sastera melayu tradisional


Sastera klasik dokumentasi persekitaran
Oleh Hafizah Iszahanid

KARYA sastera bukan hanya memancarkan pemikiran penulisnya dan dalam kebanyakan kes, ia sebenarnya dokumentasi persekitaran yang jujur, seperti dibuktikan naskhah karya klasik yang kebanyakannya merakam jatuh bangun sesebuah empayar.

Syair Perang Mengkasar tulisan jurutulis Sultan Hasanuddin, Amin antara contoh terbaik kerana ia bukan hanya rakaman perang antara Sultan Hassanudin (pemerintah Goa) dengan Belanda sekitar abad ke-17, tetapi juga pengkhianatan sesama bangsa Melayu.

Pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Mohd Ramli Raman, ketika membicarakan Strategi Perang dalam Syair Perang Mengkasar pada Siri Diskusi Buku 2012, Jabatan Kesusasteraan Melayu UM.

“Secara keseluruhan Syair Perang Mengkasar melihat etnik Melayu Bugis sebagai individu atau negara yang mencetuskan perang terlebih dulu dan Bugis melihat dengan hadirnya Belanda di rantau Asia Tenggara ketika itu adalah peluang untuk menghancurkan kekuatan Mengkasar.

“Ia bukan hanya peperangan antara penjajah Belanda yang menganut agama Nasrani dengan penduduk Mengkasar yang beragama Islam, sebaliknya Sultan Goa, Sultan Hassanudin yang ketika itu menguasai Sulawesi Selatan, berdepan musuh dalam selimut.

“Selain Belanda yang dipimpin Spillman, Sultan Hassanudin, berdepan pengkhianatan bangsanya sendiri iaitu Raja Bone, Arung Palakka dari etnik Bugis. Arung Palakka belot dan bekerjasama dengan Belanda. Kekalahan Mengkasar di tangan Bone memberi kesan besar kepada struktur politik daerah itu sehingga hari ini,” jelasnya.

Tidak ketinggalan, kekalahan dan strategi perang dirakam dengan baik dalam Syair Perang Mengkasar dan penulisnya turut menggambarkan Sultan Hassanudin sebagai raja yang beragama, beriman, tawaduk, adil.

Arung Palakka pula digambarkan sebagai watak yang terkumpul di dalamnya hampir semua jenis keburukan; kaki perempuan, pendendam, suka mengamuk, baran tetapi cerdik dalam siasah dan sangat berani.

Keberanian dan kelicikan bersiasah Arung Palakka dapat dilihat apabila dia sanggup belot pada bangsanya untuk memastikan kemenangan dengan memberi kerjasama Belanda sehingga menyebabkan runtuhnya kerajaan Goa.

Syair Perang Mengkasar buat pertama kalinya diterjemah ke dalam Bahasa Melayu pada 1963, hasil kajian Cyril Skinner untuk disertasinya di Universiti London dengan judul, Sya’ir Perang Mengkasar (The Rhymed Chronicle the Mengkasar War).

Jika Syair Perang Mengkasar merakam perjuangan orang Melayu pada abad ke-17, karya sastera generasi muda hari ini lebih global sifatnya, seperti diperakui Pensyarah Drama dan Teater, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Fazilah Husin.

“Derik Kerisek (DK) adalah kumpulan skrip drama; Rintih Chicago, Angin Madinah dan Derik Kerisek. Setiap satunya berbeza, tetapi berdiri di lantai perjuangan yang sama. Kesemuanya adalah kisah perjuangan Islam dan kekuatan jiwa orang Islam dengan latar antarabangsa, Chicago Palestin, Pakistan, Madinah dan Pattani,” katanya ketika membicarakan Unsur dramatik dan Teaterikal dalam Derik Kerisek karya Faisal Tehrani.

Dr Fazilah berkata, Angin Madinah mempunyai pembukaan yang sungguh dramatik dengan monolog ‘aku’ iaitu watak Naufal bapa saudara kepada tiga watak, Ali, Zaim dan Nushi yang mati dihukum bunuh atas tuduhan palsu membunuh pemimpin Yahudi dalam drama Rintih Chicago.

Kesan dramatik itu berikutan watak Naufal rasa kecil berbanding ketiga-tiga anak saudaranya yang mati syahid, manakala dalam Rintih Chicago juga, kesan dramatik terlihat apabila watak Javid mati ketika dalam soal siasat.

“Faisal adalah seorang novelis. Lalu tidak janggal apabila dia mengisytiharkan novel ini sebagai novel drama. Mementaskan naskhah Faisal bermaksud ia memerlukan pelakon berstamina kerana naskhah ini terbina dengan banyak monolog dan bercakap sendiri,” katanya.

Dr Fazilah melihat pengaruh Sasterawan Negara (SN) Ke-7, Datuk Noordin Hassan, terpancar dalam karya Faisal dan melalui unsur interteks, selain gerakan dan muziknya yang berunsur Islam bukan mustahil kerana Noordin nama besar dalam genre drama.

Berita Harian


Pengaruh budaya luar dalam sastera Nusantara

Begitu juga dalam perkembangan sastera klasik Nusantara yang mana ia turut dipengaruhi oleh kebudayaan China dan India.

Menurut Pengarah Institut Kajian Indonesia-Malaysia Universiti Peking, China, Prof. Liang Liji melalui Sejarah Melayu tidak kurang daripada tiga bab yang mengisahkan hubungan Melayu-China.

"Dalam Hikayat Hang Tuah terdapat etos khas mengisahkan lawatan Hang Tuah ke negeri China. Hang Tuah berjaya dalam lawatannya kerana beliau faham akan bahasa dan adat istiadat China yang dipelajari daripada bapak angkatnya yang berasal dari China.

"Dalam sastera klasik China, Hikayat Tiga Negara (Samkok) menemukan banyak kemiripan dalam watak dan jiwa Hang Tuah dan Koankong yang setia, adil dan memiliki jiwa satria,'' katanya.

Menurut beliau, dalam Syair Siti Zubaidah - Perang China menyebut tentang China tetapi yang dimaksudkan ialah Indo-China. Bagaimanapun ia menunjukkan bahawa China dengan kebudayaannya telah meresap ke alam Melayu.


Bagaimanapun, menurut Prof. Liji, pengaruh klasik China ke dalam karya Nusantara hanya wujud pada abad ke-19 ketika migrasi China ke Nusantara yang menyadur roman klasik China seperti Samkok dan See You ke dalam bahasa Melayu. Ia kemudian disusuli dengan lahirnya Sastera Bahasa Melayu Peranakan China di akhir abad 19 dan 20.

"Sastera bahasa Melayu Peranakan China itu sangat subur di masa peralihan ke zaman moden dan bukan sahaja kuantitinya tetapi juga kualitinya sangat mengagumkan.

"Antara yang paling bermutu ialah novel Kwee Tek Hoay berjudul Drama di Boven Digoel. Novel setebal 718 halaman itu dipuji di Barat sebagai karya minumental sebelum perang,'' katanya.

Bagaimanapun menurut Prof. Liji, kebudayaan Nusantara lebih banyak dipengaruhi oleh kebudayaan Hindu. Ini kerana kerajaan awal yang muncul di Nusantara umumnya dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha, jadi kebudayaan Hindu telah mendominasi berabad-abad lamanya.

Menurutnya, sastera klasik Nusantara terutama sastera Jawa yang berpusat di Jawa Timur sekitar abad ke-11 bermula dengan adaptasi mitos India, Ramayana dan Mahabarata.

Dari situ barulah lahir sastera kakawin yang pertama, Arjunawiwaha. Sastera kakawin ini adalah ciptaan penyair Jawa asli tetapi masih terpaut pada mitos India. Bahan cerita kebanyakan diambil dari Mahabarata.

"Dalam sastera klasik Melayu terdapat Hikayat Ramayana dan Mahabarata seperti Hikayat Seri Rama, Hikayat Pendawa Lima, Hikayat Sang Boma dan sebagainya. Tetapi berbeza dengan sastera klasik Jawa, karya sastera klasik Melayu telah hilang sifat agama Hindunya dan bukan sastera istana yang berfungsi untuk memuji rajanya.

"Hikayat cerita mitos India dalam sastera klasik Melayu umumnya berpunca pada sastera Jawa dan muncul di luar istana. Selepas agama Islam masuk ke Nusantara, maka isinya pun sudah tidak murni lagi, sedikit banyak sudah ada unsur Islam,'' katanya.

Menurutnya Prof. Liji, dari situlah disusul dengan cerita-cerita berbingkai dari Arab dan Parsi seperti Hikayat Seribu Satu Malam, Hikayat Bayan Budiman dan Hikayat Bakhtiar.


Dengan munculnya kerajaan Samudera-Pasai mulalah berkembang sastera sejarah dan sastera kitab. Sastera sejarah yang tertua ialah Hikayat Raja-Raja Pasai dan paling berpengaruh ialah Sejarah Melayu. Selain itu, yang terkenal ialah Hikayat Aceh, Misa Melayu, Silsila Melayu dan Bugis serta Tufat Al-Nafis.

Sastera kitab menurut Prof. Liji melingkupi bidang yang sangat luas selain kajian tentang al-Quran. Dalam genre ini paling berkesan ialah Tajus Salatin dan Bustanus Salatin yang masing-masing ditulis oleh Bukhari Al-Jauhari dan Nuruddin Ar-Raniri.

"Kebudayaan Islam dan sasteranya telah beradab-abad mempengaruhi sastera Melayu, bentuk hikayat dan bentuk syair terus mengungguli sastera klasik Melayu bahkan setelah memasuki zaman moden pengaruh kebudayaan Islam masih tetap memainkan peranan penting,'' tegas Prof. Liji.

Dari pengaruh Barat pula, Abdullah Abdulkadir Munsyi menjadi orang pertama yang menerima pengaruh itu kerana bergaul dengan orang Barat. Beliau menjadi orang pertama yang berani secara terang-terangan mengecam sifat-sifat buruk kebudayaan feudal bangsa Melayu. Sebaliknya, memuji keunggulan dan kemajuan Barat.

Namun menurut Prof. Liji, Abdullah belum boleh dianggap sebagai pembuka zaman baru bagi sastera Nusantara kerana sastera moden Nusantara lahir selepas kebangkitan nasionalisme pada abad ke-20.

Sastera baru ini katanya dirintis oleh intelek baru yang mendapat pendidikan sekolah moden, memahami bahasa Barat, maka dapat membaca serta menghayati kebudayaan serta sastera Barat.

Ini melahirkan bentuk baru novel seperti Siti Nurbaya, Salah Asuhan, Hikayat Faridah Hanum dan Iakah Salmah.

Dalam bidang puisi lahirlah penyair muda seperti Mohd. Yamin, Rustam Effendi, Sanusi Pane dan Harun Aminurrashid.

Karya-karya yang muncul pada masa itu membawa pembaharuan yang mendasar, semangat feudalisme dan anti kolonialisme.

Utusan Online

Comments

Post a Comment