3 Jan 2014

A Ghafar Ibrahim


" PUISI bukannya SILAP MATA. telaah puisi dan biarkan ia DEWASA didalam SANUBARI. jangan lari.jangan membiarkannya menyendiri membeku dalam kata-katanya. PUISI YANG BAIK pasti ada sesuatu yang ingin disampaikannya kepada pembaca,pendengar dan penontonnya. VOKABULARI PENGALAMAN KEHIDUPAN merupakan aset yang dicari dalam sesebuah puisi. apa pendapatmu,SHE dalam hal ini? puisi BERTINDAK BALAS apabila kita juga memberi TINDAK BALAS terhadapnya.tidakkah begitu? PUISI YANG BAIK merangsang PEMIKIRAN,menggerakkan EMOSI dan membuat PENGALAMAN KITA memihak kepada PENGALAMAN PUISI tersebut.
AGI




Latar Berlakang

SEMENJAK kecil lagi. A. Ghafar Ibrahim atau Abdul Ghafar Ibrahim juga dikenali sebagai AGI telah didedahkan oleh ayahnya kepada alam penulisan. Ayahnya, Ibrahim Khatib Husin merupakan seorang pengembara yang berulang-alik antara Semenyih, Singapura, dan Sumatera. Ibrahim membuat berbagai-bagai pekerjaan, antaranya sebagai anggota polis, peniaga kedai runcit, dan terakhir sebagai penjual kain di pekan-pekan Rabu dan di-pasar-pasar malam. Di samping itu, ayah beliau pernah bergiat dalam bidang penulisan dengan memakai nama samaran “Arab Street” ketika menulis di ruangan pojok dalam akhbar Warta Malaya Singapura pada tahun 1930-an. Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) yang mengenali peribadi Ibrahim mengakui kegiatan penulisannya ini. Ayah A. Ghafar meninggal dunia pada tahun 1948.

A. Ghafar Ibrahim turut didedahkan oleh neneknya kepada cerita-cerita lipur lara dan hikayat-hikayat zaman dahulu kala yang amat mengasyikkan. Kedua-dua faktor ini membenihkan minat beliau dalam dunia kesusasteraan Melayu. Minat ini dipertajamkan lagi oleh nyanyian-nyanyian puisi daripada kaba-kaba Minangkabau dan terutamanya daripada cerita-cerita Sabai Nan Aluih. Lagu-lagu puisi seperti Rantak Kudo dan isinya terdiri daripada pantun-pantun yang sering berkumandang dalam majlis-majlis perkahwinan, amat mempengaruhi jiwa beliau semasa kanak-kanak. Qasidah dan berzanji yang diadakan waktu majlis memotong jambul atau mencukur rambut mulai menumbuhkan daya kreativiti A. Ghafar.

Ternyata bahawa kehidupan kesenian di kampungnya amat mempengaruhi dunia persajakan beliau. Hal ini ditambah lagi dengan kegiatan pencak silat yang dipelajarinya pada waktu malam dan kegiatan tari piring, sejenis tarian asli yang diturunkan daripada generasi kepada generasi. Kumpulan silat dan tari piring yang diceburinya itu sering diundang ke majlis-majlis perkahwinan serta lawatan orang besar di sekitar pekan Beranang, daerah Hulu Langat dan Kuala Lumpur. Semuanya ini berlaku ketika A. Ghafar berumur dalam lingkungan enam hingga 12 tahun.
https://www.facebook.com/pages/Abdul-Ghafar-IbrahimTRI-V-AGI/476347709062743

A. Ghafar Ibrahim mendapat didikan awalnya sehingga darjah tiga di Sekolah Melayu Beranang, Selangor dari tahun 1950-1952. Kemudian, beliau belajar sehingga darjah enam di Sekolah Rendah Inggeris, Semenyih, dari tahun 1953-1957. Beliau belajar di sekolah agama pada waktu petang di kampung pada tahun 1956-1957. A. Ghafar lulus Lower Certificate of Education di Kishan Dial School, Kuala Lumpur dalam tahun 1960. Kemudian, beliau memperoleh Malaysia Certificate of Education di High School, Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1962. Dalam tahun 1963-1964, beliau menjadi guru sementara di Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Kelang. Minatnya untuk menjadi guru telah menjadi kenyataan apabila beliau diterima menjadi guru pelatih pada tahun 1965-1966. Dalam masa dua tahun itu, beliau mendapat latihan perguruan pada hujung minggu dan waktu cuti penggal persekolahan. Sewaktu menerima latihan perguruan, beliau juga di tempat di Sekolah Menengah Kulim, Kedah pada tahun 1965 dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim, Kedah pada tahun 1966-1968 dan tahun 1970. Pada tahun 1968, beliau ditugaskan memberi kursus seni lukis kepada guru-guru sekolah rendah Kedah Selatan pada hujung minggu. Pada tahun 1969, beliau sekali lagi mengikuti kursus Pendidikan Seni Lukis di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), Kuala Lumpur selama satu tahun.


Pada tahun 1971, A. Ghafar Ibrahim mengajar di Sekolah Menengah Khir Johari, Beranang, Selangor. Beliau menerima latihan mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur dari bulan Januari hingga bulan April 1974. Pada tahun 1972, beliau menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan. Pada bulan Mei 1974, beliau meletakkan jawatan guru untuk bertugas sebagai pembantu penyelidik sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan ini disandangnya hanya empat bulan sahaja kerana beliau terpaksa meletakkan jawatannya untuk memenuhi undangan sebagai penulis tamu di School of Letters, International Writing Program, University of lowa, Amerika Syarikat dari Oktober 1974 hingga Mac 1975.

Selepas itu, beliau sekali lagi telah berangkat bersama-sama keluarganya ke Amerika Syarikat untuk mengikuti pendidikan Seni Halus di College of Visual dan Performing Arts atas tajaan MARA. Pada tahun 1976, beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Seni dari Northern Illinois University. Ijazah Sarjana Sastera pula diperoleh dari Eastern Illinois University, Charleston, Amerika Syarikat pada tahun 1977. Selama menuntut di kedua-dua universiti tersebut, beliau telah memenangi Foreign Students’ Scholarship, iaitu suatu hadiah yang mengecualikan beliau daripada membayar yuran pengajian.

Sekembalinya ke tanah air, A.Ghafar bertugas sebagai pensyarah sambilan seni grafik di Sekolah Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi MARA, Shah Alam mulai bulan Oktober 1978 hingga Disember 1979. Pada waktu yang sama, setiap hari Sabtu, beliau mengajar seni lukis untuk pelajar-pelajar tingkatan enam di Yayasan Anda, Kuala Lumpur. Mulai bulan Januari 1980, A.Ghafar bertugas pula sebagai pensyarah pendidik seni di MPIK yang merupakan alma-maternya 11 tahun yang lalu. Setelah berkhidmat selama dua tahun 10 bulan di MPIK, beliau meletakkan jawatannya untuk berkhidmat sebagai pensyarah pendidikan di Pusat Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, mulai November 1982 hingga 1998.


Dalam kegiatan penulisan, beliau pernah dilantik sebagai sidang pengarang majalah GATRA (sebuah persatuan penulis) di Kedah pada tahun 1967, 1968 dan 1970. Beliau pernah menjadi sidang pengarang majalah tahunan MPIK pada tahun 1969 dan Asian Editor, untuk majalah New Poetry, iaitu Magazine of the Poetry Socoety of Australia pada tahun 1974.

Beliau sering dilantik menjadi hakim peraduan melukis poster, lukisan kanak-kanak, deklamasi sajak dan pada tahun 1985, menganggotai panel hakim bahagian puisi dalam peraduan menulis puisi Selangor Darul Ehsan anjuran Kerajaan Negeri Selangor, bersempena Perayaan Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor.

A. Ghafar Ibrahim telah menunjukkan bakatnya sejak tahun 1958 lagi, iaitu waktu beliau berada dalam tingkatan satu dan Utusan Kanak-kanak (akhbar mingguan terbitan Utusan Melayu, Kuala Lumpur) telah menyiarkan tulisan beliau dalam bentuk berita, makalah dan hikayat. Pengarang Utusan Kanak-kanak waktu itu, Mohamad Salehudin, juga merupakan seorang pelukis. Tulisan-tulisannya yang disiarkan saban minggu pada waktu itu tidak pernah mendapat bayaran. Utusan Kanak-kanak merupakan gelanggang pertama untuk A. Ghafar berkarya.

Daripada penulisan berbentuk berita, A. Ghafar beralih kepada tulisan berbentuk sajak. Sajak pertamanya bertajuk “Ensiklopedia Kehidupan Manusia” tersiar dalam Mingguan Malaysia, 8 Ogos 1965 dan waktu itu ruangan sajak dikelolakan oleh Nora. A. Ghafar terus aktif dalam GATRA di Kedah dan pernah menjadi Ketua Dua GATRA pada tahun 1968 dan 1970. Pada bulan Mei 1974 beliau turut menubuhkan kumpulan “Anak Alam” bersama-sama teman-teman penyair-penyair seperti Latiff Mohidin, Mustaffa Hj. Ibrahim, Zulkifli Dahalan dan Ali Rahamad.

A. Ghafar Ibrahim juga terkenal sebagai seorang pelukis. Ini tidak menghairankan kerana beliau telah terdidik dalam seni lukis di maktab-maktab perguruan dan di universiti-universiti luar negara. Beliau pernah mengadakan pameran lukisan di Malaysia, Singapura, Indonesia, Negara Thai, Filipina, Brunei Darussalam, Australia, Belgium dan Amerika Syarikat.

Kegiatan persajakannya mulai mendapat perhatian ramai apabila beliau mempelopori puisi 3V: verbal-vokal-visual pada tahun 1965. Untuk memantapkan lagi konsep persajakannya itu, beliau telah membuat suatu pernyataan tentang sajak Audio-Visual dalam bentuk esei bertarikh 12 September 1972 yang kemudiannya disiarkan dalam Dewan Sastera pada tahun 1973 berjudul “Dengan Puisi Audio-Visual”. Dalam esei beliau itu, “Sajak Audio-Visual” A. Ghafar antara lain menulis:

Sajak padaku terdiri dari Tri-V; Verbal-Vokal-Visual. Verbal ialah isi sajak. Vokal bunyinya. Visual ialah teknik sajak. Verbal harus dimengertikan. Daya kreasi penyajak menimbulkan daya rasa fikir yang kritis daripada pembaca untuk menuju pada erti sajak. Kejayaan membaca menegakkan kesan vokal sajak. Pembacaan mestilah berjaya meninggalkan kesan-kesan yang nikmat. Vokal itu harus didengar satu per satu penuh hati-hati. Tempat penglahiran sajak tidak terbatas. Di atas kertas, melalui TV, radio, tayangan slides dan movie. Cara mana sajak itu disampaikan adalah tekniknya. Di atas kertas dia tertera dengan bentuknya yang tersendiri. Radio dan TV mementingkan tekanan vokal yang menimbulkan susuk verbalnya. Slides dan movie menggambarkan grafiknya. Cara ia dilahirkan itu dinamakan visual. Jadi sebuah sajak itu mestilah dibaca-didengar-dilihat. Barulah kita akan dapat suatu pengertian yang nikmat.


Pernyataan Tri-V ini diperkuatkan lagi melalui esei beliau, “Sajak Ingin Berberber dan Beryangyang” (4 Oktober 1979) yang kemudiannya disiarkan dalam Berita Minggu, 21 Oktober 1979.

Dengan konsep 3V inilah, A. Ghafar memantapkan pembacaan puisinya yang dipersembahkan dalam bentuk tarian piring, pencak silat dan teaterikal. Pada tahun 1974 dan 1975, beliau telah pun mengadakan persembahan membaca puisi secara perseorangan dan berkumpulan di dalam dan luar negara. Antaranya termasuklah di Universiti Malaya, Adelaide Arts Festival, Adelaide; Council of Adult Education, poetry workshop, Melbourne; University of Melbourne, Guild Theatre, Union House, Melbourne; Australia Sydney Church of England Grammar School for Girls, Sydney; Department of Indonesia & Malay, University of Sydney; Australia International House, University of Sydney; Bar-Smith-Lawn, of Adelaide; Methodist Ladies College, Adelaide; East-West Center, Hawaii; International House, California Los Angeles; Cedar Rapids Community College, lowa, Amerika Syarikat; Universiti of Iowa, Iowa City, Iowa. Pada Ogos 1986, A. Ghafar telah berkunjung ke Yugoslavia untuk menyertai bacaan puisi Struga Poetry Evenings yang diadakan pada 21-25 Ogos dan turut membaca puisi di Library and Cultural Centre, Prilep, Macedonia.

Selain itu, sajak-sajaknya tersiar dalam majalah luar negara seperti sajaknya “In Bandong” tersiar dalam akhbar The Australian yang diterbitkan di Sydney pada 3 Mac 1973.

Di samping itu, beliau adalah penemu bual yang baik. Hal ini terbukti daripada wawancaranya dengan beberapa orang seniman Malaysia dan antarabangsa dan mendapat sambutan daripada peminat seni lukis, teater, prosa dan puisi. Kebanyakan wawancara itu telah pun tersiar dalam akhbar dan majalah sastera tempatan yang kini telah dibukukan dengan judul Dialog dengan Seniman.

Selain menjadi ahli PENA seumur hidup, beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Penulis dan Seni Kreatif Daerah Hulu Langat. Pada tahun 1985, A. Ghafar bersama-sama dengan rakan-rakan turut mengasaskan penubuhan GENERASI – Gabungan Penulis-penulis Selangor Darul Ehsan.



Karya

Puisi

Gegaran (antologi bersama), Alor Setar: Dinas Penerbitan Pustaka Sekolah, 1968, 33 hlm.;
Perintis Sajak-sajak Melayu (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1971, 103 hlm.;
Some Poems from Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1973, 30 hlm.;
Program for Writers’ Workshop, Australia: Southeast Asian Studying Program, Murdoch University, Perth, 1975;


Tan Sri Bulan (My Lord Kite), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, 60 hlm. (terjemahan dalam bahasa Inggeris oleh Harry Aveling);
Tak Tun, Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu, 1978, 85 hlm. (terjemahan dalam bahasa Inggeris oleh Harry Aveling), The Elek Book of Oriental Verse (disusun oleh Keith Bosley), London: Paul Elek Ltd., 1979, 315 hlm.;
Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294 hlm.;
Tinta PENA (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.; Lagu Kehidupan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, 302 hlm.;
100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm.;
Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.;
Yang Yang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan pustaka, 1986,64 hlm.;


Kumpulan Puisi Malaysia (Malaysian Poetry) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.;
Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.;
Malaysia dalam Puisi (anatologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 316 hlm.;
Puisi-puisi Kunjungan (Antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 253 hlm.;
Rupa Kata (anatologi bersama), Ipoh: Yayasan Kesenian Perak, 1996, 122 hlm.


Drama

Di atas Pentas (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 209 hlm.;
Bakat Pahlawan (antologi bersama – remaja), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1985. 107 hlm.

Umum
Dialog dengan Seniman, Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1982, 165 hlm.

Bakat Pahlawan (antologi bersama – remaja), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1985. 107 hlm.

dewan bahasa dan pustaka



Dialog Seniman Dunia
Oleh Nurul Farina Nazlan

Wawancara dengan 18 seniman sejagat dikongsi dengan pembaca


DIALOG Seniman Dunia, naskhah terkini Penerima Anugerah Penulisan Sea 2005, Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi yang mendapat perhatian ekoran mempelopori puisi trivi memuatkan wawancara beliau dengan seniman dari seluruh dunia.

Pensyarah Jabatan Penulisan Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terkenal dengan persembahan menceriakan di pentas puisi tanah air berjaya mengetengahkah pandangan seorang seniman terhadap karya seni dan kehidupannya.

Agi memilih 18 seniman tersohor dunia untuk diwawancara dan dikongsi dengan pembaca dan antaranya ialah Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Datuk (Dr) Shahnon Ahmad, A Latiff Mohidin, Pungguk, Lee Joo For, Affandi, WS Rendra, Masuri S N, Rodney Hall, Yevgeny Yevtushenko dan Oswald Mbuyiseni Mtshali.

Pembaca bukan saja diberi kesempatan mendalami pandangan seniman dari pelbagai negara dan bertambah istimewa apabila mereka diberi ruang untuk mendalami rentetan perjuangan tokoh yang diwawancara dalam merealisasikan karya mereka.

Falsafah dalam karya dilihat Agi begitu berkait rapat dengan penghayatan seni seseorang seniman yang lazimnya berakar umbi daripada pengalaman hidup mereka sehingga wawancaranya memungkinkan pembaca menyelongkar persoalan dan perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka.

Kebanyakan seniman yang ditemuramah Agi mengakui bahawa persekitaran hidup yang sentiasa mendesak, cabaran kehidupan yang sering menduga hati nurani, cinta yang mengasyikkan dan semangat nasionalisme mempunyai kaitan erat dengan seni.
Pembaca juga dapat menyorot temuramah Agi dengan penulis yang popular dengan novel Ranjau Sepanjang Jalan sehingga diangkat ke filem melalui pertemuan beliau dengan tokoh terbabit pada pertengahan 1966 di Alor Setar yang memaparkan betapa pengarang perlu mempunyai kekuatan dalam diri.

Dalam temuramah itu juga, pembaca akan memahami bahawa seseorang pengarang tidak perlu mengutuk orang lain atau pengarang lain secara meliar apalagi melulu, walaupun mereka mempunyai pendapat dan mewakili kelompok berbeza kerana sikap sedemikian, seolah-olah memperlihatkan kepalsuan diri.

Melalui temuramah Agi dengan pelukis Yeoh Jin Leng, pembaca didedahkan bahawa seniman itu lebih suka bersikap rendah diri kerana baginya publisiti tidak semestinya menggambarkan sesuatu yang baik dan masyhur.

Pembaca juga akan didedahkan berkenaan falsafah hidup Yeoh iaitu setiap individu perlu tahu akan dirinya sendiri dan mengeksploitasi apa yang diberi Allah kepadanya atas lunas kebenaran serta mengenali kewibawaan mahupun kesanggupan kita dalam melakukan sesuatu perkara.

Bagi Yeoh, setiap orang perlu mencari kebenaran dalam kehidupan kerana kebanyakan masyarakat takut terhadap apa yang dimiliki mereka, malahan suka bertindak sebagai pengikut dan lebih senang menjadi orang lain daripada menonjolkan kelebihan yang ada dalam diri mereka.

Temuramah Agi dengan penulis Singapura, Masuri S N, mendedahkan kepada pembaca mengenai dunia puisi yang diakui Masuri sebagai pati pengalaman yang sudah dimasak oleh fikiran yang bercampur dengan emosi.

Masuri juga berpandangan bahawa puisi adalah alat untuk menilai dan berupaya menjadi tenaga penilai kehidupan kerohanian yang dilalui manusia, malahan Masuri turut mendedahkan pengalaman beliau sepanjang terbabit dengan dunia puisi.

Sesungguhnya, Dialog Seniman Muda tampil sebagai naskhah yang berbeza daripada karya lain di pasaran kerana memaparkan pengalaman seniman itu dalam pelbagai genre dan buku ini wadah terbaik untuk dimiliki peminat yang ingin mengerti dan menghayati seni mahupun sejarah seniman.

INFO: Dialog Seniman Muda
Pengarang: Abdul Ghafar Ibrahim@Agi
Penerbit: Pustaka Dini
Tebal: 194 halaman
Harga: Tidak dinyatakan
Bintang: ***** (empat bintang).


Biodata Penulis: Bakat Agi recam

ABDUL Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi yang dilahirkan pada 31 Ogos 1943 ialah penyair kelahiran Sesapan, Batu Minangkabau, Beranang, Selangor dan menerima Anugerah Penulisan Sea pada 2005.

Lulusan Sarjana Muda Seni Halus daripada Universiti Northern Illionois, DeKalb, Amerika Syarikat, pada 1976, memperoleh Sarjana Seni dari Universiti Eastern Illinois, Charleston (1977), mendapat latihan perguruan khas di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur (1969), latihan lanjutan di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur (1974) sebelum mengajar di SMK Kulim serta SM Khir Johari, Beranang.

Agi juga pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Maktab Perguruan Ilmu Khas dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini menjadi tenaga pengajar akademik di Jabatan Penulisan Artistik, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (FTKA), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selain genre puisi, Agi turut menghasilkan drama, sketsa, wawancara dan esei, di samping berbakat dalam bidang seni rupa, juga kerap memukau khalayak apabila tampil sebagai deklamator di pentas puisi.

Selain acara baca puisi tanah air dan Baca Puisi Dunia Kuala Lumpur pada 1986, 1990 dan 2002, Agi turut diundang membaca puisi di Festival Seni Adelaide, Australia (1974, 1990); Petang Puisi Struga, Macedonia (1986); Sidang Penyair Asia, Taichung, Taiwan (1988); Interaksi Artis Kreatif Asia, Bangkok (1992); Sidang Penyair Asia, Seoul, Korea Selatan (1993).

Agi turut mencatat sejarah sebagai pengarang pertama negara ini yang dijemput menjadi penulis tamu di International Writing Program, School of Letters, Universiti Iowa, Iowa, AS pada Oktober 1974, sekali gus turut membuka ruang untuk menjalin perhubungan dengan pengarang dunia.

Kepenyairan Agi bermula dengan terbitnya puisi sulung Ensiklopedia Kehidupan Manusia di Mingguan Malaysia pada 8 Ogos 1965 dan diikuti Nanar (Berita Minggu, 30 Januari 1966, manakala kumpulan puisinya, Tan Sri Bulan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1976; Tak Tun (Utusan Publications and Distributors, 1978); Yang Yang (DBP, 1986); Ahhh ... Sajak-sajak Terpilih (DBP, 2005) serta terbaru Takkan Hilang (DBP, 2008).

Puisi Agi, www.sibermerdeka.com.my dan Pahlawan Ialah Dia, memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) (2000 /2001).

Berita Harian 



Bulan Pecah di Tengah Hari
Naskah Percuma |

‘Aku menuntut hak semulajadi sajakku’, tulis Pak Agi dalam prakata Yang-Yang, kumpulan sajak-sajak beliau dari 66 hingga 83. Yang-Yang merupakan lanjutan dan manifestasi dari kegigihan dan kedegilan berkarya seorang Abdul Ghafar Ibrahim dalam menghasilkan sajak-sajak 3V: Verbal-Vokal-Visual yang dipeloporinya semenjak tahun 1965.

Bahawa ambiguiti dan misteri perlu digali dari diri sajak, begitulah kata Pak Agi. Mungkin pada beliau (dan saya cuma meneka-neka) sajak itu sendiri bukanlah matlamat, tapi adalah alat seperti kapal korek, yang digunakan untuk membongkar rahsia diri. Dengan 3V beliau membebaskan kata dari belenggu konvensi menuju jalan yang baru seperti halnya seorang pelukis surrealis membebaskan imajinasinya dari belenggu realiti menuju apa yang dipanggil oleh Carl Jung sebagai The Unconcious.
Dalam esei beliau yang bertarikh 12 September 1972, Pak Agi membuat pernyataan mengenai sajak Audio-Visual yang beliau perjuangkan. Sajak padanya terdiri daripada Tri-V; Verbal, Vokal dan Visual. Verbal ialah isi sajak. Vokal bunyinya. Visual ialah teknik penyampaian sajak. Sajak boleh dilahirkan dalam pelbagai medium. Di atas kertas dengan bentuknya yang tersendiri, dengan tekanan vokal dalam deklamasi yang akan menimbulkan susuk verbalnya, dan dalam era ini mungkin juga dengan grafik, dengan filem atau animasi seperti yang dilakukan oleh Tim Burton kepada sajak Poe yang terkenal, The Raven. Cara kelahiran sajak itulah visualnya.

Jadi sajak pada Pak Agi tidak tamat dalam tulisan. Kerana itulah kita melihat dia mempersembahkan sajaknya dengan pelbagai cara yang unik dan teatrikal. Segala gerak badan dan gestur tidak dilakukan dengan cincai saja tapi mengikut rasafikir –verbal-vokal-visual- sajak-sajak beliau. Ia juga tidak dirancang sebaliknya datang secara intuitif dari dalam diri. Gaya penyampaian beliau yang unik itu telah dibawa sampai ke Australia, Amerika Syarikat dan ke Eropah di mana beliau pernah mempersembahkan sajak-sajak.

Sajak beliau yang pertama saya baca ialah Tak Tun. Itupun saya membacanya dalam komik Mat Som nukilan Dato’ Lat. Sampai sekarang pun masih belum dapat memahaminya walaupun sedikit sebanyak faham akan tujuannya untuk mempelbagaikan makna dalam persembahan kata. Sajak itu mengaplikasikan teknik pengulangan kata yang sebenarnya adalah suatu yang sangat biasa dalam kesusasteraan dan kehidupan orang melayu. Kita mendengarnya di dalam pantun, azan, jampi serapah, dan mentera. Kita juga mendengarnya bila ibu kita melatah.

Ini diterangkan oleh Pak Agi dalam prakata Yang-Yang juga. Beliau juga mempertahankan teknik pengulangan steinese yang kontroversial dan membingungkan. Seperti Gertrude Stein, Pak Agi juga melanggar nahu, menempeleng punctuation dan melawan konvensi demi nilai yang baru, untuk mengeksploitasi kemungkinan yang belum lagi dieksploitasikan. Akhirnya pengalaman dan kamus dalaman pembaca sajaklah yang akan menolong mendekatkan mereka kepada verbal, vokal dan visual sesebuah sajak.

Yang-Yang mengandung lebih kurang 37 sajak karangan Abdul Ghafar Ibrahim dari tahun 1965 hingga 1983. Ia adalah buku koleksi sajak ketiga Abdul Ghafar Ibrahim selepas Tan Sri Bulan dan Tak Tun. Sajak ini ialah sajak yang kedua dalam buku itu:


Bulan Pecah di Tengah Hari


mula-mula aku menyapa:
engkau & aku
aku & engkau
mahu bersetuju?

ngangguk
ngangguk dua-dua

fajar
pun mengintai
hei
pawana subuh
betapa lembut mukaku kauusap
hei
pawana subuh
betapa halus mukanya kau sayangi
mukaku dan mukanya sama-sama berada
di pintu bulan.

sayang aduhai sayang
lenggang dialun lenggang
mengikut rentak sayang.

sudah sembahyang subuh?
amin. amin. amin.

aku berjalan
banyak kerja
begitu dia.

ada manusia tak sudi disapa
mereka tak ada masa bersapa-sapaan
suka menjadi kera sumbang
tapi,
aku dan dia adalah sejalan.

pagi mengetuk rabu.

dara: ayah kau tahu hal kita
emak kau apa katanya?

teruna: ayah aku marahkan aku
ayah aku marahkan engkau
emak aku mahukan menanu berada
(menangis - e - e - e - e - e)

dara, jangan menangis
ini sapu tangan, mari
aaa sayang
aku kesat mutiara mata kau
mahal nilainya, tahu.

teruna, apa kata ayah
- tak kata apa-apa -
apa kata ibu kau?
- tak kata apa-apa -
apa kata saudara-saudara kau?
- mereka kata, ayah ibuku bodoh -
apa kata rakan-rakan kau?
- mereka takut aku tertipu -

teruna
teruna
teruna

usah menangis dik
tempeleng bimbang terajang ragu!

beringsut pagi.
sayang.

senyum kasih epnuh ebrerti
senyum bererti penuh berisi.

daraku,
engkau memang sudah tahu isi hatiku.
senyum.
terunaku,
engkau nak selam lagi dasar laut hatiku?
senyum
o
kita sudah tahu isi hati kita
ngangguk.
kita tak bersilang.
kita tak bersimpang.

tertidur.

dara,
dara,
usah tidur siang.
macam mana ni?
bang, jawablah
dah
bang selesaikanlah
dah
bang
dah dah dah

apa yang dah?

ayah kau dah gila
ibu kau dah gila
ada masyarakat yang dah gila
ada manusia yang adh gila
dunia. dunia.

dara,
bangun.
baik.
pakai kainmu, bajumu.
sudah.

geram
geram
geram

apa, benarkah darahmu berlainan warna dengan darahku
berlainan benar?
bila mereka mahu athu
engkau & aku
dua-dua makhluk Allah, serupa.
bila ha bila?

duduk di kerusi
tulis surat di atas meja
ingat, jangan pinta ampun dengan mudah
kerana bukan salah kau
mulakan:

jumaat
12.00 tengah hari

ayah ibuku,
yang dikasihi.

ingat lagi padaku?
aku tak mahu dikahwin paksakan
aku mahu memilih suami sendiri
ayah ibu menghalangi.
ingat pada tengah hari itu?
bersama abang.

itulah masanya bulan pecah.

kami berdua kini
di rumah sendiri
masih sayangkan ayah ibu.

terima kasih.

bagus dik
engkau tak menangis.
(ahai, teringatkan pak kadhi lagi, ni.)

Allahku
kerana-Mu kami bersatu.

Kulim. 1965

Naskah Percuma


Deklamasi puisi A Ghafar Ibrahim


2 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena