5 Nov 2013

Terengganu International Islamic Arts Festival 2013











Pertemuan penggiat kaligrafi


PEMINAT seni khat kaligrafi berpeluang menimba ilmu daripada lapan tokoh terkenal dunia dalam bidang itu sepanjang berlangsung Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) di Taman Tamadun Islam (TTI) yang akan bermula 15 November ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Zubir Embong, empat tokoh khat tersohor dari Turki iaitu Hasan Vhelebi, Dawood Bektas, Mumtaz Durdu dan Efdaluddin Kilik telah menyatakan persetujuan menjadi juri pertandingan seni khat sempena festival itu.

"Selain itu, Adnan Sheikh Osman dari Syria, Ziyad Al-Muhandis (Iraq) dan Shereen Abd El Sabeer (Mesir) turut bersetuju menjadi juri. Lebih istimewa Ketua Pengarah, Research Center for Islamic History, Art and Culture (IRCICA) di Istanbul, Dr. Halit Eren juga akan hadir," katanya baru-baru ini.

TIIAF 2013 akan menampilkan pertandingan seni khat antarabangsa dan kebangsaan yang dijangka disertai 100 penggiat kaligrafi berpengalaman dari 20 buah negara.

Bermula tahun ini, satu produk baharu diperkenalkan iaitu seni corak batik bermotifkan khat untuk mempelbagaikan produk berasaskan kaligrafi.

Kata Zubir, sempena festival tersebut, TTI turut menganjurkan ekspo produk berasaskan pakaian, hasil seni, makanan, pertunjukan batik, serta sukan rakyat.

"Pada sebelah malam pula, persembahan muzikhat iaitu persembahan konsert muzikal berkonsepkan zikir dan peralatan muzik tradisional di samping forum bicara agama oleh tokoh agama yang dipilih," katanya.

Festival tiga hari itu dianjurkan TTI Management Sdn. Bhd. dengan sokongan kerajaan negeri dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu dan masuk adalah percuma. - BERNAMA

Sumber : Utusan online


Sepanyol, Jepun berminat sertai TIAAF 2013

KUALA TERENGGANU - Sepanyol dan Jepun adalah antara beberapa negara yang menyatakan minat menyertai Festival Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2013 yang dijadualkan bermula 15 November ini di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini.

Pengarah Urusan TTI Management Sdn Bhd, Wan Adnan Wan Derahman berkata, turut menyatakan minat ialah Pakistan, Iraq, Brunei, Singapura, Syria, Turki dan Mesir.

Penganjuran festival ini yang merupakan kali ketiga, bertujuan menjadikan Terengganu sebagai antara pusat perkembangan seni Islam di dunia, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Antara keistimewaan festival kali ini pertandingan batik khat dibuka kepada semua negara peserta, katanya menambah pada penganjuran lepas, negara terbabit hanya didedahkan dengan seni batik khat. - Bernama

Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena