6 Sep 2013

Kesusasteraan Melayu SPM 2013 ii


Bahagian Satu
[40 markah]

Jawab semua soalan.

1. Budi yang sama ikhlas mesra,
Menghabisi dukacita sengsara,
Bukan balas intan mutiara,
Melainkan rahmat dipohonkan segera.
(Dipetik daripada Seuntai Kasih Secebis Harapan)

(a) Apakah jenis puisi di atas. [1 markah]
(b) Berikan tiga ciri puisi dalam petikan di atas.[3 markah]

2. Setelah sampai maka sembahnya bayan itu, “ Ya tuanku, adalah adalah patik melihat paduka kakanda itu baginda sedang menggembala kuda di tengah padang, duduk di bawah sepohon kayu yang besar dan sangatlah patik lihat lorong tubuh baginda kurus kering dengan duduk terpekur baginda menangis. Sebermula, akan bahtera baginda itu pun ada patik lihat telah tergalang di darat tuanku.” Syahadan maka segala hal ehwalnya baginda itu pun semuanya dipersembahkannya kepada Nakhoda Muda itu.
(Dipetik daripada Hikayat Nakhoda Muda hal. 162)

Gambarkan empat keadaan yang berlaku kepada ‘paduka kakanda’ seperti yang dilihat oleh bayan semasa terbang mencarinya.[4 markah]

3. Maka titah baginda, “ Wah, anakku mengapatah anakku berkata yang demikian kerana yang salah itu ayahanda juga ini melainkan ayahanda minta ampun banyak-banyak kepada anakku kerana aku juga yang berbuat aniayakepada anakku dari sebab taksir ayahanda kurang periksa kerana anak sendiri pun disangkakan orang lain.”
(Dipetik daripada Hikayat Indera Nata hal. 38)

Berikan dua pengajaran dalam petikan di atas. [4 markah]

4. Ruang ini diikat seutas tali silaturahim
Terjalin antara keluarga dan jiran
Ikhlas menegur ingat- mengingatkan
Menjaga lidah juga maruah.
(Dipetik daripada Sajak Ruang Istimewa Masih terbuka, Khadijah Hashim)

Nyatakan dua nilai terdapat dalam petikan sajak di atas.[4 markah]

5. NORHAYATI : Entahlah, Mona. Susah nak gambarkan perasaan aku waktu ini. Aku sendiri seperti dapat merasakan betapa pedih dan lukanya hati Norasma tu… Aku bersimpati dengan dia Mona. Tapi rasa simpati ini masih tak dapat membuatkan aku berkorban lebih jauh….. (Mengeluh)
(Dipetik daripada drama Menggapai Pelangi karya Taha Abd Kadir, hal. 326 )

Kemukakan dua latar masyarakat berserta contoh. [4 markah]

6. GULAM RUSSEL : Masjid untuk umat Islam semua bangsa dan keturunan dibina di tengah-tengah. Khutbahnya bergilir-gilir dalam bahasa Melayu, Inggeris, Urdu, Tamil dan Mandarin.

TULUS : Bulan Ramadan akan ada bazar Ramadan dan majlis berbuka puasa yang boleh disertai semua kaum. Semua kedai makan kecuali restoran tertutup di hotel dibuka waktu siang. Semua bentuk persembahan ditiadakan selama sebulan, kecuali lagu-lagu nasyid dan bacaan al-Quran.
(Dipetik daripada drama “Muzikal Kampung Baru”, oleh Hatta Azad Khan hal. 209)

Nyatakan empat unsur Islam dalam petikan di atas. [4 Markah]

7. “Terima kasih, Li. Mujurlah kau sudi menjamin kami. Kalau tidak kami terpaksa meringkuk di dalam bilik tahanan sampai hari perbicaraan,”
ucap Azwan dengan nada rendah.
“ Kami kesal betul sebab tak menerima rancangan kau dulu. Malah kami mempersendakannya pula. Kalaulah kami ikut serta tentu tidak jadi begini,” tokok Fuad. Air matanya menitik.
(Dipetik daripada cerpen “Melakar Impian” karya Mohd Kasim Mahmud, hal. 128)

Jelaskan dua teknik penceritaan yang digunakan dalam petikan di atas. [4 markah]

8. “ Cuba bangkit tengok bendang kita. Setitik air pun tidak ada. Ini tentu Berahim yang memokah gelung kita semalam.”
Bininya membidas bangun. Sungguh air tidak nampak. Kecut hati bininya. Ini sudah tentu perbuatan Berahim di petak sebelah. Kurang ajar.
(Dipetik daripada cerpen “Gelungnya Terpokah” oleh Shahnon Ahmad, hal. 62)

Berikan dua gambaran masyarakat dalam petikan di atas. [4 markah]

9. Jalil yang suatu masa dahulu menjadi bahan cemuhan orang kampung kini mula dipandang tinggi. Bayaran pampasan yang diberikan amat memuaskan hati seluruh penduduk. Lagipun, kawasan sawah di kampung itu sudah tidak mendatangkan hasil yang lumayan. Mereka bersatu hati untuk memberikan laluan kepada bekas anak jati kampung itu untuk mengubah dimensi kehidupan mereka.
(Dipetik daripada novel Dari Lembah Ke Puncak, hal. 313)

Berikan dua pengajaran berdasarkan petikan di atas [4 markah]

10. “Semua orang kata Fariz salah! Nenek kata Fariz nakal, kakak cakap Fariz jahat dan polis-polis di lokap sana kata Fariz tak guna! Sekarang abang pun nak cakap macam tu?” Syed Fariz memandang Anuariza. Marah.
(Dipetik daripada novel Jeriji Kasih karya Ramlah Abd Wahab, hal.144)

Nyatakan dua perwatakan Syed Fariz sebagaimana yang digambarkan dalam petikan di atas. [4 markah ]

Bahagian Dua
[60 markah]

Bahagian A
(Puisi Tradisional dan Prosa Klasik)

Jawab sama ada Soalan 1 atau Soalan 2.

1 Baca pantun di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

Pantun Empat Kerat – Dagang

Tanam delima di tengah padang,
Raja berarak dari Asahan;
Terimalah saya anaknya dagang,
Datang dengan kain basahan.

Buah langsat gendong di kain,
Pokok rendang bergantung-gantung;
Bukan dagang datang bermain,
Dagang datang mencari untung.

Kedidi di pasir gosong,
Anak murai putih dadanya;
Tarik nafas kenangkan untung,
Jatuh berderai air matanya.

Ada anjung tingkatnya empat,
Satu pintu hadap ke laut;
Anak dagang mencari tempat,
Sebagai ajal ditunda maut.

Sengkalan kayu sengkawan,
Ketiga dengan kayu kelat;
Dagang saya sudah terbuang,
Sebagai ikan di luar belat.

(a) Huraikan empat bentuk pantun di atas. [8 markah]
(b) Jelaskan dua nasib anak dagang semasa di perantauan. [4 markah]
(c) Cipta dua rangkap pantun empat kerat bertema keagamaan. [8 markah]

2. Berdasarkan Hikayat Cendawan Putih:
(a) Jelaskan tiga ciri cerita panji dalam hikayat ini. [12 markah]
(b) Berikan empat binatang dengan peranan yang dimainkan dalam hikayat ini. [8 markah]

Bahagian B
(Puisi Moden dan Drama)

Jawab sama ada Soalan 3 atau Soalan 4

3. Baca puisi di bawah dengan teliti dan jawab soalan mengikutinya

KITA BERDUA ADALAH GAMBAR

Perhatikan bayang – bayang kita di dinding sana
bertapa bangsa mewarnai sebuah kota
mewarnai perayaan dan budaya suatu bangsa
bertapa bangganya dia mempamerkan kewibawaan dan
kesetiaan kita
sebentar lagi kita akan diturunkan.

Jangan berbangga kerana berbangga bukan
hak kita,kita hanya dibenarkan bercerita sebentar
berceritalah sepanjang jalan kota yang kau suka
tetapi ingat,jangan melampaui suaranya
jangan melampaui jejaknya
sebentar lagi kita akan diturunkan.

Apabila dia tidak mahu bermain dengan bayang – bayang
atau tidak mahu melukis bayang – bayang -untuk
gambar yang diingininya – kerana urusan ekonomi
atau urusan inflasi
maka bila – bila saja jasad kita
akan lebur.

Sebentar lagi
kita berdua akan diturunkan
kita hanya gambar,tanpa jari atau pisau
di tangan kita hanya punya jasad dari
campuran warna – bukan benar – benar jasad –
kita hanya warna.

Suhaimi Hj. Muhammad

(a) Jelaskan maksud rangkap kedua sajak di atas.[4 markah ]
(b) Huraikan lima gaya bahasa dalam sajak di atas. [10 markah]
(c) Nyatakan tiga pengajaran daripada sajak di atas.[6 markah ]

4. Berdasarkan drama “Bendahara Tepok” karya Shaharom Husain:
(a) Nyatakan dua latar tempat dalam drama ini. [4 Markah]
(b) Selain serangan Feringgi, nyatakan tiga punca lain kejatuhan Melaka. [6 Markah]
(c) Jelaskan lima persoalan dalam drama ini. [10 Markah]


Bahagian C
(Cerpen dan Novel)

Jawab sama ada Soalan 5 atau Soalan 6

5. Cerpen Anak-anak Suria karya Zaharah Nawawi memaparkan perasaan kasih sayang yang mendalam antara haiwan dan manusia.

(a) Nyatakan lima peristiwa yang menggambarkan perasaan tersebut. [10 markah]
(b) Sebutkan lima anak-anak Suria dan kesudahan nasib mereka dalam cerpen tersebut. [10 markah]

6. Berdasarkan novel Jeriji Kasih karya Ramlah Abd Rashid:

(a) Huraikan lima persoalan yang ingin disampaikan oleh pengarang. [10 markah]
(b) Terangkan lima citra masyarakat yang dipaparkan oleh pengarang. [10 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT

SKEMA JAWAPAN

Bahagian Satu

1. (a) Syair [1m]

(b) (i) Terdiri empat baris serangkap [1m]
(ii) Jumlah patah perkataan sebaris 3-5 patah [1m]
(iii) Rima akhirnya sama iaitu aaaa [1m]
(iv) Semua baris adalah maksud [1m]
(v) Jumlah suku kata sebaris antara 9-13 suku kata [1m]
[Maksimum: 4 markah]

2 Keadaan berlaku pada paduka kakanda :

i sedang menggembala kuda di tengah padang [1m]
ii duduk di bawah sepohon kayu yang besar [1m]
iii tubuh baginda kurus kering [1m]
iv duduk terpekur baginda menangis [1m]
v bahtera baginda ada tergalang di darat [1m]
[Maksimum: 4 markah]

3. Pengajaran :

i Kita mestilah meminta maaf jika telah melakukan kesalahan. [2m]
ii Kita janganlah menganiayai orang lain apatah lagi anak atau ahli keluarga kita sendiri. [2m]
iii Sebelum mengambil sesuatu sesuatu tindakan, kita perlu menyisat terlebih dahulu. [2m]
[Maksimum: 4 markah]

4. Nilai dalam sajak :

i. Semangat kejiranan [2m]
ii Keikhlasan [2m]
iii. Kasih sayang [2m]
iv. Bermaruah [2m]
[Maksimum: 4 markah]

5. Latar masyarakat :

i Masyarakat yang simpati
Contoh : Norhayati bersimpati dengan nasib Norasma [ 2m]

ii Masyarakat dalam kesedihan
Contoh : Norasma mengalami kesedihan [2m]

iii Masyatakat yang kecewa/ luka
Contoh : Norhayati memahami kekecewaan/ luka hati Norasma [2m]

iv Masyarakat yang mengikut perasaan
Contoh : Norhayati belum dapat berkorban / belum dapat melupakan kekecewaannya [2m]
[Maksimum: 4 markah]

6. Unsur Islam
i Masjid [1m]
ii Khutbah [1m]
iii Bulan Ramadan [1m]
iv Puasa [1m]
v Lagu-lagu nasyid [1m]
vi Al-Quran [1m]
[Maksimum: 4 markah]

7. Teknik penceritaan :

i Teknik dialog,
contohnya : “Terima kasih, Li. Mujurlah kau sudi menjamin kami. Kalau tidak kami meringkuk dalam bilik tahanan sampai hari perbicaraan” [2m]
ii Teknik pemerian,
contohnya “ Air matanya menitik” [2m]
iii Teknik imbas kembali,
contohnya “Kami kesal betul sebab tak menerima rancangan kau dulu. Malah kami mempersendakan pula.” [2m]
[Maksimum: 4 markah]

8. Gambaran masyarakat:

i Masyarakat petani, contohya “cuba tengok bendang kita” [2m]
ii Masyarakat yang suka memfitnah, contohnya: Jusoh menuduh Berahim
Memokah gelung sawahnya. [2m]
iii Masyarakat yang panas baran, contohnya: apabila air di petak sawah
kering, Jusoh terus memarahi Berahim. [2m]
[Maksimum: 4 markah]

9. Pengajaran :
i. Kita janganlah memandang rendah terhadap orang lain [2m]
ii.Kita hendaklah bersatu padu [2m]
[Maksimum: 4 markah]

10. Perwatakan Syed Fariz
i. nakal [2m]
ii. jahat [2m]
iii. tidak berguna [2m]
[Maksimum: 4 markah]

Bahagian Dua

Soalan 1

Soalan 1(a) Bentuk pantun

(i) Berangkap iaitu terdiri daripada lima rangkap. [2m]

(ii) Setiap rangkap sama bilangan baris iaitu empat baris serangkap. [2m]

(iii) Jumlah patah perkataan sebaris tidak sama/ tidak sekata/berbeza iaitu antara tiga hingga empat patah perkataan [1+1 m]
cth: Sengkalan kayu sengkawan - tiga patah
Dagang saya sudah terbuang - empat patah [1m + 1m]

(iv) Mempunyai rima akhir berselang-seli iaitu abab [1m + 1m]
cth. Tanam delima di tengah padang - a
Raja berarak dari Asahan - b
Terimalah saya anaknya dagang - a
Datang dengan kain basahan - b

(v) Terdapat pembayang dan maksud [1+1 m]
cth. Baris pertama dan baris kedua adalah pembayang
Baris tiga dan empat adalah maksud

(vi) Terdapat jeda/hentian sejenak [2m]

(vii) Berbentuk terikat [2m]
[Maksimum: 8 markah]

Soalan 1(b) Nasib anak dagang

(i) Merantau dengan kain sehelai sepinggang [1+1 markah]
cth. Datang dengan kain basahan

(ii) Hidup dalam kesusahan/kesedihan [1+1m]
cth. Jatuh berderai air matanya

(iii) Mengharapkan mendapat simpati daripada masyarakat setempat
[1+1m]
cth. Anak dagang mencari tempat

(iv) Hidup terbuang di tempat orang [1+1 m]
cth. Dagang saya sudah terbuang
[Maksimum: 4 markah]

Soalan 1(c) Cipta pantun:

- Tema [2 markah]
- Bentuk [2 markah]
- Bahasa [2 markah]
- Kreativiti [2 markah]
[Maksimum: 8 markah]
Soalan 2

Soalan 2(a) Ciri cerita panji
(i) Watak utama merupakan watak anak raja. [2m]
Cth: Raden Kesuma Wati dan Raden Kesuma Ningrat merupakan anak Raja Indera Kemala Putera manakala Tuan Puteri Pelinggam Cahaya merupakan anak Raja Syah Dewa Alam. [2m]

(ii) Watak utama mempunyai watak pembantu [2m]
Cth: Raden Kesuma Ningrat dibantu oleh merbah putih manakala Tuan Puteri Pelinggam Cahaya dibantu oleh singa dan dua ekor landak putih dan hitam. [2m]

(iii) Ada unsur pengembaraan kerana sesuatu tujuan. [2m]
Cth: Raden Kesuma Wati dan Tuan Puteri Pelinggam Cahaya keluar mengembara untuk mencari telur merpati putih yang bersarang di dalam telinga naga di Gunung Meraksa Dewa. [2m]

(iv) Ada unsur penyamaran. [2m]
Cth: Tuan Puteri Pelinggam Cahaya telah menyamar sebagai Bangbang Gajah Merta semasa sampai di negeri Kesambi Pura dan sempat berkahwin dengan anak raja Kesambi Pura. [2m]
[Maksimum: 12 markah]

Soalan 2(b) Binatang dalam hikayat dan peranannya
(i) Burung merpati putih – peranannya: telurnya yang bersarang di dalam telinga naga dikatakan dapat mengubat dua orang raja. [2m]

(ii) Singa – peranannya: membantu mempertemukanTuan Puteri Pelinggam Cahaya dengan Raden Kesuma Ningrat, dan membantu tiga anak raja itu naik ke Gunung Meraksa Dewa. [2m]

(iii) Merbah putih – peranannya: melarikan telur merpati kepunyaan Tuan Puteri Pelinggam Cahaya selepas dibunuh oleh Raden Kesuma Wati [2m]

(iv) Dua ekor landak – menjalankan tugas yang diperintahkan oleh singa supaya menemani Tuan Puteri Pelinggam Cahaya ke Gunung Meraksa Dewa dan menjaga keselamatannya. [2m]

(v) Kambing – peranannya: menjadi binatang jagaan Raden Kesuma Wati setelah didenda kerana makan kuih di gerai orang. [2m]
[Maksimum: 8 markah]

Soalan 3

Soalan 3a

i. penyajak menasihati kita jangan sombong/bangga . [1m]
ii. Kerana apa yang ada bukan hak kita/milik kita. [1m]
iii. Kita bebas melakukan tugas/kegiatan harian. [1m]
iv. Kita bebas berada di mana sahaja . [1m]
v. Tetapi jangan sampai melanggar peraturan. [1m]
vi. Dan undang – undang yang ditetapkan oleh pemerintah. [1m]
[Maksimum: 4 markah]

Soalan 3b.

i. Asonansi cth:jangan melampaui jejaknya ( vokal a ) [2m]
ii. Aliterasi cth ; jangan berbangga kerana berbangga bukan hak kita (konsonan g ) [2m]
iii. Sinkof cth; kau , [2m]
iv. Kata ganda cth; bayang - bayang,bila - bila [2m]
v. Anafora cth;kita berdua akan diturunkan
kita hanya gambar [2m]
vi. Repitasi baris cth : sebentar lagi kita akan diturunkan [2m]
vii. Repitasi kata cth : berbangga [2m]
viii. Responsif cth: jangan melampaui suaranya
Jangan melampaui jejaknya [2m]
[Maksimum: 10 markah]
Soalan 3c.

i. Kita mestilah hidup bersatu padu antara kaum berbilang bangsa
cth :mewarnai perayaan dan budaya suatu bangsa. [2m]
ii. Kita hendaklah setia/patuh kepada pemerintah/pemimpin yang ada
Cth:jangan melampaui suaranya. [2m]
iii. Kita janganlah terlalu berbangga/sombong/angkuh dengan apa yang ada kerana sesuatu itu tidak kekal lama.
Cth:jangan berbangga [2m]
iv. Sebagai pemimpin haruslah menjalankan tanggungjawab dengan baik kerana rakyat layak memilih pemimpin yang baik.
Cth:bertapa bangganya dia mempamerkan kewibawaan. [2m]
v. Kita patutlah menjaga keamanaan kaum di Negara kita supaya tidak berlaku pergaduhan.
Cth; maka bila – bila masa saja jasad kita akan lebur. [2m]
[Maksimum: 6 markah]
Soalan 4

Soalan 4(a) Latar tempat Bendahara Tepok

i Melaka [2m]
ii Pagoh [2m]
iii Ulu Muar [2m]
iv Bentayan, Kuala Muar [2m]
v Jambatan Sungai Melaka [2m]
[Maksimum: 4 markah]

Soalan 4(b) Punca Kejatuhan Melaka :

i Pecah amanah [2m]
ii Zalim [2m]
iii Berpecah belah [2m]
iv Berbunuhan sesama sendiri [2m]
v Fitnah [2m]
vi Hasad Dengki [2m]
vii Bohong [2m]
viii Lucah [2m]
[Maksimum: 6 markah]

Soalan 4(c) Lima persoalan drama Bendahara Tepok

i. Persoalan perpaduan [1m]
Contohnya, Hulubalang Melaka dikatakan tidak bersatu
padu sehingga menjadikan kelemahan Kota Melaka dan
berjaya dicerobohi oleh askar Feringgi [1m]

ii Persoalan taat kepada pemerintah [1m]
Contohnya, ketika Sultan Mahmud berundur dari Kota
Melaka baginda bertemu dengan Hang Kadim dan Seri Nara,
yang turut berundur sebelum itu. Seri Nara melahirkan
kebimbangannya terhadap keselamatan sultan serta
meluahkan taat setianya untuk melindungi Sultan. [1m]

iii Persoalan kezaliman Raja [1m]
Contohnya, Sultan Mahmud membuat keputusan yang
zalim sehingga ramai orang besar terkorban. [1m]

iv Persoalan kekejaman penjajah. [1m]
Contohnya, semasa pencerobohan askar Feringgi untuk
menjajah Melaka, berlaku kerosakan harta benda dan
ramai hulubalang serta rakyat biasa terkorban. [1m]

v Persoalan semangat juang yang tinggi untuk melawan
musuh. [1m]
Contohnya, Bendahara tepok mempunyai semangat
juang yang tinggi untuk mempertahankan Melaka
daripada ancaman musuh. [1m]

vi Persoalan kemungkaran mampu mendatangkan
masalah kepada Negara. [1m]
Contohnya, kemungkaran seperti pecah amanah, zalim
dan hasad dengki dalam masyarakat Melaka mampu
menghancurkan masyarakat itu sendiri. [1m]

[Maksimum: 10 markah]

Soalan 5

Soalan 5 (a)
Peristiwa yang menggambarkan perasaan kasih sayang yang mendalam antara haiwan dan manusia :

i Menyediakan tempat tinggal (sebuah bilik untuk Suria dan anak-anaknya) [2m]
ii Sayang kepada Suria seperti anaknya sendiri. [2m]
iii Mencari pembantu untuk mencari Suria dan anak-anaknya. [2m]
iv Sanggup cuti untuk mencari anak-anak Suria yang hilang. [2m]
v Menganggap Suria sebagai cahaya mata mereka, penyeri rumah tangga dan pengerat simpulan kasih sayang mereka. [2m] [Maksimum: 10 markah]

Soalan 5(b) :
Anak-anak Suria terdiri daripada Bayu, Manja, Didi, Mega dan Awan.
i Bayu –mati [1m + 1m]
ii Manja – mati [1m + 1m]
iii Didi – sakit dan dirawat [1m + 1m]
iv Mega – selamat dan tinggal bersama-sama dengan Hakim.
[1m +1m]
v Awan – hilang entah ke mana. [1m + 1m]
[Maksimum: 10 markah]

Soalan 6

Soalan 6(a) Persoalan-persoalan
i. Kegigihan dalam meneruskan kehidupan [1m]
-Anuariza gigih meneruskan kehidupan walaupun dilahirkan cacat [1m]

ii. Keperihatinan dan kasih sayang dalam keluarga [1m]
- Syed Fariz dan Syarifah Farisya sering diabaikan oleh
Syed Mustafa [1m]

iii. Kecacatan bukan penghalang kejayaan [1m]
- Anuariza dilahirkan cacat masih mampu menjadi anak muda
yang berjaya [1m]

iv. Kekayaan dan kemewahan tidak menjamin kebahagiaan [1m]
-Syed Fariz bergaul bebas sesuka hatinya manakala bapanya sibuk
bekerja mencari wang [1m]

v. Kebijaksanaan akan membantu menyelesaikan masalah [1m]
-Anuariza telah dapat mengubah Syed Fariz menjadi seorang
yang mendengar kata dengan kebijaksanaannya. 1m
[Maksimum: 10 markah]

Soalan 6(b) Citra masyarakat
i. Masyarakat di bandar 1m
-Syed Fariz dan Syarifah Farisya merupakan pelajar yang hidup
mewah di bandar 1m

ii. Masyarakat di luar bandar 1m
-Anuariza hidup di kampung dan melakukan kerja-kerja
kampung seperti mencari ikan dan menjerat burung 1m
iii. Masyarakat usahawan dan menikmati kemewahan hidup 1m
-Syed Mustafa berhempas pulas mencari harta kekayaan dengan
menjadi usahawan berjaya 1m

iv. Masyarakat yang bekerjasama 1m
- Masyarakat kampung Syed Mustafa bekerjasama semasa
mengadakan kenduri kendara 1m

v. Masyarakat yang mementingkan pelajaran 1m
- Syed Mustafa melantik Anuariza sebagai guru tuisyen kepada
anak-anaknya 1m
[Maksimum 10 markah]

2 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena