Banjir iii


Banjir kini beransur pulih

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Banjir yang melanda Pantai Timur dan Johor sejak minggu lalu kini beransur pulih berikutan keadaan cuaca yang semakin baik di kebanyakan kawasan yang terlibat.

Keadaan ini menjadikan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan kini berkurangan kepada 45,248 orang di Pahang, Terengganu dan Johor manakala semua pusat pemindahan di Kelantan sudah ditutup.

Di KUANTAN, keadaan cuaca yang baik membolehkan ramai mangsa pulang ke rumah masing-masing dan hanya 30,790 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan di seluruh Pahang awal malam ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, Kuantan masih mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 24,998 mangsa diikuti Pekan (3,182), Temerloh (1,049), Maran (839), Jerantut (456), Bera (170) dan Rompin (36).

Semua mangsa banjir di Raub pula sudah dibenarkan pulang berikutan keadaan banjir yang kembali pulih di daerah itu.

Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di daerah Kemaman dan Marang ialah sebanyak 14,609 orang, berbanding 22,617 orang semalam.

Sehingga pukul 6 petang ini, sebanyak 13,335 orang ditempatkan di Kemaman, Dungun (1,251 orang) dan Marang (23 orang).

Sementara itu di KOTA BHARU, banjir di Kelantan pulih sepenuhnya selepas semua 262 mangsa yang ditempatkan di lima pusat pemindahan semalam dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Menurut jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, sebanyak 262 mangsa di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor, Tumpat dibenarkan pulang tengah hari ini.

Semua sungai utama di Kelantan juga kembali kepada paras normal melainkan Sungai Golok yang berada pada paras 8.21 meter melepasi paras amaran 8 meter.

Sebanyak 449 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan di seluruh Johor manakala di BATU PAHAT, tujuh pusat pemindahan yang dibuka sejak minggu lalu ditutup pukul 12 tengah hari ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah, Adnan Md. Yassin berkata, pusat pemindahan itu dibuka apabila paras air sungai naik akibat hujan tanpa henti selama 24 jam.

Di SEGAMAT merupakan satu-satunya daerah yang masih dilanda banjir dengan 303 mangsa daripada 72 keluarga di tujuh pusat pemindahan, ketika banjir di daerah lain semakin surut dengan semua pusat pemindahan ditutup.

Pusat pemindahan mangsa banjir di Segamat adalah Balai Raya Kampung Sanglang, Balai Raya Kampung Tandong, Sekolah Kebangsaan Kampung Simpang Loi, Balai Raya Gemereh IV (Batu Badak), Balai Raya Kampung Gemereh III, Balai Raya Pogoh 2 dan Sekolah Agama Kampung Kuala Paya.

Utusan Online


Banjir di tiga negeri semakin surut

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Trengganu, Johor dan Pahang semakin pulih dengan semakin ramai mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah manakala beberapa jalan utama boleh dilalui kenderaan, setakat 5 petang ini.

Di Terengganu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri melaporkan beberapa jalan utama iaitu Kuala Terengganu-Kuantan dan Lebuhraya Jerangau-Jabor serta jalan pantai kini dibuka kepada semua kenderaan.

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) Terengganu melaporkan paras air di semua sungai utama di negeri itu juga berada di bawah paras amaran.


Jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di negeri itu kian berkurangan kepada 15,876 orang berbanding 22,617 orang pagi tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka terdiri daripada 3,475 keluarga yang berada di 45 pusat pemindahan di Dungun, Kemaman, Kuala Terengganu dan Marang.

Di Kemaman, 7,534 orang pulang ke rumah masing-masing dengan hanya 13,335 sahaja yang masih tinggal di pusat-pusat pemindahan manakala di Dungun jumlah mangsa turut berkurangan kepada 2,512 orang berbanding 2,719 orang pagi tadi.

Di Kuala Terengganu seramai enam orang mangsa terdiri daripada satu keluarga masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Felda Belara manakala di Marang, hanya 23 orang daripada lapan keluarga masih berada di Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh.
Di JOHOR, hanya tujuh pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di Segamat petang ini bagi menempatkan 449 orang daripada 114 keluarga.

Pusat pemindahan tersebut ialah Balai Raya Kampung Sanglang, Balai Raya Kampung Tandong, SK Kampung Spang Loi, Balai Raya Gemereh IV (Batu Badak), Balai Raya Kampung Gemereh III, Balai Raya Pogoh 2 dan Sekolah Agama Kampung Kuala Paya.

Sementara itu, pusat pemindahan di Balai Raya Linau Kechil di Batu Pahat dan Balai Raya Parit Stan di Pontian yang dibuka pagi hari ini telah ditutup dan kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan berkurangan kepada 32,189 orang, manakala kesemua tujuh pusat pemindahan yang menempatkan 137 mangsa banjir di daerah Raub telah ditutup tengah hari tadi.

"Sehingga 5 petang tadi, seramai 32,189 mangsa banjir yang terdiri daripada 9,879 keluarga masih ditempatkan di 132 pusat pemindahan di lapan daerah yang terjejas banjir," kata jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ketika dihubungi Bernama.

Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 26,397 orang di 34 pusat pemindahan.

Di Pekan, masih terdapat 3,182 mangsa di 34 pusat pemindahan, Temerloh (1,049 orang di 23 pusat pemindahan), Maran (839 di 17 pusat), Jerantut (456 di 10 pusat), Bera (170 di tujuh pusat), Lipis (60 di lima pusat) dan Rompin (36 di dua pusat).

Sementara itu, beberapa jalan utama masih ditutup kepada semua kenderaan antaranya di Km14, Jalan Temerloh-Bahau dan Jalan Jerantut-Kuala Lipis (Kampung Sepial).

- BERNAMA

Berita Harian




TNB: Bersabar hingga selesai baik pulih pencawang

KUANTAN - Orang ramai yang masih berdepan gangguan bekalan elektrik diminta bersabar sehingga pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) selesai membaik pulih beberapa menara pencawang masuk utama (PMU) yang terjejas akibat banjir besar minggu lepas.

Pengurus Besar TNB negeri Datuk Sharuddin Mohd Simin berkata 11 menara PMU termasuk di Kampung Razali, Permatang Badak, Sungai Belat dan Sungai Isap masih dalam proses baik pulih dan dijangka selesai selewat-lewatnya Selasa depan.

"Bagi mengatasi gangguan bekalan elektrik, buat sementara waktu kita menghantar set generator ke kawasan yang terjejas bagi membekalkan kemudahan berkenaan, termasuk ke pusat pemindahan.

"Pada masa sama, kita turut meminta bantuan kakitangan TNB dari negeri lain bagi mempercepat proses baik pulih PMU yang terjejas. Saya berharap orang ramai bersabar sementara menunggu kita selesai kerja baik pulih," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau turut menafikan dakwaan TNB sengaja memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan dilanda banjir sehingga menyebabkan mangsa bergelap dalam tempoh yang lama.

"TNB tidak sewenang-wenangnya mematikan PMU terbabit hingga menyebabkan mangsa banjir perlu bergelap untuk tempoh beberapa hari kerana langkah yang diambil itu hanya mahu memastikan masalah seperti litar pintas atau kebakaran berlaku.

"Jadinya, kita melakukan kerja baik pulih secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada kawasan tumpuan ramai seperti hospital dan pusat pemindahan banjir," katanya.

Sharuddin berkata beberapa kawasan di daerah Bera turut terjejas selepas lapan PMU ditenggelami air menyebabkan hampir 2,000 penduduk di Triang tidak menerima bekalan elektrik sejak kelmarin.

"PMU di Kampung Kuala Bera dan Durian Tikus, Bera ditenggelami air menyebabkan kita mengambil tindakan susulan dengan mematikan PMU berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya. - Bernama

Sinar Harian


Siti Nurhaliza Sedih Melihat Mangsa Banjir
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI



PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin melahirkan rasa sedih melihat mangsa-mangsa banjir di Kuantan, Pahang ketika tampil menghulurkan bantuan di empat buah pusat pemindahan banjir di negeri itu.

Siti, 34, berkata, kebanyakan daripada mereka masih belum dibenarkan pulang ke rumah walaupun banjir mulai surut kerana cuaca yang tidak menentu buat masa ini.

"Ada di antara mereka rumah berdekatan dengan sungai jadi mereka masih belum boleh dibenarkan pulang kerana bimbang air akan naik semula.

"Sebagai manusia sudah tentu saya sedih melihat keadaan mereka namun saya kagum dengan semangat mereka yang terus tabah mengharungi dugaan ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Siti yang turut ditemani suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa telah menyumbangkan 700 pek barangan makanan dan keperluan asas seperti makanan dalam tin, beras, lampin pakai buang, tuala wanita, ubat gigi, berus gigi dan syampu kepada mangsa di bencana alam berkenaan.
 


Sumbangan itu dilakukan dengan kerjasama Yayasan Nurjiwa dan syarikat kosmetik miliknya, SimplySiti.

Empat buah pusat penempatan mangsa banjir yang sempat dikunjungi penyanyi itu adalah Sekolah Menengah Gudang Rasau, Sekolah Kebangsaan Pandan, Balai Raya Bukit Kuin 1 dan Sekolah Kebangsaan Kampung Padang.

Dalam pada itu, Siti berkata, dia sempat meluangkan masa bersama mangsa-mangsa yang terlibat selain mendengar luahan mereka tentang kejadian yang menimpa.

"Mereka ada memberitahu bimbang tentang keadaan rumah yang ditinggalkan selain berharap dapat pulang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa," ujarnya.

Sementara itu, Siti berkata, dia bersyukur kerana niat murninya untuk membantu mereka yang terlibat berjalan lancar seperti dirancang.

"Alhamdulillah perancangan untuk membantu mangsa banjir terlaksana dan berharap sumbangan kecil itu dapat meringankan beban mereka pada waktu ini.

"Biarpun keadaan sudah beransur pulih namun ramai di antara mereka yang masih belum dapat pulang ke rumah dan bantuan barangan asas amat bermakna buat mereka," katanya.

Siti turut menyeru individu atau pun syarikat korporat terus menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir supaya keadaan mereka lebih selesa dan teratur.

Setakat pukul 9 pagi Isnin, seramai 33,952 mangsa banjir masih berada di 141 pusat pemindahan di sembilan buah daerah yang terjejas akibat banjir di Pahang.

Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 27,700 orang di 35 pusat pemindahan.

Mstaronline

Comments

Post a Comment