Naskah Pemikiran Johan

Naskah Pemikiran Johan
Ku Seman Ku Hussain


Ketika Pesta Teater dan Tari sekitar tahun 1970-an kemudian ditukar menjadi Festival Teater dan ditukarkan lagi menjadi Pekan Teater hingga akhirnya terus dikuburkan, antara naskhah teater yang kerap jadi pilihan peserta ialah Angin Kering (Johan Jaaffar), Kotaku Oh Kotaku (Johan Jaaffar), Mayat (Hatta Azad Khan), Jebat (Dinsman) dan Protes (Dinsman). Ini adalah naskhah yang ditulis oleh anak muda dekad 1970-an sebagai reaksi terhadap sosiopolitik semasa waktu itu.

Semua naskhah ini telah menjadi malar segar. Kalau merujuk kepada aliran teater absurd dekad 1970-an, naskhah-naskhah tidak dipinggirkan. Sebenarnya samaada aliran absurd atau tidak bukanlah perkara penting. Sebaliknya yang perlu dilihat daripada naskhah-naskhah ini ialah reaksi orang muda terhadap sosiopolitik semasa.

Johan menerusi buku Drama Pentas Johan Jaaffar menghimpunkan lima dari entah berapa yang berselerak dan tidak dapat dijejak. Tetapi lima naskhah ini mewakili zaman tertentu kepada pengarang. Kita boleh melihat pergolakan dan pemikiran pengarang merentasi zaman-zaman ini menerusi naskhah teaternya.

Pertama kali saya bertemu Johan pada 1984, iaitu 28 tahun lalu ketika beliau berusia 31 tahun. Ketika itu Johan sedang mengarah teater Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman adaptasi dari novel karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan. Tetapi semasa di kampung lagi saya sudah membaca naskhah Kotaku Oh Kotaku dan Angin Kering untuk dipentaskan di Perlis. Tetapi tidak dapat dizahirkan kerana beberapa kekangan antaranya ketiadaan pelakon yang sanggup mengharungi kesukarannya.

Dalam buku ini Johan menampilkan Angin Kering (1976), Asiah Samiah (2000), Dia, Kotaku Oh Kotaku (1975), Pasrah dan Pemain (1986). Dua dari naskhah ini; Angin Kering dan Kotaku Oh Kotaku merupakan reaksi Johan sebagai anak muda gelandangan di Kuala Lumpur tahun 1970-an. Ini adalah sudut pandangan anak muda terhadap pergulatan sosial selepas peristiwa besar kebangkitan pelajar 1974.

Johan mengkritik ketidakadilan sosial yang berlaku di sekitarnya. Beliau melihat dari dekat kehidupan gelandangan yang terpinggir daripada mata nurani para birokrat. Dekad 1970-an adalah era yang penuh dengan cabaran dan kegelisahan. Menerusi kedua-dua naskhah ini, Johan mengangkat warga terpinggir dan membawa suara nurani mereka ke pentas.

Kedua-dua naskhah teater ini berlatarkan kehidupan warga Kuala Lumpur yang terbiar dan penuh gelisah dengan tuntutan hidup yang berbagai-bagai. Untuk merujuk sosialisasi Kuala Lumpur dekad 1970-an, kedua-dua naskhah ini boleh dimanfaatkan. Malah inilah juga suara anak muda awal 20-an yang kritis terhadap persekitarannya.

Kesedaran pada dekad 1970-an, kesedaran anak muda khususnya di Kuala Lumpur begitu tinggi. Ini ditandai dengan penghasilan banyak naskhah teater yang bersuara lantang mengkritik sistem sosial. Mereka berhujah isu-isu yang besar dan relevan sepanjang zaman. Barangkali ketika itu tidak ada banyak stesen televisyen seperti sekarang yang lebih membenggapkan daripada mencerdikkan generasi muda. Mungkin juga kerana tidak ada salah guna Internet daripada memajukan menjadi alat memundurkan diri.

Sementara itu naskhah Asiah Samiah adalah karya terbaru yang dihasilkan tahun 2000 dan ditulis di ladang pisangnya di Sungai Lembing dan Gambang, Pahang. Ini adalah pasca pergolakan politik antara Perdana Menteri Dr. Mahathir dengan Timbalannya, Anwar Ibrahim. Johan tersepit di tengah-tengah dan mengambil keputusan "membuangkan" diri dari gelanggang politik dan menjadi penanam pisang. Semasa rehat di celah-celah pokok pisang itulah Johan menulis Asiah Samiah.

Tetapi secara peribadi Asiah Samiah tidak boleh menandingi Kotaku Oh Kotaku atau Angin Kering. Barangkali ini disebabkan banyak faktor yang mempengaruhi Johan ketika menghasilkan Asiah Samiah. Daripada seorang aktivis teater, Johan mengepalai media arus perdana kemudian tersepit dalam politik yang sebenarnya bukan bidang beliau. Johan telah terkeluar dari milieu gelandangan 1970-an.

Dalam buku ini juga turut dimuatkan Pemain yang boleh dibaca sebagai naskhah teater, novella atau cerpen. Naskhah ini ditulis pada 1986, ketika Johan berada di persimpangan dilema antara terus menjadi pegawai kerajaan di DBP, mengikuti kursus perfileman (bidang yang sangat diminati) atau menjadi aktivis teater sepenuh masa.

Naskhah yang dimuatkan dalam buku ini secara umumnya memperlihatkan sikap dan idealisme Johan, seorang anak muda dari Kampung Sungai Balang, Muar, Johor terhadap persekitaran baru di Kuala Lumpur. Sebenarnya semua ini melampaui sifatnya sebagai naskhah teater semata-mata.

Sumber : Utusan Malaysia

Pergolakan keluarga dalam Asy Syura

Karya Johan Jaafar yang pernah menjadi drama televisyen diangkat dalam bentuk teater

NASKHAH teater milik Datuk Johan Jaaffar ini pernah diangkat menjadi sebuah drama televisyen sekitar 30 tahun lalu. Mungkin disebabkan temanya yang ada kaitan dengan masyarakat hari ini, maka banyak kali juga teater ini dipentaskan oleh beberapa pertubuhan yang bergiat cergas dengan cabang seni ini.
Membawa kisah yang masih wujud sehingga kini iaitu pergolakan adik beradik kerana berebutkan harta pusaka, naskhah popular ini terus menjadi pilihan pelajar semester akhir Program Diploma Seni Lakon, Program Pengurusan Seni Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila ia akan menjadi projek penilaian akhir pelajar terbabit.


Pengarah teater berkenaan, Aminah Rhapor berkata, teater Asy Syura ini dipilih kerana ia mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu menguji setiap pelakonnya.

“Teater ini sudah dipentaskan banyak kali, malah ia juga pernah dijadikan sebuah drama di televisyen sekitar tahun 1970-an. Tidak dapat dinafikan teater ini mempunyai kekuatan dari sudut penceritaan dan mesej yang berguna. Sebagai sebuah teater yang mengetengahkan isu kemasyarakatan dan kekeluargaan, pastinya ia memerlukan mainan emosi.

“Justeru ia amat sesuai untuk diangkat sebagai projek penilaian akhir pelajar Diploma Seni Lakon ini. Sebagai pengarah, saya hanya memberikan mereka garis panduan. Seterusnya ia terletak kepada kreativiti pelajar terbabit dan bagaimana mereka mengaplikasikan apa yang mereka pelajari sebelum ini,” kata Aminah pada majlis sidang media teater berkenaan di Dewan Banquet, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Program Teater serta Pengarah Artistik, Hafshizan Hashim. Memandangkan skrip teater ini sudah cukup sempurna pada pengamatannya, Aminah berkata tiada sebarang perubahan akan dilakukan terhadap naskhah terbabit.

“Bagaimanapun akan ada adlib bagi menyambung satu babak ke satu babak yang lain. Dari segi keseluruhan, teater ini kekal seperti yang sedia ada. Saya masih menjaga keasliannya,” ujarnya.

Pada sidang media itu, tetamu yang hadir turut dipertontonkan beberapa babak dalam teater itu. Diakui, walaupun sekadar pelajar, namun kebanyakan mereka begitu berpotensi untuk diketengahkan sebagai pelakon pada masa akan datang. Bukan saja hebat di atas pentas, malah ada juga yang berbakat dalam penciptaan lagu. Buktinya, lagu tema teater itu berjudul Asy Syura dicipta sendiri oleh salah seorang pelakonnya.

“Memang kami menggalakkan pelajar untuk menguruskan keseluruhan perjalanan teater ini sepenuhnya. Bagi yang mengambil jurusan seni lakon, mereka akan terbabit sebagai pelakon. Untuk yang berada di belakang tabir, mereka akan buat kerja-kerja pengurusan seperti promosi dan sebagainya,” katanya yang pernah mengarah drama televisyen seperti Romeo & Juliet serta Salam Taj Mahal.

Terbaru dia juga terbabit dalam pembikinan filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie lakonan Nabil dan Mila.

Sinopsis Asy syura

Naskhah Asy syura ini diambil berdasarkan Surah Asy-Syura, yang berkisar kepada perbalahan adik beradik dalam sebuah keluarga yang sering bercanggah pendapat dalam menguruskan tanah pusaka peninggalan arwah ayah mereka. Ada yang benar-benar mahukan tanah pusaka tersebut untuk dijual, ada yang mahu tanah pusaka tersebut dibahagi-bahagikan agar masing-masing mendapat bahagiannya dan ada yang tidak mahu ambil peduli langsung mengenai tanah pusaka tersebut.

Pergolakan semakin kusut apabila abang sulung mereka, Mid, yang hakikatnya seorang lelaki yang sempurna dengan didikan agama yang tinggi namun sikapnya yang gemar berjudi, tamak, dan keras hati menyebabkan dia dimusuhi oleh orang di sekelilingnya. ’Kebisuan’ Jarah, isteri kepada Mid lantaran perbuatan suaminya itu dipendam dan tidak pernah diluahkan kepada sesiapa. Hal ini berlanjutan sehinggalah Inah menemui ajalnya. Setelah apa yang berlaku di hadapannya, Mid mula sedar atas semua yang telah berlaku dek angkaranya sendiri.

Sumber : Berita Harian

Comments