Selamat Berangkat Wahai Tetamu




- kepada semua bakal haji dan hajjah

Selamat berangkat wahai tetamu
berjalanlah dengan langkah penuh rahmat
bertasbihlah dalam ungkap penuh hikmat
berdoalah dalam jiwa penuh lazat
tuhan menunggumu di pintu
senyumlah wahai tetamu
kerana kebahagiaan telah turun bersama angin pasir
kerana kedamaian telah berapung bersama awan gurun
kerana ketakwaan telah berpaksi di menara jiwa
berbahagialah wahai tetamu
dirimu menjadi pilihan Maha Cahaya
berada di dekatnya berada di taman-tamannya


melangkahlah wahai tetamu
ranumnya keberkatan limpahan rahmat mengalir ke atasmu
pasrahkan  jiwamu tundukkan hatimu
beradalah antara taman-taman syurga
bersaksikanlah dengan mata hatimu
keagungan Ilahi
kita yang rendah kita yang hamba
hadapkanlah hati dan jiwa
kita datang meraba dalam gelap harap
kita berjalan dalam debu mengharap restu
pergilah tetamu, penuhkan panggilan tuhanmu


 pergilah wahai tetamu
tawaf dan sai memohon redha
wukuf dan sujud mengharap ampun
tuhan memilihmu
menangislah kerana jiwamu ingin begitu
merataplah kerana hatimu mahu begitu
kerana tuhanmu melihatmu 



pergilah wahai tetamu
aku menunggu dari sudut jauh
penuh doa dan harap
bilakah pula namaku terpanggil 
Ya Ilahi Maha Pengasih
ingin benar  berada
dalam debu restumu


Comments

Post a Comment