9 Aug 2013

Pantun Syawal




Syawal menjelma di fajar pagi
Dalam air berbayang suria
Maaf bermaafan di aidil fitri
Silap dan kurang adat manusia

Dalam air berbayang suria
Murai melayah ke hujung sawah
Silap dan kurang adat manusia
Kepada Allah kita berserah

Murai melayah ke dada sawah
Takbir bergema di hujung surau
Kepada Allah kita berserah
Panjatkan doa mohonkan restu

Takbir bergema di hujung surau
Jalan bersama membawa sejadah
Panjatkan doa mohonkan restu
Tawakal kita ke hadrat Allah

Jalan bersama membawa sejadah
Zikir dibaca bergema jauh
Tawakal kita ke hadrat Allah
Ikhlas memberi zakat dan sedekah

Zikir dibaca bergema jauh
Berjalan pulang singgah di pusara
Ikhlas memberi zakat dan sedekah
Syawal membersih khilaf dan dosa

Berjalan pulang singgah di pusara
Sepi kemboja semerbak melur
Syawal membersih khilaf dan dosa
Pada yang tiada doa dihulur

Sepi kemboja semerbak melur
Hari meninggi berjalan pulang
Pada yang tiada doa dihulur
Begitu hidup sebelum berpulang


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena