Tokoh Primadona Mak Yong


Mek Jah binti Deris atau lebih dikenali dengan nama timang-timangannya Mek Jah. Merupakan anak kelahiran Gong Lilit, Besut, Terengganu. Pun begitu, keluarga beliau berasal dari Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Perjalanan beliau sebagai pemakyong cukup mencabar dan memerlukan pengorbanan yang besar sebelum bergelar seorang primadona makyong. Di dalam mengapai cita-cita dan impian kerana setelah menyatakan hasratnya untuk belajar makyong , masih terdapat juga tentangan daripada adik beradik, namun tidak dihiraukan demi minat yang mendalam dalam seni makyong. Beliau masih lagi beruntung kerana kedua orang tua beliau memberi sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada beliau untuk mempelajari dan mendalami ilmu makyong.

Berbekalkan sokongan arwah bapa dan ibu, ia menjadi penyuntik semangat untuk beliau bangkit dan gigih lagi dalam usaha mendalami ilmu dan selok belok seni makyong. Beliau mula mempelajari seni persembahan makyong ketika berumur 18 tahun dan dengan gelaran seorang janda. Ketika itu, sukar bagi seseorang yang telah bergelar janda mengharungi onak ranjau dalam meneruskan minat seni ini. Dengan kecekalan dan semangat yang tinggi, beliau mampu untuk mengapainya. Tanpa ragu beliau menyatakan minat ingin mempelajari makyong kepada gurunya dan beliau diterima dengan hati oleh guru untuk mendalami ilmu-ilmu makyong . Demi minat yang mendalam beliau berpenat lelah berulang alik berjalan kaki pada setiap malam ke tempat latihan untuk menuntut ilmu makyong.

Beliau juga sememangnya bertuah kerana dianugerahkan Allah dengan bakat dan suara yang nyaring sesuai dengan keperluan seorang pemakyong. Di awal pembelajaran, beliau telah berguru dengan seorang guru makyong bernama Pak Su Mat diikuti mak cik Zainab, pak cik Deraman dan lain-lain lagi. Sekarang ini semua guru-guru beliau telah pun meninggal dunia dan beliau memegang tanggungjawab tersebut.

Sememangnya telah ditakdirkan lahirnya Mek Jah sebagai mutiara sinar kepada kesinambungan empayar makyong tanah air sehingga Mek Jah mampu menguasai seni halus makyong dengan mudah pada tempoh awal proses pembelajaran beliau. Pada masa pembelajaran yang singkat beliau telah dapat menguasai seni tari dan nyayian makyong diikuti bulan kedua beliau dengan petah dapat menguasai cerita makyong. Begitulah kehebatan seorang bintang primadona makyong, kerana beliau telah dapat menunjukkan betapa hebat dan pintarnya beliau pada peringkat awalan proses pembelajaran lagi.

Bak kata pepatah melayu ‘ke mana tumpahnya kuah kalu tidak kenasi’. Ini terbukti dimana seramai dua orang anak beliau berkebolehan dalam seni lakon makyong dan boleh bermain makyong. Darah seni Mek Jah telah mengalir dalam diri anak-anak beliau sebagai penyambung legasi seni seri panggung Mek Jah. Kehebatan Mek Jah bermain makyong juga sememangnya di akui oleh teman-teman seperjuangan seperti Mek Nab,Fatimah Abdullah, Mek Imah dan Mak cik Siti serta ramai lagi. Mek Jah juga semasa mudanya pernah mendapat jolokan nama sebagai ‘Mek Jah Musang Berjanggut’, ini kerana penangan watak dalam lakonan beliau semasa bermain rodat pada suatu masa dahulu. Kesemua kawan-kawan beliau memuji kebolehan dan kehebatan beliau bermain makyong serta sikap beliau yang suka merendah diri sehingga kini walaupun telah mendapat pengiktirafan dari pihak kerajaan dan dunia sebagai ratu seri panggung primadona makyong Melayu.


Pengiktirafan beliau sebagai primadona makyong juga disokong oleh Pengerusi PUSAKA iaitu Encik Eddie Khoo yang telah berusaha membawa Mek Jah keperingkat antarabangsa dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara ke Perancis pada tahun 2007 sempena festival ‘Lemejenil’, dimana festival ini telah berlangsung pada setiap tahun semenjak 30 tahun yang lalu serta mendapat sambutan yang hebat dari penonton-penonton di sana.

Semangat Mek Jah yang kental dalam mempertahan dan memartabatkan seni makyong tercapai apabila beliau dapat mewariskan seni makyong kepada pelapis-pelapis baru di Gong Lilit, Besut ini dengan mengajar pelapis-pelapis baru dengan inisiatif dan kerjasama Jabatan Warisan Negara sebagai kelangsungan legasi seni makyong untuk generasi akan datang agar tidak pupus ditelan arus kemoden dunia sejagat. Sememangnya kesusahan dan rintangan beliau pada masa lalu sehingga pernah membawa beliau bermain makyong sampai ke Pattani, Thailand semata-mata untuk mencari rezeki terbalas dengan pengiktirafan ini. Pada usia 70 tahun ini Mek Jah masih lagi aktif bermain makyong dan masih mampu bermain sehingga luar daripada negeri Terengganu sekiranya ada jemputan untuk bermain makyong. Semoga seri panggung Mek Jah Binti Deris ini boleh berbangga dengan jerih perih dan usaha beliau sehingga sampai keperingkat ini dan mendapat pengiktirafan sebagai “Primadona Makyong “ Melayu.


Mek Jah penari Mak Yong yang mempersona
Oleh NOOR SHAMSIAH MOHAMED



KUALA TERENGGANU: Sebaik tali rebab digesek, kelihatan sesusuk tubuh wanita yang berpakaian kemas bagaikan raja dahulu kala meliuk-liuk tubuhnya melangkah mengikut irama dengan diiikuti dua orang inang.

Sambil diiringi bunyi rebab, gong, gendang, canang serta kesi, wanita itu duduk 'menghadap rebab' dengan mulutnya tidak lekang bercerita menggunakan dialek Kelantan.

Bagaikan 'naik angin' wanita itu asyik dengan alunan muzik berkenaan dan dalam masa yang sama jari jemarinya yang lentik bergerak seperti turut sama menari mengikut irama.

Itulah Mek Jah Deris, antara anak seni yang sehingga kini masih aktif dan gigih memperjuang seni tarian Mak Yong yang hampir pupus dek peredaran zaman.

Dalam usia mencecah 64 tahun, anak kelahiran Batu Tumbuh, Besut itu masih tidak jemu memenuhi undangan baik dari dalam mahupun luar negara bagi memastikan generasi sekarang mengenali apa itu seni Mak Yong.

BUAT PERSEMBAHAN UNTUK RAJA

"Dunia moden lor ni demo tak minat mak yong... demo minat rock lebih. (dalam dunia moden ini orang tidak minat Mak Yong, mereka lebih suka muzik rock). Kampung-kampung pun tak main doh Mak Yong, dok macam dulu kalau kenduri kendara pasti ada persembahan Mak Yong," kata Mek Jah.

Mak Yong, Makyong atau Makyung ialah sejenis tarian Melayu tradisional yang wujud sebelum kedatangan Islam.

Drama tari Mak Yong ini merupakan suatu bentuk dramatari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja.

Ia dipentaskan sebagai pementasan diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920an dan tradisi itu dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.

Lazimnya dramatari ini dipertontonkan terutama di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah serta di Kepulauan Riau Indonesia. Selain sebagai persembahan hiburan ia juga dijadikan satu daripada kaedah perubatan.


KELUARGA MAK YONG

Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Menghadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik yang mana setiap satu cerita mampu dipersembah merentasi beberapa malam dalam siri pertunjukan tiga jam.

Menceritakan detik awal penglibatannya dengan seni Mak Yong, Mek Jah berkata cintanya bersemi sejak kecil lagi lebihlebih lagi apabila keduadua orang tua serta keluarganya yang lain juga merupakan orang Mak Yong.

"Sudah 15 tahun Mek Jah terlibat dengan Mak Yong. Semasa dulu orang mengajar (Mak Yong) dekat bangsal. Masuk seminggu Mek Jah dah boleh bawak (pandai)," katanya.

Merasakan diri masih belum cukup dengan ilmu Mak Yong yang dipelajari di bangsal pertama, Mek Jah tekad meminta orang tuanya ketika itu menghantarnya ke kampung Kubang Ikan pula untuk mendalami seni itu.

Bukan setakat setuju malahan ibu bapanya sanggup menghantar dengan berjalan kaki selama tiga jam ke Kampung Kubang Ikan dalam tempoh tiga bulan semata-mata memenuhi minatnya.

Ketika itulah Mek Jah belajar mengenai karektor pelbagai watak dalam seni Mak Yong termasuk raja, permaisuri, dayang, hulubalang, perai (pelawak) dan menguasai 12 cerita pokok Mak Yong seperti 'Dewa Muda', 'Dewa Pecil' dan 'Hijau-hijau Intan Permata".

Beliau turut diajar cara mengalunkan lagu Mak Yong iaitu 'Pak Yong Muda', 'Sedayung Mak Yong', 'Sedara Tonggek', 'Kisah Barat', 'Barat Cepat', 'Lagu Khabar ke Pengasuh' dan lagu 'Mengulit'.

Hanya selepas itu barulah dirinya menjalani upacara 'sembah guru' dan 'berlimau' menandakan beliau telah tamat mempelajari selok belok seni itu.

Sejak itu Mek Jah aktif membuat persembahan di seluruh pelosok negeri bersama kumpulannya 'Medang Gemulai Tiong Mas'.

Pencapaian paling membanggakan bagi Mek Jah ialah berpeluang membuat persembahan di Perancis, November tahun lepas apabila Unesco mengiktiraf seni Mak Yong sebagai 'Masterpieces of The Oral and Intangible Herritage of Humanity'. BERNAMA

mStar Online


Senarai Warisan Kebangsaan 2012: Kategori Tokoh Warisan Orang Hidup

1. En. Ramli Ibrahim ( Tarian Klasik India, Tarian Balet Klasik dan Tarian Moden
2. Tan Sri Ahmad Othman Merican (Muzik)
3. Pn. Mek Jah Deris (Mak Yong)
4. Pn. Jati anak Ju (Pua Kumbu)
5. Datuk Mohd Nor Khalid (Lat) (Kartunis)
6. Pn. Intan Sulga KK Tiring (Tarian Tradisional Bajau Laut)
7. En. Eyo Hock Seng (Wayang Kulit)
8. Nyonya Tan Abdullah (Dondang Sayang)
9. En. Kumaresan Karthigesu (Seni Muzik Sitar)


Comments

  1. walaupun dah berusia,Mek jah tetap ada aura tersendiri...

    ReplyDelete

Post a Comment