Proses Kreatif Anugerah




Anugerah tercipta daripada cinta
Oleh ZAHARAH NAWAWI

MENULIS novel Anugerah ibarat berenang di lautan dalam, luas dan bergelora. Sakit, pahit dan sangat meletihkan, malah hampir lemas dan terkandas di beting pasir. Pengalaman ini sukar dilupakan. Biarpun suka dan rela, ia bukanlah sesuatu yang seronok lagi menyeronokkan.

Itulah kesan abadi berkaitan Anugerah yang tinggal dalam diri ini tetapi tidak pula dikesali. Pengalaman itu amat berharga buat saya. Yang pahit dahulu menjadi manis apabila dikenang.

Waktu itu saya bertugas di Berita Publishing Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat The New Straits Times sebagai Editor Umum Penerbitan Bahasa Melayu (Editor General Malay Publications) yang bertanggungjawab terhadap majalah Jelita, Jaguh, Penghibur, Sajian Jelita dan buku-buku dalam bahasa Melayu. Justeru tanggungjawab yang dipikul sudah pasti banyak dan berat.

Minat mendalam dalam bidang kreatif yang berakar tunjang dalam diri sejak berusia 12 tahun, saya tetap menulis cerpen dan novel. Kerana hambatan waktu yang kritikal, sajak yang sering saya tulis sekitar 50-an dan 60-an dilupakan saja, biarpun menulis novel dan cerpen lebih banyak memerlukan masa berbanding sajak.

Cerpen-cerpen saya akhirnya diterbitkan dalam kumpulan Percikan Bara oleh Berita Publishing. Antara novel yang saya tulis semasa bergelut dengan pelbagai tugas mencabar serta menagih banyak masa dan tenaga ialah Jalur Sinar Di Celah Daun, Pesisir Hitam dan Panglima Salleh Selempang Merah. (Jalur Sinar Di Celah Daun dijadikan buku teks tambahan tingkatan 4 dan 5 sekitar tahun 80-an sementara Panglima Salleh Selempang Merah dijadikan buku teks tambahan tingkatan 6 atas.)

Peranan novel Panglima Salleh Selempang Merah berkait begitu rapat dengan Anugerah. Malah hasrat menulis Anugerah berpunca daripada kajian saya ketika menangani novel Panglima Salleh Selempang Merah.

Sewaktu membuat penyelidikan tentang perjuangan pejuang, saya menemui banyak fakta, berita, cerita dan gambar-gambar dari permulaan hingga akhir sejarah kebangkitan nasionalis Melayu.

Namun begitu, penemuan fakta dan cerita perjuangan orang Melayu bermula daripada menentang Malayan Union, kemudian berjaya menegakkan Persekutuan Tanah Melayu disusuli perjuangan perit menuntut kemerdekaan secara sepintas lalu belum cukup kuat untuk menarik saya sehingga sanggup bersakit-perit untuk melahirkan Anugerah. Masih ada dorongan lain yang mencabar untuk saya sanggup ke mandala penyelidikan lebih mendalam.

Kisahnya bermula apabila saya menyerahkan manuskrip Panglima Salleh Selempang Merah (PSSM). Bagi novel PSSM ini, saya mendapat Derma Cipta Dewan untuk kemudahan membuat penyelidikan di kampung yang penduduknya turut sama berjuang bersama Panglima Salleh, di Batu Pahat Johor.

Saya menemui Ketua Penerbitan Umum Dewan Bahasa dan Pustaka, waktu itu Johan Jaaffar (sekarang Datuk). Saya menyampaikan harapan untuk menulis novel kedua perjuangan orang Melayu menentang Komunis Bintang Tiga pada zaman peralihan pemerintahan daripada Jepun kepada British. Novel kedua tersebut berdasarkan kisah Panglima Ali iaitu rakan seperjuangan Panglima Salleh yang beroperasi di Perak.

Johan menerima permintaan saya itu dengan bersyarat. ``Boleh. Tetapi saya minta Zaharah tulis novel sejarah untuk `projek penerbitan mewah' DBP dulu.''

Menurut Johan Jaaffar, rancangan projek penerbitan mewah itu sudah berjalan agak lama. Beliau sudah melantik lima penulis (semuanya lelaki) untuk menulis novel Sejarah Kuala Lumpur, Sejarah Kedatangan Siam Ke Kedah, Sejarah Kedatangan Jawa Ke Johor dan dua lagi saya lupa apa judulnya. Penulis yang dilantik dan diberikan bayaran membina judul itu katanya nampaknya tidak dapat menyempurnakan tugas.

``Zaharah pilihlah satu antara judul-judul yang saya sebutkan tadi,'' Johan pula kini mengharap.

Saya berfikir. Kalaulah saya ambil salah satu judul yang sudah diberikan kepada penulis lain; tiba-tiba penulis itu dapat menyiapkan novelnya? Saya tidak mahu berkontroversi dan berkonfrontasi dengan sesiapa.

``Jadi? Macam mana?'' Johan meminta saya membuat keputusan segera.

Waktu itu saya terpandang-pandang lembaran akhbar dan naskhah yang saya buka setiap hari di Arkib Negara tentang perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union seterusnya menumbangkan Malayan Union kemudian menegakkan Persekutuan Tanah Melayu, diikuti perjuangan menuntut kemerdekaan, dan akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan.

``Dari Mei 1946 semasa Mac Michael wakil kerajaan British mendarat di Port Swettenham (sekarang Pelabuhan Klang) sehingga 31 Ogos 1957,'' saya menetapkan.

``Bukan sehingga mencapai kemerdekaan tetapi sehingga mengisi kemerdekaan,'' pinta Johan. Dia berfikir sejenak. ``Sehingga peristiwa berdarah 13 Mei 1969,'' tegasnya.

Memandangkan waktu berlakunya peristiwa yang hendak diabadikan dalam novel itu sepanjang 23 tahun, saya terfikir; ``Nanti novelnya jadi tebal sekali.''

``Tulislah seberapa tebal yang boleh. Kita memang hendak menerbitkan yang tebal, sedap dipegang. Sudah terlalu banyak novel nipis. Kalau diterbitkan yang nipis lagi, nanti tenggelam dalam longgokan novel-novel nipis sedia ada.''

Johan menitipkan harapan agar saya menulis menggunakan protagonis wanita, kerana katanya; kita patut memberikan penghargaan kepada kaum wanita yang titik peluhnya banyak mengalir dalam perjuangan memartabatkan bangsa dan mengisi kemerdekaan.

Johan meminta saya meletakkan Ibu Zain sebagai protagonis tersebut. Maka, dengan penuh rasa kecintaan terhadap negara dan kecintaan terhadap pejuang terutama kaum wanita yang seolah-olah terpinggir dalam pemberian kerusi tetapi masih amat diperlukan sebagai jentera pilihan raya, saya pun kembali berulang-alik ke Arkib Negara. Saya tidak mahu melihat Anugerah lahir hanya sebagai novel biasa. Pada hemat saya novel sejarah mesti juga sarat dengan fakta sejarah. Jikalau soal sejarah hanya disentuh sambil lewa, maka ia bukanlah cerita sejarah.

Dari itu saya akan menulis cerita menjalin fiksyen dan sejarah sama berat, sama banyak 50-50. Beberapa kawan mengatakan, orang tidak suka membaca novel jenis begini, bagi saya itu bukan persoalannya. Tanggungjawab saya bukan untuk menyeronokkan orang tetapi menyerapkan sejarah.

Saya sebenarnya sudah mewawancara semua tokoh wanita negara untuk disiarkan dalam media ketika menjadi seorang antara wartawannya. Ibu Zain sendiri beberapa kali saya temui bagi tujuan tersebut. Begitu juga Fatimah Hashim, Puteh Mariah, Ibu Azizah Jaafar serta Khatijah Siddik.

Malah, saya pernah tinggal beberapa tahun bersama Ibu Khadijah di rumahnya di Kampung Pasir Sekudai, Johor Bahru dan kemudian berpindah ke klinik allahyarham suami beliau iaitu Dr. Hamzah di Jalan Ibrahim, Johor Bahru, tidak jauh dari Ibu Pejabat Umno Malaya. Klinik itu Ibu Khadijah jadikan kedai jahitan. Pada bahagian atas dijadikan tempat tinggal anak-beranak.

(Catatan: Saya juga biasa mewawancara tokoh-tokoh kaum ibu yang lain seperti Aishah Ghani (waktu itu belum menjadi Ketua Pergerakan Kaum Ibu), Halimahton Abdul Majid, Saleha Mohamad Ali, Fatimah Abdul Majid dan ramai lagi.)

Pengalaman itu membantu saya menangani novel ini. Pengalaman tinggal di Kampung Pasir Sekudai dan di Jalan Ibrahim Johor Bahru memudahkan saya untuk menggambarkan semula latar sejarah dalam novel Anugerah.

Tetapi sehingga selesai penyelidikan dibuat yang mengambil masa setahun setengah itu, apabila mulai mengolah kerangka novel, saya berhadapan dengan beberapa masalah. Antaranya, tidak dapat meneruskan sudut pandangan protagonis (Ibu Zain) sehingga ke akhir novel, kerana beliau tidak lama memimpin Pergerakan Kaum Ibu Umno. Ibu Zain meletakkan jawatan atas sebab kesihatan. Beliau mencadangkan agar Khatijah Siddik sebagai pengganti.

Saya memikir bagaimana harus mengatasi masalah ini, kerana dalam novel cerita semestinya berkesinambungan. Protagonis tidak wajar dihilangkan pada suku atau setengah perjalanan. Protagonis seharusnya ada dari awal hingga akhir cerita. Jika tidak berkesinambungan, pengarang dianggap gagal mencipta karya yang baik, dan protagonis yang muncul hanya seketika dalam karyanya tidak boleh dianggap protagonis.


Timbul juga hasrat jika selepas Ibu Zain meninggalkan UMNO segala pandangan dan cerita beliau saya cipta sendiri. Tidak mungkin dan tidak akan saya lakukan. Cerita berkaitan Ibu Zain seharusnya cerita benar berdasarkan segala pengalaman dan penglibatan beliau dalam perjuangan. Terdengar-dengar suara lunak Ibu Zain berkata; ``Saya tidak sebut begitu.'' Atau ``Saya tidak tahu cerita tersebut. Itu semua rekaan Zaharah sahaja.''

Berasaskan masalah tersebutlah, saya mencipta watak Cikgu Ramlah sebagai protagonis. Dia dalam usia semuda sekitar 25 tahun berjuang habis-habisan dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) sekarang dikenali sebagai UMNO, bersama sahabatnya Cikgu Mariam. Dalam perwatakan Cikgu Ramlah terhimpun semua peristiwa yang dialami tokoh-tokoh wanita semasa berjuang dalam parti politik kecuali perwatakan Khatijah Siddik yang saya letakkan dalam karakter beliau sendiri. Ini kerana beliau seorang pemimpin yang sangat berbeza dan singkat sekali usia kepimpinannya dalam Pergerakan Kaum Ibu UMNO.

Ada pertanyaan diajukan, mengapa pejuang berjawatan guru diangkat menjadi protagonis Anugerah? Sebelum merdeka, kedudukan orang Melayu amat rendah kerana tidak ramai yang berpelajaran tinggi. Bukan tiada yang berjawatan tinggi tetapi jumlahnya amat kecil. Kebanyakannya orang Melayu, selepas tamat darjah enam lantas menjadi guru.

Peranan guru dalam membentuk masyarakat amat berkesan. Pengaruhnya cukup besar. Para guru sangat dihormati. Apa kata guru semuanya diikut ibu bapa. Maka, dalam kempen pilihan raya, kebanyakan guru yang mengajar di sekolah Melayu dapat membantu menarik pengundi bagi memberi kemenangan kepada UMNO dan Perikatan.

Budi para guru terhadap kebangkitan semangat nasionalisme amat besar. Jasa mereka dikenang dan dihargai serta diabadikan dalam Anugerah.

Setelah siap kerangka, saya mulai menulis Anugerah. Waktunya, selepas makan malam sekitar pukul 9 hingga 12. Ada masanya mesyuarat sehingga pukul 9 malam di pejabat. Balik, ke rumah saya mesti menangani Anugerah. Biarpun badan letih, saya tetap menghadap mesin taip. Pernah terjadi, selepas memikir apa hendak ditulis, saya tertidur di atas mesin taip. Ada juga masanya saya hanya menaip sebaris dua kerana buntu. Namun, segala-galanya tidak menjadi penghalang. Sehari dua buntu, kemudian otak cair semula. Boleh berfikir dengan baik dan meneruskan penulisan dengan lancar.

Sebenarnya tidak semua fakta boleh dimasukkan. Saya hanya memilih yang terbaik dan paling sesuai. Demikian juga dengan cerita pengalaman daripada tokoh sampingan. Terlalu ramai tokoh, terlalu banyak cerita yang diberikan dan berbeza-beza.

Akhirnya, saya mengambil cerita yang paling munasabah serta berkaitan sahaja, dan diterapkan melalui mata sejarah Cikgu Ramlah dan Cikgu Mariam. Harapan yang berselirat di hati ialah agar tokoh sampingan/tokoh kecil yang jumlahnya beribu-ribu atau mungkin mencecah puluhan ribu ramainya di seluruh negara itu tidak berkecil hati apabila tiada seorang pun tokoh seangkatan dengannya diangkat dalam Anugerah. Jikalau tokoh besar diterapkan dalam watak Cikgu Ramlah, tokoh kecil pula wujud dalam perjalanan politik Cikgu Mariam.

Anugerah pernah terbengkalai selama tiga bulan. Saya tidak dapat meneruskan penulisan Anugerah sebab kebuntuan sudah sampai ke tahap maksimum. Benak rasa kering. Idea jadi kontang. Saya tidak tahu apa lagi yang hendak ditulis. Sehingga saya berhenti dari Berita Publishing, Anugerah tidak bergerak. Atas dorongan rakan-rakan penulis, terutama Rosmini Shaari yang berkata; ``Boleh. Zaharah mesti boleh menyambungnya. Novel saya pernah terbengkalai selama 14 tahun, itu pun saya dapat sudahkan.''

Bukan semua rakan penulis memberikan galakan. Ramai juga yang mencemuh dan memperkecil. ``Engkau tulis novel panjang-panjang tu, siapa nak baca nanti? Engkau pun tahu orang kita bukan suka membaca. Membeli jauh sekali.''

Saya tidak peduli. Janji adalah janji. Demi kecintaan yang mendalam untuk menyelesaikan novel sejarah yang ditukangi secara berdikit-dikit setiap hari, akhirnya dalam tempoh enam tahun campur setahun setengah kerja-kerja penyelidikan jadi tujuh tahun setengah, Anugerah dapat disiapkan, tetapi hanya setakat peristiwa besar 31 Ogos 1957.

Untuk meneruskan cerita mengisi kemerdekaan sehingga 13 Mei 1969, saya sudah tidak berupaya lagi. Mengaku kalah. Namun, hasrat merealisasikannya belum padam. Cerita mengisi kemerdekaan tidak kurang menariknya. Ahli politik berkata, mengisi kemerdekaan lebih sukar daripada menuntut kemerdekaan. Mungkin hari-hari mendatang akan lahir Anugerah II. Insya-Allah.

TEATER Anugerah akan dipentaskan dari 15 hingga 21 Mac ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sumber: Utusan Melayu Online


Teater Anugerah paparkan kemelut Malayan Union
Oleh: AIZAWATI AHMAD

Anugerah
Wahai pejuang
Semarak mengatur langkah
Kuatkan niat di hati
Hulurkan jasa dan bakti.
Mara ke depan
Rentasi segala halangan
Lepaskan duka mencengkam
Bela agama dan watan.
Sempurna perjuangan
Pastikan kegemilangan
Nobatkan anugerah
Merdekalah kita di bumi tercinta.

Petikan lirik lagu Anugerah ciptaan Thalia @ Dahlia Abdullah yang dimuatkan dalam teater Anugerah begitu menusuk perasaan.

Kandungan liriknya cukup jelas menggambarkan isi kandungan teater Anugerah yang mengetengahkan kisah hidup pejuang negara ketika menuntut kemerdekaan daripada penjajah British dulu.

Malah melalui Anugerah juga kita berpeluang menghayati pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang berkorban jiwa dan raga untuk melepaskan Tanah Melayu daripada kemelut Malayan Union.

Jika sebelum ini kita sering didedahkan dengan usaha yang dilakukan oleh pemimpin besar negara seperti Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, tetapi kini melalui teater Anugerah yang diarahkan oleh Rosminah Tahir, kita dibawa menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh pejuang-pejuang wanita Malaysia seperti Ibu Zain, Mariam dan Ramlah.

Rosminah yang menulis sendiri skrip Anugerah telah menonjolkan watak Ramlah sebagai wanita dan isteri yang terlibat dalam kancah politik bagi menuntut kebebasan Tanah Melayu.

Menurut Rosminah, Anugerah cuba mengajak para penonton khususnya generasi muda menghayati pengorbanan pejuang-pejuang lalu dan pengertian kemerdekaan dalam erti kata sebenar.

``Melalui teater ini saya berharap anak-anak muda dapat menghayati pengertian anugerah yang merupakan satu kurniaan istimewa yang kita nikmati sekarang,'' katanya.

Pementasan teater itu yang diadaptasi daripada novel karya Zaharah Nawawi diharap dapat memberi peluang kepada orang ramai memahami mesej Anugerah melalui seni pentas.

``Selain itu, pementasan ini juga merupakan satu sumbangan kepada masyarakat yang masih tidak berkesempatan membaca novel Anugerah,'' ujar beliau.

Pementasan Anugerah dianjurkan oleh Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Pejabat Kebudayaan Kesenian Wilayah Persekutuan.

Teater itu dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula pada 16 hingga 21 Mac ini mulai pukul 8.30 malam.

Anugerah membariskan pelakon ternama tanah air, antaranya Vanida Imran, Melissa Saila, Juhara Ayob, Jasmin Hamid, Jalaluddin Hassan dan Normala Omar.

Watak Ramlah yang didukung oleh Vanida merupakan seorang guru yang terlibat dalam kancah politik bagi menuntut kemerdekaan sejak zaman Malayan Union lagi.

Bersama-sama tokoh politik ternama seperti Datuk Onn dan Ibu Zain, perjuangan Ramlah untuk membebaskan bangsanya daripada belenggu penjajahan turut disokong oleh suaminya Hisyam (Jalaluddin).

Dugaan getir melanda rumah tangga Ramlah apabila anaknya Razali meninggal dunia akibat lemas di laut.

Ramlah bukan sahaja bertarung perasaan di atas kehilangan anaknya tetapi dia juga terpaksa berhadapan dengan kerenah suaminya yang bermain kayu tiga.

Sumber : Utusan Online


Adaptasi novel ke teater

USAHA mengangkat budaya dan nilai patriotik melalui seni pentas diteruskan dengan pementasan teater Anugerah. Teater adaptasi dari novel karya Zaharah Nawawi ini menjadi medium terbaik untuk mengembalikan nostalgia perjuangan silam.

Teater ini adalah garapan inspirasi masyarakat Melayu saat hidup mereka dikekang oleh kolonialisme. Mereka berjuang menentang segala halangan termasuklah Malayan Union 1946 yang mahu mengetepikan hak-hak istimewa orang Melayu dan raja mereka di bumi sendiri.

Perjuangan yang diwakilkan melalui kaum Ibu dan Guru ini secara tidak langsung mengangkat martabat wanita di sisi pemimpin lelaki lain seperti Dato' Onn Jaafar.

Hasil perjuangan itulah mereka menerima anugerah yang tidak ternilai iaitu kemerdekaan. Bagi watak Cikgu Ramlah pula, anugerah di sebalik kemerdekaan itu ialah kelahiran anaknya pada 31 Ogos 1957.

Teater ini dipentaskan oleh Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bawah naungan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Ia dipentaskan dari 15 hingga 21 Mac ini di DBKL.

Teater arahan Rosminah Tahir ini dilakonkan antaranya Melissa Saila, Jalaluddin Hassan, Jasmin Hamid, Vanida Imran, Normala Omar, Zaifri Husin, Azizi Mohd. Said, Juhara Ayob, Noor Khiriah Shapie, Shahriza Mahmud dan lain-lain.

Sumber Utusan Online

Comments