begitu kau pergi

 Dua cacatan di bawah adalah kisah tragis kepergian Nur Umi Umairah Noor Arzeme, 12 tahun dan Nur Khalilatul Sofiah, 14 tahun.  Semoga Allah meletakkan roh mereka berdua di tempat yang mulia.

Begitu kau pergi. Dalam linangan airmata dan usap mesra kasih sayang ayah dan bonda kedua-duanya menyahut panggilan Ilahi kerana kemalangan jalan raya.

Cinta Allah melebihi segala-galanya. Kita yang tinggal mengambil iktibar dan pedoman dari tragedi yang terjadi. Berhati-hati di jalan raya. Jangan ia menjadi punca mengalir lagi si air mata....

'Bagilah baju sekolah saya'
Jaafar Mulup | bhnews@bh.com.my



Gemencheh: “Nanti mak bagilah seragam sekolah saya kepada sesiapa saja yang memerlukan”. Itu antara pesanan terakhir Nur Umi Umairah Noor Arzeme, 12, sebelum dia bersama abangnya maut dalam kemalangan jalan raya, di sini kelmarin.

Ibu mangsa, Nor Alieya Aman, 36, berkata pakaian seragam berkenaan baru dibeli untuk anak keduanya itu sebelum sesi persekolahan baru, bermula awal bulan depan.

“Dia pernah menyuruh saya memberikan pakaian sekolah yang dibeli kepada sesiapa saja yang memerlukan,” kata ibu kepada empat anak itu ketika ditemui di Hospital Tampin, di sini semalam.

Bertembung pacuan 4 roda

Nur Umi Umairah bersama abangnya, Muhammad Syawal, 14, maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung sebuah pacuan empat roda ketika dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas memasukkan cuka dalam mangkuk pokok getah di kebun ayah mereka.

Ketika kejadian jam 3.20 petang di Kilometer 7 Jalan Air Kuning Selatan-Sungai Dua itu, motosikal berkenaan yang ditunggang Muhammad Syawal sedang menghala ke arah Kampung Sungai Dua.
Nor Alieya berkata, anak sulung dan keduanya itu ke kebun getah jam 2.30 petang untuk memasukkan cuka supaya susu getah yang ditoreh keesokannya cepat beku.

Nahas dekat kebun getah

“Namun, saya kemudian terkejut apabila kawan anak datang memberitahu Syawal dan Umi kemalangan dekat kebun getah. Saya dan suami bergegas ke tempat kejadian, tapi hancur luluh hati saya melihat mereka terbaring berlumuran darah, tak bernyawa lagi. Suami juga terlalu sedih hingga tak mampu berkata-kata,” katanya.

Katanya, sejak cuti persekolahan bermula pertengahan bulan lalu, anak perempuannya itu sering bermalam di rumah ibu saudaranya, Noraida Aman, 48.

“Kakak saya pernah berkata, Umi memberitahunya yang dia berbuat demikian supaya saya dapat membiasakan diri apabila dia tiada lagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang, berkata dua beradik itu tercampak ke tepi jalan, manakala motosikal mereka menggelungsur sejauh 20 meter selepas pertembungan berkenaan.

“Dua beradik itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala lelaki 28 tahun yang memandu pacuan empat roda terbabit tidak cedera. Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat,” katanya.

Berita Harian


Tanya ayah alam barzakh petanda anak pergi
SYAIRAH ABDUL LAJIS


KUALA PILAH – “Masih terngiang-ngiang di telinga saya, sewaktu arwah Nur Khalilatul bertanyakan soalan tentang alam barzakh ketika kami sedang menonton televisyen bersama.

“Saya sungguh tak sangka soalan itu sebenarnya petanda yang dia akan pergi buat selama-lamanya”, kata bapa mangsa, Husny Zaim Ibrahim, 39.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang kelmarin, Nur Khalilatul Sofiah, 14, maut di tempat kejadian apabila kereta dipandu Husny terbabas di Kilometer 8, Jalan Kuala Pilah-Kampung Sungkak, di sini.

Husny bersama isteri, Nur Selawati Ahmad, 39, dan tiga anaknya dalam perjalanan dari rumah mereka di Feldajaya Selatan, Jempol ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bagi menziarahi saudara.

Dia memandu dengan berhati-hati sewaktu melalui Jalan Sungkak, kerana hari semakin gelap bimbang binatang ternakan berkeliaran di jalan berkenaan.

Namun, setibanya di lokasi kejadian, kereta jenis Honda yang dipandunya hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali.

“Saya tak tahu apa yang berlaku. Seingat saya, sewaktu mengawal stereng, tiba-tiba kereta terbabas ke kiri jalan, lalu rempuh tiang lampu.

“Kemudian merempuh sebatang pokok kelapa sawit sehingga menyebabkan kereta saya remuk,” katanya.

Husny berkata, kejadian itu berlaku begitu pantas dan selepas menyedari mereka terlibat dalam kemalangan, dia dan isteri mencari anak-anak.

“Saya dan isteri bergegas keluar selamatkan anak-anak. Pintu belakang kereta remuk dan saya cuba pecahkan pintu sebelah kiri.

"Saya lihat arwah mengalami kecederaan serius di bahagian kepala. Manakala dua lagi, Nur Syuhadatul Husna, 16, dan Muhammad Abrar Hakimi, 9, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, orang ramai yang melihat kejadian itu menghantar mangsa sekeluarga ke HTAN.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 8, Jalan Kuala Pilah-Kampung Sungkak jam 6.50 petang kelmarin.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord dalam perjalanan dari arah Sungkak ke Kuala Pilah terbabas dan melanggar tiang lampu di bahu jalan kemudiannya terbabas ke dalam kebun kelapa sawit.

“Namun, kira-kira jam 7.40 malam, pihak kami menerima panggilan HTAN memberitahu seorang penumpang perempuan berusia 14 meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala," katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

sinar harian




Comments

Post a Comment