Memanfaatkan Sastera

Karya sastera perlu disemarak di IPT, sekolah


KANGAR - Karya sastera perlu disemarakkan semula di institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah kerana ia sebahagian daripada kehidupan masyarakat, kata Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Md Salleh Yaapar.

Beliau berkata, pada masa ini karya sastera semakin terpinggir di institusi pengajian meskipun penghasilan karya sastera masih subur dan para pengkarya sentiasa aktif.

"Karya sastera seharusnya terus diberi tempat yang sewajarnya di institusi-institusi pengajian," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pemikiran Rejab FI di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis di sini hari ini.

Md Salleh berkata, DBP sentiasa menghargai pengkarya dan karya sastera mereka melalui pelbagai kegiatan termasuk seminar pemikiran sasterawan.

Sebagai contoh beliau berkata, DBP Wilayah Utara pernah menganjurkan seminar pemikiran Azizi Abdullah pada 2010 diikuti seminar pemikiran A.Rahmad tahun 2012
dan dan tahun ini serta seminar pemikiran Rejab FI yang dijayakan dengan kerjasama IPG Kampus Perlis.

Menurutnya, Rejab FI atau nama sebenarnya Rejab Ismail yang dilahirkan pada 12 September 1941 mula berkarya sekitar tahun 60-an dan sehingga kini menerbitkan 167
judul buku dan 84 judul karya termasuk cerpen, puisi dan drama.

Sempena seminar sehari itu, Rejab yang dilahirkan di Kampung Bongkok, Perlis turut menerima anugerah Tokoh Bahasa dan Sastera Negeri Perlis 2013 yang disampakan Md Salleh.


Mengulas mengenai pemilihannya sebagai penerima anugerah serta topik bicara dalam seminar itu, Rejab bersyukur kerana beliau masih diingati.

"Saya hanyalah seorang penulis tua di hulu negara," kata Rejab yang kini aktif berkarya melalui Persatuan Melayu Perlis (Pemanis).

Sementara itu, seramai enam penulis membentangkan kertas kerja pada seminar itu termasuk A.Rahim Abdullah, Dr Abdul Halim Ali, Prof Madya Dr Rahimah A Hamid, Sharif Shaary, Hassan Basri Budiman dan Roslan Chin.

Seorang penulis dan pengkritik sastera, Prof Datuk A Rahman Shaari turut menyampaikan ucap utama bertajuk 'Rejab FI mengharungi sastera'. - Bernama

Sumber : Sinar Harian

Kedua-dua aliran bersifat subjektif
Oleh Ihsan Noorzali

ENTAH mengapa aliran sains dan sastera sering kali dijadikan perbandingan masyarakat hingga timbul ‘konfrantasi’ tidak munasabah.

Ada melabelkan sains sebagai aliran elegan dan berprestij sementara sastera lebih menyuntik nilai kemanusiaan serta estetika. Walaupun sering dilanda kritikan dan konflik, sesiapa pun tidak boleh menafikan kepentingan dua aliran berkenaan dalam menjana pembangunan proses pendidikan serta pembangunan negara menerusi cara masing masing.

Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang tidak faham?

Pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Abdul Halim Ali berkata, sama ada sains atau sastera, kepentingan utama perlu didahulukan iaitu melahirkan pelajar yang boleh menjadi aset berguna negara.

Menurutnya, kedua-dua aliran itu bersifat subjektif dan hanya asas mengukur kemampuan pencapaian akademik pelajar.


“Justeru, tidak perlulah ia digembar-gemburkan secara keterlaluan hingga ‘melukakan’ hati sesetengah pihak.

Kedua-duanya hanya aliran yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Sama ada sains atau sastera, yang perlu ditekankan ialah bagaimana mahu melahirkan pelajar seperti dikehendaki Falsafah Pendidikan Negara.

“Pertikaian atau diskriminasi itu hanya menjadikan pelajar mahupun dunia pendidikan negara berkecamuk, sekali gus boleh menggagalkan usaha dilakukan,” katanya.

Isu berat sebelah aliran sains dan sastera yang disensasikan berupaya mewujudkan senario ‘diskriminasi’ kurang sihat antara satu sama lain.

Tanggapan bahawa aliran diikuti adalah yang terbaik secara dalamannya menjadikan proses pendidikan negara berlangsung dalam suasana tidak harmoni.

“Padahal pendidikan bertujuan melahirkan insan berhemah dan berkualiti dengan ilmu serta proses pendidikan diikuti.

“Bukannya melahirkan kelompok yang membuat perbandingan berdasarkan status aliran. Ini bercanggah dan lari daripada konsep penerapan ilmu disasarkan,” katanya.

Beliau tidak menolak kepentingan sains dalam dunia aliran moden, namun mengakui sastera juga mempunyai fungsi tersendiri serta penting dalam menjana kemajuan.


Menurutnya, jika semuanya berpaksikan sains dan teknikal semata-mata, nilai kemanusiaan pasti hilang, sekali gus melahirkan ‘manusia - mesin’.

“Biarpun konsep sains dan sastera berbeza, namun kedua-duanya penting untuk melahirkan insan dengan aplikasi ilmu yang mampu dimanfaatkan bersama.

“Sains dan sastera lahiriahnya tidak boleh dipisahkan biarpun globalisasi dunia menjadi agenda utama. Gabungan kedua-duanya berperanan melahirkan kemajuan.

“Tidak adil apabila salah satu pihak mendabik dada mengatakan dialah yang terbaik. Ditekankan, dalam proses menuntut ilmu, semuanya baik asalkan tidak melanggar batasan,” katanya mengakui gabungan sains dan sastera mampu melahirkan pelajar yang bukan saja sensitif juga praktikal.

“Sensitif dengan nilai kemanusiaan dan emosi sementara praktikal dalam menjana proses kehidupan yang berteraskan material.

“Dunia moden hari ini memerlukan gabungan semua aspek, justeru tidak perlu menjadikan sains atau sastera sebagai penanda aras tertentu.

“Pelajar berjaya adalah mereka yang bijak mengaplikasikan pelbagai nilai dalam kehidupan dan tahu mewujudkan peluang,” katanya.

Beliau juga menolak tanggapan pelajar aliran sastera kurang bijak.

Mengambil contoh ilmuwan terkenal seperti Albert Einstein, dia berkata, di samping menjadi ahli sains, mereka juga tidak mengetepikan kepentingan sastera.
“Mereka adalah golongan bijak sains, namun tetap mahu memartabatkan sastera.
Mengapa?

“Sebab tahu nilai ilmu diperoleh tinggi dan tidak terbatas. Malah gabungan kedua-duanya memudahkan mereka meletakkan diri dalam pelbagai situasi.

“Tidakkah ini membuktikan kedua-duanya sama penting? Ilmu biar apapun kondisinya, jika mampu memberi manfaat tetap berguna,” katanya yang meminta semua pihak memberi sokongan kepada pelajar biar apa pun alirannya.

“Paling penting, mereka berjaya merentas dunia pendidikan dengan baik dan menjadi insan berguna dan berilmu,” katanya.

Ketua Jabatan Biologi UPSI, Dr Hasimah Alimon berkata, perubahan pesat dunia dan teknologi moden hari ini menjadikan sains satu keperluan asas paling utama.

Beliau juga tidak menidakkan keperluan sastera, namun sangat berharap supaya kapasiti pelajar sains sentiasa dipertingkatkan.

“Keperluan zaman sentiasa berubah dengan sains dan teknikal mendominasi carta permintaan dunia hari ini.

“Disebabkan permintaan itu, semua pihak tiada pilihan selain menyahut cabaran disediakan supaya kita mampu berdiri sama tinggi dengan yang lain.

“Benar, sastera juga ada kepentingannya, namun kerana senario yang menguasai keadaan, pilihan utama perlu didahulukan,” katanya.

Walaupun dianggap berprestij dan penting, aliran itu bagaimanapun masih belum mampu menarik minat sebahagian besar pelajar memilihnya.


Subjek sukar, akuinya, adalah faktor mengapa ia kurang menjadi pilihan biarpun prospek ditawarkan cukup cerah.

“Jika sastera ada cabarannya, sains juga begitu kerana aliran ini ‘bergelut’ untuk menarik perhatian pelajar. Taraf prestij tidak menjanjikan ia menjadi pilihan.

“Justeru, saya bersetuju biar apa pun pilihan aliran, masing-masing ada kepentingannya kepada penjanaan proses pendidikan negara,” katanya.

Sumber : MyMetro

Comments