Mamat Khalid

Menyelami pemikiran Mamat Khalid
Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY


MAN Laksa, Rock, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah adalah antara hasil karya paling berkesan daripada pengarah terkenal, Mamat Khalid.

Terkenal suka 'merapu' dalam karya-karyanya, lelaki berusia 51 tahun ini bagaimanapun tidak pernah gagal menarik kelompok penonton setiap kali muncul dengan buah tangan baru.

Ternyata Mamat punya keunikan sehingga begitu diminati pencinta seni filem tanah air yang melihat dirinya sebagai antara pengarah yang ada wawasan.

Meski sudah mencipta kejayaan, Mamat bagaimanapun kekal sebagai seorang manusia yang lebih senang bersederhana.

Menganggap dirinya bukan aktor atau selebriti yang sering berada di depan kamera, dia lebih selesa untuk tidak begitu menonjol dalam dunia glamor meskipun dia antara ikon yang popular dalam ruangan perfileman negara.

Diajak berbual mengenali pandangannya mengenai beberapa perkara, adik kepada kartunis Lat ini senang memberikan kerjasama.


Satira

Jika dilihat kebanyakan filem yang dihasilkan oleh Mamat kerap kali diselitkan dengan unsur-unsur satira.

Mengaku sengaja membawa masuk unsur itu ke dalam karya-karyanya kata Mamat, tujuannya adalah menceritakan keadaan sosial sebenar yang berlaku dengan cara yang santai, humor dan mudah difahami.

"Saya suka sebab orang Melayu adalah bangsa yang amat sensitif, kalau nak sampaikan sesuatu, tak boleh secara terus. Jadi medium yang sesuai adalah dengan cara sinikal.

"Di Hollywood misalnya, tak banyak karya yang terap elemen satira. Mereka lebih telus. Bagaimanapun banyak filem-filem Itali yang banyak mengunakan satira sesuai dengan keadaan sosial mereka.

"Banyak yang menonton cuma sekadar tengok dan berhibur saja. Tapi sebenarnya bila disingkap, kebanyakan subteks dalam filem itu mengandungi unsur-unsur itu sama ada positif atau negatif.

"Kalau dalam filem saya, contoh mudah adalah Hantu Kak Limah Balik Rumah. Banyak unsur satira. Apa pun keutamaan saya adalah agar penonton seronok menonton filem saya," katanya.

Politik

Mengutip ideanya mengenai dunia politik, Mamat ketika diaju pertanyaan ini kelihatan cukup berhati-hati.

Mungkin bimbang disalahertikan, Mamat menghuraikan pandangannya mengenai politik dalam bahasa mudah.

"Saya suka mengaitkan politik dengan satu bidalan Confucius. Katanya, biar raja jadi raja, menteri jadi menteri, bapa jadi bapa dan anak jadi anak. Itu pandangan saya pada politik.

"Kalau ikutkan, kepala saya ini lebih politikus tapi saya seorang pengarah, bukan ahli politik. Jadi bukan bidang saya nak cakap pasal hal politik.

"Contohnya, macam ada orang kerjanya seorang guru. Tapi kalau bersembang hal politik, seolah-olah dia itu adalah menteri besar, tak perlu.

"Kita kena tahu di mana kedudukan kita, biar mereka yang sepatutnya buat kerja mereka," katanya ringkas.


Selamanya Perak

Dalam mana-mana filem Mamat, satu yang paling ketara adalah penggunaan dialek Perak yang sering menjadi pilihan pengarah ini.

Bukanlah sesuatu yang pelik apalagi Mamat sendiri anak jati negeri Perak.

Lahir di Ipoh pada tahun 1963, Mamat tak mampu berbohong bahawa Perak sentiasa istimewa dalam jiwa dan dirinya.

Justeru apabila mengaitkannya dengan karya filem, Mamat ada alasan tersendiri.

"Perak adalah jati diri saya. Kalau tanya pada pengarah lain pun saya percaya, mereka juga akan bawa elemen kenegerian dalam filem mereka.

"Perak, Kelantan, Pulau Pinang atau Negeri Sembilan, tak kisah apa pun, yang penting kita semua Melayu dan itu buat saya sering mahu kembali pada akar.

"Saya bangga sebab orang ingat filem saya, orang akan ingat Perak. Pernah saya ke Sarawak, waktu itu filem Zombi Kampung Pisang sedang hangat, mereka pun turut ingat dialog Usop Wilcha. Semua sebut 'kita bakor' dalam bahasa Perak.

"Yang penting semua orang boleh layan dan orang suka dan ingat filem itu. Saya masih kejar harapan untuk terus mengambil hati penonton kita. Mereka adalah keutamaan saya.

"Belum sampai waktu untuk saya fikir membawa filem saya ke luar jika saya masih belum dapat mengambil hati penonton di negara sendiri," katanya serius.

Kedai buku & antik

Kalau dirinya bukan seorang pengarah filem, Mamat sebenarnya sering mengimpikan untuk mengusahakan kedai buku dan barangan antik.

Itu impian yang pernah ditanam oleh Mamat tatkala membayangkan dirinya bukan orang penting di sebalik layar perak.

"Saya suka baca buku. Mungkin juga selama ini saya dikelilingi dengan orang yang kesukaannya sama dengan saya.

"Saya tak boleh bayangkan kalau orang tak baca buku. Pelik. Mereka ini tak 'makankah'? Buku itu umpama makanan," katanya.

Bagi Mamat selain layar perak, muka surat buku juga mampu membawa seseorang itu masuk ke dalam dunia 'magis' dan imaginasi yang menarik.


Sementara barangan antik pula cukup dekat dengan dirinya kerana ada nilai tersendiri.

"Itu adalah minat arwah ibu saya. Dia gemar kumpul barang antik. Mungkin saya mewarisi minatnya itu.

"Bagi saya, setiap barang antik itu ada cerita di sebaliknya. Sebab itu bila ada cerita di sebaliknya maka semakin mahallah nilainya," kata Mamat.

Fellini & Kurosawa

Di sebalik diri seseorang pengarah, pasti ada bayang idola mereka yang secara tak langsung membantu mencetus idea dan kreativiti ketika menghasilkan filem.

Dalam hidup Mamat, Federico Fellini dan Akira Kurosawa adalah dua pengarah yang memberi inspirasi pada dirinya.

Kongsi pengarah ini, Fellini banyak memberi pengaruh pada dirinya dan diakui oleh Mamat ketika dia mengarahkan filem Man Laksa.

"Saya ambil roh Fellini ketika menghasilkan Man Laksa. Fellini banyak mengangkat penceritaan masyarakat secara satira dan itu memang dekat dengan saya," katanya.

Sementara itu pengarah filem Jepun, Akira Kurosawa pula bagi Mamat adalah pengarah idola yang kecenderungannya lebih terarah kepada penghasilan filem bercorak epik.

"Bagaimanapun saya cuma hasilkan satu filem dengan bayang mereka. Fellini dalam Man Laksa dan Kurosawa dalam filem Lang Buana.

"Cukup dua dan filem-filem seterusnya saya buat dengan cara dan gaya saya sendiri," katanya.

Zombi, Warewolf & Frankestien

Selepas Zombi, Mamat bakal muncul dengan filem baru yang menampilkan karakter warewolf (serigala jadian) dan Frankestein tidak lama lagi.

"Cerita Melayu banyak disajikan dengan watak hantu. Tiga watak ini adalah makhluk ciptaan manusia. Ini fiksyen.

"Kebanyakan filem saya sebenarnya adalah anti tahyul tapi sangat-sangat tahyul. Kita dikelilingi masyarakat yang kuat dengan kepercayaan tahyul. Itu satu perkara yang semua orang akan setuju.

"Saya mahu alihkan kepercayaan itu kepada benda-benda fiksyen. Tidak seberat tahyul, fiksyen lebih diterima kerana tidak memesongkan akidah.

"Sebab itu kena berhati-hati ketika menghasilkan filem bercorak itu," katanya.

Muzik & piano

Ramai yang melihat kecenderungan Mamat terhadap bidang muzik apabila dia muncul dengan filem Rock dan Rock Ooo.

Dari situ, ramai mengatakan bahawa dia adalah Mat Rock lantaran kesempurnaannya menyampaikan penceritaan dengan latar belakang muzik genre itu untuk dua buah filem tersebut.

Berkebolehan bermain alat muzik piano sejak berusia 11 tahun kongsi Mamat, dia bagaimanapun mengaku bahawa pelajarannya tidak habis lantaran berasa malu.

"Saya tak sambung belajar main piano sebab saya malu dengan pelajar lain dalam kelas.

"Masakan tidak dalam kelas saya seorang saja orang tua sedangkan yang lain kanak-kanak kecil yang ibu bapa mereka hantar untuk belajar main alat muzik," katanya berjenaka.

utusan online


Mamat Khalid Tidak Ulang Lawak Dalam Komedi Terbaharu
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Mamat tidak mahu mengulangi formula kejayaan dua filem 'Kampung Pisang' sebelum ini kerana bimbang penonton akan bosan.

IPOH: Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid menjelaskan filem terbaru arahannya, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit tidak mengulangi lawak yang pernah digunakan dalam dua judul terdahulu iaitu Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Mamat berkata, walaupun masih mengekalkan 'Kampung Pisang' sebagai latar utama karyanya itu, beliau bagaimanapun memberi jaminan filem terbaru tersebut akan lebih segar dari segi plot, penceritaan dan elemen-elemen lawak yang digunakan.


"Saya masih mengekalkan Kampung Pisang sebagai latar filem ini kerana dua filem saya terdahulu menggunakan lokasi sama. Saya mahu penonton rasa dekat dengan karya terbaru ini.

"Bagaimanapun elemen lawak yang pernah digunakan dalam filem 'Kampung Pisang' tidak akan diulang sebaliknya kita memasukkan elemen baru supaya ia lebih segar tetapi pada masa sama masih ada kesinambungan dengan judul terdahulu," jelasnya.

Mamat ditemui ketika majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan di Ipoh Parade di sini pada Sabtu lalu.
Awie memegang peranan utama sebagai Husin dalam filem Husin, Mon & Jin Pakai Toncit.

Husin, Mon & Jin Pakai Toncit bakal menemui peminat di pawagam pada 7 Februari depan.

Tambah Mamat, beliau juga tidak lagi memberi fokus kepada watak Kak Limah seperti mana sebelum ini sebaliknya mengangkat watak Husin lakonan Awie dan Mon (Ezlynn) sebagai tunjang utama.

Bagaimanapun kata Mamat, watak seperti Kak Limah lakonan Delimawati, Usop Wilcha (Syh8), Pak Jabit (Man Kadir) dan pak Abu (Allahyarham Zami Ismail) masih dikekalkan.

"Jika saya angkat lagi watak Kak Limah sekali lagi barangkali ia akan menyebabkan filem ini hambar dan sebab itu saya angkat watak Husin dan Mon yang sebelum ini bukanlah peranan utama.

"Malah saya cuba memasukkan watak baru iaitu Dr Shamsuddin lakonan Rashidi Ishak bagi memberi elemen baru kepada peranan sedia ada," jelasnya.


Dalam pada itu, Mamat berkata, pembikinan filem yang menelan belanja sebanyak RM1.65 juta itu turut menggunakan teknik pengimejan berkomputer (CGI) sebanyak 20 peratus bagi memberikan kesan yang lebih hebat kepada filem tersebut.

Mamat memberitahu, atas dasar itu juga Husin, Mon & Jin Pakai Toncit mengambil masa agak lama untuk disiapkan kerana ingin memastikan CGI yang digunakan dapat dibuat dengan sebaiknya.

"Kami ingin memberikan yang terbaik kepada penonton dan teknik khas yang digunakan adalah sebagai salah satu kelainan dalam filem ini dan kami ingin memastikan semuanya dilakukan dengan baik.

"Tidak mengapa lambat sedikit kerana yang lebih penting ia dapat memberikan kepuasan kepada peminat 'Kampung Pisang'," jelasnya

mStar online


Filem Mamat Khalid sarat wadah budaya

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my



APABILA berbicara tentang sutradara Mamat Khalid tentunya ramai penonton yang skeptikal dan beranggapan beliau merupakan seorang pengarah filem yang tanpa hala tuju dalam berkarya.

Pandangan itu tercetus apabila melihat kebanyakan filem arahannya dikatakan seakan-akan seperti menampilkan lawak bodoh lagi merapu-rapu, filem kampung atau longgar daripada segi pengisian mesej tersirat di sebalik karya-karyanya itu.

Bagaimanapun, ramai yang kurang menyedari bahawa Mamat merupakan seorang pengarah yang cukup berambisi dalam usahanya untuk memperkayakan khazanah filem Melayu dengan menggunakan unsur-unsur budaya setempat.

Pengkritik filem, A. Wahab Hamzah misalnya, menyifatkan Mamat seorang pengarah yang banyak menyelitkan unsur-unsur sindiran biarpun secara luarannya filem-filem arahannya itu kelihatan seperti menampilkan lawak-lawak yang merapu.

“Pada mulanya saya sendiri pun tidak perasan dengan pendekatan Mamat itu. Tetapi selepas saya tonton satu persatu filem-filem beliau, barulah saya dapati ada sesuatu di sebaliknya.

“Contohnya, dalam filem Zombi Kampung Pisang Mamat cuba menonjolkan serta mengkritik tentang sikap golongan-golongan kapitalis yang rakus untuk menguasai orang kampung dan juga golongan orang beragama.


“Bagi saya, mesej yang cuba disampaikan dalam filem ini lebih menarik berbanding Kala Malam Bulan Mengambang yang juga diarahkannya,” katanya pada Seminar Pemikiran Mamat Khalid di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Jelas A. Wahab, terbukti filem-filem Mamat yang telah ditontoninya banyak mencerminkan tentang sosio budaya masyarakat berbilang bangsa di negara ini yang mesej-mesejnya berjaya digarap dengan begitu halus sekali.

Meskipun, terdapat unsur-unsur yang melampau yang cuba digambarkan oleh Mamat seperti watak penyanyi Datuk M. Daud Kilau turun dari langit dalam filem Man Laksa, tetapi ia mempunyai kritikan tersendiri di sebaliknya.

“Saya akui filem-filem arahan Mamat sarat dengan gaya kehidupan dan budaya setempat. Filem Zombi Kampung Pisang misalnya, menampilkan elemen hantu yang mungkin di bawa dari luar tetapi ia disesuaikan dengan budaya tempatan.

“Mamat juga cuba memasukkan unsur mitos dalam karya-karyanya dan ini amat penting kerana bagi saya, sesuatu masyarakat itu harus ada mistosnya yang tersendiri kerana tanpanya kita akan hilang jati diri,” ujarnya.

Seorang lagi pengkritik filem Norman Yusof menyifatkan filem-filem arahan Mamat bukanlah karya lawak merapu seperti yang dilemparkan oleh segelintir pihak, sebaliknya, terdapat banyak unsur moral yang cuba diterapkan.

Sayangnya kata Norman, mesej dan gaya penyampaian Mamat itu mungkin belum dapat dilihat secara terus oleh para penonton.

Ini kerana katanya, pengarah seperti Mamat bijak dalam melindungi mesej serta kritikannya itu menerusi adegan atau watak yang harus ditafsirkan secara mendalam mengikut keadaan serta peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.

“Saya dapati Kala Malam Bulan Mengambang mempunyai banyak unsur moraliti di mana watak utama filem itu yang dilakonkan oleh Rosyam Nor seakan-akan berperanan untuk mencari suatu kebenaran yang terslindung.

“Gaya sinematografi dalam filem itu seperti bantuan daripada limpahan cahaya, bayang-bayang dan warna hitam putih turut membantu Mamat dalam menyampaikan mesej-mesejnya itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengkritik filem Dr. Zulkifli Mohd. turut mengakui bahawa filem-filem Mamat Khalid sarat dengan unsur-unsur budaya dan gaya kehidupan masyarakat marhaen yang begitu dekat dengan gaya penontonan di negara ini.

Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi filem arahan Mamat berjudul Rock.

Karya itu disifatkannya berjaya mengimbas nostalgia para peminat rock di negara ini pada tahun 1980-an yang juga pernah mencetuskan suatu fenomena di negara ini.

“Saya dapati filem-filem arahan beliau bukannya menceritakan tentang perkara yang gah atau yang hebat-hebat tetapi ia cuma sekadar cerita tentang orang biasa sahaja tetapi ia dekat dengan hati dan masyarakat penontonnya.

“Lihat sahajalah filem Rock. Ia cuma mengenai anak-anak muda. Sewaktu saya tonton filem itu di Kajang, Selangor, pawagam menjadi riuh rendah dengan penonton yang kebanyakannya daripada kalangan mat rock,” komennya.


Selepas mendengar komen dan pandangan daripada tiga pengkritik filem tersebut, Mamat kemudiannya tampil sedikit sebanyak mendedahkan tentang gaya serta matlamat penghasilan filem-filem arahannya.

Jelas adik kepada kartunis Datuk Lat ini, beliau sentiasa menggunakan medium perfileman sebagai suatu cermin kehidupan untuk mengetengahkan apa-apa juga isu atau cerita yang sedang dan telah berlaku di kalangan masyarakat masakini.

Kata Mamat, beliau cuba menjadikan filem-filem arahannya menjadi sebuah produk yang sarat dengan budaya setempat selain mengemukakan sindiran semasa yang harus difikir serta ditafsirkan oleh para penonton mengikut pendekatan masing-masing.

“Saya sebenarnya mahu menganggap medium perfileman sebagai satu cabang budaya tidak kira budaya apa juga termasuklah budaya berfikir. Sayangnya, orang kita hanya menganggap filem sebagai bahan hiburan semata-mata.

“Kita belum membicarakan filem daripada sudut budaya. Mungkin tahap kita belum sampai seperti pemikiran masyarakat negara maju seperti di Eropah yang berjaya menjadikan filem sebagai suatu wadah budaya untuk sajian masyarakat mereka,” jelasnya.

Biarpun dikenali sebagai pembikin filem arus perdana, tetapi pada masa sama Mamat menjelaskan beliau tidak mahu terlalu terikut-ikut dengan rentak trend filem semasa yang banyak dipengaruhi oleh kalangan ahli-ahli akademi atau pengkritik filem yang seolah-olah masih streotaip.

Ini kerana katanya, apa yang berlegar di benak pemikiran para pengkritik yang melihat filem-filem arahannya daripada sudut-sudut berbeza di mana ia tentunya tidak sama dengan gaya pemikiran pengarah sepertinya yang mewakili golongan kreatif.


Beliau turut menyeru agar para penonton tidak terlalu menghukum seseorang pengarah dengan sesuatu karya lain daripada lain yang telah dihasilkan tanpa memberi ruang kerana ia boleh menyekat kreativiti pengarah sepertinya.

“Saya bikin filem mengikut naluri saya dan bukannya dipengaruhi oleh orang di sekeliling saya. Sebab itu saya minta agar masyarakat terutamanya orang Melayu dapat terima gaya pembikinan filem-filem arahan saya.

“Kalau boleh janganlah kita mudah untuk menghukum para pembikin filem macam saya. Ini kerana, apa yang ingin saya buat ialah menyajikan hiburan dan di sebalik filem itu fikirlah sendiri,” ujarnya.

Menurut Mamat lagi, kebanyakan idea dalam penghasilan filem-filem arahannya tercetus secara spontan tetapi ia kemudiannya dikembangkan dengan mengambil kira apa yang berlaku dalam masyarakat di sekelilingnya.

Beliau memberi contoh tentang judul filem terbarunya yang berjudul Robert Lam Seri Panggung yang hanya sekadar sebuah tajuk dan belum mempunyai mempunyai skrip dan perancangan untuk penggambaran.

Walau apa juga tajuk dan genre filem arahannya, Mamat seolah-olah menagih pengertian daripada para penonton terutamanya para pengkritik filem agar lebih terbuka dalam melihat filem-filem arahannya.

“Dulu A. Wahab Hamzah pernah kata saya ‘membunuh’ filem Man Laksa kerana saya cuba tonjolkan watak seperti Mat Jenin dalam filem tersebut. Saya memang sengaja mencipta watak itu yang seperti anti-hero.

“Saya juga buat filem noir atau hitam putih bukan kerana warna kerana ia hanya suatu gaya imejan. Bagi saya ia tetap warna. Malah, imej gelaplah yang boleh menampakkan mesej kegelapan di sebaliknya,” katanya lagi penuh makna.

utusan online


“I’m trapped in a superstitious world”
May 17, 2011 Posted by: Film reviews
By Antoniya Petkova

Director Mamat Khalid, picture: Andreea Dascalu

The expert in Malaysian comedy films, Mamat Khalid, brings his second Gaya Pillai produced film, ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’, to international audiences. Following the director’s first collaboration with producer Pillai, which failed to bring commercial success, ‘Hantu Kak’ is a result of Khalid’s decision to make a horror comedy designed to entertain commercially and satisfy mass audiences in Malaysia.

The film tells the story of Mak Limah, a woman living in Banana Village, who behaves strangely much to the dismay of the other citizens, who later discover her lifeless body, and despite her burial, strange things continue happening in the small village.

This idea of horror combined with comedy derives from Khalid’s view that “Malaysian audiences want to be entertained but want to be scared at the same time”, which is why a comedy-horror combination was a production in the bag with a Malaysian audience. However, with ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ being a very ‘local’ job, in the words of the director, he was not so certain about showing the film to international audiences. Much to his surprise, however, the horror comedy turned out to be a grand success.

Mamat Khalid’s filmography can be seen as a homage to classic films, including Mel Brooks’s ‘The Young Frankenstein’ and Akira Kurosawa’s ‘Stray Dog’, where Khalid tried to implement social commentary under the layers of entertainment, without making it too obvious. With his long list of ghost and zombie films, the director’s realistic view of the world does not stand in the way of his awareness of the interests of his target audience, which is why his productions are successful in his country.

“I don’t believe in ghosts in modern time”, says Khalid, “but I’m caught in a superstitious world. Banana Village represents Malaysia as a whole. In the countryside and in Kuala Lumpur everyone has the same fears and the films work in all places.”

For Khalid, cinema-making in Malaysia is a delicate process, as there are so many aspects in Malaysian culture, politics and religion which restrict a film-maker’s freedom. When the director was producing his “Zombi Kampung Pisang”, he encountered a difficulty with introducing a zombie into the religious Muslim world, where such an occurrence would be impossible.

When creating ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’, Khalid was careful with religious references, as producer Gaya Pillai explains that censorship in Malaysia is strict – “there is a separate group of censors which deals with religious aspects and they impose harsh judgement on the whole film if they find any references to Muslim religion”.

*Mamat Khalid was an honorary guest to the 13th edition of the Udine Far East Film Festival, 29 April – 7 May 2011 in Udine, Italy. This interview is courtesy of FEFF 13. Official coverage of the festival by CUEAFS can be found at www.cueafs.com and www.youtube.com/user/cueafs

iCov


Biografi Mamat Khalid

Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Bin Mohd Khalid  ialah seorang penulis lakon layar dan pengarah filem di Malaysia. Beliau ialah adik kepada kartunis Datuk Lat.

Sebelum menceburi bidang perfileman, Mamat bekerja dalam jabatan kerajaan, kemudian beralih ke bidang penerbitan rancangan televisyen. Antara karya-karya Mamat yang terkenal termasuk Pinang Durian, Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel dan Abang We. Beliau pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin Panca Delima 2001 untuk telefilem Pinang Durian.

Penglibatan sulung beliau dalam industri perfileman Malaysia adalah apabila beliau mula-mula mencadangkan sebuah siri televisyen yang mengisahkan legenda Puteri Gunung Ledang. "Pada mulanya, saya bercadang menjadikannya projek kecil-kecilan untuk stesen televisyen ntv7 dalam bentuk bersiri. Saya cuba memecahkan projek itu kepada 20 episod yang bukan saja dimuatkan dengan cerita hikayat Melayu lama PGL malah sarat dengan hikayat lain seperti Badang Pahlawan Gagah dan sebagainya." Bagaimanapun, Enfiniti Productions yang menerima cadangan Mamat itu menukarkannya menjadi sebuah filem untuk tayangan pawagam, arahan Saw Teong Hin yang dibintangi oleh Tiara Jacquelina dan M. Nasir.  Filem Puteri Gunung Ledang yang menelan belanja lebih RM 16 juta, iaitu filem Malaysia yang paling mahal dalam sejarah, sungguhpun dilaporkan tiketnya cepat dijual habis, namun hanya mampu mengaut hasil RM 2.90 juta sejak keluar pada bulan Ogos 2004. Namun demikian, filem ini turut menikmati tayangan khas di festival filem luar negara, iaitu di Venice dan di Los Angeles.

2003–kini: Menjadi pengarah

Pada tahun 2003 juga, Mamat menjadi pengarah filem buat kali pertama, iaitu filem komedi Lang Buana yang dibintangi oleh kumpulan Senario. Mengikut penerbit eksekutif Grand Brilliance ketika itu, Lazizah Ahmad, filem Lang Buana memakai 'formula yang serba berlainan' seperti yang dicadangkan oleh Mamat yang ingin cerita yang lebih mencabar. Filem yang menelan belanja RM 1.76 juta ini mengaut kutipan sebanyak RM 1.79 juta dari 27 buah pawagam.

Minatnya terhadap muzik rock diakui mengilhamkan beliau untuk menulis dan mengarah filem Rock pada tahun 2005.  Mengikut satu ulasan, Mamat dikatakan mesej bahawa dilema yang dihadapi ramai pemuzik berbakat pada zaman kegemilangan rock 1980-an: "Itu yang cuba Mamat ketengahkan menerusi watak Zack (lakonan Hasnul Rahmat). Anak muda yang berjaya meraih trofi gitaris terbaik ini terpaksa memilih antara memenuhi kemahuan keluarga, kawan dan teman wanita." Filem inilah yang mengurniakan anugerah pertama Mamat dari Festival Filem Malaysia, iaitu untuk Lakon Layar Terbaik.

Pada tahun 2006, Mamat membuat penampilan sebagai juri jemputan di Akademi Fantasia, biarpun tidak dikenali memegang apa-apa peranan dalam industri muzik selain menjadi pengarah muzik dalam filem. Pada tahun yang sama, beliau kembali menghasilkan filem drama melalui Man Laksa yang memberikan dua pencalonan Festival Filem Malaysia. Di samping itu, beliau mencuba genre komedi seram menerusi filem Zombi Kampung Pisang, filem buatan Malaysia pertama yang menampilkan puaka zombi (mayat hidup).



Mamat turut mencabar diri dengan membikin sebuah filem hitam putih pada abad ke-21, iaitu Kala Malam Bulan Mengambang (2008), sebuah filem noir yang dibintangi Rosyam Nor dan Umie Aida. Biarpun dilaporkan kurang mendapat sambutan penonton walaupun dihujani ulasan positif, namun filem ini berjaya merangkul lima anugerah di FFM, termasuk Filem Cereka Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik.

Filem Estet arahan Mamat Khalid keluar pada tahun 2010, menceritakan kisah hubungan antara orang Melayu dan India di sebuah perkampungan getah, sebagai azamnya untuk memaparkan keeratan persaudaraan sesama kaum di Malaysia melalui filem. Sungguhpun mendapat pujian pengulas filem, namun kutipannya di pawagam agak mengecewakan dengan hanya RM 350,000 dari 47 buah pawagam. Meskipun begitu, Mamat Khalid sekali lagi merasai kejayaan besar selaku sutradara apabila Hantu Kak Limah Balik Rumah menjadi filem tempatan kedua tertinggi kutipan kasarnya di negara dengan RM7.9 juta dari 39 buah pawagam, mengekori filem Ngangkung sahaja.

Mamat juga sedang mengusahakan filem animasi pertamanya, berjudul Kelip-Kelip yang dilaporkan menerima khidmat lakonan suara Datuk Siti Nurhaliza.

wikipedia


Award
2008 Anugerah Skrin 2008 - Best Film Director
2008 21st Malaysian Film Festival - Best Film-Director
2005 18th Malaysian Film Festival - Best Screenplay
2001 Anugerah Skrin 2001 - Best Drama Director

Comments

Post a Comment