Luka Yang Dalam

Kita hanya membaca jalur-jalur masa yang dilalui mereka. Barangkali bagi mereka yang berada pada sudut paling beruntung dalam hidup, tak terbayangkan  luka yang dialami. Terpisah dari asam garam dan kepal nasib manusia seperti Zaimah dan Mat Zam atau mereka yang lain. Bagi yang lain  barangkali dapat merasa gundah dan gelisah hidup yang dialami Dalilah atau Nor Shahida. Dapat merasa denyut pahit yang bergerak dalam urat dan nadi hidup mereka. Dapat mengerti akan apa yang dirasakan [ersis luka yang dalam.

Tetapi kita hanya mampu bersimpati akan nasib duka yang menimpa mereka. 

Ia jalur hidup yang terpaksa mereka alami. Begitu hiba dan begitu berat dalam penanggungan. Tapi berat mata memandang berat lagi bagu memikul. 

Dalam hidup kita temui banyak peristiwa. Ini yang mereka alami. Barangkali pada suatu hari nanti kita pula yang terpaksa berpulas dalam luka yang dalam.

Apa yang terbawa dalam kisah payah ini adalah kesedaran dan keinsafan. Nadi hidup yang berdenyut tak terpisah dari melihat dan menatap orang lain. Lihatlah nasib mereka. Menjadi iktibar kepada kita dan menyentuh hati kita. Hidup ini perkongsian dan kehadiran kita adalah untuk bersama merasa jerit payah atau duka hiba bersama. Kita tidak mampu menghilangkan segenap luka, tetapi berusaha untuk memberi sedikit dari apa yang kita miliki.

Hulurkanlah bantuan jika termampu bagi meringan segala payah dan sukar.
Mereka tidak meminta tetapi kita sedar mereka amat memerlukan.

Luka itu milik bersama. Kita ubati bersama.




Bacalah seterusnya tiga peristiwa hidup yang barangkali dapat menyedarkan dan menginsafkan batin dan jiwa kita.

Terpaksa jual bot demi anak
NIK MUHD RAFFIQ ABD GHANI


DUNGUN – Akibat kesempitan hidup, seorang isteri terpaksa menjual bot gentian kaca milik suami untuk mendapatkan wang agar anak dapat meneruskan persekolahan.

Zaimah Abdullah, 53, berkata, sejak suaminya, Mohd Zam Ismail, 56, diserang strok mereka hilang tempat bergantung.

"Suami tidak lagi dapat ke laut menangkap ikan dan kami hilang punca pendapatan.

“Kami perlukan duit untuk buat belanja, nak tanggung kos perubatan suami yang sakit dan anak sekolah lagi," katanya.

Kata Zaimah, lima anaknya sudah berumah tangga dan hanya dua lagi yang masih bersekolah.

Dua anaknya iaitu Asyaratul Akmal, 19, bersekolah di tingkatan enam Sekolah Menengah Sultan Omar dan seorang lagi Mohd Shawalaudin, 17, di tingkatan lima sekolah sama.

"Duit hasil jual bot tempoh hari sudah habis buat belanja berubat suami," katanya.

Sehubungan itu, dia merayu pihak tertentu membantu mengurangkan beban kewangan mereka.

Kata Zaimah, suaminya sebelum ini ada membuat caruman insurans melalui koperasi nelayan dan menjadi ahli sejak 10 tahun lalu.

Setelah Mat Zam terlantar sakit, Zaimah melaporkan kes itu kepada pejabat koperasi di bangunan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Dungun bagi mendapatkan bantuan.

Namun setelah hampir setahun berlalu, dia kecewa kerana masih tidak mendapat maklum balas mengenai permohonannya itu.

Kejadian menimpa Mat Zam berlaku kira-kira jam 11 pagi Oktober tahun lalu ketika nelayan tradisional itu keluar menangkap ikan di tengah laut.

Katanya, ketika sedang menarik pukat atas bot, Mat Zam tiba-tiba rebah lalu tidak sedarkan diri sebelum mendapat bantuan daripada seorang rakannya yang turut berada di atas bot berkenaan lalu membawanya ke darat.

Sebaik sampai di daratan, Mat Zam dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Hospital Dungun selama tiga hari untuk rawatan lanjut.

Kes Mat Zam kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan dia terpaksa ditahan di wad sekali lagi selama 18 hari sebelum dibenarkan pulang.

"Selepas keluar daripada wad, suami lumpuh separuh badan termasuk bahagian tangan menyebabkan dia tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan," katanya.

Sumber :  Sinar Harian

Demi ibu siang belajar malam bekerja


ALOR SETAR - Keadaan kesihatan seorang ibu anak lapan yang tidak mengizinkan membuatkan anaknya yang juga murid sekolah rendah bekerja sambilan mencuci pinggan di sebuah kedai makan di Jalan Putera, dekat sini, demi meringankan beban keluarganya.

Keadaan Dalilah Azizan Mohd Imran, 46, yang lemah kerana penyakit asma, tekanan darah rendah dan masalah jantung menyebabkan dia kerap kali dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini, untuk rawatan.

Dalilah berkata, anak bongsunya, Muhammad Alif Ahmad Nazar, 11, terpaksa bekerja sambilan setiap malam selama beberapa bulan apabila dia dimasukkan ke dalam wad pada Januari hingga Mac.

“Awal tahun ini, pelbagai cabaran kami terpaksa hadapi termasuklah keadaan kesihatan tidak mengizinkan hingga menyebabkan Alif bekerja. Jika tidak bekerja, kami tiada duit nanti.

“Malah, Alif yang juga memiliki asma jarang-jarang ke sekolah kerana ingin menemani saya di hospital pada ketika itu. Mujurlah, sekarang saya sudah keluar dan dia tidak perlu bekerja sambilan lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, katanya, anak-anaknya yang lain pula tidak berkemampuan untuk membantu meringankan kepayahan dialami mereka berdua kerana kebanyakannya sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan sendiri.

Katanya, dia terpaksa berulang alik menaiki bas, basikal mahupun berjalan sejauh 15 kilometer setiap kali ingin mendapatkan rawatan, malah terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan terutamanya pam asma kerana keadaan kesihatan tidak menentu.

“Dalam pada itu, saya juga sering kali pengsan, malah penyakit ini turut menghalang saya melakukan sebarang kerja berat atas nasihat doktor,” katanya.

Katanya, dia mencari rezeki untuk menyara kehidupan mereka anak beranak dengan mengambil upah memotong ikan di pasar borong dengan pendapatan tidak menentu kerana bergantung kepada jumlah ikan yang perlu diproses.

"Saya juga akan mengambil upah mencuci pakaian dari rumah ke rumah mahupun menggosok baju apabila ada permintaan daripada masyarakat setempat," katanya.

Dalilah berkata, dia mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun tidak mencukupi.

Orang ramai yang ingin membantu Dalilah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank miliknya 157111945590.

Sumber : Sinar Harian

'Saya rindu sekolah...'
NORHAFIZA MUSA



KUALA TERENGGANU – “Saya rindu sekolah, rindu kawan dan cikgu sebab dah lama tidak ke sekolah,” luah Nor Shahida Razak, 16, yang patah tulang belakang akibat terjatuh daripada pokok manggis di hadapan rumahnya pada awal bulan lalu.

Akibat kejadian tersebut, anak keenam daripada 10 beradik yang berasal dari Kampung Tasek, Setiu itu hanya mampu terlantar dan memerlukan bantuan untuk bergerak.

Katanya, semasa kejadian pada 7 September lalu, dia menawarkan diri untuk memanjat pokok manggis di hadapan rumah untuk dihidangkan kepada rakan abangnya yang bertandang ke rumah dan kebetulan pula ketika itu, pokok sedang berbuah lebat.

“Semasa sedang leka mengutip buah manggis, tidak sangka terpijak dahan yang rapuh menyebabkan saya jatuh terduduk. Semasa jatuh, (saya) rasa seperti tidak bertulang dan tidak mampu bergerak,” kata pelajar SMK Saujana itu semasa ditemui Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ibunya, Faridah Kasim, 47, yang tiada di rumah semasa kejadian kerana bekerja mengambil upah cuci pinggan berkata, semasa dimaklumkan mengenai kejadian, dia beranggapan anaknya hanya mengalami luka atau patah biasa.

Namun katanya, hatinya berdetik cemas apabila anaknya terus dibawa ke HSNZ dengan ambulans dari rumah, bukan ke klinik biasa.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan dia (Nor Shahida) patah tulang belakang dan berisiko lumpuh. Anak-anak memang selalu memanjat pokok manggis yang tingginya enam meter jika ingin memakan buah.

“Dia dah biasa memanjat sebelum ini, namun tidak sangka pula menyebabkan jatuh sehingga patah tulang belakang,” katanya.

Kata Faridah, sejak anaknya ditempatkan di HSNZ, dia menemani anaknya itu sepenuh masa kerana Nor Shahida tidak mampu bergerak.

Katanya, dia juga mengharapkan suami, Razak Salleh, 50-an, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan anak-anak lain, dapat menguruskan keluarga serta rumah dengan baik sepanjang ketiadaannya.

“Lebih dua minggu dia hanya terlantar. Selepas menjalani pembedahan minggu lalu, hari ini (kelmarin) sudah boleh duduk di atas kerusi roda khas.

"Dia perlu kuat semangat sekiranya ingin sembuh,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Comments