20 Sep 2013

Balai Seni Visual Negara




Sejarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) adalah rentetan penubuhan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) bermula bilamana idea penubuhannya mula dikemukakan sejak tahun 1954 hingga 1956 oleh Majlis Kesenian Persekutuan (Malaya Arts Council) yang ditunjangi oleh Mubin Sheppard (kini Tan Sri) dan Frank Sullivan. Sebagaimana Laporan Tahunan BSLN 1974 – 1975 dan Laporan Tahunan Muzium Seni Negara 1979, Lembaga Amanah BSLN dibentuk pada 3 Jun 1958. Pada 27 Ogos 1958, sebuah bangunan dua tingkat yang terletak di No. 109, Jalan Ampang, Kuala Lumpur – bersebelahan bangunan parlimen pertama Malaysia (waktu itu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu)– telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi menempatkan dengan rasminya institusi Balai Seni Lukis Negara (BSLN). Ordinan untuk menubuhkan Lembaga Amanah BSLN dimaktubkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada tahun 1959 melalui Akta 516: Akta Balai Seni Lukis Negara 1959.


Penubuhan dan pengisytiharan pembukaan rasmi Balai Seni Lukis Negara (BSLN) itu disempurnakan oleh Perdana Menteri waktu itu yang juga Perdana Menteri pertama iaitu TYT Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Perasmian itu disertai oleh satu pameran sulung di Dewan Tunku Abdul Rahman bangunan tersebut yang telah disertai pelukis-pelukis seluruh negara bagai menyatakan semangat kesepakatan dan perpaduan melalui penyertaan karya-karya mereka. Sesungguhya, penubuhan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) juga merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap bidang seni lukis tanahair.

Frank Sullivan telah dilantik sebagai pentadbir Balai Seni Lukis Negara (BSLN) yang pertama. Beliau yang juga adalah bekas setiausaha kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj turut bertindak sebagai setiausaha Lembaga Amanah, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) sehingga tahun 1970. Pada 28 Januari 1987, telah diadakan Majlis Pecah Tanah untuk bangunan baru Balai Seni Lukis Negara di sebuah tapak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Pembinaan bangunan baru ini adalah melalui proses penswastaan di antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Yeoh Tiong Lay (YTL). Proses pembinaan siap pada tahun 1998

Pada 13 November 1998, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) berpindah ke premis bangunannya sendiri kini di No.2, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur serentak dengan pelancaran Pameran Seni Lukis Antarabangsa Asia Ke-13. Premis bangunan baru Balai Seni Lukis Negara (BSVN) ini telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (kini Tun) pada 27 September 2000.


Pada 26 September 2011 – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Dato' Sri Utama Dr. Rais Yatim telah merasmikan Majlis Pelancaran Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724) yang membawa kepada penukaran nama dari Balai Seni Lukis Negara (BSLN) kepada Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).
Majlis tersebut juga dihadiri oleh Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha dan Timbalan. Ketua Setiausaha serta wakil-wakil agensi KPKK selain rakan-rakan korporat dan media yang turut sama menyaksikan pelancaran yang bersejarah bagi LPSVN.

Dengan pewartaan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724), Akta ini membolehkan Lembaga Penbangunan Seni Visual Negara (LPSVN) beroperasi bukan sahaja sebagai sebuah galeri tetapi juga sebagai pemangkin kepada pembangunan industri seni visual tanahair melalui program-program pembangunan dan bantuan-bantuan lain yang perlu. (Rujukan : Seksyen 4 (f) dan (i)).

Akta ini juga mentakrifkan, apa-apa bentuk seni yang dihasilkan menarik kepada deria visual dan wujud dalam bentuk kekal seperti fotografi, multimedia dan apa-apa bentuk teknologi yang menarik, berbanding akta lama yang lebih menjurus kepada seni lukis sahaja.

Kerajaan merasakan Akta Balai Seni Lukis Negara 1959 yang telah sekian lama digunapakai perlu di tambahbaik bagi memberi fokus yang lebih luas selaras dengan tuntutan dan perkembangan seni visual di peringkat antarabangsa.

Akta Balai Seni Lukis Negara 1959 dengan ini digantikan dengan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724) berkuatkuasa mulai 27 Ogos 2011 yang lalu. Tarikh ini diambil bersempena dengan ulang tahun penubuhan Balai Seni Lukis Negara yang ke 53.

Selain itu, akta ini juga membolehkan LPSVN mengembangkan operasinya ke negeri-negeri berbanding akta lama hanya membenarkan galeri beroperasi di Kuala Lumpur sahaja (Rujukan : Seksyen 30 (2)).

Dengan termaktubnya Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724), diharap misi LPSVN untuk mengumpul, memulihara, memelihara, mempamer, mempromosi, memupuk kesedaran, kefahaman dan penghayatan terhadap seni kepada semua lapisan masyarakat akan lebih terlaksana selain membolehkan LPSVN menetapkan standard dan mutu seni visual supaya koleksi-koleksi seni visual Negara mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi melalui pewartaan akta tersebut.


Berikut adalah ringkasan kronologi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) sejak ia ditubuhkan :

27 Ogos 1958 - Balai Seni Lukis Negara ditubuh dengan rasminya melalui Akta Balai Seni Lukis Negara. Pengarah Balai Seni Lukis Negara yang pertama ketika itu ialah Encik Frank Sullivan

3 Oktober 2007 – Rang Undang-undang Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara telah diluluskan oleh Jemaah Menteri bagi memansuhkan Akta Balai Seni Lukis Negara 1959

26 November 2007 – Bacaan kali pertama Rang Undang-undang Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara di Parlimen

Tahun 2008 – RUU Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara ditarik balik kerana perkataan Tampak memberi maksud yang berbeza bagi sesetengah kaum di Sabah

16 Julai 2010 –RUU Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dibentangkan dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri

11 Oktober 2010 – Bacaan kali pertama RUU Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara di Dewan Rakyat

15 Disember 2010 – Bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat

22 Disember 2010 – Pembentangan di Dewan Negara

24 Januari 2011 – Diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong

27 Januari 2011 – Disiarkan dalam warta

27 Ogos 2011 – Penguatkuasaan Akta

26 September 2011 – Majlis Pelancaran Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara oleh YB Menteri KPKK


Sejak ditubuhkan, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) pernah dinaungi oleh beberapa kementerian. Antaranya ialah : Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (April 2009 hingga Mei 2013) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan

Penubuhan Balai Seni Visual Negara

Balai Seni Visual Negara ini ditubuhkan pada 28 Ogos 1958, setahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan dari jajahan British. Galeri ini merupakan badan berkanun yang menerima geran tahunan dari Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Galeri ini juga menerima sumbangan dari badan korporat dan penaja untuk mengadakan aktiviti-aktiviti seni sampingan.


Dalam usaha untuk mempromosi kesedaran dan apresiasi seni di seluruh peringkat masyarakat, objektif utama Balai Seni Visual Negara adalah untuk mempersembahkan pameran dari dalam dan luar negara, mengadakan seminar, bengkel, pertandingan dan aktiviti seni lain serta berusaha untuk memperkembangkan koleksi tetapnya yang kini merangkumi lebih daripada 2,500 karya. Dalam kata lain, kami ingin memupuk aktiviti kepakaran dan ingin menubuhkan koleksi seni kebangsaan.


Bangunan yang mempunyai ciri-ciri senibina yang tersendiri ini terletak di antara Istana Budaya dan Perpustakaan Negara Malaysia. Kedudukannya juga tidak jauh dari Kuala Lumpur City Center (Menara Kembar Petronas KLCC) dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bangunan BSVN mempunyai 7 buah galeri, sebuah bengkel dan gedung kreatif, pusat sumber, sebuah oditorium yang dapat memuatkan 144 tempat duduk dan juga pejabat bahagian pentadbiran BSVN.


Bangunan Balai Seni Visual Negara kini terletak di No 2, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Bangunan ini telah dibina dengan kos RM 40 juta di atas tanah yang berkeluasan 15 ribu kaki persegi. Rekabentuk unik yang menggabungkan elemen prinsip tradisional dan moden, kerangka berbentuk “A” yang dikelilingi atap berjubin cermin dan ruangan yang mampu memberikan pandangan dari pelbagai sudut ini direka oleh Dato’ Mir Shariman Mir Saharuddin yang memenangi pertandingan merekabentuk bangunan baru BSVN ini.


55 Tahun Balai Seni Visual Negara 1958-2013
Oleh : Faizal Sidik
Penulisan ini telah dibentangkan di ‘Persidangan Meja Bulat: Peranan Insitusi Dalam Infrastruktur Seni Rupa Malaysia’ di Galeri Petronas pada 19 Jun 2013.


Balai Seni Lukis Negara telah ditubuhkan pada 28 Ogos 1958 melalui Akta 516, National Art Gallery Act 1959. Ordinan untuk menubuhkan Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara telah dimaktubkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada tahun 1959. Kini agensi ini berada di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK), sejajar dengan penubuhan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724), nama Balai Seni Lukis Negara telah ditukarkan kepada Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) pada 27 Ogos 2011. LPSVN atau dikenali dengan Balai oleh khalayak seni di sini, mempunyai visi sebagai pusat terunggul pemegang amanah warisan seni negara. Misi institusi ini adalah mengumpul, memulihara, memelihara, mempamer, mempromosi, memupuk kesedaran, kefahaman dan penghayatan yang tinggi terhadap seni kepada semua lapisan masyarakat.
Objektif penubuhan Balai terbahagi kepada empat iaitu; untuk memperoleh hasil karya sebagai Himpunan Tetap Warisan Seni Visual Negara yang mencerminkan kreativiti dan aspirasi seni budaya. Memulihara, memelihara, mendokumentasi dan menyelidik Himpunan Tetap Warisan Seni Visual Negara dan pensejarahan seni negara. Mempromosi dan meningkatkan mutu seni visual negara dengan menganjurkan pameran, seminar, bengkel, pertandingan dan aktiviti seni dalam dan luar negara.

Balai terdiri dari pada dua sektor iaitu Operasi dan Pengurusan. Sektor Operasi boleh dipecahkan kepada lima. Bahagian Penyelidikan dan Pameran merupakan core business atau penubuhan utama Balai dengan mengadakan pameran seni visual. Setelah setengah abad, Balai telah mengadakan 737 buah pameran yang terdiri daripada pameran solo, pameran berkumpulan, pameran koleksi, pameran usahasama, pameran bergerak dan pameran luar negara. Sempena menyambut 55 tahun penubuhannya pada tahun ini 2013, satu pameran khas sempena Sambutan 50 tahun Penubuhan Malaysia akan diadakan secara usahasama dengan Map Publika dengan tema ‘Selamat Hari Jadi Malaysia’ atau ‘M50’. Projek yang telah dirancang sejak awal lagi ini akan diadakan pada 27 Ogos hingga 17 September dengan penglibatan lebih daripada 10 galeri swasta. Selepas kejayaan pameran ‘Retrospektif 60 Tahun Latif Mohidin’ tahun lepas, kecemerlangan penganjuran Balai akan diteruskkan dengan pameran solo ‘Pancawarna’ oleh Sharifah Fatimah Zubir pada awal Julai 2013 dan pertandingan dan pameran Bakat Muda Sezaman (BMS) bagi edisi ke 24 akan terus dijalankan pada hujung tahun.

Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) adalah infrastruktur seni utama negara kita yang menyimpan dan memulihara hasil seni lukis tanahair sejak penubuhannya pada tahun 1958 lagi. Bahagian Koleksi dan Konservasi adalah jantung kepada institusi ini. Sehingga tahun 2012 Balai telah mengumpul 4012 karya daripada pelbagai genre seperti, catan, arca lukisan, cetakan, fotografi, video, instalasi dan lain-lain. Sebagai payung kepada program pembangunan seni lukis di Malaysia sudah tentu ia berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang lebih 50 tahun penubuhannya. Salah satu cabaran yang dilaluinya adalah untuk menjadikan ia sebagai pusat rujukan penting seni lukis moden dan kontemporari Malaysia. Sebagai tempat yang menjadi tumpuan penyelidik dalam mengkaji dan menambahkan lagi teks seni lukis negara, sudah tentu koleksi karya Balai yang dihimpun selama ini menjadi bahan rujukan dalam melengkapkan dokumentasi penyelidikan. Sehingga kini Balai bukan sahaja menerima pelanggan ilmu atau pengkaji yang datangnya dari pusat pendidikan seni lukis tempatan malah juga dari universiti-universiti luar negara yang datang untuk menatap, memikir dan menyelongkar khazanah seni lukis negara dalam menyiapkan kertas-kertas kerja atau tesis-tesis peringkat sarjana ataupun doktor falsafah.

Dalam visi Balai untuk menjadi pusat pembangunan dan pengkoleksian seni visual negara, sebagai salah satu dari pada warisan kebangsaan. Dengan lebih daripada 4000 koleksi yang dinamakan dengan Inventori Himpunan Tetap Seni Visual Negara, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Perolehan Himpunan Tetap, terdiri daripada ahli lembaga BSVN sendiri dalam merangka Cadangan Perolehan Tahunan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perolehan. Terdapat tiga pendekatan dasar pengkoleksian oleh Balai iaitu melalui pembelian, hadiah dan sumbangan dan juga karya komisen. Untuk itu Strategi Cadangan Perolehan dirangka dalam membuat perolehan melalui samada lawatan ke studio dan lawatan ke pameran yang diadakan. Ada beberapa kreteria yang diberikan penekanan dari segi pemilihan untuk perolehan seperti sesuatu karya itu mempunyai maklumat visual dan nilai sejarah yang penting kepada negara dan karya yang amat signifikan dalam sejarah seni di Malaysia.

Jika Bahagian Koleksi merupakan jantung, Bahagian Penerbitan merupakan nadi yang menggerakkan program pameran dan pengkoleksian dengan lebih rancak. Bahagian ini mempunyai unit dokumentasi dan rekabentuk yang sangat aktif menerbitkan buku, katalog, majalah, brosur dan bahan pameran. Sehingga kini Jun 2013 Balai telah menerbit 561 judul, boleh dikatakan 50 peratus daripada penerbitan buku seni visual tempatan datangnya daripada Penerbit LPSVN. Segala perancangan program Balai samada pameran dan pengkoleksian sudah tentu mensasarkan kepada khalayak untuk mencapai atau acess terhadap produk pameran yang dibina dan diperbincangkan. Oleh itu, Bahagian Pendidikan dan Jaringan berperanan merancang, mendidik, memberi pendedahan dan membantu mempertingkatkan kefahaman dan kesedaran terhadap kepelbagaian bidang seni visual dengan berkesan menerusi aktiviti sokongan dan perkhidmatan pendidikan. Balai telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti dan program khusus untuk mempromosikan kepelbagaian seni visual seperti yang dilakukan oleh Bahagian Korporat. LPSVN beroperasi bukan sahaja sebagai sebuah ruang berpameran sahaja, tetapi juga sebagai pemangkin kepada pembangunan seni visual tanahair. Di sepanjang 2012 sahaja Balai telah menerima sebanyak 300,000 pengunjung, sebanyak 156 liputan media cetak dan 3650 liputan media elektronik telah berjaya diperolehi.

Balai akan terus bergerak kehadapan dengan matlamat dan peranannya. Dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) strategi jangka pendek dan jangka panjang dalam tempoh lima tahun telah direncana. Balai telah merangka program yang lebih menyeluruh dalam membangunkan dan mengembangkan seni visual di Malaysia. Antaranya bagi menjana industri pelancongan, ‘KL Biennale’ telah dirancangkan untuk diadakan pada tahun 2014. Manakala dengan akta baru di telah diwartakan Balai dalam proses melebarkan sayap dengan pembukaan cawangan di zon seperti di utara, timur, selatan dengan mengadakan perkongsian pintar dengan muzium seni di Sabah dan Sarawak. Bagi merancakkan lagi kegiatan seni agar tidak sahaja bertumpu di Lembah Klang, kini Balai sedang bekerjasama dengan pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi membuka cawangannya di Langkawi.

Sumber : Faizal Sidik


Langkawi Destinasi baru BSVN
Oleh RASDAN AHMAD

PIHAK Balai Seni Visual Negara (BSVN) kini dalam usaha merencanakan pembangunan fizikal dan merancakkan prasarana seni di Langkawi sebagai destinasi ulung cawangannya.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 membolehkan BSVN menubuhkan cawangan di mana-mana tempat yang difikirkan perlu dan bersesuaian dengan kepentingannya.

"Dengan adanya cawangan BSVN di Langkawi akan menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada dan seterusnya dapat menyumbang kepada peningkatan kadar kunjungan pelancong ke negara ini.

"Dalam mendepani cabaran ini saya beranggapan bidang seni visual juga bergerak ke hadapan kerana telah berupaya meletakkan potensi untuk berkembang menjadi satu industri yang berdaya saing. Cuma kita belum sampai ke tahap menjadikan seni lukis sebagai satu komoditi untuk pelaburan.

"Galeri swasta pada hari ini yang semakin bertambah adalah seiring dengan kemunculan para penggiat seni yang terbilang di samping penghasilan karya seni yang bermutu. Ini adalah merupakan satu petanda positif dalam merancakkan bidang seni visual tanah air," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama pelukis dan penghargaan Salut 55! sempena 55 tahun penubuhan BSVN baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Ambank Group Berhad yang juga bekas Pengerusi Lembaga Amanah BSVN, Tan Sri Azman Hashim dan Ketua Pengarah BSVN, Haned Masjak.

Pada majlis yang sama, Mohamed Nazri turut mengumumkan tabung bantuan sebanyak RM500,000 oleh BSVN bagi membantu komuniti pelukis untuk terus giat melahirkan karya berkualiti.

Katanya, usaha perlu diteruskan dengan mempamerkan karya-karya seni pelbagai bidang oleh para pelukis tempatan dan luar negara di samping aktiviti perolehan, konservasi, penyelidikan dan pendidikan.

"Walaupun keadaan masih kekurangan daripada kesempurnaan termasuk dari segi ruang keluasan pameran, arkib penyimpanan, mahupun penyelidikan, BSVN tetap gigih meneruskan matlamat sebagai pemegang amanah khazanah seni lukis negara.




"Komuniti pelukis wajar dibantu agar lebih terserlah dan sehubungan itu, bagi mendokong hasrat ini untuk terus memayungi pelukis tempatan dan seni negara ke tahap yang lebih dinamik dan memberangsangkan.

"BSVN juga perlu berusaha memberi laluan kepada karya artis tempatan mempamerkan hasil seni mereka di luar negara bagi memartabatkan seni kepada satu tahap yang paling gemilang," ujarnya.

Sementara itu Azman berkata, selain pameran-pameran utama, program sokongan seperti bengkel, forum, bicara seni dan pertandingan seni turut dianjurkan untuk penglibatan khalayak yang pelbagai.

Katanya, program-program tersebut juga dilihat sebagai salah satu pendekatan yang dibuat oleh BSVN bagi merakyatkan seni visual kepada masyarakat dengan lebih rapat dan mesra.


"Sempena menyambut 55 tahun Balai Seni Visual Negara ini juga pelbagai program-program khusus telah direncana dalam meraikannya sepanjang tahun ini.

"Antaranya pameran M50, pameran Siapa Pelukis Malaysia, Artnet, P.G. Lim Remembered Dalam Kalangan, Siri Syarahan Ismail Zain, Pengkisahan Sejarah Pentadbiran Balai Seni, Rearview Forward, pembukaan Galeri Potret Nasional (GPN) dan Salut 55.

"Dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) strategi jangka pendek dan jangka panjang dalam tempoh lima tahun telah direncana.

"BSVN telah merangka program yang lebih menyeluruh dalam membangunkan dan mengembangkan seni visual di Malaysia. Antaranya bagi menjana industri pelancongan, Biennale telah dirancang untuk diadakan pada tahun hadapan dan 2015," jelasnya.

Sumber : Utusan Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena