Penulisan Kreatif




Penulisan kreatif dalam sastera moden

Oleh WAHBA

MINAT manusia dalam penulisan kreatif bukan baru. Ia lahir seiring dengan kepandaian

manusia menulis. Plato dan Aristotle yang hidup ratusan tahun lalu pun banyak mengemukakan idea dan pandangannya mengenai kehidupan juga dalam bentuk penulisan kreatif.

Sejarah kesusasteraan boleh dikesan di Yunani dengan Plato sebagai tokoh utama kemudian disusuli Aristotle dan Longinus.

Plato (427-347 S.M) dianggap sebagai tokoh penting yang menggerakkan kesusasteraan (Drs.Li Chuan Siu , Pustaka Antara,1967).

Republic adalah antara karya Plato yang terkenal, ia berupa satu percakapannya (dialog) mengenai definisi keadilan yang disampaikan melalui bahasa indah. Pemikirannya dalam buku ini menjadi ikutan penulis-penulis terkemudian. Walaupun beliau sudah meninggal dunia ratusan tahun lalu tetapi pemikirannya sentiasa menjadi bahan kajian pengikut sastera.

Penulisan kreatif adalah gabungan dari realiti dan imaginasi. Ia adalah alat dalam perkembangan sastera baik yang bercorak klasik atau moden. Pada awal abad ke 19 minat terhadap penulisan kreatif tumbuh dengan meluas. Penulis -penulis Barat seperti Blake, Wordsworth, Coleridge, Shelley dan Keats telah menggunakan bakat mereka untuk menyampaikan mesej tentang alam dan kemanusiaan.

Di rantau Melayu pun penulisan kreatif sering dikaitkan dengan perkembangan kesusasteraan. Penulis menggunakan bakat mereka dalam pelbagai bidang untuk menyampaikan mesej baik yang tersurat atau yang tersirat.

Secara umumnya kesusasteraan merujuk kepada bahasa yang indah dan kandungan yang bermanfaat. Istilah kesusasteraan itu berasal daripada bahasa Sanskrit. Dalam bahasa tersebut kata dasar su bermakna indah atau keindahan dan sastera itu bermakna huruf atau tulisan. Oleh itu kesusasteraan bermakna hasil karya (tulisan ) yang indah, menarik dan menggetarkan jiwa. Bahasa yang indah dilihat sebagai komponen yang penting yang mana memberi kesahihan teks yang dianggap sastera.

Kamus Dewan misalnya mendefinisikan sastera sebagai bahasa dalam kitab-kitab, bukan bahasa basahan. Definisi ini bukan sahaja memberi penekanan kepada bahasa dan penggunaannya tetapi ia juga membezakan bahasa yang bukan indah sebagai bahasa yang "bukan sastera".

Berdasarkan pengertian tersebut maka sastera dapat dimengerti sebagai karya yang menggunakan bahasa yang indah dan kandungannya iaitu isi membawa maksud memberi manfaat atau teladan yang berguna kepada pembaca.

Hasil kesusasteraan dapat digolongkan ke dalam dua bahagian atau kategori iaitu prosa dan puisi. Hasil karya seperti cerpen, novel dan drama boleh digolongkan berbentuk prosa manakala syair, sajak, pantun, gurindam, seloka, teromba, endoi dan semua jenis karya berirama.

Sumber : Utusan Online

Comments