Hari Sastera Nasional



GAPENA berusaha meninggikan imej golongan sasterawan dan budayawan di kalangan masyarakat melalui kegiatan yang menimbulkan suasana dinamik kepada perkembangan bahasa dan kesusasteraan di Malaysia khususnya, dan di Nusantara amnya. Antara kegiatan popular anjuran GAPENA adalah Hari Sastera Nasional . Hari Sastera Nasional pernah diadakan pada 1973, 1974, 1976, 1978, 1980, 1983, 1985, 1987, 1993, 1995 dan 2001. Seterusnya edisi Hari Sastera Nasional ke XIV berlangsung di Kuantan Pahang pada 2007. Pada tahun 2012 Hari Sastera Nasional XV diadakan semula di Melaka. Adalah dijangkakan pada tahun ini Hari Sastera Nasional XVI akan berlangsung di Sarawak.

Hari Sastera Nasional dimulakan pada 1972 di Kota Bharu, Kelantan. Hari Sastera Nasional bertujuan menghimpunkan penulis, sarjana, peminat bahasa, sastera dan budaya peringkat kebangsaan serta Nusantara bagi membincangkan sastera dan budaya dalam pemantapan sastera kebangsaan serta serantau; memperkenalkan sastera, budaya dan kesenian, warisan Negeri Melaka khususnya, serta Malaysia umumnya sebagai suatu wadah pembinaan bangsa; mengetengahkan peranan bahasa, sastera dan budaya semasa kepada masyarakat untuk memupuk serta mendalami pengertian apresiasi terhadap kesusasteraan dalam kalangan masyarakat – memasyarakatkan dan membudayakan sastera, serta melambangkan perjuangan Gapena serta masyarakat budaya Malaysia terhadap dunia berbahasa Melayu yang lebih luas, iaitu agar seluruh rantau berbahasa Melayu bersatu teguh memartabatkan tamadun bersama yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di Nusantara, dan dunia.

Adalah diharapkan edisi baru Hari Sastera Nasional akan dapat merangka nafas baru dalam pengisian dan hala tuju memperkasa sastera nasional. Beberapa cadangan dan resolusi Hari Sastera Nasional XIV Melaka dapat diunjurkan kembali dan mencapai matlamat sebenarnya. Biarlah Hari Sastera berupaya membina martabat dan kecintaan rakyat terhadap sastera nasional.





Kesusasteraan Nasional disyor jadi mata pelajaran wajib

MELAKA - Persidangan Hari Sastera Nasional ke-15 mengesyorkan bidang kesusasteraan nasional dijadikan mata pelajaran wajib untuk pelajar bermula pra sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Perkara itu merupakan antara 14 resolusi yang dicapai Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) bersama 22 anggota gabungannya yang bersidang selama tiga hari bermula Jumaat hingga hari ini di sini.

Ketua Satu Gapena Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata bidang kesusasteraan nasional penting dalam memantapkan jati diri rakyat dan mewujudkan peradaban bangsa Malaysia yang bersatu dan kukuh.

"Kalau kita tidak wajibkan kesusasteraan, kita bimbang generasi muda hari ini tidak tahu pantun, sajak dan budaya sebaliknya hanya mementingkan nilai materialistik," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Hari Sastera Nasional ke-15 yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka yang juga Pengerusi Bersama Hari Sastera Nasional, Datuk Wira Othman Muhamad.

Beliau berkata pada masa ini, kesusasteraan hanya diajar di peringkat sekolah menengah namun ia tidak diwajibkan kepada semua pelajar.

Beliau berkata resolusi lain yang dicapai dalam persidangan itu termasuk peradaban Malaysia moden harus bertunjangkan pendidikan dan pembinaan bahasa serta kesusasteraan nasional mesti diajar dan dipelajari bersama oleh semua golongan warganegara Malaysia.

Selain itu, Abdul Latiff berkata persidangan itu juga membuat ketetapan bahawa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dewan Bahasa dan Pustaka serta kerajaan-kerajaan negeri perlu membantu menjaga kebajikan dan memberi bantuan kepada penulis, persatuan penulis dan budaya.

Resolusi itu akan diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan, katanya.- Bernama

Sumber : Sinar Harian



250 budayawan Nusantara sertai hari sastera

MELAKA — Lebih 250 sasterawan, budayawan dan peminat sastera dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thailand akan menyertai Hari Sastera Nasional ke-15 pada 30 Mac hingga 1 April di sini.

Pengerusi Bersama Hari Sastera Nasional, Datuk Wira Othman Muhamad berkata, acara yang dianjurkan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan kerajaan Melaka itu bersempena sambutan Melaka 750 tahun.

Hari Sastera itu bertemakan “Melaka Sebagai Pusat Kesusasteraan Melayu Dalam Peradaban Serantau”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara program di hari itu ialah pembentangan kertas kerja, diskusi sastera dan pengucapan puisi di beberapa lokasi terpilih di negeri Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dijangka merasmikan acara tersebut manakala majlis penutup oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.— BERNAMA

Sumber : Kosmo Online

Hari Sastera Nasional Ke-15 di Melaka

SELEPAS empat tahun tertangguh, Hari Sastera Nasional (HSN) Ke-15 akan berlangsung tiga hari berturut-turut dari 30 Mac hingga 1 April ini dengan tema, Melaka Sebagai Pusat Kebudayaan Melayu Dalam Peradaban Serantau bersempena sambutan Melaka 750 tahun.

Pengerusi Bersama HSN Ke-15, Datuk Wira Othman Mohamad berkata, negeri itu mengadakan kegiatan setiap minggu bersempena sambutan Melaka 750 tahun dan Hari Sastera Nasional Ke-15 menjadi sebahagian daripada pengisian mingguan bagi Mac. “Melaka sudah lama tidak menjadi tuan rumah HSN dan acara ini kali ini akan membabitkan lebih 250 sasterawan dari seluruh negara, di samping rakan seperjuangan dari Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan Selatan Thailand yang akan berkampung di Melaka selama tiga hari,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini. HSN Ke-15 anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Kementerian Penerangan, kebudayaan, kesenian dan Warisan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, manakala Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA), Lembaga Bahasa Melayu Melaka dan Ikatan Persuratan Melayu (IPM) sebagai urus setia bersama GAPENA.

Othman yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka berkata, Ketua Menteri Melaka, Fatuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, akan merasmikan HSN Ke-15, manakala Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim akan menutup program berkenaan.

“Antara pengisian pada HSN Ke-15 ialah Bengkel, Seminar dan Forum Kesusasteraan Melayu yang akan membabitkan sarjana dalam dan luar negara, di samping beberapa tokoh bahasa mahupun sastera dari GAPENA dan DBP yang akan membincangkan persoalan di sekitar Melaka Sebagai Pusat Kebudayaan Melayu Dalam Peradaban Serantau,” katanya.

Antara tokoh luar yang akan terbabit pada Bengkel, Seminar dan Forum Kesusasteraan Melayu ialah Sastri Yunizarti Bakri, manakala sasterawan tempatan ialah Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011 ialah SM Zakir dan Pensyarah Institut Perguruan Malaysia, Raja Rajeswari Seetha Raman.

Sarjana tempatan yang dijadualkan terbabit ialah Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mawar Shafie; Pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr Hashim Ismail dan Dr Mohamad Saleeh Rahamad serta Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Lim Swee Tin.

Selain itu, Othman berkata, Kenduri Puisi juga akan turut diadakan di beberapa lokasi pilihan di Melaka dan beberapa wakil rakyat sudah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama pada acara yang dapat memberi pendedahan kepada peserta HSN Ke-15 dan penduduk setempat.

“Peserta termasuk mereka dari luar negara akan ditempatkan di inap desa bagi memberi peluang kepada mereka menikmati suasana kampung tradisional yang masih bertahan dalam asakan arus pembangunan dan menjadi sebahagian daripada lokasi popular pelancongan di Melaka.

“Pada Kenduri Puisi ini bukan saja beberapa sasterawan dan sarjana akan beraksi di pentas, tetapi juga penyair setempat dan penduduk kampung yang berbakat akan turut diketengahkan, selain Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, sudah menyatakan persetujuan untuk mendeklamasikan puisi,” katanya.

Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, berkata pihaknya kini mahu menjalin kerjasama lebih erat dengan semua pihak termasuk persatuan penulis dan tidak mahu berpuak-puak selagi ia membabitkan usaha memartabatkan bahasa dan sastera negara.

“DBP berharap kerjasama ini akan mendorong pihak lain untuk lebih rapat dengan kami dan dengan cara ini akan memudahkan kami meluaskan tugas pengauditan bahasa yang kini akan dilakukan pada peringkat dalaman terlebih dulu sebelum dilanjutkan kepada semua jabatan perkhidmatan kerajaan,” katanya yang akan membentangkan kertas ucaptama bersama, Melaka sebagai Pusat Kebudayaan Melayu Dalam Peradaban Serantau.

Sumber :  Berita Harian

Bahan pembelajaran beri kefahaman mengenai budaya semua kaum
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik cadangan menjadikan sastera sebagai mata pelajaran wajib bermula di peringkat prasekolah atau sekolah rendah. Presidennya, Hashim Adnan, berkata cadangan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) itu akan meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan murid sejak peringkat kanak-kanak.

Namun, katanya, mata pelajaran sastera itu tidak harus dijadikan subjek baru tetapi sebahagian daripada mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) supaya tidak membebankan guru.

Beliau berkata, unsur sastera boleh diajar satu atau dua waktu daripada tujuh waktu subjek BM sekarang.

“Jika Kementerian Pelajaran hendak memperkenal satu subjek baru di hampir 10,000 sekolah rendah seluruh negara, ini memerlukan kos besar membabitkan latihan guru serta penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran yang baru.

“Tetapi, guru BM sedia ada mempunyai kemahiran untuk mengajar unsur sastera jika sebahagian daripada waktu subjek ini digunakan untuk menyampaikan elemen sastera seperti cerpen, novel pendek, drama atau puisi,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Ketua Satu GAPENA, Prof Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar sebelum ini berkata, sastera patut dijadikan mata pelajaran wajib bermula prasekolah dan cadangan itu menjadi salah satu resolusi Hari Sastera Nasional Ke-15.

Hashim berkata, subjek sastera yang hendak diperkenal di peringkat sekolah rendah itu patut memasukkan bahan yang menyentuh sejarah dan budaya kaum utama di negara ini seperti Cina, India, Iban, Kadazan atau Sikh.

Katanya, bahan bacaan sastera itu akan mendedahkan kanak-kanak dengan bahasa, cara hidup dan adab kaum lain supaya mereka lebih faham dengan budaya orang lain.

“Unsur sastera dalam subjek BM ini akan menjadi penyatu kepada semua kaum dan kanak-kanak ini membesarkan dengan kefahaman terhadap adat atau budaya kaum lain.

“Ini akan memudahkan integrasi nasional kerana penduduk di wilayah berbeza sensitif dengan agama, bahasa dan budaya kaum lain,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Sarawak tuan rumah Hari Sastera Ke-16

KUCHING, Jumaat — Sarawak menjadi tuan rumah buat kali ketiga bagi acara Hari Sastera Ke-16 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) di Kompleks Belia dan Sukan, dekat sini, pada 6 hingga 8 September depan.

Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Datu Dr.Haji Adi Badiozaman Tuah berkata, Sarawak yang pernah menjadi penganjur kepada acara itu pada tahun 1974 dan 2001 adalah untuk menghimpunkan para pengarang dan sarjana dalam membincangkan persoalan bahasa dan sastera yang bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Seramai 250 ahli karyawan yang terdiri daripada penulis tempatan dan luar negara seperti Eropah, Rusia, Jepun dan Korea dijangka hadir pada acara tersebut yang berlangsung selama tiga hari nanti,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Penyelenggara hari sastera ke-16 di Bilik Mesyuarat, DBP Cawangan Sarawak di sini hari ini.

Adi Badiozaman menambah, selain bertujuan mengumpul para karyawan sasterawan di seluruh negara, ia juga berperanan untuk memberi ruang kepada mereka mengetengahkan karya masingmasing supaya dapat dimasyarakatkan kepada khalayak ramai.

“Sebab itu, kita memutuskan untuk mengadakan perjumpaan bersama belia dan masyarakat di Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta di kawasan kampung dalam tempoh acara Hari Sastera ke-16 ini berlangsung,” ujarnya.

Sumber : utusan sarawak online

ATUR CARA HARI SASTERA KE-16

HARI PERTAMA : 6 September 2013 (Jumaat)

8.30 pagi - Dialog Bersama Sasterawan
1. Di Institut Perguruan Kampus Batu Lintang
2. Di Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak (UiTM)
3. Kolej Sains dan Pengurusan Sarawel.
9.00 pagi - Ketibaan peserta luar dari Kuching
3.00 petang- Pembentangan Kertas Kerja Seminar
Sesi 1 : Sastera Melayu Serantau
Panel:
1. Wakil Indonesia
2. Wakil Singapura
3. Wakil Brunei Darussalam
4. Wakil Malaysia
Pengerusi:
4.00 petang- Kunjungan Hormat ke kediaman Tuan Yang Terutama Yang
Di-Pertua Negeri Sarawak
4.30 petang- Rehat, jamuan ringan
8.00 malam- Majlis Perasmian Hari Sastera ke-16
di Dewan Serbaguna, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak
- Ucapan Alu-aluan YBhg Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff
Abu Bakar,
Ketua Satu GAPENA
-Ucapan Penghargaan YBhg Datuk Dr. Awang Sariyan,
Ketua Pengarah DBP
-Ucapan Perasmian
Yang Amat Berhormat Pehin Seri Haji Dr. Abdul Taib Mahmud
Ketua Menteri Sarawak

HARI KEDUA : 7 September 2013 (Sabtu)

8.30 pagi - Sesi 3 : Kertas Dasar: Sasterawan Negara
Panel:
1.Pengkajian dan Penulisan Sastera Melayu dalam Sastera Dunia
SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Saleh
2.Perkembangan Puisi Melayu dalam Wadah Sastera Dunia
SN Dato’ Haji Baharudin Zainal (Baha Zain)
3.Puisi Melayu dalam Wadah Islam
SN Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)
4.Mengantarabangsakan Sastera Melayu
SN Prof. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

Pengerusi :
10.15 pagi - Rehat, minuman ringan

10.30 pagi - Sesi 2 : Sastera Melayu dalam Konteks Sastera Dunia
Panel:
1.Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, DBP
2.Dr. Awang Pawi Azman, UNIMAS
3.Puan Siti Rodziah Othman, Perpustakaan Negara Malaysia
4.Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, GAPENA/UM
Pengerusi:

12.30 t’hari -Rehat, Makan tengahari
2.30 petang -Sesi 4 : Sastera Tempatan Dalam Konteks Sastera Kebangsaan
Panel:
1.Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah
Ahli Lembaga Pengelola DBP
2.Dr. Hazami Jahari
DBP Cawangan Sarawak
3.Dr. Hasmihati Amat
Universiti Malaysia Sabah
Pengerusi : Dr. Mohamed Saleeh Rahamad, GAPENA
4.00 petang -Rehat, minum petang
4.30 petang -Sesi 5 : Forum: Sastera Melayu dalam Hubungannya dengan
Sastera Dunia
Panel:
1.Datuk Zainal Abidin Borhan, GAPENA
2.Prof. Madya Dr. Jeniri, UNIMAS
3.Dr. Ampuan Ibrahim, ASTERAWANI
4.Wakil Indonesia
Pengerusi : Dato’ Haji A. Aziz Deraman, GAPENA

8.00 malam -1) Malam Penangguhan Hari Bandar Raya Kuching di Panggung Udara
2) Malam Kebudayaan Malaysia di Tebingan Sungai, Kuching

HARI KETIGA : 8 September 2013 (Ahad)

8.30 pagi -Lawatan ke Tebingan Sungai (Regata) dan sekitar Bandar Raya Kuching

12.00 t’hari- Makan tengahari

- BERSURAI

Comments