Kejujuran Segalanya

 Kejujuran segalanya .....

 Masih ada cerita manis dan membuka kelopak kejujuran dan ketulusan
Jujur dan tulus adalah resepi penting dalam pandu hidup kita
rakyat Malaysia menjelang Hari Malaysia 16 September 2013
Kepelbagaian bukan untuk merasa berbeza
Kemajmukan bukan untuk merasa ketidaksamaan
Hormat menghormati, memberi dan menerima seadanya
serta tulus dan jujur tanpa mengira rupa dan warna
hanya itu membawa kita
bersatu dan bersama

SELAMAT HARI MALAYSIA
 
 

Masih ada insan jujur

BANDAR MARAN - Seorang warga emas tidak menyangka dompet yang berisi dokumen penting dan wang tunai berjumlah RM1,700 yang hilang Ahad lalu diperolehinya semula.

Bapa kepada tiga anak yang menetap di Paka, Terengganu itu, Zainuddin Mohd Lani, 60, berkata, dompet yang hilang ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Paka dikembalikan seorang peniaga jam berbangsa Cina di bandar ini.

Menurutnya, selepas dua hari tinggal di rumah saudara bagi membantu urusan kenduri perkahwinan, dia sekeluarga singgah di Rehat dan Rawat (RnR) Temerloh untuk berehat dan makan, kira-kira jam 10.30 malam hari kejadian.

“Mungkin sebaik memasuki kereta selepas ke tandas, dompet ini terjatuh di hentian rehat tersebut.

“Saya hanya menyedari kehilangan dompet itu apabila sampai di rumah memandangkan makan minum dan bayaran tol dibayar anak saya.

“Memang saya runsing dan hati tidak tenang sepanjang malam memikirkan di mana dompet itu tercicir selain wang tunai yang ada di dalamnya adalah untuk perbelanjaan bulan ini,” katanya.

Zainuddin berkata, dua hari kemudian, dia dihubungi peniaga itu yang mendapatkan nombor telefon rumahnya berdasarkan alamat di kad pengenalan melalui talian direktori Telekom Malaysia.

Menurutnya, khabar gembira yang diterima itu membuktikan masih ada insan yang jujur walaupun berlainan bangsa dan agama apabila sedia memulangkan beg dompet tersebut.

Sementara itu, peniaga terbabit, Woon Pok Lum, 62, berkata, dia menjumpai dompet berkenaan di kawasan tempat letak kereta hentian RnR Temerloh pada jam 11.30 malam hari kejadian.

“Saya faham, hati kita mesti susah dan tidak tenteram jika kehilangan dompet kerana ada dokumen peribadi dan lebih teruk kalau hilang wang yang banyak,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Comments