Hadiah Sastera MASTERA


Hadiah Sastera MASTERA

MASTERA atau Majlis Sastera Asia Tenggara adalah sebuah majlis yang merancang dan memantau perkembangan Sastera Melayu/Indonesia di rantau ini. Penubuhan MASTERA telah dipersetujui pada asasnya oleh tiga negara pendiri Iaitu Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia pada 25 Ogos 1995. MASTERA telah diputuskan sebagai sebuah majlis serantau yang mewakili lembaga pemerintah setiap negara anggota. Keanggotaannya terdiri daripada tiga kelompok, iaitu negara pendiri, negara ahli dan negara pemerhati.Penubuhan MASTERA telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Y.B. Datuk Khalid Yunus, sempena Majlis Pelancaran MASTERA dan Sidang Ke-1 MASTERA di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 12 Ogos 1996. Majlis turut disaksikan oleh wakil-wakil dari negara Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Penubuhan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) pada 12 Ogos 1996, di Kuala Lumpur, Malaysia adalah bertujuan untuk mewujudkan kerjasama antara negara rantau ini demi membina dan mengembangkan sastera berbahasa Melayu/Indonesia. Salah satu program Nusantara, sebagaimana yang termaktub dalam Deklarasi MASTERA, ialah Hadiah Sastera MASTERA. Hadiah ini adalah salah satu bentuk inisiatif yang dipersetujui oleh ketiga-tiga negara anggota pendiri, iaitu Malaysia, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia bagi memenuhi pernyataan yang berikut;
"Mengusahakan peluang-peluang bersama untuk para sasterawan memajukan bakat, penterjemahan penerbitan dan pengiktirafan terhadap pencapaian mutu ciptaan sastera?.

Tujuan

Mengenal pasti karya-karya sastera bermutu dalam pelbagai genre yang asli ditulis dalam bahasa Melayu/Indonesia atau diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu di negara-negara rantau Asia Tenggara

Memberikan pengiktirafan bertaraf rantau kepada bermutu dan kepada para penulis yang menghasilkannya dalam sesuatu tahun penilaian.

Bidang Penilaian: (Karya Perseorangan)
Kumpulan puisi
Kumpulan cerpen
Novel
Drama pentas
Kajian sastera / kumpulan esei kritik

Pelaksanaan

Setiap negara akan memilih tiga(3) karya terbaik yang mewakili lima(5) genre tersebut untuk dinilai di Peringkat Rantau.

Mastera Malaysia akan membentuk Panel Induk yang terdiri daripada wakil dari ketiga-tiga negara pendiri dan Singapura(sebagai wakil negara pemerhati)untuk memilih eorang pemenang dari setiap negara.

Setiap pemenang akan menerima hadiah sebanyak RM10,000.00 berserta sijil dan plak.

Hadiah Sastera MASTERA 1999
Majlis Penyampaian Hadiah Sastera MASTERA telah disempurnakan oleh Y.B Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar, Menteri Luar Negeri pada 25 Ogos 1999 di Hotel Istana, Kuala Lumpur sempena Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Bandingan 25-27 Ogos 1999.

Penerima
Badaruddin HO (Brunei Darussalam) Episod-Episod Si Awang (Antologi Puisi)
Titis Basino P.I (Indonesia) Dari Lembah ke Coolibah, Welas Asih Merengkuh Tajali, Menyucikan Perselingkuhan (Trilogi Novel)
Dr. Sohaimi Abdul Aziz (Malaysia) Rasa ? Fenomenologi: Penerapan Terhadap Karya A. Samad Said (Esei Kritikan)

Hadiah Sastera MASTERA 2001
Majlis Penyampaian Hadiah Sastera MASTERA akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia Tan Sri Datuk Musa Mohamed yang mewakili Perdana Menteri Malaysia,Dato Seri Mahathir Mohamad pada 26 Ogos 2001 di Hotel Istana, Kuala Lumpur sempena Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara Ke-2.

Penerima
Muslim Burmat (Brunei Darussalam) Urih Pesisir
Kuntowijoyo (Indonesia) Mantra Pejinak Ular
Muhammad Haji Salleh (Malaysia) Puitika Sastera Melayu

Mulai tahun 2003 ada sedikit perubahan dalam dasar pelaksanaan Hadiah Sastera MASTERA. Kali ini hadiah dibahagi kepada dua(2) kategori iaitu Karya Kreatif dan Karya Bukan Kreatif. Mulai tahun 2005 diadakan pula hadiah penghargaan sekiranya
ada karya yang layak.

Hadiah Sastera MASTERA 2003
Majlis Penyampaian Hadiah Sastera MASTERA telah disempurnakan oleh Y.B.Dato? Paduka Abdul Kadir bin Haji Sheikh Fadzir, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Malaysia pada 22 September 2003 di Hotel Grand Maya, Kuala Lumpur sempena Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara Ke-3.

Penerima
Karya Kreatif
Zefri Ariff Brunei (Brunei Darussalam) Rapat (Kumpulan Drama Pentas)
Abrar Yusra (Indonesia) Tanah Ombak (Novel)
Anwar Ridhwan (Malaysia) Naratif Ogonshoto (Kumpulan Cerpen)

Karya Bukan Kreatif
Abdul Hadi WM (Indonesia) Tasawuf Yang Tertindas (Kumpulan Drama Pentas) Kajian Hermeneutik Atas Karya-Karyanya

Hadiah Sastera MASTERA Mengiktiraf Karya Serantau
Oleh SHUHAILEY MAHAMAD

Shahnon memenangi Hadiah Sastera MASTERA Malaysia

NOVEL Mahabbah hasil karya Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2007 terpilih sebagai karya sastera kreatif terbaik negara Malaysia dan menerima Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) Ke-6, 2010.
Mahabbah, novel yang mengandungi 316 halaman dan 13 bab, adalah satu bentuk kepengarangan yang bijaksana berbeza daripada kelaziman novel Shahnon yang lain. Mahabbah merupakan satu bentuk penghasilan kreatif yang mempunyai keistimewaan tersendiri dan dapat memupuk sebuah cerita dari perspektif Islam. Karya ini mampu mengangkat hubungan manusia, bukan sahaja berasaskan konsep hablumminannas tetapi lebih berkonsepkan penampilan hubungan vertikal terhadap hubungan manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab terhadap dirinya sebagai hamba dengan Penciptanya.

Kekreatifan penghasilan Mahabbah bukan sahaja menonjolkan keupayaan pengarang meneroka alam metafizik dan kewujudan diri sebagai insan yang menuju husnulkhatimah, tetapi kekreatifan pengarang mengolah naratif ini dengan bahasa yang bersifat estetik dan melengkapkan sifat bahasa kesusasteraan yang indah.
Menurut panel penilai, Mahabbah merupakan satu penghasilan karya yang mencapai kematangan pada struktur yang terjalin sama ada dari segi kematangan pemilihan subjeknya, ruang alam dan makna yang mendalam. Karya sebegini merupakan karya yang besar bukan sahaja dari segi saranan sastera, malahan dari sudut fitrah Islam.

Penulis “Tawaduk Musim Sujud”, Haji Mohd. Salleh Abdul Latif dari negara Brunei Darussalam menerima hadiah daripada Timbalan Perdana Menteri.

Bagi negara Brunei Darussalam, Tawaduk Musim Sujud pula melayakkan Haji Mohd. Salleh Abdul Latif menerima Hadiah Sastera MASTERA 2010. Tawaduk Musim Sujud ialah novel kontemporari yang dijalin secara kreatif dan pembahasan mendalam yang disokong dengan fakta dan sumber yang sahih. Novel ini juga mengisahkan hal ehwal Islam dan nilai-nilai keimanan yang merupakan suatu analisis yang dapat meyakinkan pembaca untuk memantapkan wahana keimanan mereka.
Penerima Hadiah Sastera MASTERA 2010 bagi negara Indonesia pula dimenangi oleh D. Zawawi Imron dengan buku kumpulan puisi bertajuk Kelenjar Puisi. Buku puisi Zawawi Imron dipilih atas pencapaian estetiknya. Beliau merupakan penyair yang secara konsisten telah memproduksikan karyanya dengan nuansa warna lokal yang kuat. Kumpulan puisi Kelenjar Laut menggambarkan penjelajahan spiritual penyairnya.

Kumpulan Puisi “Kelenjar Laut” oleh D. Zawawi Imron karya terbaik negara Indonesia.

Majlis Penyampaian Hadiah Sastera MASTERA 2010 disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin pada 30 November lalu di Dewan Bankuet, DBP. Majlis penyampaian berlangsung bersama-sama Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010. Penerima Hadiah Sastera MASTERA menerima wang tunai berjumlah RM10,000 setiap seorang berserta plak dan sijil penghargaan.

Hadiah Sastera MASTERA bertujuan mengenal pasti karya sastera asli pelbagai genre yang bermutu yang ditulis dalam bahasa Melayu/Indonesia, atau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu/Indonesia di negara-negara rantau Asia Tenggara yang menjadi anggota MASTERA. Selain itu, Hadiah ini turut memberikan pengiktirafan bertaraf rantau kepada karya-karya bermutu yang diterbitkan pada tahun penilaian, iaitu selama tempoh dua tahun. Karya yang dinilai adalah karya sastera kreatif dan bukan kreatif.
MASTERA ialah singkatan bagi Majlis Sastera Asia Tenggara yang dipersetujui pada asasnya oleh tiga negara pendiri (Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia) dalam kongres Bahasa Melayu Sedunia pada 25 Ogos 1995. Penubuhan MASTERA dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Datuk Khalid Yunus, sempena Majlis Pelancaran MASTERA di DBP Kuala Lumpur pada 12 Ogos 1996.
MASTERA bertujuan merapatkan hubungan, pengertian dan kerjasama kesusasteraan negara-negara anggota dalam usaha memajukan dan mengembangkan kesusasteraan serantau ke arah menjadi warga sastera dunia yang berwibawa. Selain itu MASTERA menyelaras kegiatan dan penyelidikan kesusasteraan serantau secara bersepadu serta bersama-sama memantapkan penyebaran dan penggunaan bahasa utama rantau ini sebagai alat komunikasi, media ilmu pengetahuan dan media pengucapan seni ke peringkat rantau dan antarabangsa.

Klik Web DBP

Singapura anggota terbaharu Mastera

KUALA LUMPUR — Singapura menjadi anggota terbaharu dan keempat Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) yang bertujuan memartabatkan sastera Melayu.

Kemasukan rasmi Singapura itu diumum pada majlis perasmian Sidang Ke-18 Mastera yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.

Ketua Pengarah DBP Dr Awang Sariyan berkata kemasukan Singapura itu akan membuka pintu baharu dan ruang kerjasama anggota Mastera bagi menjamin sastera Melayu dapat diserap selari dengan kemajuan teknologi.

“Sudah 18 tahun kami (Mastera) menunggu untuk Singapura menyertai dan dengan penyertaan Singapura ini ia sedikit sebanyak mampu memperkuatkan lagi sastera Melayu di rantau Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis dan penyampaian hadiah sastera Mastera ke-7 oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D”Cruz.

Selain Malaysia dan Singapura, anggota Mastera lain ialah Indonesia dan Brunei.

Awang berkata Mastera kini komited untuk memperbanyakkan kajian sesama negara anggota bagi memastikan terdapat satu novel hasil karya pengamal sastera di rantau ini untuk memenangi anugerah novel sastera terbaik peringkat antarabangsa.

Menteri Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri dan Hal Ehwal Luar Singapura Masagos Zulkifli Mohamad yang turut hadir, berkata penyertaan Singapura sebagai anggota tetap Mastera akan membuka peluang kepada peningkatan sastera Melayu di negara itu khususnya untuk generasi muda.

"Di Singapura hampir 85 peratus rumah memiliki Internet maka peluang untuk memartabatkan elemen sastera bagi generasi muda dilihat cerah.

"Singapura sejak 1995 menjadi pemerhati Mastera, kini apabila telah menjadi anggota tetap ia akan membuka peluang kepada penggiat sastera Singapura berkongsi maklumat demi peningkatan sastera sesama negara anggota lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perutusan Mastera Indonesia, Prof Dr. Mahsun MS berkata kemasukan Singapura menjadi anggota tetap Mastera akan meningkatkn lagi kajian sastera Melayu dalam bidang geolingustik.

"Semangat kesamaan kita wajar dikembangkan lagi dan adalah harapan saya untuk ia diluaskan dengan kajian sastera melibatkan unsur geolingustik.

"Kita harus memperluaskan kemashyuran sastera yang dimiliki setiap negara anggota agar memastikan ketinggian sastera di rantau ini dinilai tidak hanya pada faktor ”historis” sahaja,” katanya.

Karya sastera kreatif bagi negara Brunei dimenangi oleh Datuk Paduka Matussin menerusi ”Biarkan Kami Bernafas”.

Manakala bagi karya sastera kreatif negara Indonesia dimenangi Agus R.Sardjono hasil karya ”Lumbung Perjumpaan” dan bagi Malaysia, karya ”Serigala dan Sekuntum Tulip” oleh Syed Mohd Zakir Syed Othman. - BERNAMA

Kosmo Online

Comments