Fiksyen Sains dan Teknologi


Sayembara Fiksyen Sains UTM-Kumpulan Utusan dilancar


KUALA LUMPUR 22 Okt. - Penulis-penulis fiksyen sains sekali lagi berpeluang menonjolkan bakat masing-masing apabila Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)-Kumpulan Utusan untuk musim ketiga dilancarkan hari ini.

Pertandingan dwitahunan yang dibuka kepada semua warga Malaysia sama ada secara individu atau berkumpulan tidak melebihi tiga orang itu kali ini menawarkan hadiah berjumlah lebih daripada RM30,000.

Pemenang pertama bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, kedua RM10,000 dan ketiga RM5,000 manakala tiga pemenang sagu hati masing-masing akan menerima RM500.

Pelancaran sayembara tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir. Zaini Ujang di Kampus Kota, UTM di sini.

Dalam majlis itu, Zaini turut menyaksikan acara menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dr. Wahid Omar dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin sebagai tanda kerjasama kedua-dua pihak menganjurkan sayembara berkenaan buat kali ketiga.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Pengarah Penerbit UTM Press, Dr. Kassim Thukiman. Othman dan Dr. Kassim adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana sayembara.

Majlis turut menyaksikan pelancaran kempen 'Novel: Fiksyen Sains: Untuk Anda' sebagai pendekatan untuk menarik minat khalayak ramai mendekati dan membaca karya-karya yang dihasilkan menerusi sayembara tersebut.

Zaini ketika berucap dalam majlis itu berkata, syarikat-syarikat korporat digalakkan menghulurkan tajaan bagi membolehkan semua karya yang terhasil daripada sayembara tersebut diedarkan di setiap perpustakaan sekolah di seluruh negara.

Langkah itu, katanya, bagi membolehkan objektif penganjuran iaitu menarik minat pembaca muda terhadap bahan bacaan bercorak fiksyen sains dapat dicapai.

"Selain itu, mereka (syarikat korporat) juga dapat menyumbang dalam usaha untuk melahirkan modal insan kreatif yang berorientasikan pemikiran sains dan teknologi," katanya.

Sempena penganjuran sayembara itu, sejumlah enam bengkel bersiri penulisan fiksyen sains dan teknologi akan diadakan di seluruh negara.

Maklumat lanjut dan borang penyertaan boleh didapati menerusi akhbar Utusan Malaysia atau laman web www.penerbit.utm.my dan www.mybooks.com.my.

Utusan Melayu Online


2 karya sayembara dipilih sebagai teks sekolah


KUALA LUMPUR 22 Okt. - Dua buah karya hasil daripada Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)-Kumpulan Utusan bagi dua musim sebelum ini terpilih sebagai teks komponen sastera tingkatan tiga dan empat untuk tahun 2015.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, pencapaian kedua-dua karya itu iaitu Tawanan Komander Caucasus dan Di Sebalik Dinara amat membanggakan, lebih-lebih lagi dilahirkan menerusi sayembara yang dikira baharu dalam arena kesusasteraan negara.

"Saya percaya pemilihan kedua-dua karya tersebut sebagai teks komponen sastera subjek Bahasa Melayu akan menyuntik semangat para penulis muda untuk terus menghasilkan naskhah terbaik dalam genre ini tanpa mengetepikan nilai-nilai kerohanian manusia dan budaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran dan menandatangani memorandum perjanjian (MoA) Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan musim ketiga di Kampus Kota UTM di sini hari ini.

Novel Tawanan Komander Caucasus hasil tulisan Ruzaini Yahya merupakan pemenang tempat ketiga dalam sayembara musim pertama manakala Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor, adalah pemenang hadiah penghargaan dalam musim kedua.

Menurut Mohamed Hashim, dengan penerimaan karya sains fiksyen itu di sekolah, kecenderungan generasi baharu ke arah menjadikan genre cereka sains dan teknologi sebagai cabang penulisan kelak dapat dipupuk di peringkat awal.

"Bagi pihak Kumpulan Utusan, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang memberi ruang serta mengiktiraf produk sastera yang dihasilkan dengan kerjasama UTM ini sebagai salah satu wadah pembelajaran yang diguna pakai di dalam silibus pendidikan," ujarnya.

Utusan Melayu Online


Kumpulan Utusan-UTM anjur sayembara fiksyen sains

PENULIS A. Richard dalam bukunya, Peotries and Science (1926) menegaskan bahawa masyarakat moden bakal mengkaji sastera secara serius sepertimana mereka mengkaji kitab-kitab agama.

Ia lantaran krisis spiritual dan keinginan batiniah yang memuncak.

Menurutnya, agama yang selama ini menjadi rujukan utama tidak lagi di beri perhatian wajar oleh segelintir masyarakat Barat. Pada masa yang sama, sains dan teknologi terus dipuja kerana pemahaman materialis-hedonis.

Dalam keadaan ini, sastera muncul sebagai jambatan yang menghubungkan kedua-duanya (agama dan sains) melalui unsur estetika, filosofis dan imaginatifnya - membuka inspirasi manusia untuk berkarya.


Sastera dan segala unsur imaginatifnya sangat berpengaruh. Albert Einstein yang merupakan pengasas teori relativiti sendiri merupa peminat penyair romantik Britain seperti Wordsworth dan Mary Shelley.

Begitu juga ahli matematik, Alfred North Whitehead yang menghasilkan karya Principia Mathematica (1910) juga merupakan pengkagum karya-karya Wordsworth dan Mary Shelley.

Oleh itu, tidak menghairankan jika banyak pemikir inovatif dalam disiplin ilmu sosial dan sains mempunyai latar belakang sastera yang kukuh. Pemikir Edward W. Said misalnya membongkar epistemologi orientalisme sambil membuka pintu pascakolonialisme melalui disiplin itu.

Michel Foucault, yang mengadakan analisis wacana untuk melihat prawacana atau Antonio Gramsci yang melihat sastera sebagai medium pembaharuan moral dan untuk mengungkapkan ideologi-ideologi kelompok sosial.

Terdapat puluhan tokoh intelektual lain seperti ahli astronomi Carl Sagan, Free Dyson dan pakar roket Wernher Von Braun dikatakan bermula daripada kegemaran membaca karya fiksyen sains.

Pembacaan yang mendalam terhadap karya-karya tersebut telah menemukan mereka dengan pertembungan titik pertemuan antara disiplin sastera dan sains dalam kerangka ontologi (metafizik).

Ini kerana kedua-duanya mampu mengetengahkan kenyataan walaupun di satu sisi sastera lebih mendekati alam imaginatif sedangkan sains merupakan ruang realiti.

Bagaimanapun antara sastera dan sains juga saling mempengaruhi misalnya sains dapat menjadi inspirasi bagi pengarang untuk menciptakan karya fiksyen dan begitu juga sebaliknya.

Dalam sejarah kepengarangan dunia muncul penulis-penulis yang berjaya memanfaatkan kedudukan ini untuk menghasilkan karya yang memukau. Antaranya Edgar Allan Poe (Eureka), Lewis Carrol (Alice’s Adventure in Wonderland) dan Jorge Luis Borges (Ficciones).

Namun, jauh sebelum itu terdapat pengarang yang meneroka ruang fiksyen sains dengan baik iaitu Jules Verne yang menghasilkan From The Earth to the Moon).

H.G Wells pula menulis The Time Machine (1895), The Invisible Man (1897), The War of the Worlds (1898) dan The First Men in the Moon (1901).

Dalam konteks Malaysia, fiksyen sains juga bukan merupakan genre baru. Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar misalnya pernah menghasilkan novel yang cukup menarik, Dendam Siber - sebuah wacana adaptasi sains dan sastera.


Dengan mengambil kira prospek masa depan sains sebagai ruang untuk penciptaan karya kreatif tersebut, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan mengambil inisiatif menganjurkan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan.

Seperti dijelaskan oleh Pengarah Penerbit UTM, Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar, sayembara tersebut merupakan usaha kedua-dua institusi tersebut untuk meningkat dan menggalakkan manipulasi daya cipta, kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar tempatan, tenaga pengajar khasnya dan rakyat Malaysia secara umumnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sasaran utama penyertaan iaitu semua pelajar dan staf Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di Malaysia, selain mereka yang berminat untuk menyertainya.

“Penyertaan ini terbuka kepada umum tetapi mereka mesti mestilah warganegara Malaysia dan karya wajib dihasilkan dalam bahasa Malaysia,” katanya.

Sebenarnya, menurut Ahmad Zaki, idea untuk mengadakan sayembara tersebut bermula dengan Sayembara Novel Cereka Sains dan Teknologi Peringkat Kebangsaan. Pelancarannya telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM pada 15 Ogos tahun lalu. Ia bersempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2007.

Sebagai penerbit ilmiah, UTM belum pernah menerbitkan genre Cereka Sains. Apabila melihat potensi buku jenis ini dapat membina minda dan berupaya menarik pembaca khususnya golongan muda untuk meminati bidang sains dan teknologi, satu usaha ke arah itu diusahakan.

“Kita melihat Kumpulan Utusan mempunyai pengalaman luas dalam penganjuran sayembara sastera dan penerbitan. Ini bertepatan dengan objektif UTM menarik minat penulisan rakyat Malaysia.

“Dengan adanya kerjasama dengan Kumpulan Utusan, Penerbit UTM yakin akan mendapat sebanyak mungkin penyertaan dan sayembara ini dilihat akan lebih berjaya,’’ tambah beliau.

Ahmad Zaki mengakui, Penerbit UTM pada dasarnya memerlukan rakan media/penerbit swasta yang berpengalaman luas dalam penganjuran sayembara serta berpengaruh untuk berganding bahu dalam usaha ini.

Sebagai penganjur bersama, UTM akan bertanggungjawab membiayai sepenuh kos berkaitan penganjuran sayembara tersebut termasuk kos hadiah, penganjuran bengkel penulisan, honororium panel hakim, mesyuarat panel hakim serta kos lain yang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil kerjasama tersebut, Kumpulan Utusan bersetuju berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam penganjuran sayembara novel dan seterusnya penerbitan novel.

Ini termasuk penyediaan kriteria penilaian dan jadual kerja penghakiman, pelantikan panel hakim, pengendalian mesyuarat penghakiman dan pelaporan, fasilitator bengkel penulisan dan proses lain yang berkaitan.

“Paling menarik, penyertaan terbuka kepada individu atau berkumpulan. Sesebuah kumpulan yang dibenarkan hendaklah tidak melebihi tiga orang ahli kumpulan.

“Peserta boleh menghantar seberapa banyak karya. Tiada had penyertaan sama ada bagi peserta individu atau berkumpulan,” ujar beliau.

Sementara itu, majlis pelancaran sayembara dan majlis menandatangani MoU oleh UTM dan Utusan Melayu bakal diadakan pada 7 April ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan ialah;

Pertama (RM15,000, watikah dan trofi), tempat kedua (RM7,500, watikah dan trofi), ketiga (RM5,000, watikah dan trofi) manakala lima pemenang sagu hati masing-masing akan menerima RM500, watikah dan trofi.

Sementara itu, keterangan lanjut mengenai sayembara tersebut hubungi Sekretariat Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi, Penerbit UTM di 07-5218166 (Yosman Mohd. Bain).

* BENGKEL Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi akan diadakan pada 6 April bermula pukul 8 pagi di Bilik Kelantan, PWTC. Ia akan dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Amida Abdulhamid. Setiap peserta akan dikenakan bayaran RM50.

Utusan Melayu


Keputusan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM dan Kumpulan Utusan


KUALA LUMPUR 14 Dis. - Karya Kala Yuda ciptaan Amer Hamzah L. Kadir dari Kota Tinggi, Johor diangkat sebagai johan Sayembara Fiksyen, Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)-Kumpulan Utusan. Kemenangan itu melayakkan beliau yang merupakan seorang guru dari Kulim, Kedah meraih wang tunai RM15,000. Tempat kedua dimenangi Nurul Izwati Mohd. Nor dari Jengka, Pahang dengan karyanya bertajuk Sentinel: Kronikel Bumi manakala Tawanan Kota Kumbang, karya Ruzaini Yahya dari Muar, Johor di tempat ketiga. Kedua-duanya juga adalah guru dan masing-masing menerima RM7,500 dan RM5,000. Karya Petaka Bakteria oleh Mohd. Kasim Mahmud dan Rawan oleh Hafizah Iszahanid pula dipilih penerima hadiah penghargaan.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang sayembara ini akan diadakan pada Februari depan. Keputusan nama-nama pemenang itu diumumkan Pengerusi Panel Hakim, Profesor Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar di UTM Jalan Semarak hari ini. Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Zaini Ujang dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin. Selain itu ialah Pengarah Penerbit UTM Press selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sayembara, Prof. Dr. Hisamuddin Jamaluddin dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad. Dilancarkan pada 10 Februari lalu, sayembara ini merupakan kerjasama UTM dan Kumpulan Utusan yang bertujuan meningkatkan martabat bidang penulisan tanah air.

Sempena penganjuran sayembara itu, satu siri jelajah seluruh negara mengenai bersiri penulisan fiksyen sains dan teknologi diadakan. Menurut Ahmad, sayembara kali ini mendapat sambutan menggalakkan dengan 22 manuskrip diterima selepas tarikh tutup pada 31 Ogos lalu. 'Bilangan penyertaan melebihi jangkaan penganjur memandangkan sayembara ini masih baru dan belum pun setahun jagung,' katanya. Beliau menambah, penyertaan kali ini meliputi pelbagai latar belakang termasuk penuntut institusi pengajian tinggi, wartawan, penulis sepenuh masa, pensyarah, jurutera hatta pengawal keselamatan.


Dalam pada itu, Zaini berkata, pihaknya berhasrat mengetengahkan kategori baru melibatkan penyertaan pelajar sekolah pada penganjuran sayembara akan datang. 'Perkara ini masih dalam perhatian kerana kita difahamkan terdapat ramai pelajar yang berminat menyertai sayembara ini,' katanya. Dalam masa sama, beliau menjangkakan penyertaan sayembara musim kedua akan
mula dibuka pada pertengahan tahun 2011. 'Penyertaan itu akan dibuka selepas penganjuran bengkel penulisan fiksyen sains dan teknologi ke seluruh negara selama setahun setengah dari awal tahun 2010 sehingga pertengahan 2011,' ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Hashim dalam ucapannya berkata, Kumpulan Utusan berbangga kerana dapat menjalin kerjasama kali pertama dengan UTM dalam penganjuran sayembara itu. 'Ia memberi peluang kepada kedua-dua organisasi yang berlainan latar belakang itu bertukar-tukar idea bagi membantu meningkatkan lagi perkembangan budaya sastera negara,'' katanya

Comments