Sastera Kanak-Kanak

Kemelut bahasa, sastera Melayu
Oleh Hafizah Iszahanid


Kanak-kanak negara ini tidak dapat pendedahan sejak awal usia

BAHASA dan sastera Melayu ‘diramalkan’ tidak akan mati dalam tempoh 20 tahun lagi, tetapi akan terpinggir berikutan kedua-dua bidang terbabit tidak diperkenalkan secara sistematik pada generasi muda sejak mereka masih pada peringkat prasekolah.

Selain itu, kebanyakan ibu bapa dan pusat pendidikan prasekolah didapati memberi lebih penekanan kepada bahasa Inggeris dan Matematik seolah-olah hanya kedua-dua subjek itu saja yang menjamin masa depan anak mereka, turut menyumbang pada situasi terbabit.


Kenyataan itu pahit, tetapi itulah dapatan awal kajian mengenai perkembangan sastera kanak-kanak di Malaysia oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Dr Ani Omar.

“Hasil kajian mendapati hanya segelintir ibu bapa sedar kepentingan sastera dalam membantu perkembangan emosi anak mereka. Tinjauan di prasekolah terpilih, mendapati subjek Sastera yang diterapkan pada peringkat itu ialah Sastera Inggeris. Lagu dan buku cerita yang diperkenalkan adalah daripada sastera Inggeris.

“Mengapa tidak sastera Melayu turut diperkenalkan kepada kanak-kanak prasekolah dan tidak timbul tidak kecukupan bahan kerana hakikatnya khazanah dalam bidang ini terlalu luas dan menawarkan banyak pilihan yang boleh dijadikan bahan pembelajaran,” katanya ketika dihubungi Sastera, baru-baru ini.

Baginya kecenderungan terbabit tidak sepatutnya dibiarkan berakar umbi dalam masyarakat kerana semua pihak perlu sedar bahawa sastera dapat membantu perkembangan jiwa, kerohanian dan artistik individu yang akan menyeimbangkan manusia.
“Senario terbabit akan berkesudahan dengan generasi masa depan kekal seperti generasi hari ini, iaitu mereka membaca untuk peperiksaan dan bukan untuk pengetahuan. Keadaan ini sangat berbahaya kerana akan lahir generasi yang kurang nilai estetika dan kerohanian. Ada baiknya nilai kemanusiaan dan kejiwaan yang mampu ditawarkan sastera diperakui.

“Kita tidak akan dapat faktor itu dalam subjek lain, namun ada ibu bapa yang tidak tahu pun apa itu sastera. Mereka tidak faham pun sastera. Lalu atas ketidakpedulian ini mereka meminggirkan sastera Melayu daripada menjadi sebahagian daripada pengetahuan anak masing-masing,” ujarnya.

Dr Ani berharap keadaan terbabit tidak dibiarkan berterusan kerana pada akhirnya ia akan menyebabkan sastera Melayu terpinggir di tanah air sendiri dan ini sangat merugikan negara kerana sastera adalah rakaman budaya dan tamadun sesebuah bangsa.

“Sastera Inggeris tidak merangkumi lingkungan budaya tempatan berbanding sastera Melayu, tetapi malangnya hakikat kepentingan sastera Melayu seakan langsung tidak dipedulikan. Melalui sastera, kanak-kanak dibantu meneroka dunia dari pelbagai sudut pandangan.

“Mereka lebih mudah memahami baik dan buruk sesuatu perkara menerusi pembacaan mereka. Mereka akan tertarik untuk membaca lebih banyak buku. Jika dia masih tidak boleh membaca, buku yang dibaca oleh guru dan ibu bapa adalah langkah paling baik untuk menarik minat mereka untuk membaca dan menguasai bahasa,” katanya.

Baginya fungsi sastera sebagai pembentuk perkembangan sosial, emosi, intelek dan bahasa kanak-kanak sepatutnya dipupuk sejak kecil dan untuk merealisasikan impian terbabit, semua pihak perlu menyumbang, selain perlu bermula pada peringkat atasan.

“Kajian saya mendapati program Permata Negara tidak memberi peluang sama rata kepada sastera Melayu kerana ia sekadar sisipan dan dijalankan mengikut kecenderungan pengajar. Kalau rasa nak nyanyi lagu Melayu, nyanyilah. Kalau nak baca buku Melayu bacalah, berbanding bahasa Inggeris yang mempunyai slot khusus.

“Mereka ada subjek pengiraan, tetapi sastera Melayu langsung tidak diberi muka. Program itu sendiri tujuannya juga untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris. Lagu dan buku yang didedahkan kepada kanak-kanak ini adalah bahasa Inggeris. Mungkin mereka berasa maju jika bijak berbahasa Inggeris,” ujarnya.

Lalu yang menjadi mangsa adalah anak-anak itu sendiri kerana ibu bapanya dan dasar pentadbiran yang tidak menggariskan kepentingan sastera dan bahasa Melayu, sehingga mereka tidak kenal diri sendiri sedangkan mereka inilah waris masa depan dan bagaimanakah rupa bentuk negara ini pada masa akan datang?

Berita Harian


Sastera bawa manfaat
Oleh Adli Shahar

KEPENTINGAN sastera dalam kehidupan masyarakat Melayu silam dapat dilihat melalui kehadiran sastera rakyat, pepatah petitih, pantun, syair, seloka dan gurindam, tetapi kini ia semakin dipinggirkan akibat ditelan rempuhan globalisasi yang melanda.

Bagaimanapun, kepentingan sastera dalam sistem pendidikan negara merangkumi pendedahan kepada kanak-kanak dan kebolehpasaran graduan bidang terbabit dibincangkan secara rinci pada Persidangan Pengajian Sastera dan Budaya Melayu.

Persidangan anjuran Sekretariat Pengajian Sastera dan Bahasa Melayu Universiti-universiti Malaysia (SPESBAM) di Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, baru-baru ini, berusaha mengembalikan nilai positif yang ada padanya untuk dikongsi dengan peserta.

Pensyarah USM, Prof Madya Dr Sohaimi Abdul Aziz dan Rohaya Md Ali, mendapati sastera kanak-kanak di negara ini berkembang pesat dari jumlah judul buku yang diterbitkan sejak 1970-an, tetapi sebagai satu bidang pengajian atau disiplin akademik masih belum bercambah di Malaysia.

"Tinjauan kami pada peringkat institusi pengajian tinggi mendapati hanya tiga universiti yang menawarkan kursus sastera kanak-kanak, manakala bidang penyelidikan paling popular ialah analisis isi dan idea cerita seperti tema, plot, watak, unsur pengajaran serta nilai murni dalam karya sastera pilihan.


"Perkembangan bahan bacaan kanak-kanak tidak boleh diperkaya tanpa kajian dan penyelidikan dalam usaha mencari jalan untuk meningkatkan mutu pengeluarannya. Kajian mengenai sastera kanak-kanak dari pelbagai aspek secara tidak langsung dapat mengatasi kekurangan dalam penyelidikan sastera kanak-kanak di Malaysia," katanya ketika memperkatakan Pengajian Sastera Kanak-kanak di Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya.

Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Mohd Haidi Mohd Kasran, pula yakin penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa dapat meningkatkan keupayaan pelajar daripada segi penggunaan bahasa kerana karya sastera mengandungi bahasa yang indah, tinggi dan mewah perbendaharaan kata.

"Karya sastera sama ada untuk kanak-kanak, remaja atau dewasa mempunyai matlamat untuk mendidik dan membangunkan diri manusia, baik daripada segi personaliti, pemikiran atau kebahasaan," katanya ketika melapah Sastera Dalam Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah.

Baginya guru ada banyak pilihan dan boleh menilai karya sastera yang sesuai dijadikan bahan pengajaran mengikut kesesuaian umur pelajar seperti pemilihan buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat Sekolah Kebang saan merangkumi pantun, drama, syair, lagi rakyat, puisi, cerita binatang, legenda dan mitos serta tokoh.

"Bagaimanapun, teknik yang bersesuaian dengan kebolehan pelajar perlu diutamakan. Kepelbagaian penggunaan pendekatan dan teknik pengajaran mahupun pembelajaran sastera dalam kurikulum Bahasa Melayu akan membantu mereka lebih mudah memahami kandungan isi sesebuah karya sastera," ujarnya.

Pensyarah USM, Dr Jelani Harun dan Mohamad Luthfi Abdul Rahman, pula menekankan perlunya graduan bidang sastera didedahkan dengan latihan industri bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan apabila tamat pengajian masing-masing.

Perkara itu ditekankan kerana mereka bimbang dengan perangkaan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Nasional (IPPTN) 2003 yang menunjukkan lebih 30 peratus graduan bidang sastera, kemanusiaan, ekonomi, perdagangan dan seumpamanya tidak mendapat peluang pekerjaan sejurus selepas tamat pengajian.

"Latihan industri mempunyai potensi tinggi kepada pelajar bidang kesusasteraan ialah bidang industri kreatif. Walaupun ada garis panduan dalam Dasar Latihan Industri, namun tidak jelas pada peringkat pelaksanaan.

"Dengan kata lain, adakah industri benar-benar mematuhi hasrat kerajaan untuk memberi pendedahan kerjaya kepada bakal graduan?" soalnya ketika membincangkan Pengajian Kesusasteraan Melayu Tradisional ke Arah Latihan Industri.

Mereka turut meluahkan kebimbangan berhubung ketidakyakinan sesetengah pihak industri kreatif untuk mengambil atau menerima pelajar bidang kesusasteraan untuk latihan di organisasi masing-masing ekoran masalah ruang dan kemudahan yang dapat disediakan.

"Menjadi tanggungjawab sosial pihak industri ini untuk membuka peluang pendedahan kerjaya kepada pelatih dan seterusnya memberi ruang yang lebih besar kepada mereka ketika memasuki pasaran kerja kelak," kata mereka.

(Berita Harian, 14 April 2011)

Sumber : 

Comments