Hadiah Sastera Perdana

Hadiah Sastera Perdana Malaysia Pengiktirafan Tertinggi Sastera Kebangsaan
Oleh SITI IRNI YUSLINDA MOSMAN


HADIAH Karya Sastera diperkenalkan pada tahun 1971 melalui Jabatan Perdana Menteri Malaysia. YAB Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia ketika itu memperlihatkan keprihatinannya untuk meningkatkan mutu karya kesusasteraan negara dan memberikan insentif kepada setiap karya yang memenangi hadiah. Pada 24 Julai 1971, sebuah panel ditubuhkan untuk menilai dan meneliti genre karya sastera dalam bentuk novel, cerita pendek, sajak (antologi dan stensilan) dan drama yang dipertontonkan kepada umum sepanjang tahun 1971. Panel terdiri daripada penulis, peneliti dan pengkaji Kesusasteraan Melayu, diketuai oleh YBhg. Tan Sri Ghazali Shafie sebagai pengerusi.

HADIAH Karya Sastera diperkenalkan pada tahun 1971 melalui Jabatan Perdana Menteri Malaysia. YAB Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia ketika itu memperlihatkan keprihatinannya untuk meningkatkan mutu karya kesusasteraan negara dan memberikan insentif kepada setiap karya yang memenangi hadiah.

Pada awalnya, Hadiah Karya Sastera diadakan pada setiap tahun, iaitu dari tahun 1971 hingga 1976. Sebanyak 1,374 buah sajak, 294 buah cerpen, tujuh buah novel dan empat buah drama telah dinilai. Karya yang dinilai adalah karya yang memiliki ciri-ciri universal dan bertunjangkan nilai masyarakat Malaysia. Pengkategorian terbahagi kepada beberapa kategori seperti sajak, cerpen, antologi sajak, drama dua babak, novel dan penulisan esei/kritikan sastera. Anugerah pertama ini telah memberikan pengiktirafan kepada 30 orang penulis, antaranya, Ahmad Sarju (kategori puisi), Khadijah Hashim (kategori cerpen) dan Azizi Haji Abdullah (kategori novel).

Penilaian Hadiah Karya Sastera memperlihatkan kemunculan penulis muda berbakat besar seperti Anwar Ridhwan, Zakaria Ali, Latiff Mohidin, Zurinah Hassan, Fatimah Busu, Jaafar H.S., Azmah Nordin, Zahari Affandi, Zaihasra, Razak Mamat, T. Alias Taib dan Lim Swee Tin. Penulis-penulis ini boleh dianggap sebagai “the new emergence” pada dekad tersebut.


Karya puisi dizahirkan melalui cetusan isu dan minda masyarakat dengan bertemakan kehidupan peladang dan nelayan, masalah ekonomi, politik dan sosial, isu semasa, agama dan tokoh seni. Karya cerpen pula lebih cenderung pada tema kehidupan luar bandar. Karya yang dihasilkan oleh penulis seperti Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Arena Wati, Noordin Hassan, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan Abdullah Hussain masih memperlihatkan kehalusan pengucapan seni, merentas waktu hingga mencecah alaf baru.

Pada 11 November 1977, semasa berucap dalam majlis penganugerahan Hadiah Karya Sastera 1976, YAB Dato’ Hussein Onn telah menyatakan hasrat kerajaan untuk memberikan penghargaan kepada Sasterawan Negara. Serentak dengan itu, panel Hadiah Karya Sastera dibubarkan dengan harapan mendapat perhatian daripada pihak swasta untuk menerbitkan karya-karya sastera.

Pada 1981, YAB Dato’ Musa Hitam, Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara, mencadangkan agar kerajaan mewujudkan semula Hadiah Karya Sastera yang dihentikan selama lima tahun, lantaran sambutan dingin daripada pihak swasta untuk menerbitkan karya-karya penulis. Anugerah ini kemudiannya dikenali sebagai Hadiah Sastera Malaysia dan penilaian dilakukan secara dwitahunan, bermula pada tahun 1982/1983. Penilaian karya-karya penulis diperluaskan dan meliputi buku kajian dan terjemahan dengan mengambil kira aspek puisi, cerpen, esei/kritikan dan novel. Kemunculan penulis bukan Melayu yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia juga menggambarkan keupayaan bahasa Melayu sebagai media pengucapan pelbagai kaum di Malaysia.

Pada tahun 1990/1991, penilaian Hadiah Sastera Malaysia telah distruktur semula. Tumpuan penilaian lebih kepada karya dalam bentuk buku kerana ingin mengangkat taraf kesusasteraan kebangsaan daripada majalah atau akhbar kepada sastera buku yang lebih bertaraf tinggi. Dengan menggunakan format baru, karya yang dinilai amat kecil bilangannya, iaitu sebanyak 21 buah cerpen, 17 buah puisi, 50 buah novel, 14 buah drama (termasuk yang disiarkan dalam majalah) dan 15 buah kumpulan esei/kajian sastera.

Bersesuaian dengan kematangan dan perkembangan sastera negara, nama hadiah sekali lagi ditukar menjadi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) pada tahun 1996/1997. Hadiah Sastera Perdana Malaysia diwujudkan untuk memberikan pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada para penulis yang menghasilkan karya bermutu dalam bahasa Melayu dan menggalakkan penerbit menerbitkan karya-karya sastera. Aspek yang dipertimbangkan ialah kekuatan dan keaslian persoalan, keseimbangan estetika bahasa, keindahan moral dan nilai kreativiti.


Jenis Kategori dan nilai HSPM adalah seperti yang berikut:

KATEGORI A
(Buku/Kumpulan Karya Perseorangan)
Hadiah diberikan kepada karya yang terbit dalam bentuk buku atau kumpulan karya perseorangan dalam tahun penilaian.
o Novel
o Kumpulan Cerpen
o Kumpulan Puisi
o Kumpulan Drama
o Kumpulan Esei/Kritikan Sastera
o Buku Kajian Sastera
o Biografi/Autobiografi

KATEGORI B
(Karya Eceran)
Hadiah diberikan kepada karya sastera eceran yang diterbitkan dalam majalah, jurnal, akhbar dan buku dalam tahun penilaian.
o Puisi
o Cerpen
o Drama
o Esei/Kritikan

KATEGORI C
(Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja)
Hadiah diberikan kepada karya sastera berbentuk buku atau karya perseorangan untuk bacaan remaja dan kanak-kanak.
- Kesusasteraan Kanak-kanak
o Novel Kanak-kanak
o Kumpulan Cerpen Kanak-kanak
o Kumpulan Puisi Kanak-kanak
o Kumpulan Drama Kanak-kanak

- Kesusasteraan Remaja
o Novel Remaja
o Kumpulan Cerpen Remaja
o Kumpulan Puisi Remaja
o Kumpulan Drama Remaja

Hadiah Sastera Perdana Malaysia memberikan suntikan yang tidak ternilai kepada perkembangan kesusasteraan Melayu tanah air. Kelahiran penulis dan karya dalam pelbagai genre memperlihatkan peningkatan kuantiti serta kualiti penghasilan karya kreatif dan bukan kreatif sekali gus menyemarakkan lagi perkembangan dunia sastera Malaysia

Sumber : Klik Web DBP 


Hadiah Sastera Perdana Malaysia iktiraf 35 karya sastera

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011 mengiktiraf 35 karya sastera yang diterbitkan dalam bentuk buku dan karya eceran yang tersiar dalam akhbar, majalah, jurnal dan buku atau karya yang dipentaskan untuk skrip drama.

Bagi kategori A iaitu melibatkan penerbitan buku atau kumpulan karya perseorangan, setiap pemenang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.

Pemenang-pemenang kategori itu ialah Kamaludin Endol atau nama penanya, Pelita di dalam Kaca dengan novel berjudul Baldatun Thoiyyibatun, terbitan Pustaka Kanzun Mahfiyyan pada tahun lalu.

Pemenang lain ialah S.M. Zakir dengan kumpulan cerpen berjudul Serigala dan Sekuntum Tulip terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP);

Marzuki Ali yang menghasilkan kumpulan puisi Khazanah Segala Rimbun dan Dr. Noriah Taslim yang menulis tentang kajian sastera Lisan dan Tulisan Teks dan Budaya.

Marzuki Ali yang menghasilkan kumpulan puisi Khazanah Segala Rimbun dan Dr. Noriah Taslim yang menulis tentang kajian sastera Lisan dan Tulisan Teks dan Budaya.

Sementara itu, bagi kategori B iaitu karya eceran, sebanyak 28 buah karya cerpen, puisi, esei atau kritikan sastera serta drama diiktiraf dengan setiap pemenang menerima hadiah wang tunai RM2,000.

Bagi karya cerpen, antara pemenangnya ialah Dr. Mawar Safei dengan karya berjudul Benarlah Kata Angin Itu dan Saya Meneruskan Perjalanan, Mohd. Lutfi Ishak (Orang Budiman dan Negeri Seribu Gunung) serta Aidil Khalid (Taaruf).


Bagi karya puisi pula, 10 karya dipilih sebagai pemenang. Antara pemenangnya ialah Arbak Othman dengan karya berjudul Seluas-luasnya dan Setenang-tenangnya, Zaen Kasturi (Ingatan Kepada Kawan XXIV) dan Fahd Razy (Nota Kecil Saat Menyeberangi Usia ll).

Bagi Kategori C iaitu karya dalam bentuk buku atau kumpulan karya perseorangan untuk bacaan kanak-kanak dan remaja menawarkan hadiah wang tunai RM5,000.

Mereka yang memenangi kategori itu ialah Sri Rahayu Mohd. Yusop dengan novel remaja berjudul Bimasakti Menari.

Pemenang lain ialah Allahyarham Azizi Abdullah yang menghasil novel berjudul Beruk dan kumpulan puisi kanak-kanak berjudul Pantun dan Syair oleh Muda @ Daud Yusof.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sumber : Utusan Malaysia Online


SM Zakir raih Hadiah Sastera Perdana 


Terpilih menerusi kumpulan cerpen Serigala, Sekuntum Tulip

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Syed Zakir Syed Othman atau dikenali SM Zakir dipilih pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011.
Beliau memenangi hadiah wang tunai RM10,000 apabila kumpulan cerpennya, Serigala dan Sekuntum Tulip dipilih pemenang.

SM Zakir menewaskan 13 kumpulan cerpen lain yang turut dipertandingkan pada HSPM anjuran DBP," Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka


Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Awang Sariyan, berkata SM Zakir menewaskan 13 kumpulan cerpen lain yang turut dipertandingkan pada HSPM anjuran DBP dalam Kategori Buku/Kumpulan Karya Perseorangan yang menyediakan tujuh genre dengan hadiah kemenangan RM10,000 setiap satu.

“Novel Pelita di dalam Kaca karya Baldatun Thoiyyibatun, Kumpulan Puisi Khazanah Segala Rimbun (Marzuki Ali), Kumpulan Esei/Kritikan Sastera Lisan dan Tulisan: Teks dan Budaya (Noriah Taslim), turut memenangi kategori sama,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Tawar hadiah RM2,00

Tiada pemenang untuk tiga lagi genre iaitu Kumpulan Drama meskipun menerima tujuh penyertaan, Buku Kajian Sastera (enam penyertaan) dan Biografi/Autobiografi (satu) yang dipertandingkan dalam kategori sama.

Bagi Kategori Karya Eceran yang menawarkan hadiah RM2,000 setiap genre, Baha Zain diisytihar pemenang apabila dua puisinya, Permainan Mimpi dan Dalam Persekitaran Kata-kata dipilih terbaik genre puisi.

Genre Cerpen dalam kategori itu dimenangi Orang Budiman dan Negeri Seribu Gunung karya Mohd Lutfi Ishak, Drama Mat Piah dan Mr Blackway (Mahizan Husain) dan Esei/Kritikan Salah Tanggapan Terhadap Interlok (Fatimah Busu).

Kesusasteraan kanak-kanak

Kategori Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja yang menawarkan hadiah RM5,000 setiap seorang dimenangi Beruk oleh Azizi Abdullah untuk genre novel kanak-kanak dan Bimasakti Menari (Sri Rahayu Mohd Yusop) bagi novel genre remaja.

“Dalam kategori ini tiada pemenang untuk genre Kumpulan Cerpen Kanak-kanak, Kumpulan Drama Kanak-kanak, Kumpulan Cerpen Remaja, Kumpulan Puisi Remaja dan Kumpulan Drama Remaja, manakala Pantun dan Syair genre Kumpulan Puisi Kanak-Kanak dimenangi Muda@Daud Yusof,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Comments