabatkan mek mulung sehingga menjadi kenyataan.

Selain itu usaha merakyatkan teater mek mulung dalam kalangan rakyat negeri Kedah khususnya dan rakyat Malaysia amnya, perlu dirancang dengan teliti supaya teater ini dapat dipertontonkan sekerap mungkin ke serata pelosok negeri.

Pelbagai pihak diseru supaya menyokong para pengkaji dan sarjana menjalankan penyelidikan dan pembangunan secara berterusan.

Ahli panel ketiga, Saipol Bahari Mohd. Iman, pengarah teater mek mulung dari Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB) amat optimis mek mulung mempunyai masa depan yang cerah berdasarkan reaksi penonton yang menyaksikan beberapa siri persembahannya sebelum ini.


Beliau menjelaskan unsur-usur ritual yang terdapat dalam mek mulung yang asal seperti buka panggung, sembah guru dan sebagainya yang bertentangan dengan ajaran Islam, telah ditiadakan dalam teater mek mulung arahannya.

SeleraBeliau juga menggubah semula beberapa lagu asal mek mulung mengikut selera dan kehendak semasa dengan menggunakan peralatan muzik kontemporari. Usaha ini bertujuan menarik minat generasi muda masa kini.

Terdahulu, Pengarah JKKN Kedah, Abdul Mutalib Abdul Rahman dalam ucaptamanya menyentuh usaha memartabatkan kebudayaan dan kesenian seharusnya berdasarkan prinsip-prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan, yang berpaksi kepada Islam. Tujuannya supaya unsur kesejahteraan, kesederhanaan dan menyeru kebaikan akan terserlah sekali gus memartabatkan kebudayaan.

Tiga kertas kerja turut dibentangkan iaitu Kewajaran Penjenamaan Teater Tradisional Mek Mulung Serta Pengisytiharan dan Pengiktirafan Sebagai Produk Seni Milik Negeri Kedah oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Darul Aman, Mohd. Yazi Kerya, Mek Mulung Sebagai Pemangkin Pembangunan Teater Negeri Kedah: Bagaimana Menghadapi Halangan dan Kekangan oleh Penyelidik dan Perunding Skrip RTM, Badrul Munir dan Peranan Kerajaan Negeri Mempromosi Mek Mulung Sebagai Salah Satu Daripada Instrumen Penjanaan Ekonomi Negeri Kedah oleh Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri.


Wacana Seni dan Budaya Negeri Kedah 2013 yang berlangsung di Auditorium JKKN Kedah dianjurkan bersama oleh kerajaan negeri, JKKN Kedah dan AKRAB. Ia disertai hampir 80 peserta terdiri daripada penggiat seni budaya setempat, sasterawan, aktivis teater dan juga tenaga pengajar institut pengajian tinggi.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah merangkap Yang Dipertua MKNK, Amiruddin Omar.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan kerajaan negeri akan memberi perhatian terhadap kegiatan-kegiatan yang dijalankan oleh badan-badan kesenian dan kebudayaan termasuk menyalurkan bantuan yang sewajarnya untuk memartabatkan seni dan budaya negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Utusan online


Petikan persembahan Mek Mulung





MEK MULUNG : Apa kesudahannya?

Mek Mulung. Satu bentuk teater tradisional Kedah Darul Aman. Namun ramai warga Kedah Darul Aman sendiri tidak mengenali apa itu Mek Mulung. Asal-usulnya dan keindahan yang terdapat di dalamnya.

Mek Mulung berasal dari Legor, Siam. Dibawa masuk ke tanah Kedah oleh empat pengamalnya. Dar satu kampung (tidak pasti namanya) hingga ke satu kawasan belukar yang diteroka oleh mereka sendiri; Hutan Mulung. Dipercayai dari situlah diperolehi nama Mek Mulung.

Saya sempat bercakap sendiri dengan Abang Mat, seorang pengamal kesenian Mek Mulung yang boleh dikatakan waris terakhir. Cerita Abang Mat tentang hikayat-hikayat yang terdapat di dalam permainan Mek Mulung sangat menarik perhatian saya. Kenapa semua ini tidak diketengahkan semula? Lebih ironisnya lagi apabila Abang Mat menyatakan bahawa dari lebih kurang dua puluh hikayat, yang dapat diingatnya cuma empat. Ah! Sayang sekali.

Kini kita boleh tersenyum lega sedikit kerana dari usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara mewujudkan program perantisan Mek Mulung, maka terhasillah satu kumpulan pelapis Mek Mulung. Walaupun cuma bermain 'kulitnya' sahaja, mereka mampu menghidangkan satu konsep persembahan Mek Mulung yang mampu menarik minat penonton masa kini.

Namun jika kita lihat dengan teliti, tertib permainan Mek Mulung itu harus diberi keutamaan. Walaupun watak "Awang Pengasuh" dibawa oleh Adzaham Hamidon (Ed Kota), seorang pelakon teater dan drama yang tak asing lagi di tanahair, ada sedikit unsur keterlaluan di dalam permainannya. Ada unsur atau keinginan untuk 'overshadow' watak yang lain. Mangsanya sudah tentu watak "Wak Nujum Wak Raja" yang dijayakan oleh Wan Suhairi Wan Senu.


Kumpulan muzik pelapis atau perantis Mek Mulung ini boleh dibanggakan. Walaupun dari dua kumpulan yang sedang dingin dalam perjuangan teater, mereka dapat berkomunikasi dan mewujudkan satu 'musical environment' yang menarik.

Persoalan kini, kenapa terlalu jarang kumpulan perantisan Mek Mulung ini dibawa keluar untuk mengadakan persembahan? Sedangkan kini dunia seni persembahan Malaysia sedang berbangga dengan kumpulan Kesenian Petronas yang mempersembahkan satu kesenian yang bukan dari tempat asal mereka. Apa yang sedang kita lakukan pada khazanah kesenian negeri Kedah yang kita sayangi ini?


Pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah perlu mengangkat kesenian ini lebih tinggi tarafnya. Harus diingat, Mak Yong telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai satu khazanah kesenian negara. Sedangkan kita sendiri tahu Mek Mulung tidak kurang malah jauh lebih menarik dari Mak Yong. Kumpulan Kesenian Petronas sendiri pernah menyatakan bahawa mereka lebih menggemari permainan Mek Mulung dari Mak Yong berikutan kepelbagaian gerak, muzik, lakon dan ceritanya.

Kita semua selaku pengamal seni budaya negeri Kedah khususnya dan Malaysia amnya harus menyokong dari apa jua aspek untuk mengembalikan kegemilangan sebuah kesenian yang selama ini tertinggal jauh di belakang. Sedarilah. Hanya satu sahaja kumpulan Mek Mulung yang terdapat di dunia ini. Sanggupkah kita kehilangan satu kesenian yang kemungkinan besar akan diiktiraf sebagai khazanah seni negara, setaraf dengan Mak Yong dan kesenian sedunia yang lain?

Rumpun Kreatif Utama Budaya Anak Seni




Keunikan Mek Mulung


Biarpun persembahan teater moden semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, nasib berbeza pula dialami teater tradisional yang terpaksa menongkah arus untuk terus bertahan.

Sehubungan itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengambil inisiatif daripada masalah ini untuk membangunkan semula teater tradisional menerusi penganjuran Program Seni Panggung Tradisional 2013 sepanjang tahun ini bermula dengan makyung, Opera Cina, wayang kulit dan dikir Barat.

Selepas persembahan Dikir Barat, program ini membawa penonton kepada pementasan teater tradisional Mek Mulung berjudul Puteri Cahaya Bulan dari kumpulan Seri Mahawangsa JKKN Kedah di Auditorium Kompleks JKKN Kuala Lumpur pada 7 & 8 September.

Penolong Pengarah Kanan JKKN merangkap Pengarah Projek, Rosnan Rahman, berkata program ini diadakan sebagai penyelidikan dan pemuliharaan bagi memelihara dan memulihara khazanah seni budaya tidak ketara supaya tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.


“Pementasan ini sebelumnya diadakan menerusi sesi Jelajah Mek Mulung bermula di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada 22 & 23 Mac lalu dan Kompleks JKKN Terengganu pada 24 & 25 Mei lalu. Sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana masyarakat ingin melihat keunikan pementasan ini.

“Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa JKKN di bawah seliaan JKKN, Kedah adalah kumpulan yang berjaya dihidupkan hasil daripada program perantisan dan aktif mengadakan persembahan di Kedah,” katanya.

Rosnan berkata, Mek Mulung berusia lebih 400 tahun dan berasal dari kerajaan Kedah Tua dan pementasannya mengandungi falsafah tersendiri. Ia juga satu adunan kesenian yang digabungkan menjadi sebuah persembahan yang terdiri daripada unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik.

Menurutnya, pementasan berkenaan menampilkan artis budaya dan pemuzik kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa Kedah yang dibimbing tenaga pengajar Mek Mulung jemputan yang juga penggiat generasi awal persembahan ini iaitu Pak Saad Taib dari Kampung Wang Tepus di Jitra, Kedah.

Turut bersama membuat persembahan ialah Tokoh Tari dari Kedah iaitu Razali Ismail manakala pengarahnya, Saipol Bahari Mohd Iman pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Festival Teater Malaysia 2012 daripada Kumpulan Teater Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB).

Rosnan berkata, mereka mengetengahkan Mek Mulung kepada generasi muda untuk mendidik mereka supaya lebih berminat dan menghargai teater tradisional tempatan.

“Justeru, kami akan pakejkan Mek Mulung dengan jalan cerita yang menarik supaya penonton boleh menerimanya. Konsep persembahannya masih tradisional, tapi diberi nafas baru,” katanya.

Persembahan ini berlangsung selama satu jam setengah dan penonton dapat melihat keunikan Mek Mulung yang berbeza daripada makyung meliputi aspek dialek, tari, muzik dan pakaian.

Mek Mulung mengisahkan Putera Cahaya Bulan Raja Negeri Selindungan Bulan yang mempunyai firasat bahawa permaisuri baginda Puteri Nang Mara akan dilarikan Raja Gergasi yang memerintah Benua Pakkian.

Raja Gergasi berharap sekiranya baginda dapat menguasai dan menakluki Puteri Nang Mara, baginda berjaya meluaskan kuasa pemerintahannya tanpa ada saingan kerana selama ini Puteri Nang Mara adalah penghalang utama kejayaannya.

MyMetro


Mek Mulung dimartabat
Oleh SAFINA RAMLI

INI ke pengarah? Tahniah saya tak sangka Mek Mulung boleh jadi hebat macam yang saya tengok malam ni. "

Sapaan seorang penonton selepas menonton pementasan teater warisan negeri Kedah, Mek Mulung di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah baru-baru ini mengundang senyuman puas pengarahnya, Saipol Bahari Mohd. Iman.

Ternyata di tangannya, naskah teater Mek Mulung berjaya menarik minat generasi muda di negeri ini untuk mengenali dengan lebih dekat warisan kebudayaan Kedah yang satu ketika dahulu dipinggirkan kerana amalan ritualnya.

Manakan tidak, Saipol Bahari berjaya membebaskan Mek Mulung daripada amalan-amalan ritual seperti sembah guru, buka panggung dan lainnya yang bertentangan dengan ajaran Islam serta memisahkan rakyat negeri ini daripada terus mengenali keindahan seni budaya Mek Mulung.

Selain sarat dengan elemen budaya dan adab santun orang Melayu, Mek Mulung juga istimewa kerana para pelakonnya tidak terlalu terikat dengan skrip dan mereka bebas mengucapkan dialog spontan yang terlintas di minda para pelakonnya.

Watak seperti Awang Selamat, Awang Pengasuh, Amat dan Sena membuatkan penonton tidak kering gusi sepanjang menonton persembahan Mek Mulung yang mengisahkan cerita Putera Cahaya Bulan.

Isu-isu semasa yang sarat dengan sindiran sosial seperti pemilihan Agong UMNO yang sedang hangat berlangsung turut menjadi modal Awang Selamat dan Awang Pengasuh untuk mengusik hati penonton dengan dialog lucu mereka.


Mengimbas kembali sejarah Mek Mulung, teater itu merupakan satu adunan kesenian yang telah digabungkan dalam satu persembahan, ia terdiri daripada unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik.

Meskipun seimbas lalu persembahannya dianggap mudah, ia tetap mempunyai keunikan yang tinggi nilainya dari segi budaya dan sejarahnya.

Mek Mulung dikatakan berasal dari Ligor, Siam dan diperkenalkan di negeri Kedah ketika berlakunya persengketaan di antara Kedah dan Siam.

Tempat ia mula-mula sekali diperkenalkan ialah di Kampung Perit, Mukim Kurung Itam, Jajahan Kuala Nerang dan seterusnya ia berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah.

Dahulunya ia hanya dimainkan di bangsal-bangsal terbuka di rumah penduduk kampung sebagai hiburan di waktu malam di mana pemain dikelilingi oleh para penonton sahaja.

Kini sejak tahun 2008 di bawah Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa yang digerakkan oleh Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (A.K.R.A.B), Mek Mulung berjaya diangkat semula malah kumpulan itu merantau ke seluruh negara hingga ke Sarawak bagi memperkenalkannya.

Saipol Bahari berkata, dia gembira kerana usaha gigih kumpulannya itu untuk mengerakkan semula Mek Mulung menjadikan penonton mula menggemari teater Mek Mulung.

"Apa yang penonton lihat sekarang ialah Mek Mulung yang telah dibaikpulih semula, kita pentaskan ia kembali di pentas-pentas moden dengan kelengkapan yang lebih sempurna, tidak seperti semasa pemain dahulu memainkannya di bangsal.

"Dulu penonton tak gemar Mek Mulung kerana ritual-ritual yang ada di dalam persembahan tersebut, kita buang ritual yang ada dan kita hanya ambil seni dan budayanya untuk tatapan penonton.

"Malah topeng yang dahulunya dipenuhi dengan unsur mistik kami buat semula untuk dipakai oleh pemain-pemain Mek Mulung sekarang.

"Mantera-mantera yang diucapkan oleh pemain pula hanya kita ambil melodinya sahaja, tetapi tidak ada perkara yang bertentangan dengan agama Islam di dalam Mek Mulung yang dimodenkan ini," katanya.

Menurut Saipol Bahari, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) banyak membantu Mek Mulung untuk terus hidup dan dia berharap satu hari nanti anak-anak Kedah dapat berbangga dengan Mek Mulung seperti mana anak-anak Kelantan berbangga dengan persembahan Mak Yong.

"Sebagai anak jati Kedah, saya sangat berharap Mek Mulung ini diangkat tinggi, bukan sahaja di luar negara tetapi oleh rakyat Kedah sendiri.

"Mek Mulung hanya wujud di Kedah sahaja, bahasa yang diucapkan di dalam persembahannya juga pelik tetapi menarik kerana ia menggambarkan suasana Kedah ketika zaman dahulu, bagaimana tata cara rakyat Kedah dengan golongan raja.

"Kita berusaha untuk memartabatkannya agar menjadi warisan dunia dan berharap rakyat Kedah akan menerima Mek Mulung menjadi satu warisan seni budaya yang harus dijaga," jelasnya merujuk kepada pementasan Mek Mulung pada 27 hingga 28 September lalu.

Penghargaan wajar diberikan kepada pengarahnya Saipol Bahari Mohd. Iman serta pelakon-pelakon yang membawakan watak seperti Putera Cahaya Bulan iaitu Mohamad Rizal Mohamad Lazim, Samsun Nadia Zulkifli (Puteri Nang Mara) dan Faiz Nawawi (Awang Selamat), Yusuf Azizan (Awang Pengasuh) dan lain-lain lagi kerana telah berjaya mengangkat seni warisan budaya Kedah ini.

Utusan online



Petronas Mempopularkan Mek Mulung

MEK mulung adalah salah satu daripada teater tradisi Melayu yang popular di Kedah. Ia menjadi hiburan rakyat di negeri itu sejak zaman dahulu lagi. Mek mulung merupakan adunan lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam suatu persembahan.

Tetapi kini mek mulung diambang kepupusan. Buktinya teater tradisi ini bukan sahaja tidak dipersembahkan di negeri-negeri lain malah di Kedah sendiri pun sudah tiada. Mek mulung menjadi mangsa kepada perubahan sosiobudaya yang berlaku dengan pesat dalam masyarakat.

Tetapi sebagai teater tradisi, sama seperti teater tradisi Jepun, kabuki, mek mulung mesti dipulihara. Ini khazanah yang dalamnya ada nilai-nilai peradaban dan budaya. Usaha memulihara perlu digerakkan dengan segera sementara ada lagi beberapa penggiat yang masih aktif.

Walaupun menuju menjadi negara maju, kesenian tradisi tidak sewajarnya terpinggir untuk mengimbangi pembangunan fizikal dan pembangunan insan. Kalau kabuki boleh terus hidup dan popular di Jepun yang jauh lebih moden berbanding negara ini, apakah halangan teater tradisi seperti mek mulung ini sebenarnya?

Maka kita wajar berbangga apabila Petronas menerusi Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) berusaha mengangkat mek mulung kepada generasi masa kini. Usaha seperti ini wajar menjadi titik mula untuk menyelamatkan banyak lagi kesenian tradisi daripada pupus.

Usaha Petronas boleh dianggap sebagai satu tanggungjawab sosial yang besar ertinya kepada pemuliharaan kesenian tradisi yang hampir pupus kerana arus modenisasi.

Mulai Jumaat lalu hingga malam ini, KSSP mementaskan teater tradisi Mek Mulung Cahaya Bulan di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.

Ini peluang keemasan khususnya warga Kuala Lumpur untuk menonton teater tradisi yang suatu ketika dulu menjadi bahan hiburan kepada masyarakat.

Penerbit pementasan ini, Hartini Abdullah ketika ditemui berkata, ini adalah susulan dari sambutan yang luar biasa semasa dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tidak lama dulu.

“Menurut satu laporan pengamal kesenian mek mulung yang boleh dikatakan waris terakhir, terdapat sebanyak dua puluh cerita hikayat asal, namun kini hanya sedikit sahaja yang masih kekal,” ujar Hartini.

Menurutnya, dengan sambutan menggalakkan dari pementasan sebelumnya yang bermula pada 2002, pihak KSPP tidak teragak-agak untuk melakukan pementasan buat kali ini.

Salah satu faktor pemilihan Auditorium DBKL dipilih ialah tempat ini boleh memuatkan jumlah penonton yang lebih banyak berbanding DFP yang hanya 200 penonton pada satu-satu masa.

“Kalau dipentaskan di DFP, hanya sekitar 200 orang penonton sahaja yang dapat masuk, di samping tarikh yang telah diberikan oleh pihak DFP tidak begitu sesuai,” kata Hartini.

Sementara itu pengarah teater mek mulung, Roslee Mansor memberitahu, kali ini teater ini dipentaskan lain dari kebiasaannya kerana lebih padat dan hebat.

“Dalam pementasan sebelum ini, kami menggunakan tenaga pakar dari Kedah, namun sekarang kami menggunakan tenaga kami sendiri. Selain itu juga, kami akan tampilkan pelawak terkenal tanah air iaitu Nabil Raja Lawak yang akan melakonkan watak Awang Pengasuh.

“Pemilihan Nabil dibuat kerana bakatnya yang hebat selain itu Nabil juga mempunyai peminat yang ramai untuk mempromosikan teater ini,” jelasnya.



Utusan Online


Mempertahankan Teater Tradisi Mek Mulung

Khamis Disember 15, 2011


KUALA LUMPUR: Seni teater tradisional Mek Mulung jarang-jarang sampai ke telinga masyarakat.

Mungkin hanya kelompok tertentu sahaja yang biasa mendengar atau tahu mengenainya seperti golongan pengkaji dan pencinta seni dan budaya, penggiat teater dan segelintir masyarakat di negeri Kedah, negeri asal kelahiran Mek Mulung.

Terdapat pelbagai versi mengenai asal usul seni teater ini. Sepintas lalu, dramatari Mek Mulung berasal dari mukim Wang Tepus, Jitra, Kedah Darul Aman.

Nama Mek Mulung berasal daripada perkataan 'mek' iaitu panggilan bagi gadis-gadis, sementara perkataan 'mulung' pula ialah nama hutan tempat bermulanya persembahan ini.

Ia diperkenalkan oleh puteri raja yang berada dalam buangan di hutan bersama dayang-dayangnya.

Lagu-lagu dan cerita-ceritanya direka oleh dayang-dayang bagi menghiburkan hati tuan puteri yang dibuang raja kerana dikatakan bakal membawa malang.

Sehinggalah si puteri dewasa dan mengetahui sendiri cerita dan persembahan itu lalu mereka keluar dari tempat pembuangan sehingga sampai ke negeri Kedah.

Menurut buku Sejarah Asal Mek Mulung terbitan Cawangan Dokumentasi dan Penerbitan, Bahagian Pembangunan Kebudayaan dan Kesenian Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia yang diterbitkan pada 1983, Mek Mulung pada mulanya tersebar di kampung Paya Kulubi, kemudian ke Perik, Kedah.

Malangnya, sambutan masyarakat di Perik terhadap persembahan ini tidak menggalakkan. Kemudian, ia dibawa ke Wang Tepus dan mendapat perhatian penduduk seluruhnya. Kini, persembahan teater tradisional ini dipersembahkan setiap tahun di Wang Tepus.

Selain itu, Mek Mulung juga khabarnya berasal dari Legor, Siam kemudian di perkenalkan di Kedah ketika berlaku persengketaan Kedah-Siam. Tempat mula-mula ia diperkenalkan ialah di Kampung Perit, Mukim Kurung Itam, Jajahan Kuala Nerang.

Seterusnya permainan ini berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya di Kampung Wang Tepus, Jitra Kedah.


HAMPIR MENYAMAI MAK YONG

Persembahan Mek Mulung seakan-akan sama seperti Mak Yong yang membawa watak-watak seperti Raja, Permaisuri, Awang Selamat dan Awang Pengasuh, Inang dan watak antagonis yang memiliki magis.

Watak Rajanya masih lagi memegang seikat rotan yang digelar 'rotan ke tujuh'(dalam Mak Yong digelar rotan berai) manakala prop lain yang digunakan adalah topeng untuk watak peran, golok (diperbuat daripada kayu), dan sebatang kayu yang disebut tongkat wak.

Selain lakonan dan dialog-dialog yang mencuit hati, persembahan tarian dan nyanyian turut menjadi elemen utama dalam persembahan ini.

Tidak ada persembahan mengadap rebab seperti Mak Yong tetapi pementasan dimulai dengan tarian Duduk Bersimpuh dan Makan Sireh.

Jika Mak Yong mempunyai berbelas-belas cerita manakala Mek Mulung hanya berulang-ulang kepada lima kisah seperti Cahaya Bulan, Malim Bongsu dan Dewa Muda.

DIPENTASKAN KEMBALI KSPP

Langkah Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) untuk mempersembahkan kembali pementasan teater Mek Mulung Cahaya Bulan (MMCB) yang pernah dipentaskan KSPP pada tahun 2002 dahulu, adalah satu usaha yang amat baik bagi memberi peluang kepada generasi muda menghayati seni warisan yang telah dipelopori oleh tokoh Mek Mulung Allahyarham Saleh Embut dari Kampung Wang Tepus.

Teater tradisional yang berasaskan bahasa dan loghat harian Kedah dan sesekali diselitkan loghat Melayu Patani ini diterbitkan oleh Hartini Hj Abdullah dan diarahkan oleh Roslee Mansor serta dibantu oleh A Sam Palal sebagai koreografer, Noorlela Mohd Hashim sebagai jurulatih vokal dan Abdul Rohni Mat Noor sebagai pengarah muziknya.

Seramai 60 artis budaya dan pemuzik KSPP akan terlibat dalam pementasan ini.Pementasan teater ini diiringi dan dibantu oleh beberapa alat muzik tradisional seperti gong, canang, gendang, rebana anak, rebana ibu, seruling, kompang dan gamelan bagi menghidupkan lagi pelbagai suasana dan emosi yang cuba disampaikan barisan pelakon dalam MMCB ini.

Menurut pengarahnya, Roslee Mansor pihaknya masih mengekalkan elemen utama dalam persembahan Mek Mulung terutamanya dari segi watak, nyanyian dan tarian serta bahasa.

Bagaimanapun jenaka yang dituturkan oleh watak Awang Selamat dan Awang Pengasuh serta para inang diselitkan dengan unsur jenaka yang lebih semasa agar mudah difahami dan diterima oleh khalayak terutama golongan muda.

"Bukan mudah untuk mementaskan teater tradisional yang telah berusia lebih 500 tahun ini. Jika dahulu persembahannya bersambung sehingga tiga malam, kami pula menjadikannya kepada persembahan dua jam," jelas Roslee yang mengekalkan beberapa lagu seperti Duduk Bertimpuh, Makan Sireh dan Sedayung.

Ini adalah kali kelima Roslee mengarahkan Mek Mulung dan berpendapat teater tradisional ini agak kurang dikenali kerana tidak ramai yang meneruskan tradisi persembahan ini. Mak Yong menjadi lebih terkenal kerana para pengkaji seni lebih cenderung ke arah itu.

"Jika Mak Yong telah dikenali sehingga diiktiraf sebagai Karya Agung Dunia oleh UNESCO, kita juga perlu mempertahankan Mek Mulung agar dikenali sebagai satu lagi warisan seni tanahair," katanya yang turut berasa lega kerana Mek Mulung telah dijadikan satu daripada silibus pengajian di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Secara ringkasnya, MMCB mengisahkan pengorbanan Putera Cahaya Bulan terhadap permaisurinya, Puteri Nang Mara yang berjaya ditawan oleh Raja Gergasi. Puteri Nang Mara yang mempunyai kesaktian berjaya ditawan oleh Raja Gergasi.

Puteri Nang Mara diculik Raja Gergasi kerana hasrat Raja Gergasi untuk meluaskan kuasa pemerintahannya sering dihalang oleh Puteri Nang Mara.

Manakala Cahaya Bulan pula pula telah dipanah dan dihanyutkan ke sungai. Saat-saat pergolakan dan cemas itu akan dapat disaksikan dengan pelbagai konflik yang menarik dan mendebarkan.

Persembahan ini akan diiringi dengan gerak tari yang penuh kelembutan, lakonan teater yang mantap, jenaka yang bersahaja dan nyanyian menggetar jiwa, hasil gandingan jitu semua artis budaya Kumpulan Seni Persembahan PETRONAS.

NABIL DAN RAZALI TERAJU UTAMA

MMCB juga menampilkan Nabil 'Raja Lawak' yang akan berganding dengan Masri 'Mari Menari' bagi watak Awang Selamat dan Awang Pengasuh. Nabil yang ditemui Bernama selepas sesi latihan di Studio Rampaisari, KLCC melahirkan rasa gembira dalam debar kerana ini adalah teater tadisional pertama yang dilakonkannya.

"Saya memang seronok terlibat dalam pementasan ini. Bagaimanapun lawak yang dibuat perlu dikawal dan tidak sebebas cara saya berlawak dalam teater komersil. Memang pada awalnya saya langsung tidak mengetahui apa itu Mek Mulung.

"Pertama kali mendengar tentang Mek Mulung, saya terpaksa bertanya dan menonton kembali pementasan-pementasan sebelum ini," jelas Nabil yang mengharapkan dapat menarik peminat-peminatnya terutama golongan muda datang menonton Mek Mulung.

Razali Hussain yang pernah memberikan persembahan cemerlang dalam Muzikal Uda & Dara di Istana Budaya turut diundang bagi memegang teraju utama sebagai Putera Cahaya Bulan.

Razali akan berganding dengan Haslinda Ali, artis budaya serba boleh dari KSPP yang memegang watak Puteri Nang Mara.

Bagi Razali Mek Mulung lebih mencabar kerana ia jarang ditonton dan diketahui.

Malah, beliau sendiri melakukan kajian dan menonton Mek Mulung di Youtube sebelum bersetuju menggalas watak Raja Cahaya Bulan di dalam teater tardisional ini.

"Apapun saya berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada mereka yang berusaha mempertahankan teater tradisi ini," katanya.

Mek Mulung Cahaya Bulan akan menemui penonton tiga hari berturut-turut bermula dari 16 -18 Dis 2011 di auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Tiket-tiket untuk menyaksikan persembahan ini berharga RM40, RM30 dan RM20 dan boleh ditempah melalui melalui KKSP di talian 03-23312733 atau faks 03-23311444 atau layari atau hubungi 03-41478600.

Orang ramai juga boleh menghubungi 019-2726213 untuk mendapatkan maklumat lanjut. Kehadiran orang ramai amat dialu-alukan terutama dalam usaha kita mengekal dan memartabatkan warisan bangsa yang semakin sepi ini. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan menyokong dan memeliharanya.

Syabas juga untuk seluruh warga kreatif KSPP kerana dengan usaha mereka, seni ini akan berkembang.

Jangan kelak, teater tradisional Mek Mulung hanya dapat dilihat di muzium dan dikenali melalui bahan bacaan sahaja. - BERNAMA

Mstar online

Comments