Sayembara Dalam Lalu Lintas Sastera

 
Hadiah Sastera dan Anugerah Sastera Semarak Dunia Sastera. Begitu pandangan yang dikemukakan. Bahawa perkembangan sastera di Malaysia turut disumbangkan oleh adanya sayembara atau pertandingan dalam bidang penulisan karya sastera dalam pelbagai genre. Sumbangan ini memberi semangat dan motivasi kepada penulis untuk terus berkaya. Selain itu anugerah sastera yang diperkenalkan juga memberi impak lahirnya karya-karya bermutu  di negara kita.

Kita renung sejenak sumbangan sayembara ini dalam semarak lalu lintas sastera tanahair.



 Jejak sastera Malaysia
Oleh Hafizah Iszahanid


TIDAK dapat dinafikan, sayembara berjaya mencungkil nama besar dalam dunia sastera di Malaysia. Faisal Tehrani misalnya adalah antara penulis yang dikenali gara-gara kekerapan mengungguli sayembara. Kehebatan karya Faisal bukan hanya berkitar dalam sayembara, malahan dia juga prolifik menulis di media.

Justeru, apabila menyebut perkembangan sastera di Malaysia untuk tempoh 11 tahun ke belakang, nama Faisal dan pelbagai sayembara sastera yang berlangsung sepanjang dekad itu adalah antara entiti yang tidak boleh ditinggalkan. Meskipun secara umumnya sastera Malaysia kerap dipecahkan kepada dua aliran, sastera serius dan popular, tetapi ternyata kedua-dua aliran ini punya kekuatan tersendiri.

Novelis, Nisah Haron ketika merinci warna-warni sastera Malaysia di Program Penulisan MASTERA XIV (Novel) di Bogor baru-baru ini berkata, dekad 2000 boleh disifatkan sebagai penanda aras kebangkitan sastera Malaysia.



“Dekad 2000-2010 adalah jangka waktu yang penuh warna-warni dalam dunia sastera Malaysia. Pelbagai sayembara sastera diadakan dalam tempoh itu sehingga banyak manuskrip yang baik diangkat sebagai juara. Nilai hadiah yang ditawarkan turut menjadi petunjuk bahawa sastera semakin mendapat pengiktirafan,” katanya.

Dalam tempoh 11 tahun ini, antara sayembara yang paling diingati adalah Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP, Sayembara Mengarang Novel Sempena 50 Tahun Merdeka, selain sayembara bersifat tahunan seperti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dan Hadiah Sako.


Bukan sekadar menghasilkan manuskrip bermutu, ia juga menyaksikan banyaknya nama penulis baru muncul sebagai pemenang. Nama yang sebelum ini tidak pernah kelihatan dalam lautan sastera Malaysia antaranya Mohd Saad Omar dan Ramlah Rashid, dikenali ekoran sayembara.

Malah penulis veteran yang cukup disegani seperti Azizi Abdullah dan Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad juga tercatat sebagai pemenang Sayembara Mengarang Novel Sempena 50 Tahun Merdeka menerusi novel, Harga Sebuah Maruah dan Mahabbah.
“Namun, bukan sayembara saja yang merancakkan dunia sastera Malaysia. Sebaliknya dunia sastera Malaysia turut mendapat sokongan daripada penerbit swasta. Malah kerja penterjemahan karya luar ke dalam bahasa Melayu juga menjadi faktor kemeriahan dunia sastera Malaysia,” katanya.

Antara penerbit swasta yang banyak merancakkan dunia sastera Malaysia ialah Karangkraf Sdn Bhd, Jemari Seni Sdn Bhd dan PTS Publication sehingga ada beberapa penulis mereka muncul sebagai pengarang laris di pasaran kerana karya mereka dinanti-nantikan peminat masing-masing.

Karya luar yang diterjemah setakat ini ialah novel Indonesia seperti Tetralogi Lasykar Pelangi karya Andrea Hirata dan Negeri 5 Menara dan Ranah 3 Warna (A Fuadi). Begitu juga dengan beberapa novel karya Habiburrahman Asy-Syirazi yang diterjemah dan dibawa masuk ke pasaran Malaysia oleh Al-Hidayah Publication.

Sesuatu yang aneh tetapi benar, dunia sastera Malaysia juga terkena tempias politik apabila novel Interlok yang terbit pertama kalinya pada 1971 tiba-tiba dimurnikan gara-gara tekanan politik.


Interlok yang menjadi teks Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) tiba-tiba menduduki carta laris di pasaran di rangkaian kedai buku MPH dan Popular gara-gara isu berkenaan. Bagaimanapun, dari satu segi, kontroversi Interlok membuat hampir seluruh rakyat Malaysia mula mendekati sastera.

Bagaimanapun, sejauh mana dunia sastera Malaysia mampu bertahan dengan kontroversi atau cabaran semasa tidak dapat dipastikan. Jika boleh melepasi halangan politik, cabaran lain yang menanti adalah era buku tanpa kertas yang menyaksikan buku dibaca menerusi peranti tablet dan telefon bimbit.

Dari segi kepenggunaan, teknologi ini membolehkan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan dalam membaca karya sastera. Tidak terhad kepada karya sastera tempatan, naskhah luar negara juga boleh dibaca dengan mudah. Namun persoalannya, adakah dunia sastera Malaysia sudah bersedia untuk itu?

Berita Harian


Sayembara kaedah berkesan cungkil bakat penulis

SAYEMBARA mengarang fiksyen atau cereka merupakan kaedah yang berkesan dalam usaha mencungkil bakat-bakat penulis. Dalam sejarah perkembangan sastera di Malaysia, ramai penulis berbakat yang muncul hasil daripada pelbagai sayembara mengarang.

Haji Hamzah Hamdani berkata, walaupun kadang-kadang ada suara-suara sinis yang menyindir para penulis yang hanya menulis apabila ada sayembara, namun pada hakikatnya ia menjadi kaedah yang paling mudah dan berkesan untuk melahirkan para penulis yang berbakat.

Menurutnya, para penulis akan terdorong untuk menghasilkan karya sastera yang berkualiti apabila menyertai sesuatu sayembara. Setiap karya akan dinilai olah panel penilai yang diiktiraf kepakaran mereka dalam bidang kesusasteraan.

“Oleh kerana itu, karya-karya yang terpilih sebagai pemenang adalah karya-karya yang telah teruji nilainya berdasarkan ukurtara karya sastera yang berkualiti,” katanya membentangkan Sayembara Pengarangan Fiksyen Dari Aspek Kuantiti dan Kualiti: Pengalaman Menilai Karya Pengarang Sarawak pada Pertemuan Pengarang Sarawak 2010 di Bintulu.

Katanya, sayembara mengarang fiksyen harus tetap diadakan demi melahirkan karya-karya berkualiti tinggi.

Kaedah itu jelasnya, bukan hanya mendorong para penulis mencipta karya berkualiti kerana ada tawaran hadiah, malah yang penting memberikan pengiktirafan kepada bakat seseorang penulis, serta mendorong untuk penulis berkembang seterusnya.

Kata Hamzah, dalam perkembangan kesusasteraan Melayu di Sarawak, penubuhan Biro Kesusasteraan Borneo pada 1959 untuk memaju dan mengembangkan bahasa dan kesusasteraan memberikan sumbangan yang penting.

Peraduan Menulis Cerpen Panjang yang diadakan pada 1967 telah menghasilkan novelet berjudul Menunggu Esok (1970) karya Salbiah Painah (kini Datuk). Novelet ini karya penting di Sarawak setelah novel Melayi Sarawak (1932) karya Muhammad Rakawi Yusuf.

“Walaupun memperlihatkan bakat kreatif yang agak menyerlah dalam penulisan fiksyen, namun Salbiah Painah lebih menumpukan kepada penghasilan drama radio yang mendapat sambutan yang baik daripada para pendengar,” katanya.



Apabila DBP menubuhkan pejabat cawangannya di Sarawak pada 1977, antara usaha utamanya ialah menggalakkan pertumbuhan bakat sastera melalui kegiatan Peraduan Menulis Sastera Kreatif sejak 1978, meliputi genre cerita kanak-kanak, cerpen, puisi dan drama pentas serta radio.

Antologi cerpen yang dihasilkan ialah Menanti Subuh, Suatu Pencarian, Antara Dua Kepercayaan dan Kedamaian yang Hilang. Antologi puisi pula ialah Lagu Kenangan. Drama pentas dan radio termuat dalam antologi-antologi Bumiku Oh Bumiku, Jantungnya Berdegup Lagi dan Tukang Ensera.

Tiga novel yang lahir daripada siri Peraduan Menulis Sastera Kreatif pada dekad 1980-an ialah Gugurnya Langit Hijau Nanga (1986) karya Jong Chian Lai, Kenyalang Terbang Bebas (1987) karya Jamilah Morshidi dan Ranjau Semalam (1986) karya Awang Rosli Awang Jaya.

“Melalui kegiatan peraduan mengarang karya kreatif ini, bakat-bakat penulis dari Sarawak dapat diketengahkan ke peringkat kebangsaan melalui penerbitan buku yang tersebar ke seluruh Malaysia,” tambahnya.

Penulis yang timbul hasil Peraduan Menulis Sastera Kreatif ialah Majuni Palera, Saiee Driss, Dedo Nanas, Bedui Une, Openg Onn, Zaini Ozea, Erham Sahari, Khatem Ariffin, Latifah Haji Shebli, Jeniri Amir, Mohammad Sebli, Shahri Abdul Rahman, Jong Chian Lai, Ahmad Sabu, Awangku Merali Pengiran Mohamed, Ratnawati Jamil, Jais Sahok, Awang Rosli Awang Jaya, Suhai Ragas, Lena Piee, Jamilah Morshidi, Zakeria Embi dan Madian Haji Dahlan.

Daripada senarai itu, tidak ramai penulis yang benar-benar menyerlah dalam usia kepengarangan yang panjang dalam genre fiksyen. Tokoh penulis yang paling menyerlah ialah Jong Chian Lai, Awangku Merali Pengiran Mohamed dan Jais Sahok. Namun penulis yang paling terkemuka ialah Jong Chian Lai yang menerima S.E.A. Write Awards pada 2006.

Pada dekad 1990-an katanya, sayembara mengarang fiksyen genre novel menghasilkan novel-novel yang menyerlahkan peningkatan bakat penulis Sarawak. Pada 1993, dalam Sayembara Menulis Novel Esso-GAPENA I, Jong Chian Lai berjaya mendapat hadiah kedua (tiada pemenang hadiah pertama) melalui novel Pemberontakan, yang mengangkat kisah pemberontakan pelombong Cina di Bau terhadap pemerintahan James Brooke pada pertengahan abad ke-19. Novel ini terpilih sebagai salah sebuah novel penting abad ke-20.


Hasil Peraduan Menulis Sastera Kreatif 1995/1996, menyerlahkan novel Ngayau Air (2002) karya Hambi Bolhi. Turut mendapat hadiah ialah Nilai Sebuah Pengertian (2001) karya Radzemah Bolhassan, Ngoncong (2002) karya Jais Sahok dan Mesap (2002) karya Jali Haji Kenoi.

Melalui tiga sayembata mengarang anjuran DBP Cawangan Sarawak pada dekad pertama abad ke-21, beberapa novel yang menarik terhasil. Peraduan Menulis Novel Shell-DBP Cawangan Sarawak 2002 menghasilkan novel-novel Suara dari Rimba (2008) karya Jong Chian Lai, Epilog Nusantara (2008) karya Hamli Bolhi dan Bara Yang Menyala (2008) karya Jaya Ramba.

Bersempena sambutan Jubli Delima Sarawak Merdeka dalam Malaysia (2003), melalui Peraduan Menulis Sastera Kreatif Berunsur Sejarah, lahir novel-novel Libau Rentap Rimba (2008) karya Harry Usup, Naluri Hidayah (2007) karya Sarimah Alit, dan Katarsis Perjuangan (2007) karya Mohd Faizal Jamil.

Pada 2004, diadakan Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak, yang menghasilkan dua novel Marga Timur dari St Anthony (2009) karya Jong Chian Lai. Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2006, penulis Sarawak yang berjaya mendapat hadiah penghargaan ialah Mohamad Faizal Jamil melalui novel Anak Ruma' Kadang (2007).

Cetas Budaya


Ketakutan modal Aminah
Oleh Nor Faizah Mohamed

JIKA dilihat pada himpunan novel, cerpen, puisi, drama radio serta anugerah yang berjaya ­diraihnya sepanjang lebih 20 tahun pembabitan dalam bidang penulisan, siapa ­sangka Aminah Mokhtar sama sekali tiada asas dalam arena itu.

Bermula dengan minat mendalam pada penulisan, wanita berasal dari Muar, Johor ini menulis berdasarkan pengalaman dan cetusan ideanya sambil berpaksikan niat untuk mendidik serta menambah ilmu dalam kalangan pembaca.

“Sememangnya saya tiada asas dalam penulisan dan menulis kerana minat serta rasa tanggungjawab untuk melakukannya. Saya tidak tahu apa itu plot, tema atau inti sesebuah cerita.

“Saya juga tidak pernah menyertai sebarang bengkel penulisan, jadi apa jua yang saya hidangkan kepada pembaca datangnya daripada hati serta pengalaman hidup selama ini,” katanya.


Lebih menarik apabila pemenang tiga Anugerah Sri Angkasa (1999, 2001 dan 2006 bagi kategori drama radio) ini bukanlah penulis sepenuh masa dan hanya menulis kala di rumah selepas menjalankan tanggungjawabnya sebagai jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


“Sejak remaja memang saya berhasrat menjadi penulis. Pada pandangan saya kerjaya guru amat sesuai kerana mempunyai masa dan peluang untuk mengembangkan bakat sebagai penulis.

“Tidak terlintas pun untuk menjadi jururawat kerana saya terlalu takut dengan mayat. Tapi selepas tiga kali gagal temu duga menjadi guru, saya cekalkan diri menyambung pengajian di sekolah kejururawatan sehingga berjaya meraih Diploma Sains Kejururawatan di PPUM.

“Perasaan takut memang tak dapat dibendung apabila kali pertama didedahkan dengan latihan bersama mayat tapi akhirnya saya sedar itulah jalan atau laluan yang ditetapkan Allah untuk diri saya.

“Daripada situlah saya nampak untuk menjadi penulis yang baik perlu ada modal hidup untuk berkarya dan modal hidup paling utama saya peroleh ialah rasa ketakutan.

“Ketakutan itu menjadi satu penderitaan bagi saya, jadi penderitaan itu adalah aset paling banyak menyumbang idea untuk saya terus berkarya.

“Bertugas sebagai jururawat juga membolehkan saya bertemu pelbagai jenis manusia dengan bermacam latar belakang yang saya mungkin tidak berpeluang menimba pengalaman itu jika saya menjadi guru.

“Pelbagai cerita berlaku di hospital dan secara tidak langsung memberi kelebihan untuk saya mencanai idea dalam menghasilkan sesebuah nukilan.

“Tapi saya amat mementingkan nilai profesionalisme, justeru tidak akan menggunakan rakan setugas sebagai watak dalam penulisan saya.

“Hampir semua karya saya berteraskan bidang perubatan dan kejururawatan tapi saya melakukan banyak kajian mengenai sesuatu isu sebelum menerbitkannya,” tegasnya.

Sehingga kini, Aminah sudah menghasilkan lapan novel antaranya Diari Seorang Jururawat, Ku Usir Lara Ini, Bukan Dosa Bangsaku, Dominasi Tebrau dan Iman Markisa yang mengangkat namanya selaku novelis tersohor negara.

Malah Iman Markisa juga berjaya menobatkan Aminah sebagai antara pemenang Hadiah Sako pada 2001. Selain itu, wanita berusia 52 tahun ini pernah menerima anugerah pada Sayembara VII Esso-Gapena 1988, Hadiah Cerpen Perpaduan 1995 (kategori cerpen), Hadiah Sastera Darul Takzim 1999 (kategori puisi, novel dan drama radio), Anugerah Kreatif PPUM 1999 (Sri Karyawan) dan Anugerah Sastera Perdana (cerpen eceran).

Minggu lalu, Aminah berjaya membawa pulang tiga anugerah bagi Hadiah Sastera Darul Takzim 2011 bagi kategori drama radio, cerpen eceran dan novel.

Penulis yang sudah menghasilkan lebih 300 skrip drama radio ini akan tampil menemui pembaca Harian Metro menerusi nukilan novel bersirinya dalam ruangan Hati setiap Selasa mulai hari ini.

Istikharah Sang Perindu adalah cetusan karya daripada salah satu drama radionya yang mengisahkan kecekalan seorang doktor wanita yang bangkit daripada insiden hitam lalu menjadi pakar motivasi popular bagi membolehkannya membantu remaja bermasalah.

MyMetro



Akuilah kebaikan sayembara sastera



BAGAIMANAKAH penulisan kreatif Amin Minhad bermula?

Sebagai anak tunggal, saya tidak mempunyai adik-beradik untuk meluahkan perasaan dan bercerita terutamanya ketika remaja. Saya banyak menghabiskan masa membaca Dewan Sastera milik bapa saudara di Pulau Indah, Selangor. Awalnya saya tidak menyedari Dewan Sastera memuatkan karya penulis besar dan mapan sehingga saya memberanikan diri menghantar puisi ke jabatan pengarangnya. Saya terkejut puisi pendek saya, Terdesak, disiarkan dalam majalah itu pada April, 1979 dan lebih memeranjatkan selepas saya menyedari kedudukan Dewan Sastera dalam dunia sastera tanah air. Ketika melanjutkan diploma perguruan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim (MPTI), Johor Bahru, saya dan rakan sealiran termasuk Khairuddin Ayip menubuhkan Grup Teater Anak Sepi (Genttas). Kami sering berlatih di Taman Seni Budaya Negeri Johor, sekali gus berpeluang mendapat bimbingan penggiat teater seperti Jalil Hamid, Syukur Harun dan Hassan Jali.

Pengalaman manis di MPTI ketika menganjurkan Malam Sekuntum Senyum Secebis Rasa yang menampilkan persembahan drama pentas, deklamasi dan lagu puisi. Mengapakah Aminhad mengembangkan bakat ke genre cerpen dan novel? Di MPTI, saya sebilik dengan Khairuddin Ayip. Pada 1982, beliau memenangi tempat ketiga Hadiah Sastera Remaja Esso-Gapena lewat novel Guruku Ibuku Jua, sekali gus menyebabkan saya teruja untuk menulis genre cerpen dan novel. Hasilnya cerpen saya, Yuri Unggai, yang berdasarkan kajian kebudayaan kaum pribumi Sarawak memenangi kategori Hadiah Penghargaan dan Penulis Muda Terbaik Sayembara Cerpen Esso-Gapena V.


Menariknya, selepas menamatkan pengajian di MPTI, saya dihantar bertugas ke Sarawak. Semangat saya bertambah untuk menulis karya prosa sehingga novel remaja pertama, Ika Suziana, mendapat Hadiah Penghargaan Sayembara Novel Remaja Esso-Gapena pada 1984. Saya turut memenangi tempat ketiga Sayembara Novel Sejarah Pahang Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dan tiada novel yang layak untuk tempat pertama dan kedua.

Apakah puisi Aminhad turut diiktiraf seperti karya prosa?

Pada 1987, kumpulan puisi, Segala Kasih, yang mengandungi 30 karya memenangi tempat kedua Sayembara Puisi Esso-Gapena tetapi tiada pemenang tempat pertama. Ketua Panel Penilai, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), menjelaskan kumpulan puisi saya tidak dipilih sebagai pemenang tempat pertama kerana mengandungi perkataan `lidah jalan', sekali gus dianggap tidak sesuai untuk sastera remaja.

Mengapakah tidak menumpukan sesuatu genre?

Saya menganggap setiap genre ada kelebihan tersendiri. Perkara paling sukar untuk menulis sajak ialah pemilihan perkataan kerana genre itu memerlukan perkataan yang sedikit tetapi berupaya mewakili maksud mendalam. Lewat genre cerpen, saya bebas menggunakan perkataan untuk menyampaikan cerita tetapi masih dalam situasi terhad. Bagi kepuasan bercerita, saya memilih novel untuk mengangkat pelbagai tema dan menyampaikan jalan cerita. Bagaimanapun, penulisan kreatif saya terganggu sejak kebelakangan ini apabila lebih banyak menumpukan perhatian terhadap penulisan non kreatif. Hal ini turut dirasai teman penulis, Ismail Sarbini. Azam saya adalah untuk memastikan dunia kreatif saya berterusan selepas ini.

Bagaimanakah dengan pemilihan tema untuk karya Aminhad?

Saya mempelbagaikan tema karya. Pada peringkat awal penulisan, memang karya saya tertumpu kepada luahan emosi dan perasaan selain pandangan terhadap kebudayaan bangsa kita. Apabila umur menganjak ke usia dewasa, saya lebih gemar mengangkat tema keagamaan dan menyelitkan unsur nasihat.

Saya turut menerapkan ilmu bantu pelbagai disiplin ilmu agar pembaca tidak hanya mendapat kepuasan dari sudut emosi, bahkan berupaya menerobos kepada makna tersirat dalam karya saya.

Apakah pandangan Aminhad terhadap label penulis peraduan?

Kita menyertai pertandingan dan sayembara sastera bertujuan untuk bersaing dengan penulis lain. Sekiranya kita menang dan mendapat hadiah, ia menjadi bonus kepada penulis. Ada penulis yang membandingkan penulisan sastera melalui pertandingan seperti memilih buah durian kerana mencari yang baik saja. Sepatutnya pertandingan dilihat sebagai latihan untuk menjadi penulis yang berani dan berjiwa besar.

Bagaimanakah proses kreatif Aminhad?

Saya mewajibkan diri menulis setiap malam secara beransur-ansur tetapi sekiranya membabitkan pertandingan dan mengejar tarikh tutup, saya menumpukan perhatian untuk menyelesaikan karya serta mengenepikan penulisan lain sepanjang tempoh yang ditetapkan. Biasanya saya mula menulis selepas 12 tengah malam. Saya juga sering membawa buku kecil untuk mencatatkan idea dan perkataan menarik untuk membantu proses kreatif. Ketika menulis menggunakan mesin taip, saya akan meletakkan buku dan kamus yang diperlukan di sekeliling saya untuk memudahkan rujukan dengan pantas. Kemudahan teknologi maklumat dan komputer, memudahkan saya membuat rujukan dalam internet untuk me nerapkan ilmu bantu dalam penulisan saya.

Saya terbiasa mencari judul karya terlebih dulu kerana judul yang sesuai dan cantik mempengaruhi tumpuan penulisan saya.

Bagaimanakah Aminhad mengimbangi tanggungjawab pendidik dan penulis?

Penulisan memerlukan disiplin dan saya berpegang kepada pepatah `kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih'.

Profil : Amin Minhad

Nama Pena : Aminhad
Tempat Lahir : Dusun Tua, Hulu Langat
Tarikh Lahir : 28 Disember 1959
Jawatan : Guru di Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Seri Indah, Serdang, Selangor
Pendidikan : Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim (MPTI) Johor Bahru dan Pengajian Bahasa Melayu Sebagai bahasa Pertama di Universiti Putra Malaysia/UPM)
Genre : Novel, cerpen kanak-kanak dan buku umum
Karya : Anak Bumi Semantan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Teja, Damailah Dalam PengorbananMu (DBP); Gugurnya ketika Dini Hari (DBP) Kumpulan Cerpen Usah Merobek Bendera dan Nyiur Setali Segenggam Lidi, terbitan Sasbadi Sdn. Bhd.
Anugerah : Hadiah Penulis Muda Terbaik dan Hadiah Penghargaan Hadiah Cerpen Esso-Gapena V, 1984; Hadiah Utama Hadiah Sastera Remaja Esso-Gapena IV, 1984; Hadiah Utama Hadiah Sastera Remaja Esso-Gapena IV, 1987; Tempat Ketiga Sayembara Novel Sejarah Yayasan Pahang - DPMP 1, 1987; Hadiah Sastera utusan Melayu - Public Bank, 1992 dan 1993; Hadiah Cerpen Perpaduan, 1995; Formula Malaysia 2000; Hadiah Sastera Berunsur Islam X dan XI.

(Sumber : Berita Harian - 23 Jun 2006)

DBP


Comments