7 Sep 2013

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Klik Banner Untuk Muat Turun PPPM 2013 - 2025

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-1015 telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 September 2013. Majlis pelancaran diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. PPPM merupakan dokumen setebal 300 muka surat menyatakan dengan terperinci lima aspirasi sistem dan enam ciri murid yang akan dicapai dalam tempoh 13 tahun akan datang. Apa yang penting adalah PPPM merupakan manifestasi transformasi kerajaan yang paling menyeluruh dan besar, dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara. Ia memberi tumpuan kepada keberhasilan murid merangkumi semua peringkat persekolahan iaitu daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat lepasan menengah. Dokumen PPPM ini merupakan pelengkap kepada Laporan awal PPPM dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 September tahun lepas.


Tranformasi pendidikan dilaksana dalam 3 gelombang

KUALA LUMPUR - Tranformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dilaksanakan dalam tiga gelombang.

Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.

Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.

"Menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan," menurut pelan yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baru dan penstrukturan semula kementerian.

Kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang disemak semula juga akan diperkenal dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.

Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.

Bagi memastikan objektif PPPM terlaksana, kementerian juga akan melaksanakan beberapa tindakan, termasuk mengekalkan komitmen dan tumpuan dari kepimpinan atasan terhadap pelan ini, serta penubuhan satu unit kecil iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu) untuk memacu pelaksanaan PPPM.

Padu akan mempunyai kuasa eksekutif dan berperanan memantau kemajuan, menyelesaikan isu pelaksanaan dengan pegawai bertanggungjawab dan berkomunikasi dengan pihak berkepentingan tentang transformasi.

Kementerian juga akan mewujudkan sistem pengurusan prestasi melalui KPI yang jelas, selain terus melibatkan pegawai kementerian dengan pihak berkepentingan yang lain untuk mendapatkan maklum balas dan input bagi memastikan keseluruhan sistem pendidikan terlibat dalam proses transformasi ini. - Bernama

Sinar Harian


PPPM: Keberhasilan murid akan dimaksima

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan komited untuk memaksimum keberhasilan murid bagi setiap Ringgit kerana 16 peratus daripada belanjawan Persekutuan adalah untuk pendidikan dan jumlah itu merupakan yang paling besar dalam kalangan semua kementerian selain tertinggi di dunia.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan, bagi mencapai matlamat itu kementerian akan mengaitkan setiap program kepada keberhasilan murid dan merasionalkan program berimpak rendah pada setiap tahun, yang mana pemberian dana untuk tahun berikutnya bergantung kepada peningkatan hasil yang ditunjukkan.

"Selain itu, kementerian akan mengagihkan peruntukan kepada bidang paling penting seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru," menurut laporan itu.

Pada masa sama, kementerian akan memastikan keluarga berpendapatan rendah terus menerima bantuan supaya anak-anak mereka terus bersekolah, manakala keluarga berpendapatan tinggi, yang lebih berkemampuan akan menerima bantuan lebih rendah.

PPPM itu juga menyebut, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan lebih berkeupayaan membuat keputusan operasi yang utama dalam hal ehwal belanjawan seperti peruntukan penyelenggaraan di sekolah dan urusan kakitangan.

Menurut pelan itu, hampir 2,500 pembimbing guru dan pembimbing pengetua/guru besar akan ditempatkan di semua PPD menjelang 2014 untuk memberi lebih banyak sokongan langsung kepada sekolah.

Kementerian turut memberi jaminan 150 hingga 200 pegawai di JPN serta PPD yang telah dikenal pasti akan dinaikkan pangkat ke jawatan kepimpinan utama berdasarkan kompetensi dan bukannya tempoh perkhidmatan.

PPPM setebal 300 muka surat itu juga menyatakan perubahan fungsi dan struktur baharu Kementerian Pendidikan akan bermula tahun depan, manakala pelaksanaan sepenuhnya akan dimulakan pada 2016 apabila transformasi kementerian berjalan lancar.

Selain itu, anjakan daripada pembelajaran berasaskan sekolah kepada pembelajaran berasaskan sistem juga akan dilaksanakan dengan melibatkan ibu bapa, komuniti, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan dalam membantu pembelajaran murid.

Menerusi anjakan itu, ibu bapa antara lain akan menandatangani aku janji dengan sekolah yang menetapkan langkah mudah yang boleh diambil termasuk memastikan anak-anak mereka berada di sekolah tepat pada waktunya.

PPPM itu turut menyatakan, bilangan Sekolah Amanah akan ditambah kepada 500 menjelang 2025 yang membolehkan penaja swasta bekerjasama dengan kepimpinan sekolah untuk mengurus sesebuah sekolah.

Bagi tujuan meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung, kementerian akan menerbitkan laporan tahunan berhubung perkembangan setiap inisiatif yang direncanakan dalam PPPM.

Selain itu, KPM juga akan membuat semakan komprehensif pada 2015, 2020 serta 2025 tentang pencapaian utama sepanjang pelaksanaan pelan itu dan semua pihak yang berkepentingan boleh memberikan input melalui proses Dialog Nasional. - Bernama

Sinar Harian


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025: Transformasi Profesion Perguruan Negara
Nor Hartini binti Saari.

Bidang pendidikan mencatat lagi sejarah. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada pertengahan September lalu telah membuka lembaran baru buat sistem pendidikan dalam negara.

Transformasi pendidikan ini melibatkan tiga gelombang atau fasa yang mengambil masa tiga belas tahun bermula tahun 2013-2025. Proses transformasi yang terancang ini memberi satu lagi cabaran kontemporari buat dunia profesion perguruan dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi menghadapi cabaran abad ke-21.

Berdasarkan perancangan yang digariskan itu maka besarlah harapan untuk meningkatkan sistem pendidikan negara kita setanding negara-negara maju. Apatah lagi di dalam bajet 2013 baru-baru ini turut memperuntukkan sebanyak 15 peratus daripada peruntukan bajet keseluruhan atau sebanyak 38.7 bilion kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dalam memastikan pengurusan sektor pendidikan negara membangun secara holistik terutama aspek memperkasakan kualiti guru.

Ini memandangkan 60 peratus guru yang ada sekarang dijangka kekal dalam perkhidmatan selama hampir 20 tahun lagi. Maka usaha meningkatkan kemahiran dan kemampuan mereka adalah amat penting dan perlu dititikberatkan.

Keseriusan dalam membangunkan aspek pendidikan negara ini mencerminkan bahawa betapa aspek profesion perguruan dalam sistem pendidikan negara bertindak sebagai nadi utama dalam pembangunan terutama dalam memastikan mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Kita tidak mahu apa yang dirancang dalam tempoh masa tiga belas tahun ini hanya cantik di atas kertas sahaja tetapi apa yang kita mahukan adalah komitmen daripada semua pihak dalam memajukan transformasi sektor pendidikan ini berjalan dengan lancar.

Dalam memenuhi aspirasi tinggi negara ini, kita tidak boleh berdiam diri dalam persekitaran global yang semakin kompetitif. Perubahan yang berlaku bukan sekadar menambah kakitangan guru dan menambahbaik kemudahan yang sedia ada tetapi perlu memahami dinamik proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Di sinilah peranan guru yang paling utama dalam memberikan input kepada pelajarnya.

Gelombang pertama (2013-2015) yang melihat kepada pemerkasaan guru ini amatlah signifikan. Islam turut memandang tinggi profesion perguruan sebagai pendidik dalam pembangunan ilmu, kemahiran dan sahsiah pelajar.

Untuk mengetahui sejauhmana pentingnya profesion perguruan dalam Islam, Al-Quran dan hadis ada menjelaskan antaranya, Allah s.w.t berfirman: "Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik". (Surah an-Nahl: 125). Dan Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawasanya jika kamu mengajar seseorang, lalu dia mendapat kebajikan yang lebih berharga daripada dunia dan segala isinya".

Jika diteliti maksud ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w yang diutarakan ini, jelas menunjukkan akan keutamaan-keutamaan mengajar khususnya dalam profesion perguruan.

Seorang pendidik mestilah menyedari akan hakikat bahawa pengajaran itu merupakan tanggungjawab dan amanah yang mesti dilaksanakan. Ini kerana kecemerlangan pendidikan banyak bergantung kepada kualiti dan kepakaran guru. Oleh itu, guru berkualiti merupakan faktor penentu kepada peningkatan prestasi sekolah dan pencapaian murid.

Justeru, peluang untuk para guru menjalani latihan kemahiran berterusan serta laluan kerjaya yang lebih luas perlu diberikan perhatian selain dapat meningkatkan lagi mutu P&P dalam perkhidmatan seorang guru. Apabila prestasi guru meningkat secara tidak langsung ia akan memberi kesan positif kepada prestasi pelajarnya.

Hal ini diperkukuhkan lagi berdasarkan kajian yang dijalankan di Tennessee, Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1990-an yang menunjukkan relatif guru berpendidikan tinggi dapat meningkatkan pencapaian murid sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga tahun berbanding guru berprestasi rendah.

Di samping itu, peranan guru dalam proses penggerak P&P yang berkualiti dan efektif turut sama meningkatkan pembangunan pendidikan sekolah. Keadaan ini secara berterusan dapat dapat merangsangkan pelajar untuk belajar dengan lebih seronok sesuai dengan alam pendidikan di peringkat rendah sehingga peringkat atas. Sebaliknya, pengajaran tidak akan menjadi menarik minat pelajar apabila guru lebih bergantung kepada kaedah syarahan berbentuk pasif dalam menyampaikan kandungan mata pelajaran mereka.

Oleh itu, aspek kreativiti serta inovasi P&P daripada seorang guru perlu diterokai bagi melihat apa yang ingin mereka sampaikan menarik minat pelajarnya. Segala bentuk proses pembelajaran berbentuk formal dan tidak formal bergantung kepada kreativiti dan peranan utama terletak pada tanggungjawab guru. Inilah transformasi negara yang kita kehendaki yang dapat dimanfaatkan dalam sistem pendidikan negara.

Dalam memperkukuhkan aspek kemahiran guru ini adalah digalakkan agar para guru terus memperkukuhkan latihan dalam perkhidmatan. Sebagai contoh, guru-guru yang telah lama berkhidmat hendaklah terus diberi pendedahan khusus tentang sahsiah guru sebagai murabbi, dengan pendekatan dan kaedah pengajaran terkini.

Sebagai murabbi, guru bukan sahaja bertindak untuk mengajar beberapa subjek mengikut sukatan pelajaran tertentu tetapi mereka turut berperanan untuk sama-sama mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didik mereka menjadi manusia yang berilmu, bertakwa dan beramal soleh serta mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran atau melaksanakan konsep amar ma'ruf dan nahi munkar yang dapat melahirkan pelajar yang memiliki keperibadian yang luhur.

Dalam merencanakan profesion guru cemerlang ini juga dalam abad ke-21 penyediaan geran penyelidikan juga adalah penting untuk membantu menaiktarafkan profesionalisme guru dalam kemajuan kerjaya mereka. Kemudahan geran penyelidikan misalnya turut memberi laluan kepada para guru untuk meningkatkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi adalah terbuka luas.

Di samping dapat melahirkan sebilangan besar guru yang lebih berkemahiran berfikir aras tinggi seterusnya dapat membantu melahirkan masyarakat yang juga dapat berfikir (thinking society) secara kritis, kreatif dan inovatif. Proses melahirkan modal insan yang berinovatif dan berkemahiran tinggi ini merupakan sebahagian pelaburan besar pendidikan untuk menjamin kemajuan ekonomi dan kesejahteraan negara.

Bagi mencapai matlamat dan usaha murni ini, marilah kita semua bersatu dan mengambil tanggungjawab sebagai guru bagi menyokong setiap aktiviti dan program pendidikan terutama kepada maklum balas di dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan dimuktamadkan Disember depan.

Ingatlah apabila negara mempunyai masyarakat yang berpendidikan tinggi maka kemajuan ekonomi juga akan meningkat. Jika ini tercapai maka kita akan melihat Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju menjelang tahun 2020.



Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia manifestasi transformasi kerajaan

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), satu-satunya manifestasi transformasi kerajaan yang paling menyeluruh dan paling besar, dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan berkata pelan itu dihasilkan demi masa depan anak-anak Malaysia yang menjadi harta yang tidak ternilai bagi bumi tercinta ini kerana di tangan merekalah kemajuan negara akan dipertaruhkan.
"Sekiranya pelan ini begitu komited untuk menyediakan anak-anak dengan kemahiran dalam enam aspirasi murid, adalah lebih baik dan molek jika dapat disambut dengan baik, dengan penuh rasa tanggungjawab, agar perencanaan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya dan menghasilkan kejayaan yang dicita-citakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan PPPM bagi tempoh 2013 hingga 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Cheng dan P Kamalanathan serta Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Muhyiddin berkata, dasar pendidikan sedia ada yang berasaskan kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan dalam PPPM.
- BERNAMA

Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena