Pak Matlob : Munsyi Bahasa Terakhir

Johan Jaafar menyebutnya sebagai munsyi bahasa terakhir. Ramai yang membesar dengan membaca hasil tulisnya. Ia terhasil berganti generasi dan putar masa. Beliau menulis dalam ruangan “Mari Berfikir” dalam Utusan Kanak-kanak (Januari 1959 – 1961), “Taman Kanak-kanak” dan “Ruangan Pelajar” dalam Mingguan Malaysia (1965 – 1967), “Taman Sains” dalam Utusan Pelajar (1971 – 1984), “Mingguan Pelajar” dan “Gedung Ilmu” dalam Berita Minggu (1984 – 1988).

Beliau turut menitiskan tinta melalui “Ruangan Pembaca Muda” dalam Utusan Melayu (1989 – 1990) dan beliau juga merupakan mantan Ketua Unit Pendidikan Jawi dalam Utusan Melayu (1993 – 1997). Pada bulan Mei 2001 beliau mula menulis ruangan “Pintar Jawi” dalam Berita Minggu.

Beliau lebih dikenali dengan nama Pak Matlob atau Matlob. Nama sebenar beliau Cikgu Mokhtar bin Talib tidak dikenali selain Matlob. Negeri kehidupan beliau dipenuhi dengan perjuangan memartabatkan sastera dan bahasa. Beliau tokoh terbilang memperkasakan tulisan Jawi. Walau begitu berat, walau begitu sarat dayung perjuangan  tetap di tangan mempertahankan warisan bangsa.

Perjuangan beliau telah berakhir. Kalam beliau telah berhenti. Tuhan lebih menyayanginya.  Beliau telah kembali menemui Ilahi. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah.
Al-Fatihah.

Tapi dalam jalur sejarah bahasa dan sastera negarea, nama beliau tak akan hilang.
Tinggal buku-buku dan tulisan untuk terus dibaca. Untuk terus kita hayati syair perjuangannya...

Mengajar bahasa cara Pak Matlob
Johan Jaaffar

Saya beruntung kerana berkesempatan belajar Bahasa Melayu (BM) daripada Allahyarham Cikgu Mokhtar bin Talib atau Pak Matlob. Tokoh bahasa dan sastera ini meninggal dunia pada hari Jumaat baru lalu, berusia 76 tahun. Negara kehilangan munsyi bahasa yang terakhir.

Saya tidak tahu sejauh manakah keberkesanan sistem pengajaran BM di sekolah-sekolah kita pada hari ini. Saya hairan setelah belajar selama sebelas tahun (dari darjah satu hingga tingkatan lima) pengguna BM masih membuat kesilapan penggunaan semudah penambahan ‘di’ misalnya. Atau tidak dapat membezakan ‘pada’ dan ‘daripada.’ Atau membuang ‘oleh’ sewenang-wenangnya dalam ayat.
Penguasaan bahasa yang lemah tidak tertakluk pada BM sahaja malah Bahasa Inggeris (BI) juga. Ada yang tidak boleh menulis ayat yang betul dalam BI apabila sampai tingkatan lima. Hal ini ditambah buruk oleh dunia maya atau siber di mana singkatan digunakan tanpa kawalan.

Saya melalui ‘Sistem Matlob’ untuk BM dan ‘Sistem Master Ismail’ untuk BI. Seperti Matlob, Cikgu Ismail Omar (guru BI dipanggil ‘Master’), seorang guru bahasa yang baik, berdedikasi dan tegas. Ismail pernah menjadi guru besar di Peserian Primary English School di Semerah, Batu Pahat. Beliau tidak berkompromi dalam soal bahasa. Bagi anak kampung yang mengetahui hanya tiga perkataan BI sewaktu masuk ke sekolah, saya harus belajar lebih kuat berbanding dengan kawan-kawan saya. Kedua-duanya percaya pada fahaman ‘kesalahan sifar’ dalam bahasa.

Untuk mata pelajaran BM, Matlob menekankan kepentingan nahu. Bahasa bukan bahasa namanya jikalau prinsip nahu tidak dihormati. Soal perbendaharaan kata, stail, gaya dan lain-lain boleh dikemudiankan. Beliau memberikan penekanan pada tatabahasa Melayu dan penggunaannya seharian. Ini membabitkan aspek morfologi dan sintaksis.

Kami diajar tentang keperluan memahami asas tatabahasa secara tuntas. Bahasa akan rosak jikalau tatabahasa tidak dipatuhi. Beliau akan memberikan penekanan pada pelbagai aspek tatabahasa serta kesalahan umum yang dilakukan oleh pelajar. Beliau memberikan penekanan pada aspek membaca bahan bukan teks. Setiap pelajar diwajibkan membaca karya sastera dalam pelbagai cabang – novel, cerpen, drama, sajak, syair dan lain-lain.

Seperti juga Ismail yang menggalakkan pelajar menghayati nursery rhymes yang popular dalam tradisi sastera Inggeris, Matlob mengajak pelajarnya mengenal sajak, syair, gurindam dan lain-lain. Kedua-duanya melihat perlunya pelajar memahami bagaimana indahnya bahasa dalam karya-karya sedemikian. Novel dan cerpen pula digunakan untuk mengenal lenggok dan gaya bahasa.

Matlob tidak patuh pada buku teks. Malah beliau membuat buku panduan tatabahasa sendiri yang disikostail untuk kegunaan pelajarnya. Mungkin ketika itu sukatan pelajaran lebih bebas dan anjal dan para guru tidak perlu menganggap buku teks sebagai kitab mutlak. Pada ketika itu juga pasaran tidak dibanjiri oleh buku kerja yang pada akhirnya menjadi bahan pergantungan utama guru-guru.

Tentu tidak mudah mengembalikan ‘Kaedah Matlob’ atau ‘Master Ismail’ dalam sistem pembelajaran BM dan BI hari ini. Tetapi ada baiknya sebahagian amalan mereka itu diguna pakai. Ini bagi memastikan penggunaan bahasa yang lebih baik, betul dan tepat.

Matlob juga dianggap ‘pandai jawi’, bermakna beliau pakar tulisan jawi. Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (1992-1998) beliau saya lantik sebagai penasihat jawi untuk akhbar Utusan Melayu dalam tulisan jawi. Sayangnya akhbar itu sudah dihentikan penerbitan hariannya mulai tahun 2002 setelah 63 tahun di pasaran (bermula pada tahun 1939). Ejaan jawi nampaknya tidak ada tempat di tengah masyarakat Melayu/Islam di negara ini.

Beliau juga menjadi salah seorang perunding jawi apabila DBP melaksanakan ejaan jawi baharu. Bagi Matlob, tulisan jawi teras dan roh orang Melayu/Islam. Tulisan itu mendekatkan kita pada tulisan Arab di dalam Al Quran. Bagi beliau, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Melayu/Islam untuk menguasai tulisan yang satu masa dahulu menjadi tulisan rasmi sastera, diplomasi dan dagang di rantau ini.

Matlob akan sentiasa diingat kerana sumbangan beliau sebagai tokoh bahasa.

Sumber : Berita Harian




Pak Matlob - pejuang sejati perkembangan tulisan jawi
Oleh ZULKIFLI ABDULLAH

MUNGKIN ramai yang tidak mengenali Mohammad @ Mokhtar Talib. Tetapi apabila disebut Pak Matlob, ramai yang tahu bahawa beliau ialah tokoh ternama dalam bidang tulisan jawi dan sastera kanak-kanak.

Anak kelahiran Kampung Laut, Semerah, Batu Pahat, Johor ini adalah pejuang sejati tulisan jawi dan telah menghasilkan lebih 400 buah buku dalam pelbagai bidang, kebanyakannya dalam tulisan jawi.

Dalam bidang penulisan jawi, tokoh pejuang tulisan jawi ini banyak memberi sumbangan berharga kepada akhbar dan majalah, antaranya beliau pernah mengelolakan ruangan Pandai Jawi dan Belajar Jawi di Utusan Malaysia.

Pernah berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun, lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai yang dilahirkan pada 5 Julai 1937 ini memulakan karya penulisan untuk kanak-kanak pada tahun 1953.

Dan ketika redup senja Jumaat 6 September lalu, tokoh yang amat besar jasanya dalam bidang tulisan jawi dan kesusasteraan kanak-kanak ini menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isterinya, Kalifah Md. Yusuf, pada usia 76 tahun di rumah mereka di Semerah, Batu Pahat.

Pak Matlob yang pada beberapa tahun terakhirnya banyak menyumbangkan tulisannya dan membantu penerbitan Utusan Melayu Mingguan. Allahyarham mula uzur selepas diserang angin ahmar tahun lalu dan demam sejak Rabu minggu lalu.

Pernah bertugas sebagai sebagai Ketua Unit Pendidikan Jawi untuk Utusan Melayu (1993-1998), Pat Matlob menghasilkan 11 novel remaja dan 107 novel kanak-kanak selain mengeluarkan 30 jenis bahan bacaan dan penyelidikan berhubung tulisan jawi moden dalam tempoh tiga tahun.

Allahyarham juga banyak menulis untuk majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta akhbar seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Utusan Zaman khususnya dalam bidang sastera kanak-kanak.

Skrip drama pentas pertama ditulis beliau bertajuk Mekarlah Mawar - Mekarlah Harapan, dipentaskan di Panggung Cathay Muar pada 28 Mei 1965.

Beliau kemudian menghasilkan karya kanak-kanak untuk Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pada 1965 hingga 1967.

Pak Matlob dipilih oleh UMNO sebagai penerima Anugerah Melayu Cemerlang, manakala di peringkat negeri, Pak Matlob dipilih menerima Anugerah Tokoh Pejuang Jawi daripada Persatuan Penulis Johor.

Kegigihan Allahyarham sehingga tahun-tahun terakhir kehidupannya memperjuangkan tulisan warisan orang Melayu itu terbukti apabila sanggup datang dari Semerah ke Ibu Pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur untuk menghantar sendiri hasil karyanya kepada akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan.

Kecintaannya kepada tulisan jawi jelas tergambar apabila sanggup mengeluarkan wang sendiri sebagai hadiah pertandingan tulisan jawi yang dianjurkannya dengan kerjasama Utusan Melayu Mingguan.

Sejak dua tahun lepas, beliau tidak lagi aktif menghantar karya atau memberikan ceramah mengenai tulisan jawi apabila lumpuh akibat diserang angin ahmar.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama Pak Matlob akan terukir dengan tinta emas dan kekal harum sebagai pejuang sejati tulian jawi di negara ini.

Al-Fatihah.

Sumber : Utusan Online


PEJUANG TULISAN JAWI MENINGGAL DUNIA

BATU PAHAT - Tokoh tulisan jawi, Mohamad Mokhtar Talib yang lebih popular dikenali sebagai Pak Matlob, 76, yang uzur selepas diserang angin ahmar tahun lalu meninggal dunia pada pukul 6 petang ini di rumahnya di Semerah, di sini.

Allahyarham yang merupakan pejuang tulisan Jawi moden menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya selepas mengalami demam sejak dua hari lalu.

Isterinya, Kalifah Md Yusuf, 60, berkata, Pak Matlob yang lumpuh selepas diserang angin ahmar sejak tahun lalu meninggal dunia selepas majlis Marhaban yang diadakan di rumah mereka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Semasa 40 orang kumpulan Marhaban wanita berada di rumah, Allahyarham masih kelihatan sihat, cuma ketika mereka hendak pulang dia sempat meminta maaf pada semua orang.

“Tidak lama selepas kumpulan Marhaban pulang, saya rasa tangan Pak Matlob sejuk dan matanya asyik memandang muka saya.

"Selang beberapa minit dia memalingkan muka dan memejamkan mata, ketika itulah Pak Matlob meninggal dunia. Dia pergi dengan senang dan tenang,” katanya.

Kalifah menambah, dia reda dengan pemergian Allahyarham yang tenang tanpa kesakitan serta berada disisinya dan jenazah Allhayarham Pak Matlob akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Nibong

Katanya, Pak Matlob yang merupakan bekas guru sekolah memulakan karya penulisan untuk kanak-kanak pada tahun pada 1953 sebelum diteruskan dengan penulisan rencana tentang pendidikan, kesusasteraan, kebudayaan dan sosial.

Skrip drama pentas pertama ditulis beliau bertajuk ‘Mekarlah Mawar–Mekarlah Harapan’ dipentaskan di Panggung Cathay Muar pada 28 Mei 1965.

Beliau kemudian menghasilkan karya kanak-kanak untuk Utusan dan Mingguan Malaysia pada 1965 hingga 1967. Selepas menghasilkan 11 novel untuk remaja dan 107 novel untuk kanak-kanak, beliau dilantik sebagai Ketua Unit Pendidikan Jawi untuk Utusan Melayu.

Allahyarham semasa hayatnya turut mengeluarkan 30 jenis bahan bacaan dan penyelidikan berhubung tulisan Jawi moden dalam tempoh tiga tahun.


Sumber : Sinar Harian


Pak Matlob Terima Hadiah Karyawan Sastera Johor

JOHOR BAHRU 18 Julai - Tokoh pejuang tulisan jawi dan sastera kanak-kanak, Mohammad @ Mokhtar Talib, 72, atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob dipilih sebagai penerima Hadiah Karyawan Sastera Johor pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta'zim Ketujuh di sini semalam.
Anak kelahiran Semerah, Batu Pahat itu dipilih menerima anugerah tertinggi pada majlis tersebut berikutan sumbangan penulisannya yang berjaya mengharumkan nama negeri ini di peringkat nasional dan antarabangsa.

Anugerah itu yang melayakkan beliau menerima wang tunai RM7,000 disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Hadiah Sastera Darul Ta'zim diwujudkan sejak 1996 sebagai penghargaan kepada para penulis di negeri ini atas sumbangan mereka dalam mengembangkan bidang sastera dan bahasa.

Anugerah dwitahunan itu dianjurkan oleh kerajaan negeri menerusi Yayasan Warisan Johor dan mendapat kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Pak Matlob yang juga bekas Pengarang Pendidikan Utusan Melayu (1993-1998) telah menghasilkan 400 buah buku dalam pelbagai bidang, kebanyakannya dalam penulisan jawi dan sastera kanak-kanak.

Pada tahun lalu, UMNO telah memilih beliau untuk menerima Anugerah Melayu Cemerlang manakala di peringkat negeri, Pak Matlob dipilih menerima Anugerah Tokoh Pejuang Jawi daripada Persatuan Penulis Johor sempena Bulan Bahasa dan Sastera negeri.

Beliau juga telah dipilih membentangkan kertas kerja bertajuk Perancangan, Penghasilan dan Pengedaran Buku-Buku Untuk Kanak-kanak dan Orang Muda di Asia pada seminar Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 1975.

Dalam bidang penulisan jawi, Pak Matlob banyak memberi sumbangan berharga kepada akhbar dan majalah, antaranya beliau pernah mengelolakan ruangan Pandai Jawi dan Belajar Jawi di Utusan Malaysia.

Beliau juga dilantik sebagai kolumnis ruangan Warisan Bangsa di majalah Pelita Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sumbangan beliau dalam sastera kanak-kanak juga dapat dilihat dengan jelas menerusi penulisannya di pelbagai akhbar di negara ini antaranya di Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Utusan Zaman.

Pak Matlob dilahirkan pada 5 Julai 1937 dan pernah berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun.

Beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim dan melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Sumber : Utusan Online


BIOGRAFI MATLOB

Nama sebenarnya Muhammad @ Mokhtar bin Talib. Dilahirkan pada 5 Julai 1937, di Kampung Laut Semerah, Batu Pahat, Johor.
Alamat :L 117 Pekan Semerah, 83600 Semerah, Batu Pahat, Johor Darul Takzim.

MATLOB, sebuah nama yang cukup dikenali dalam kesusasteraan kanak-kanak dan remaja. Berasal dari keluarga nelayan dan merupakan anak sulung kepada Talib bin Tandang, seorang guru mengaji al-Quran dan Mariam binti Hj. Ahmad. Matlob dalam bahasa Arab bermaksud “yang dikehendaki” iaitu gelaran yang diberikan oleh guru agamanya. Nama inilah diabadikannya sebagai nama samarannya sejak mula bergiat dalam bidang penulisan.

Matlob mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lubuk, Batu Pahat (1946 – 1949) sehingga tamat darjah V. Pada tahun 1950, beliau belajar dalam darjah VI di Sekolah Melayu Pintas Puding, Batu Pahat. Beliau menjadi guru pelatih semasa berumur 15 tahun di Sekolah Melayu Seri Benut, Johor (1952 – 1953).

Didikan awal yang diterimanya di sekolah telah menyuburkan minatnya dalam bidang penulisan. Beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC), Tanjung Malim (1954–1956). Di sini, beliau mendapat rangsangan daripada Master of Method, Aminuddin Baki, agar menyelidik dan menghasilkan karya untuk kanak-kanak Melayu yang kebetulan pada waktu itu masih terlalu kurang.

Matlob terpilih untuk mengikuti kursus tambahan di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur (Mei 1962 – Mei 1963). Beliau terus berusaha gigih untuk meningkatkan kelayakan akademiknya dan melalui pembelajaran secara sendiri, beliau lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1965.

Seterusnya, Matlob menjadi munsyi di Sekolah Convent Batu Pahat, Penolong Kanan Sekolah Menengah Semerah dan menjadi Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Penghulu Salleh, Sekolah Kebangsaan Seri Comel, Sekolah Kebangsaan Parit Sulong dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Persenian.

Karya pertama Matlob tersiar dalam Utusan Kanak-kanak dan Tunas pada tahun 1953 dan meneruskannya kreativitinya selepas tamat belajar dari SITC. Tulisannya dalam bentuk rencana yang menggarap pelbagai bidang terutama pendidikan, kesusasteraan, kebudayaan dan sosial, tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah tanah air. Beliau juga menulis skrip drama pentas, iaitu “Mekarlah Mawar–Mekarlah Harapan” dipentaskan di Panggung Cathay Muar pada 28 Mei 1965, “Batu Belah Batu Bersemah”, iaitu tablo yang membabitkan 252 orang pelakon pada 5 Jun 1975, Istiadat Bersanding Johor untuk Pesta Permainan Tradisional ke-6 pada 6 November 1976. Beliau menghasilkan lebih daripada 30 buah cerpen dan 360 buah buku.

Beliau turut memimpin ruangan “Mari Berfikir” dalam Utusan Kanak-kanak (Januari 1959 – 1961), “Taman Kanak-kanak” dan “Ruangan Pelajar” dalam Mingguan Malaysia (1965 – 1967), “Taman Sains” dalam Utusan Pelajar (1971 – 1984), “Mingguan Pelajar” dan “Gedung Ilmu” dalam Berita Minggu (1984 – 1988), “Ruangan Pembaca Muda” dalam Utusan Melayu (1989 – 1990) dan beliau juga merupakan mantan Ketua Unit Pendidikan Jawi dalam Utusan Melayu (1993 – 1997). Pada bulan Mei 2001 hingga sekarang, Matlob menulis ruangan “Pintar Jawi” dalam Berita Minggu.

Selain itu, beliau juga mengetuai Persatuan Peminat Bahasa dan Penulis Muar (PPPBPM) bersama Salleh Kasmin (Salmin) dan menganggotai Persatuan Penulis Johor (PPJ). Beliau telah dipilih oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) untuk membentangkan kertas kerja dalam Seminar Wilayah Unesco mengenai Planning, Production and Distribution of Books for Children and Young People in Asia bertajuk “Books for Children and The Young Ones” di Kuala Lumpur pada Disember 1975.

Matlob masih lagi aktif dalam bidang penulisan meskipun telah lama bersara daripada kerjaya perguruan. Beliau juga meneruskan usaha memperjuangkan kepentingan dan keperluan tulisan jawi dengan menganjurkan seminar atau bengkel jawi di mana sahaja tenaganya diperlukan.

Karya

Novel Remaja
Lanun di Bukit Kapal. Singapura: Pustaka Nasional, 1970; (Siri Adventur BOLTAM)
Surat Rahsia. Singapura: Pustaka Nasional, 1970.
Hantu-hantu Laut. Singapura: Pustaka Nasional, 1971.
Anjing Polis. Singapura: Pustaka Nasional, 1971.
Siapa Jadi Johan. Singapura: Pustaka Nasional, 1971.
Orang Halus Bukit Titiwangsa. Singapura: Pustaka Nasional, 1972.
Pemancing Udang Galah. Singapura: Pustaka Nasional, 1973.
Rahsia Hospital Buta. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1977.
Rahsia Pulatala. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1977.
Pakcik Mat Renjer. Singapura: Pustaka Nasional, 1978.
Jerung Hitam. Singapura: Pustaka Nasional, 1978.

Novel Kanak-kanak
Menunggu Anak Kak Yi. Johor Bahru: Badan Book Store, 1993.

Siri Cerita Mat Kancil
Menangkap Pencuri Ayam. Johor: Penerbitan Malaysia Book Store, 1969.
Comelku Sayang. Johor: Penerbitan Malaysia Book Store, 1969.
Berkhemah. Johor: Penerbitan Malaysia Book Store, 1969.
Jadi Tukang Banci. Johor: Penerbitan Malaysia Book Store, 1969.
Jadi Penasihat. Johor: Penerbitan Malaysia Book Store, 1969.

Siri Sains Kanak-kanak
- Mat Sains Naik Keretapi. Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu Press Ltd., 1976.
- Anak Ayam Mat Sains. Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu Press Ltd., 1976.
- Mat Sains Pergi Zoo. Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu Press Ltd., 1976.
- Mat Sains Bunuh Ular. Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu Press Ltd., 1976.
- Mat Sains Takut Anjing. Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu, 1976.
- Anak Kerbau Mat Sains. Melaka: Associated Educational Distributors, 1983.
- Mat Sains dengan Bayang-bayang. Melaka: Associated Educational Distributors, 1983.
- Mat Sains Jadi Angkasawan. Melaka: Associated Educational Distributors, 1983.
- Mat Sains ke Taman Purba. Melaka: Associated Educational Distributors, 1983.
- Mat Sains Membina Kota. Melaka: Associated Educational Distributors, 1983.

Siri Cerita Klasik
- Batu Belah Batu Bertangkup. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1978.
- Raja Merung Mahawangsa. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1978.
- Raja dari Bukit Siguntang. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1978.
- Panglima Nayan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1978.
- Perang Shah Kobat. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.
- Pengembaraan Badrul Muin. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.

Siri Pahlawan
- Hamzah Akhir Zaman. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1979.
- Hang Jebat. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1979.
- Hang Kasturi. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1979.
- Hang Tuah. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1979.
- Pahlawan Kecil Singapura. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1979.

Siri Kanak-kanak Desa
- Ah Kow: Anak Pekebun Sayur. Melaka: Associated Educational Distributors, 1979.
- Awang : Anak Nelayan. Melaka: Associated Educational Distributors, 1979.
- Borhan: Anak Pesawah. Melaka: Associated Educational Distributors, 1979.
- Kantan: Anak Pinggir Hutan. Melaka: Associated Educational Distributors, 1979.
- Kudi: Anak Penanam Lada Hitam. Melaka: Associated Educational Distributors, 1979.

Siri Anak-anak Pekerja
- Ah Meng: Anak Pekerja Lombong. Melaka: Associated Educational Distributors, 1980.
- Badri: Anak Pekerja Kapal Laut. Melaka: Associated Educational Distributors, 1980.
- Dayang Hamarah: Anak Pekerja Balak. Melaka: Associated Educational Distributors, 1980.
- Lily: Anak Pekerja Binaan. Melaka: Associated Educational Distributors, 1980.

Siri Moral
- Anak Tukang Emas. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.
- Beruk Raja. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.
- Jasa Puteri Raja. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.
- Kasih Kambing Jantan. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.
- Kucing Hadiah Raja. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.

Siri Srikandi
- Dua Orang Puteri Tani. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.
- Permaisuri Bintan. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.
- Putera Genggang. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.
- Raja Kesuma Dewi. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.
- Tun Fatimah. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1980.

Siri Cerita Warisan
- Anak Tiri yang Jujur. Melaka: Associated Educational Distributors, 1981.
- Balasan Dengki. Melaka: Associated Educational Distributors, 1981.
- Fakri Budiman. Melaka: Associated Educational Distributors, Helah Si Leman. Melaka: Associated Educational Distributors, 1981.
- Kisah Sulung Manja. Melaka: Associated Educational Distributors, 1981.

Siri Cerita Popular Kanak-kanak
- Beliung Emas di Hulu Sungai. Melaka: Associated Educational Distributors, 1982.
- Budak Kampung Gembala Kambing. Melaka: Associated Educational Distributors, 1982.
- Doa Seorang Petani. Melaka: Associated Educational Distributors, 1982.
- Dua Belas Orang Murid Bingung. Melaka: Associated Educational Distributors, 1982.
- Dua Orang Sahabat Setia. Melaka: Associated Educational Distributors, 1982.

Siri Jenaka Pak Pandir
- Bek! Bek! Bek! Nasi Andeh Tak Lembik. Melaka: Associated Educational Distributors, 1983.
- Belalang Rusa atau Rusa Belalangkah. Melaka: Associated Educational Distributors, 1983.
- Belajar Jauh. Melaka: Associated Educational Distributors, 1983.
- Kerbau Degil. Melaka: Associated Educational Distributors, 1983.
- Mencari Tuk Syekh. Melaka: Associated Educational Distributors, 1983.

Cerita dan Cerpen Kanak-kanak
- Kumpulan Cerita Kanak-kanak 1 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1962.
- Kumpulan Cerita Kanak-kanak 3 (antologi bersama). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.
- Upah Perang. Pulau Pinang: Sinaran Bros, 1965.
- Bila Sekolah Cuti. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
- Layang-layang Putus Tali. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
- Piala Anakku. Johor Bahru: Badan Book Store, 1993.
- Intan Malam. Johor Bahru: Badan Cemerlang, 1997.

Bacaan Anak-anak Kecil
- Awang Kenit. Pulau Pinang: Sinaran Bros, 1965
- Puisi Anak-anak. Pulau Pinang: Sinaran Bros, 1968.
- Wan Kenit. Singapura: Pustaka Nasional, 1973.
- Si Bulat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980.
- Si Gonjang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980.
- Bangun Pagi-pagi. Kuala Lumpur: Longman Malaysia, 1982.
- Keluarga Saya. Kuala Lumpur: Longman Malaysia, 1982.
- Taman di Kaki Bukit. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987.

Cerita Kanak-kanak Indonesia (Penulisan Semula)
- Si Pitak. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti, 1971.
- Si Pitak Kerani Muda. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1971.
- Si Pitak Jauh di Rantau. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1972.

Siri Bacaan Sastera
- Malim Dewa Menantu Bela. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1975.
- Anggun Cik Tunggal Putera Malang. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1975.
- Awang Sulung Merah Muda. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1977.
- Seri Rama dan Seta Dewi. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1978.

Kajian Sastera Kanak-kanak
- Sastera Alam Kanak-kanak. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1964.

Siri Buku Tabika
- Saya Bersih. Melaka: Jasin Stor, 1986
- Saya Ikut Ketua. Melaka: Jasin Stor, 1986
- Saya Sihat Saya Riang. Melaka: Jasin Stor, 1986
- Inilah Cerita Saya. Melaka: Jasin Stor, 1986
- Saya Belajar Nombor. Melaka: Jasin Stor, 1986
- Saya Belajar Membaca. Melaka: Jasin Stor, 1986
- Buku Kerja Prabaca Rumi. Melaka: Jasin Stor, 1987
- Buku Kerja Pramatematik. Melaka: Jasin Stor, 1987
- Buku Kerja Prajawi. Melaka: Jasin Stor, 1987. Siri Pengetahuan Alam dan Pekerjaan
- Pekebun Sayur. Melaka: Associated Educational Distributors, 1985
- Penoreh Getah. Melaka: Associated Educational Distributors, 1985
- Pekerja di Pinggir Hutan. Melaka: Associated Educational Distributors, 1985
- Peneroka Kelapa Sawit. Melaka: Associated Educational Distributors, 1985
- Nelayan. Melaka: Associated Educational Distributors, 1985

Siri Cerita Rakyat
- Anak Bertuah. Melaka: Lewoon Enterprise, 1987
- Puteri Bulan. Melaka: Lewoon Enterprise, 1987
- Tuah Anggerik. Melaka: Lewoon Enterprise, 1987
- Abangku Kijang. Melaka: Lewoon Enterprise, 1987
- Nasib Si Bongkok. Melaka: Lewoon Enterprise, 1987

Siri Cerita Klasik Negara
- Kedut Bumi. Kuala Lumpur: Cipta Publishing, 1987
- Hidup Belajar. Kuala Lumpur: Cipta Publishing, 1987
- Jujur Memegang Amanah. Kuala Lumpur: Cipta Publishing, 1987
- Merenung Laut Berombak. Kuala Lumpur: Cipta Publishing, 1987

Ilmu Jawi
- Rahsia Belajar Jawi. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1989
- Sistem Tulisan Jawi (bersama Dr. Mohd. Hussein Baharuddin). Kuala Lumpur, Global Grafik, 1998

Siri Alam dan Manusia (Jawi)
- Kisah Anak-anak Pekerja (1). Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Kisah Anak-anak Pekerja (2). Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Kisah Anak-anak Pekerja (3). Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Kisah Anak-anak Pekerja (4). Johor Bahru: Badan Book Store, 1991

Asuhan Islamiah (Jawi)
- Syahadah dan Salat. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Berpuasa di Bulan Ramadhan. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Mengeluarkan Zakat. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Menunaikan Haji. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991.

Siri Kisah Silam
- Tentera Gajah. Melaka: Mayabakti, 1991
- Merpati Mekah. Melaka: Mayabakti, 1991
- Nyamuk dan Namrud. Melaka: Mayabakti, 1991
- Orang Kera. Melaka: Mayabakti, 1991

Siri Bimbingan Anak-anak (Jawi)
- Allah. Melaka: Mayabakti, 1991
- Rasul Allah. Melaka: Mayabakti, 1991
- Mari Sembahyang. Melaka: Mayabakti, 1991
- Hari dan Bulan. Melaka: Mayabakti, 1991

Siri Tokoh Perang
- Iskandar Agung. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Isabella. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Kublai Khan. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Napoleon Buonarparte. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991

Siri Klasik Pilihan (Jawi)
- Tun Fatimah. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1991
- Hang Tuah. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1991
- Kamal al-Arifin dengan Perempuan. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1991
- Pengembaraan Badrul Muin. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1991

Siri Cerita Teladan (Jawi)
- Pak Pandir Turun ke Sawah. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Siapa ke Tali Gantung. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Si Hidung Panjang. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991
- Menunggu Rambut Puteri Bulan. Johor Bahru: Badan Book Store, 1991

Penceritaan Semula
- Hikayat 1001 Malam: Bertarung dengan Jin. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1991
- Balasan Budi. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1991
- Penghuni Kubur. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1991
- Si Bongkok Beristeri Ayu. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1991

Siri Pugar
- Pugar Satu: Gubuk Terpencil di Pekan Semerah. Johor Bahru: Badan Book Store, 1992
- Pugar Dua: Bandar Penggaram Batu Dipahat. Johor Bahru: Badan Book Store, 1992
- Pugar Tiga: Dari Tanjung Laboh ke Ayer Baloi. Johor Bahru: Badan Book Store, 1992
- Pugar Empat: Yang Nyaman dan yang Mengharu. Johor Bahru: Badan Book Store, 1992

Siri Inilah Cerita
- Anak Pembuat Tembikar. Johor Bahru: Badan Book Store, 1993
- Tangisan di Malam Raya. Johor Bahru: Badan Book Store, 1993

Antologi Cerpen
- Matinya Seorang Mangkubumi. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1994
- Singapura Negeri Berdarah. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1994
- Putera Raja Berebut Takhta. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1994
- Teman Seiring Jalan. Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1994

Siri Alam Rimba
- Di Sini Ada Bahaya. Johor Bahru: Badan Book Store, 1994
- Istana Ratu Terpokah? Johor Bahru: Badan Book Store, 1994
- Perenang Handal. Johor Bahru: Badan Book Store, 1994
- Si Bijak Malam. Johor Bahru: Badan Book Store, 1994

Siri Cagar Alam
- Ah Bodohnya Mat Saleh Ni. Johor Bahru: Badan Book Store, 1994
- Buah Tahi Gajah. Johor Bahru: Badan Book Store, 1994
- Kelawar Terbang Malam. Johor Bahru: Badan Book Store, 1994
- Telur Angsa Telur Biawak. Johor Bahru: Badan Book Store, 1994

Siri Bacaan Permulaan Pertama
- Ibu dan Bapa. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994
- Keluarga Saya. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994
- Proton Wira. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994
- Komputer. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994

Siri Bacaan Permulaan Kedua
- Perpustakaan. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994
- Gerhana Bulan. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994
- Pereka Kapal Terbang. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994
- Malaysia Negara Kita. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994

Siri Bacaan
- Permulaan Ketiga: Tahukah Kamu Teknologi Semula Jadi? Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994
- Nyamuk Aedes. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994
- Jadi Tukang Banci. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994
- Pendeta Za’ba. Kuala Lumpur: Penerbitan Hartamas, 1994

Mari Mengenal
- Mari Mengenal Huruf Jawi. Petaling Jaya: Eastview Publications, 1996
- Mari Mengenal Tulisan Jawi. Petaling Jaya: Eastview Publications, 1996
- Mari Mengenal Ejaan Jawi. Petaling Jaya: Eastview Publications, 1996

Siri Jawi Rendah
- Jawi Rendah Asas. Singapura: Pustaka Nasional, 1999
- Jawi Rendah Satu. Singapura: Pustaka Nasional, 1999
- Jawi Rendah Dua. Singapura: Pustaka Nasional, 1999

Sumber : DBP

Comments