Warisan Kebangsaan 2012


154 butiran diisytihar sebagai warisan kebangsaan

KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini mengisytiharkan 154 butiran terdiri daripada 24 tapak, 10 objek ketara, 111 objek tidak ketara dan sembilan tokoh orang hidup sebagai Warisan Kebangsaan Negara.

Beliau berkata penganugerahan status warisan kebangsaan itu merupakan langkah positif dalam era pembangunan yang mengimbangi transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Kementerian menganggap anugerah ini dapat sama-sama memupuk (semangat) kenegaraan dan kebangsaan kita, ia juga perlu diberi semangat pemeliharaan serta pemuliharaan," katanya kepada pemberita di sini.

Pada majlis itu, Rais turut menyampaikan sijil anugerah tokoh warisan orang hidup yang sangat menonjol menyerlahkan nilai-nilai warisan negara iaitu Ramli Ibrahim (tarian klasik India, tarian balet klasik dan tarian moden), Tan Sri Ahmad Othman Merican (muzik), Mek Jah Deris (Mak Yong), Jati anak Ju (Pua Kumbu), Datuk Mohd Nor Khalid (kartunis), Intan Sulga KK Tiring (tarian tradisional Bajau Laut), Eyo Hock Seng (Wayang Kulit), Nyonya Tan Abdullah (Dondang Sayang) dan Kumaresan Karthigesu (Seni Muzik Sitar)

Selepas itu, beliau melepaskan 450 peserta Jejak Warisan yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang akan melawat ke tempat-tempat bersejarah seperti Muzium Tekstil Negara dan Panggung Bandaraya.

Warisan Kebangsaan Negara itu merangkumi Warisan Ketara iaitu warisan arkeologi yang mengiktiraf Tapak Arkeologi Sungai Batu, Sungai Petani, Kedah; Bukit Bunuh, Lenggong, dan Gua Batu Tambun di Perak.

Warisan semulajadi pula terdiri daripada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor; Taman Negara Tanjung Piai, Pontian dan Taman Negara Gunung Ledang, Muar di Johor; Taman Diraja Belum, Grik, Perak dan Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.

Selain itu, pengiktirafan diberi kepada 16 bangunan di bawah warisan seni bina iaitu Istana Kenangan, Kuala Kangsar; Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar; Gereja All Saints, Taiping; Menara Condong Teluk Intan dan Penjara Taiping di Perak.

Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang, Selangor; Kota Santiago dan Gereja St. Paul di Melaka, Istana Jahar, Kota Baharu, Kelantan; bangunan bekas Jabatan Penerangan, bangunan bekas Mahkamah Tinggi, Jalan Raja; bangunan bekas Pejabat Pengawal Pos Wilayah
Persekutuan (Pustaka Peringatan Kuala Lumpur), bangunan bekas Chartered Bank of India, Australia and China; Gereja St. Mary, bangunan Sekolah Menengah St. John, Bukit Nanas dan bangunan Institut Penyelidikan Getah Malaysia, yang semuanya di ibu negara, turut menerima pengiktirafan itu.

Bagi warisan seni halus, dua lukisan mendapat pengiktirafan iaitu Pago-Pago oleh Abdul Latiff Mohidin yang mengambil subjek alam seperti pucuk rebung, teritip, daun dan bukit serta lukisan Pemandangan Malaysia karya Khalil Ibrahim.

Warisan objek ketara pula ialah Hukum Kanun Pahang, Surat Persendirian Zainal Abidin bin Ahmad (ZABA), Surat Persendirian Tengku Omar ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah, Pemasyuran Malaysia 1963, Perjanjian Kuala Lumpur 1974, Perisytiharan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1974, Perjanjian Labuan dan Batu Bersurat Terengganu.

Terdapat lapan kategori di bawah Warisan Tidak Ketara iaitu permainan tradisi dan pertahanan diri yang mengiktirafkan galah panjang, laga ayam, dam, katuk keli, tating lawi, sepak raga, seremban, ketinting, kuit, kabbadi dan silambam sebagai warisan kebangsaan.

Kitab Tib, Syair Siti Zubaidah Perang Cina, Misa Melayu, Pengap (Iban, Sarawak) dan Bahasa Melayu pula di bawah kategori warisan bahasa dan persuratan manakala main peteri, ulik mayang, bekam, bomoh patah, urut tradisional dan bidan kampung diiktiraf di bawah kategori perubatan tradisional.

Warisan busana, tekstil, seni hias diri dan kraf menyenaraikan baju Melayu, baju kurung, kebaya labuh, kebaya pendek, songket, pakaian adat Kadazan Dusun, pakaian Ngepan (Iban, Sarawak), pua kumbu, lipatan tengkolok, songkok, sulaman keringkam, batik Malaysia, tekat, ikatan samping, anyaman tepas, anyaman mengkuang dan labu sayong sebagai warisan kebangsaan.

Warisan seni persembahan pula terdiri daripada rodat, ghazal, bongai, datun julud, gendang Melayu Sarawak, jo'oh, dabus, kompang, lagu Wan Bulan, Chingay, magunatib dan runsai.

Makanan warisan ialah puding raja, pengat, kuih pepena, ganti tandan jagung, rojak, kuih rengas, ubi kayu rebus dan sambal tumbis, putu piring, murtabak, jemput-jemput, makanan dari kaum Baba Nyonya iaitu bubur cha-cha, pulut tekan dengan seri kaya, popia dan pie tee.

Makanan dari kaum Cina pula ialah apam, tau fu fa dan choonpiah, apom dan capati (India), ambuyat/pinantung, tompe'/tinompeh dan nonsom bambangan (Sabah) serta tuak (Sarawak).

Bagi lauk-pauk pula itik golek, gulai masam keladi kemahang, sambal biji getah, pindang, sotong sumbat, rendang campur, sup belut, sambal rong, sambal goreng, tauge dan tauhu masak lemak, lawa terung, lompap daging dan hati, jantung pisang, budu, asam rebus, tempe, dan tauhu.

Masakan dari kaum Baba Nyonya turut tersenarai iaitu kari kapitan, nasi kembuli (nasi berempah), ayam pong teh, ayam masak buah keluak dan gerang asam. Selain itu umbut rebus (orang Asli), ambila dan kari devil (Portugis), keema (India) dan inche kabin (Cina).

Warisan adat dan budaya pula ialah berlenggang perut, adat perpatih Negeri Sembilan dan Naning, adat Temenggung, buka tanah baru, Iban Sarawak; adat mandi anak Iban, berkhatan/bersunat, magavau, adat pijak tanah dan cukur jambul/adat naik buai.- Bernama

Sinar Harian

24 Tapak Diiktiraf Warisan

KUALA LUMPUR 10 Mei - Sebanyak 24 tapak warisan yang terdiri daripada monumen, bangunan, arkeologi serta warisan alam semula jadi diumumkan sebagai Warisan Kebangsaan 2012 hari ini.

Antara tapak warisan diiktiraf statusnya kali ini adalah Taman Tasik Perdana, bangunan bekas Jabatan Penerangan, Bukit Bunuh di Lenggong, Perak dan Istana Jahar, Kota Bharu, Kelantan.

Selain itu, sebanyak 130 objek warisan seperti seperti artifak, kerja seni halus, manuskrip, permainan tradisi dan alat mempertahankan diri, warisan bahasa dan persuratan, seni persembahan, makanan serta Tokoh Orang Hidup turut diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan.

Antara tokoh Orang Hidup yang terpilih pada kali ini ialah Mek Jah Deris bagi warisan Mak Yong, Eyo Hock Seng (Wayang Kulit), Nyonya Tan Abdullah (Dondang Sayang) dan Jati anak Ju bagi warisan Pua Kumbu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pengiktirafan itu seiring dengan pelaksanaan Seksyen 67 Akta Warisan Kebangsaan 2005 untuk memberi status terhadap tapak dan objek warisan yang menonjol dan menyerlah dari segi nilai-nilai sejarah dan warisan negara.

“Saya percaya dengan pengiktirafan ini, usia sesuatu objek, seni atau tapak warisan dapat dipanjangkan, apatah lagi usaha pemeliharaan dan pemuliharaan dilakukan berterusan bagi menjamin legasi negara ini terselamat dan dilindungi.

“Diharapkan usaha ini mampu memberi kesedaran kepada masyarakat umum untuk sama-sama menghargai, melindungi dan menyelamatkan warisan negara daripada hilang ditelan zaman kerana ia adalah tanggungjawab setiap warganegara juga," katanya ketika berucap pada majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan 2012 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Kamarudin Siaraf; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kie dan Pesuruhjaya Warisan, Prof. Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid.

Menurut Rais, pengiktirafan status sebagai warisan adalah mekanisme paling berkesan untuk memanjangkan nilai atau hayat warisan tersebut.

Utusan Malaysia


Senarai Warisan Kebangsaan 2012


Kategori Warisan Tidak Ketara: Warisan Bahasa dan Persuratan
1) Kitab Tib
2) Syair Siti Zubaidah Perang Cina
3) Misa Melayu
4) Pengap (Iban, Sarawak)
5) Bahasa Melayu


 Kategori Warisan Tidak Ketara: Permainan Tradisi dan Pertahanan Diri:
1) Galah Panjang
2) Laga Ayam
3) Dam
4) Ketuk Keli
5) Tating Lawi
6) Sepak Raga
7) Seremban
8) Ketinting
9) Kuit
10) Kabbadi
11) Silambam


Kategori Warisan Ketara: Warisan Seni Halus:
1. Lukisan Pago-Pago (oleh Abdul Latiff Mohidin)
2. Lukisan Pemandangan Malaysia (oleh Khalil Ibrahim)


Kategori Warisan Ketara: Warisan Seni Bina:
1. Istana Kenangan, Kuala Kangsar, Perak
2. Masjid Ubudiah. Kuala Kangsar, Perak
3. Gereja All Saints, Taiping, Perak
4. Menara Condong, Teluk Intan, Perak
5. Penjara Taiping, Perak
6. Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang, Selangor
7. Bangunan Bekas Jabatan Penerangan, Kuala Lumpur
8. Bangunan Bekas Mahkamah Tinggi, Jalan Raja, Kuala Lumpur
9. Bangunan Bekas Pejabat Pengawal Pos Wilayah Persekutuan (Pustaka Peringatan Kuala Lumpur)
10. Bangunan Bekas Chartered Bank of India, Australia and China
11. Gereja St. Mary, Kuala Lumpur
12. Bangunan Sekolah Menengah St. John, Bukit Nanas, Kuala Lumpur
13. Bangunan Institut Penyelidikan Getah Malaysia (Rubber Research Institute of Malaysia), Kuala Lumpur
14. Kota Santiago, Melaka
15. Gereja St. Paul, Melaka
16. Istana Jahar, Kota Bharu, Kelantan


 Kategori Warisan Ketara: Warisan Arkeologi:
1. Tapak Arkeologi Sg. Batu, Sungai Petani, Kedah
2. Bukit Bunuh, Lenggong, Perak
3. Gua Batu Tambun, Perak


 Kategori Warisan Tidak Ketara: Warisan Busana, tekstil, Seni Hias Diri dan Kraf:
1) Baju Melayu
2)Baju Kurung
3)Kebaya Labuh
4)Kebaya Pendek
5)Songket
6)Pakaian Adat Kadazan Dusun
7)Pakaian Ngepan (Iban, Sarawak)
8)Pua Kumbu
9) Lipatan Tengkolok
10) Songkok
11) Sulaman Keringkam
12) Batik Malaysia
13) Tekat
14) Ikatan Samping
15) Anyaman Tepas
16) Anyaman Mengkuang
17) Labu Sayong


 Kategori Warisan Ketara: Warisan Objek Ketara:
1. Hukum Kanun Pahang
2. Surat Persendirian Zainal Abidin Ahmad (ZABA)
3. Surat Persendirian Tengku Omar Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah (Baginda Omar)
4. Pemashuran Malaysia, 1963
5. Perjanjian Kuala Lumpur, 1974
6. Perisytiharan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1974
7. Perjanjian Labuan
8. Batu Bersurat Terengganu


 Kategori Warisan Ketara: Warisan Semulajadi:
1. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, FRIM, Kepong, Selangor
2. Taman Negara Tanjung Piai, Pontian, Johor
3. Taman Diraja Belum, Grik, Perak
4. Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur
5. Taman Negara Gunung Ledang, Muar, Johor



 Kategori Tokoh Warisan Orang Hidup:
1. En. Ramli Ibrahim ( Tarian Klasik India, Tarian Balet Klasik dan Tarian Moden
2. Tan Sri Ahmad Othman Merican (Muzik)
3. Pn. Mek Jah Deris (Mak Yong)
4. Pn. Jati anak Ju (Pua Kumbu)
5. Datuk Mohd Nor Khalid (Lat) (Kartunis)
6. Pn. Intan Sulga KK Tiring (Tarian Tradisional Bajau Laut)
7. En. Eyo Hock Seng (Wayang Kulit)
8. Nyonya Tan Abdullah (Dondang Sayang)
9. En. Kumaresan Karthigesu (Seni Muzik Sitar)

Comments