20 Aug 2013

Mengenang Abdul Aziz H.M.




Seminar Pemikiran Sasterawan Abdul Aziz H.M. sempena Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka yang ke-57

Senarai Pembentang Kertas Kerja Seminar :
1. Encik Wan A. Rafar (Tajuk kertas : Abdulaziz H.M. : Puisi Tak
Ketik Sapa-sapa)
2. Encik Moechtar Awang (Tajuk kertas : Abdul Aziz H.M. :
Pengalaman Awal dan Sisi Tradisi Pantun dalam Kopratasa)
3. Encik Rahimidin Zahari (Pemikiran Dalam Drama-drama Abdul
Aziz H.M.)
4. Encik Ladin Nuawi (Tajuk kertas : Menjadi Orang Melalui Teater)

Pengerusi Sesi :
1. Encik Maroof Seman RS
2. Encik Wan Khalik Wan Ibrahim


Pemikiran Dalam Drama Aziz H.M.

BARU-BARU ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur mengadakan Seminar Pemikiran AZIZ H.M seorang aktivis teater moden Malaysia yang menonjol dalam direktori teater negara ini. Berikut adalah petikan kertaskerja yang dibentangkan oleh aktivis teater dan penyair yang juga merupakan editor majalah Pentas, RAHIMIDIN ZAHARI mengenai pemikiran dalam karya-karya Abdul Aziz H.M. Seminar yang diadakan di DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan itu turut disertai oleh Maarof Seman RS dan Ladin Nuawi.

Agak menarik sebenarnya untuk meneliti dan menilai pemikiran drama Abdul Aziz H.M. bagaimana dari konsep drama yang improvisasi, dan spontanisme, tiba-tiba beralih arah untuk menulis drama yang berlandaskan nilai-nilai sejarah setempat negerinya serta mengadaptasikan beberapa novel dari tangan sasterawan terkenal tanah air seperti A.Samad Said, S.Othman Kelantan dan Anwar Ridhwan.

Daripada drama-drama tanpa skrip, kemudiannya beralih kepada drama yang berskrip, kita ditemukan dua jurang perbezaan yang besar sekali. Perubahan ketara ini telah menghakiskan kerja-kerja spontanisme kepada dunia penskripan yang lengkap dengan nota dan arahan pentas. Hal ini memberikan implikasi yang menarik untuk dikaji dan ditelusuri dengan lebih bermakna lagi.

Aziz sebagai dramawan, walau pun terdidik melalui Bengkel Teater pimpinan W.S. Rendra di Indonesia, namun Aziz tidak membawa pulang 'keindonesiaan' yang dipelajarinya di sana. Sebaliknya, yang dibawa pulang adalah ilmu yang dipelajarinya, kemudiannya ilmu itu diadunkan mengikut acuan politik, budaya, adat, masyarakat dan zaman serta sejarah tempat dirinya hidup dan bernafas.

Aziz telah berjaya menyatukan kerja-kerja seni dengan kaedah dan gaya yang tersendiri. Walau pun Aziz diistilah sebagai pemberontak kepada situasi pendramaan di Kelantan dan di Malaysia, yang kaku dan beku, namun pemberontakan itu dilakukannya dengan penuh sedar dan bertanggungjawab bahawa ilmu yang dipelajarinya itu perlu diajar dan dipraktikkan kembali kepada para pelajarnya.

Kerana itulah, Aziz telah memberikan keunikan yang tersendiri dalam perkembangan drama moden di Malaysia dengan gaya peribadinya yang tersendiri pula. Sehinggakan ada tanggapan daripada sejumlah dramatis yang setia kepada purbawara di Kelantan menuduh Aziz sebagai punca kemerosotan jumlah penonton yang hadir untuk melihat persembahan mereka.

Namun situasi itu sebenarnya tidak benar, kerana setiap drama yang dipentaskan oleh Aziz ditontoni oleh lebih seribu hingga tiga ribu penonton. Aziz mementaskan drama-dramanya dengan pembaharuan dari aspek cerita yang diangkat, dan kaedah lakonan yang spontanisme, tetapi masih teguh kepada tradisi setempat. Aziz tetap menghormati masyarakatnya sebagai penonton yang akan hadir untuk melihat apa yang dipentaskan oleh kumpulan mereka.

Manakala, tentang pemahaman dan penafsiran pula, Aziz tidak pernah memberikan sesuatu tema yang khusus. Baginya, dramanya mungkin ada tema, dan mungkin juga tidak. Drama-dramanya adalah gabungan sejumlah masalah yang dikerjakan bersama. Ia bakal memberikan pelbagai tanggapan dan penafsiran mengikut tahap pemikiran dan pendidikan yang ada pada audiennya yang hadir. Dia tidak memaksa, tetapi penontonlah sendiri yang harus memerah otaknya. Sebaliknya mereka tergelak, ketawa dan terhibur dengan apa yang dihidangkan Aziz melalui drama-dramanya itu.

Pemikiran PolitikSama ada Culas, mahu pun Wan Sari, kedua-dua skrip Aziz H.M. ini memberikan pemikiran politik zamannya yang tidak sedikit. Termasuklah juga puluhan dramanya yang lain. Drama-drama Aziz H.M. kebanyakannya dipentaskan di Kelantan. Tentunya situasi negeri itu memberikan kesan atau ambilan kenapa drama-dramanya bercorak sedemikian.

Yang pasti, suasana politik negeri Kelantan sendiri yang sentiasa 'culas' memberikan impak yang besar terhadap proses penciptaan drama-dramanya. Orang Kelantan sudah biasa dengan tanggapan yang biasa, bahawa mereka boleh menukar parti pemerintah untuk negerinya dalam setiap pilihan raya mengikut selera mereka.

Mereka juga terkenal sebagai orang yang gedebe, keras kepala, samseng, kepuakan yang amat tebal, kaki pukul, ahli peniagaan dan macam-macam hal yang jahat-jahat atau pun yang baik-baik. Sikap peribadi mereka yang sukar bertebar ke mana-mana, dan boleh membina hidup di mana-mana. Antara kejahatan dan kealiman serta kewarakan nampaknya seperti seimbang.

Di samping, Biaritz Park, sebuah pusat hiburan yang amat terkenal, sehingga menjadikan Kelantan sebagai Paris Malaya sehinggalah kepada deretan pemondokan agama di sekelilingnya dengan guru-guru handalan seperti Tun Wan Ali Kutan, Tuan Tabal, Tuk Kenali, Mufti Haji Wan Musa dan deretan ulama terkenal yang lain.

Nampaknya, politik Kelantan yang sedia 'culas' itu diangkat oleh Aziz H.M. ke dalam drama Culasnya. Namun, Aziz bukannya jenis seniman yang berterus-terang. Drama Culas penuh dengan metafora dan personafikasi yang memerlukan penonton dan pembacanya berfikir. Aziz H.M. memberikan bahan mentah yang berserabut, dan penonton serta pembacanya berfikir dan menafsir.

Dalam Culas, Aziz H.M. tidak memberikan nama-nama yang popular bagi orang-orang Kelantan seperti Mamat, Mek, Awe, Dollah, Kodir, Mamut dan lain-lain. Tetapi watak-watak tanpa namanya seperti I, Saya, Kita dan Siapa adalah watak-watak yang diangkat dan disaring dari dasar kehidupan masyarakatnya yang ingin keluar dari kemelut politik yang menekan dan memundurkan kaumnya.

Pemikiran MasyarakatPenciptaan kedua-dua drama ini antara period negeri Kelantan menghadapi kancah politik zaman yang amat dahsyat dan mengugat. Peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan titik tolak besar masalah kaum terbesar yang menghuni Malaysia dan telah merubah banyak hal dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara.

Selepas peristiwa 13 Mei, sejarah Malaysia moden kemudiannya menyaksikan pergolakan yang hebat dalam sejarah politik Kelantan pada tahun 1977. Peristiwa yang melibatkan geng 20 yang diketuai oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan telah membuat undi tidak percaya kepada Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohamed Nasir.

Ekorannya berpuluh ribu rakyat Kelantan keluar di jalan-jalan di bandar Kota Bharu, menyokong Menteri Besar dan mendesak Geng 20 menarik balik undi tidak percaya mereka. Berlakulah rusuhan yang memusnahkan banyak hal, sehinggakan perintah Mageran terpaksa dikenakan kepada pendudukan Kelantan, dan pentadbiran diserahkan kepada pusat sehinggalah kepada Pilihan Raya Umum, 1978.

Aziz melihat peristiwa kemarahan rakyat dalam masyarakatnya perlu disegera disembuhkan.

Pemikiran SejarahPemikiran sejarah Abdulaziz H.M. di dalam Culas, tidaklah sejelas sejarah dalam Wan Sari kerana Wan Sari itu sendiri adalah sejarah perjuangan Tuk Janggut dan perjuangan rakyat Kelantan demi memerangi Inggeris. Dengan bahasa yang digunakan dalam penulisan skrip Wan Sari, melalui drama ini, Aziz sebenarnya telah keluar dari daerah biasanya.

Aziz tidak menggunakan bahasa dialek Kelantan, sebagaimana pertuturan orang Jeram dan Pasir Putih mengikut sejarahnya ketika itu dan sekarang. Tetapi percakapannya adalah percakapan orang Melayu Malaysia hari ini.

Hal ini tentunya berbeza dengan drama Culas yang tercipta melalui proses improvisasi para pelakonnya dengan skripnya ditulis kemudian.

Dalam Culas, terhadap banyak ungkapan yang menggambarkan pemikiran sejarah yang cuba dipapar oleh Aziz H.M. kepada penonton dan pembacanya.

Sumber : Utusan Online


Abdul Aziz HM tetap dikernang
Asma Hanim Mahmood

KOTA BHARU 27 Jun - Titisan air mata penyair, penulis dan penggiat seni mengalir laju tanpa segan pada program Seminar Pemikiran Sasterawan Abdul Aziz H.M. anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur di dewan seminarnya di sini baru-baru ini.

Semuanya disebabkan ingatan dan kasih sayang mereka kepada seorang sasterawan kelahiran Melor, Kelantan yang mana segala budi dan jasanya akhirnya dicungkil dan dirai setelah 17 tahun arwah kembali ke Rahmatullah pada usia 47 tahun.

Nama Abdul Aziz H.M. kurang dikenali generasi baharu terutama kalangan luar bidang teater dan puisi tetapi kebanyakan kita pasti arif lirik lagu 'Permata Buat Isteri' yang sebenarnya puisi nukilan beliau yang telah dipopularkan kumpulan Kopratasa.

Malah, lebih istimewa, pada seminar yang berlangsung itu turut mengundang tetamu khas iaitu isteri arwah, Siti Aminah @ Hasnah Setapa, 64, yang merupakan wanita di sebalik lagu menusuk kalbu tersebut.

Menyingkap kehebatan beliau dalam teater, Abdul Aziz H.M. atau nama sebenarnya Abdul Aziz Yahya dikatakan sebagai tokoh yang membawa pembaharuan dalam teater Malaysia apabila menjadi pelopor teater mini kata dan penggunaan teknik improvisasi dalam pementasan drama.

Teater mini kata adalah pementasan teater dengan dialog yang sedikit kerana lebih mengutamakan penghayatan pelakon contohnya melalui gerak-geri, lenggok tari dan suara.

Menurut Editor Majalah Pentas Istana Budaya, Rahimidin Zahari, sumbangan Abdul Aziz dalam sejarah teater moden negara ini secara mudahnya terbukti apabila nama beliau digunakan sebagai contoh dalam Kamus Dewan Edisi Baru (DBP 1989) yang mencatatkan 'Abdul Aziz H.M. seorang penggerak teater' bagi menjelaskan perkataan penggerak.

Rahimidin berkata, tokoh ini menyambung pengajian ke Indonesia selama beberapa tahun pada awal dekad 70-an dalam jurusan hubungan antarabangsa di Fakulti Sosio-politik Sains Politik, Universiti Negeri Jembar, Jawa Timur serta pengajian falsafah di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dan dalam tempoh itu sempat berguru dengan penyair dan dramawan ternama negara itu, W.S. Rendra.

Katanya, Abdul Aziz telah mementaskan puluhan drama tanpa skrip seperti 'kuku kaki ku ku kikis-kikis', 'kasut selipar', 'ku rampas kembang-kembang di tangan', 'tak tahu', 'tak jadi', 'katak puru', 'ikan kering', 'ketik-ketik ayam putih', 'badak ayu-ayu' dan banyak lagi di samping menghasilkan skrip drama untuk televisyen dan skrip adaptasi novel sasterawan terkenal tanah air.

"Abdul Aziz adalah pelopor dan tokoh yang membawa genre baru teater ke negara kita daripada pengalaman beliau berguru dengan Rendra.

"Dramanya mungkin ada tema dan mungkin juga tidak tetapi ia memberikan pelbagai tanggapan dan penafsiran mengikut tahap pemikiran dan pendidikan penonton yang menyaksikannya.

"Walaupun teater mini kata berakar dari Barat, namun Abdul Aziz seperti juga gurunya Rendra, tidak membawa jiwa Barat dalam teaternya tetapi mengubahnya sesuai dengan akal budaya tempat kelahirannya," katanya.

Dalam kertas kerjanya lagi, Rahimidin memberitahu, Abdul Aziz telah mengasaskan Teater Malini Kelantan pada Mei 1975 di Kampung Mahligai, Melor bagi merealisasikan konsep teater memanusiakan manusia, gagasan awal yang diungkapkan arwah yang kini turut menjadi ucapan para aktivis dan penggiat teater tempatan.

Menurutnya, melalui kumpulan teater tersebut, Abdul Aziz mementaskan dramanya tanpa perlukan panggung yang lengkap, peralatan canggih ataupun kostum cantik malah dipersembahkan di mana-mana sama ada tepi pantai, taman bunga, padang sekolah hatta di atas pokok kelapa.

"Sasterawan Negara, Allahyarham S. Othman Kelantan yang juga teman rapat arwah pernah memberitahu mengenai drama pemuda hendak bunuh diri dari atas puncak pohon kelapa setinggi 30 meter sehingga penduduk kampung gempar mendengar laungan pemuda itu yang menjerit mahu terjun kerana tidak ada lagi tanah untuk mendirikan rumah, penduduk sekitar datang beramai-ramai untuk melihat sesuatu yang tragik dan kemudiannya tersenyum bila mengetahui ia sebuah drama daripada Abdul Aziz," katanya.

Katanya lagi, setiap drama yang dipentaskan mendapat sambutan ramai kerana walaupun bersifat lakonan spontan, Abdul Aziz mengangkat ceritanya berdasarkan tradisi setempat dan menghormati masyarakat sebagai penonton yang hadir menyaksikan persembahan kumpulan teaternya.

Bagaimanapun, Rahimidin berkata, agak malang kerana hampir kesemua drama mini yang dipentaskan Abdul Aziz tidak dapat dikaji dengan mendalam kerana dihasilkan tanpa skrip.

"Apabila kita ingin melihat semula ia menjadi satu masalah kerana tokohnya sudah tiada, skrip teater mini kata Abdul Aziz tidak ada yang betul-betul lengkap, ia hanya wujud dalam kerangka pemikiran pelakon dan anak-anak didiknya," katanya.

Salah seorang penggerak awal Teater Malini, Wan Mohd. Khalid Wan Ibrahim, 58, yang kini berkhidmat sebagai pengetua sekolah mengakui drama mini kata Abdul Aziz sukar untuk dipersembahkan selengkapnya kerana masalah ketiadaan skrip bertulis.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian cerita masih boleh dipentaskan semula mengikut episod-episod tertentu yang masih segar dalam ingatan pelakon asal.

"Kami bersedia mementaskan semula dengan syarat mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak yang berminat seperti DBP kerana usaha ini pasti membabitkan masa dan keperluan kewangan," katanya.

Semasa menceritakan kepada hadirin pengalamannya sepanjang bersama Abdul Aziz, beliau telah berkongsi satu tip untuk penyair melahirkan karya hebat itu.

"Saya masih ingat lagi kata-kata arwah, buat puisi ini macam proses kita 'kentut', kita tahan dahulu dan sehingga sampai satu peringkat baharulah kita lepaskan (angin), maknanya kita harus mengumpulkan pengalaman sebanyak-banyaknya sebelum kita berkarya," katanya.

Beliau memberitahu lagi, salah satu faktor yang menjadikan Abdul Aziz seorang seniman berjiwa besar adalah pengalaman arwah semasa menuntut di Indonesia yang tepu dengan sisi masin pahit kehidupan.

"Abdul Aziz menelaah buku di bawah lampu jalan raya, tidur di bawah rumah orang dan terpaksa mengambil papan lapis yang diletakkan di atas batu nisan sebagai meja tulisan," katanya.

Salah seorang teman rapatnya, Wan A. Rafar @ Yakub Ishak, 66, yang juga penyair dan seorang pesara guru berkata, banyak sajak-sajak Abdul Aziz terutama yang dihasilkan ketika beliau berada di Indonesia seperti 'Ramadan' dan 'Selamat Malam Selatku Madura' bermain seputar subjek usia seolah-olah memberi isyarat bahawa arwah sedar usianya tidak lama.

Katanya lagi, ucapan jampi, mantera, pantun dan puisi lama daripada tradisi lisan Melayu juga mewarnai kebanyakan puisi arwah namun dalam masa sama tema Islam juga menjadi pokok pemikirannya.

"Sajak Abdul Aziz ditulis seperti teks Melayu lama yang perlu dibaca secara hati-hati kerana tidak berbaris dan bernoktah menandakan kecintaan Abdul Aziz kepada budaya dan tradisi Melayu.

"Credo seni arwah sebagaimana diungkapkan ketika menubuhkan Teater Malini adalah memperjuangkan konsep seni dan budaya yang sesuai dengan sikap nenek moyang dan perangai manusia purba yang rela dan menyerah di bawah kuasa Yang Maha Esa," katanya.

Penggiat teater kanak-kanak tersohor negara, Ladin Nuawi, 57, yang merupakan antara lelaki yang menumpahkan air mata jantannya pada seminar itu pula mengaku menjadi anak didik Abdul Aziz yang paling lambat 'menjadi' orang.

Beliau berkata, pengalaman bersama Abdul Aziz sejak menyertai Teater Malini pada 1980 mengajarnya supaya berdisiplin, menepati masa dan tidak memandang rendah keupayaan diri sendiri.

Katanya, syarat utama bermain teater yang ditetapkan arwah juga menjadi pegangannya sehingga kini iaitu wajib mempunyai kekuatan dalaman.

"Buka panggung dengan doa, haram bercinta sesama pelakon sehingga pementasan, tepati masa dan mulakan latihan sebelum pengajar sampai.

"Pesanan arwah paling saya pegang adalah untuk menjadi orang, seorang lelaki perlu beristeri, dan sebolehnya isteri itu biarlah seperti isterinya, Kak Nah (Siti Aminah)," katanya.

Sumber : Utusan Online

Abdulaziz H.M. Pelopor Teater Improvisasi

Abdulaziz H.M. atau nama asalnya Abdul Aziz Yahya adalah mewakili zaman kotemporari. Bahkan beliau dianggap sebagai pelopor untuk genre improvisasi. Abdulaziz H.M. dilahirkan di Kampung Padang Raja, Melor, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 19 November 1949. Menerima pendidikan di Sek. Keb. Melor, Sek. Men. Melor dan Institut Pendidikan Kota Bharu sehingga STP. Beliau kemudiannya berangkat ke Indonesia untuk mengikuti jurusan Hubungan Antarabangsa di Fakultas Sosio-Politik Sains Politik, Universitas Negeri Jembar, Jawa Timur dan juga mengikuti kuliah di Fakultas Filsafat, Universitas Gadjah mada, Yokyakarta, Indonesia.

Semasa di Indonesia, beliau telah mengikuti Bengkel Teater yang dipimpin oleh penyair dan dramawan Indonesia, W.S. Rendra yang baru pulang daripada belajar drama di New York. Kepulangan Aziz ke Malaysia telah membawa perubahan yang ketara dan mencatatkan kelainan dalam sejarah teater moden Malaysia.

Walau pun berguru dengan W.S. Rendra, yang dibawa pulang adalah ilmunya yang disebatikan dengan akal budaya di tanah kelahirannya, dan bukan lagi menceduk secara membabi-buta dari ilmu gurunya itu. Dia dikenali sebagai pelopor drama mini kata dan dikatakan dramatis pertama menggunakan teknik improvisasi dalam sejarah perkembangan drama moden di Malaysia.

Tentang keterlibatan dan sumbangannya dalam teater moden Malaysia sehingga dijadikan contoh untuk Kamus Dewan Edisi Baru (DBP,1989: 363) mencatatkan : “Abdulaziz H.M. seorang penggerak teater”. Pilihan contoh untuk perkataan penggerak ini memperjelaskan lagi tentang kedudukan dan sumbangan tokoh ini untuk perkembangan teater moden di Malaysia.

Kegiatan drama pentasnya bermula bersama-sama pelajarnya di Sekolah Kadir Adabi Kota Bharu yang terletak di bawah lembah Kampung Sireh ketika itu. Kemudian mulai berkembang melalui Sudut Drama (Sabana) dalam Persatuan Penulis Kelantan yang berkebetulannya, beliau menjadi Setiausaha Satunya. Kerana ‘kurang senang’ dengan apa yang terjadi di dalam Persatuan Penulis Kelantan (PPK) beliau bersama-sama temannya yang lain menubuhkan Teater Malini Kelantan demi merealisasikan lagi konsep teaternya ‘teater memanusiakan manusia’.

Beliau akhirnya, mengasaskan Teater Malini Kelantan bersama-sama Wan Hasanal Bolkiah, Hasnah Mustapha dan Khalid Ibrahim ini pada bulan Mei 1975 di Mahligai Melor, Kota Bharu, Kelantan. Sepanjang pementasan drama-dramanya, beliau banyak dibantu oleh teman-teman penyair dan para pelajarnya dari Sekolah Kadir Adabi Kota Bharu.

Pelakon-pelakon dalam persembahan dramanya, antara lain Wan A. Rafar (seorang penyair dan jawatan terakhirnya Pengetua Sek Men. Tun Saban, Hulu Perak), Wan Muhammad (penyair dan sekarang Tuan Guru di Pondok Anak Ru, Yala, dan dikenali dengan panggilan Baba Ding – Hamiding Sanor), Khalid Ibrahim, Nik Fatimah Nursidah, Moechtar Awang, Kamil Muhammad, Wadi Leta SA, Nasron Jamil, Ladin Nuawi, dan Maroof Seman RS.

Melalui Teater Malininya, Abdulaziz HM, mementaskan banyak drama yang meninggalkan kesan yang tidak sedikit kepada perkembangan drama moden di Malaysia. Drama-drama Abdulaziz HM yang dipentaskan tanpa skrip, tanpa panggung lengkap dan tanpa sebarang peralatan canggih. Dramanya boleh dipentaskan di mana-mana, sama ada di tepi pantai, di taman bunga, di padang sekolah, hatta di atas pokok kelapa. Dia dengan tegas, melaungkan konsep teaternya sebagai teater miskin.

Drama-dramanya yang dipentaskan tanpa skrip seperti Kuku Kakiku Kukikis-kikis, Kasut Selipar, Kurampas Kembang-kembang di Tangan, Tak Tahu, Tak Jadi, Katak Puru, Ikan Kering, Ketik-ketik Ayam Putih, Badak Ayu-ayu, Sampah I, Sampah II, Bagong, Kopratasa, dan beberapa buah lagi. Abdulaziz kemudiannya banyak menghasilkan skrip drama TV dan juga skrip-skrip adaptasi daripada novel-novel sasterawan terkenal tanah air.

Sepanjang pengelibatannya dalam teater, Abdulaziz H.M. banyak melontarkan falsafah teaternya untuk memancing orang lain. Orang lain itu, mungkin sahaja para sarjana, para dramawan dan pengkritik dan tidak mustahil juga khusus untuk para aktivis dan peminat teater sendiri. Terkadang lontaran falsafahnya itu nampak besar dan hebat, tetapi sayangnya apa yang cuba dilontarkan oleh Abdulaziz hampir-hampir tidak bersambut.

Beberapa falsafah yang jelas cuba dilontarkan oleh Abdulaziz H.M. antara lainnya, konsep Teater Miskin. Dengan konsep teater miskinnya, Abdulaziz melaksanakan apa yang dikatakan teater miskin tersebut. Aziz tidak memerlukan sebarang dewan berhawa dingin, serta lampu dan pentas yang penuh dan lengkap. Lalu dramanya boleh dipentaskan di mana-mana, asalkan ada cerita dan ada pelakon yang sanggup menjadi pengikut.

Dialah ‘gembala’ kepada sejumlah masalah pelakon untuk diangkat ke dalam sebuah cerita. Lalu dramanya boleh dipentas di mana-mana, dengan keinginan yang satu, iaitu niat. Drama boleh berlangsung di padang bola, di kantin, di taman bunga, di tepi pantai, bahkan di atas pokok kelapa yang tingginya 20 meter!

Dalam sebuah dramanya yang berjudul Di Daerah Lima , Abdulaziz H.M. hanya membelanjakan sebanyak $2.40 untuk membeli tali dan dijadikan sebahagian daripada set dalam persembahannya.

Teater memanusiakan manusia, adalah gagasan awal yang dimulakan oleh Abdulaziz H.M. Namun gagasan itu kini, mulai berkumandang di mana-mana di bibir para aktivis dan penggiat teater di Malaysia. Orang sekarang sebenarnya lupa, ungkapan itu adalah antara yang pernah diucap dan dipopularkan oleh Aziz suatu ketika dahulu. Dengan prinsip dan pegangan itulah, dia mementaskan sebuah demi sebuah teaternya tanpa mempedulikan apa orang kata terhadap persembahannya itu.

Abdulaziz berfalsafah, bahawa manusia tidak pernah sama. Walaupun secara fizikalnya, manusia dilahirkan nampak sama secara luaran, namun di dalam dirinya tidak pernah sama. Cita-cita, impian, hasrat dan hati nurani tidak pernah sama. Kata Abdulziz (1985: 106) : “Yang sama hanya niat. Niat untuk mementaskan. Dan teater bagi Malini adalah sebarang persembahan yang disengaja lakukan untuk menyatakan kebenaran manusia, keindahan manusia dalam menghadapi perubahan demi perubahan. Sebab itu menghayati diri sendiri amat penting untuk para Malini. Mencari kelemahan, mencari keunggulan tanpa meletakan keangkuhan sebagai titik akhir kehidupan.”

Bagi Aziz, teater berlangsung sepanjang masa. Tiada jarak masa tertentu yang menjadi had atau ukur tara sesebuah pementasan atau bengkel teater itu berlangsung. Abdulaziz (1980) menulis: “Bengkel Teater Rendra bukan berlangsung dua minggu, bukan tiga minggu atau tidak tiga hari dengan macam-macam teori, diskusi, perdebatan, geram, marah. Tidak! Ia berlangsung sepanjang masa. Seumur hidup kalau kita mahu terus di sana. Sehingga kita puas.”

Teater akan wujud selagi manusia ada dan hidup dalam kehidupan. Teatar akan terus berlangsung selagi manusia memikirkan tentang masalah yang menjerat dan menghimpit dirinya. Cuma wadah dan kaedah yang muncul di pentas adalah berbeza mengikut kefahaman dan keinginan pengarah yang mengangkatnya ke pentas.

Walaupun takdir Tuhan, menyaksikan usia Abdulaziz H.M. tidak panjang, namun beliau telah memberikan sumbangan yang bererti untuk perkembangan teater di Malaysia. Ramai teman teaternya yang menulis tentang persembahan drama-drama Aziz. Wan A.Rafar, Ashaari Muhammad, Krishen Jit, Mana Sikana, Zakaria Ariffin dan A.Samad Said menulis tentang konsep dan idea dalam drama-drama Aziz. Beberapa tanggapan tentang pementasan dan drama Abdulaziz yang boleh diambil iktibar dan pedoman untuk peminat dan aktivis teater tanah air memperlajarinya .

Krishen Jit, pernah menulis tentang ‘Bagong’ salah sebuah drama Abdulaziz yang dipentas di Dewan Bandaran Pasir Mas pada tahun 1979. Tentang drama ini, Krishen (1986: 154) menulis: “Kuasa yang menghidupkan lakonan ini ialah upacara adapt. Tiap-tiap peristiwa dibuka dengan satu upacara dan tiap-tiap upacara membawa kepada satu upacara yang lain. Sebaik-baik sahaja tamat upacara jampi serapah ia disusuli pula oleh upacara bersedih. Lagunya dinyanyikan dalam gaya makyung oleh Salleh Daud.”

Manakala, A. Samad Said merupakan antara teman akrab beliau melakukan kembara seni ke Sabah dan Sarawak. Pemergian Abdulaziz secara mengejut itu, banyak mengganggu Samad sendiri sebagai rakan baiknya. Tentang drama-dramanya dalam antologi ‘Tuah Taji’, A.Samad Said (1994: x) menulis: “Saya cuba melihat sejauh mana Abdulaziz mengganggu cerita-cerita “mitos” itu untuk menterjemahkan sesuatu dalam dan daripada kehidupan. Apakah rahsianya? Apa pula pesanannya?”

Bagi Mana Sikana atau nama asalnya Abdul Rahman Napiah, yang juga seorang dramatis tanah air, yang pernah menjadi temannya dan pernah berlakon di bawah arahan Abdulaziz H.M. Mana Sikana (1998:4) menulis: “Di Malaysia, Aziz H.M. dikenali sebagai tokoh drama yang membawa pembaharuan. Beliau telah mengerjakan drama eksperimental. Sebuah drama yang tidak terlalu mementingkan bahasa, disediakan tanpa persepsi yang cukup, tanpa skrip, tanpa aturan pentas dan tanpa keperluan apa-apa.”

Zakaria Ariffin antara tokoh teater mutakhir Malaysia yang pernah menulis tentang Aziz. Zakaria Ariffin (1984:128) menuliskan: “Aziz lebih menumpukan persembahannya dalam aksi dan pergerakan secara spontan dan improvisasi, dengan mementingkan ekspresi dalam bentuk fizikal. Dengan beberapa buah lagi drama pendeknya, Abdulaziz H.M. telah mencipta nama dengan cara dan konsep yang dianutinya. Sehingga kita tidak mungkin untuk menafikan nilai sumbangan Aziz terhadap perkembangan drama Melayu moden umumnya.”

Seterusnya SN S. Othman Kelantan yang menjadi teman rapatnya, bahkan sama-sama memimpin Persatuan Penulis Kelantan (PPK) di tahun-tahun 70-an, dan pernah juga terlibat dalam beberapa buah drama Aziz menyatakan (1997): “Ketika sebuah dramanya yang ganjil, iaitu seorang pemuda hendak bunuh diri dari atas puncak sepohon kelapa pada malam hari, Aziz menemui saya. Drama tidak bernama itu amat mengejutkan penduduk sekitar Sekolah Adabi, Kota Bharu. Tiba-tiba saja seorang pemuda melaung daripada atas pokok kelapa, mahu bunuh diri kerana tidak ada lagi tanah baginya untuk mendirikan rumah. Dia mahu terjun saja dari puncak kelapa yang tingginya kira-kira 30 meter. Penduduk sekitar menjadi gempar dan dating beramai-ramai untuk menyaksikan sesuatu yang tragik. Mereka kemudiannya tersenyum simpul kerana kejadian itu hanya sebuah drama!”

Daripada puluhan drama minikata dan improvisasinya, hanya Culas satu-satunya yang sempat diterbitkan beliau. Selain itu, Wan Sari merupakan antara salah sebuah drama karya Abdulaziz H.M. yang mempunyai skrip secara lengkap, selain Ludin, dan drama-drama adaptasinya yang lain seperti Arus Pawang Kri (berdasarkan novel Arus, Anwar Ridhwan), Juara (berdasarkan novel Juara, S.Othman Kelantan), dan Zeni (berdasarkan novel Daerah Zeni, A.Samad Said). Selain itu kumpulan drama pentasnya yang berjudul ‘Tuah Taji’ pula memuatkan cerita-cerita yang diangkatkan daripada tradisi lisan rakyat Malaysia. Drama-drama yang terkumpulan dalam bukunya yang terakhir ini sebanyak 9 buah, dengan judul-judulnya ‘Si Taji Hitam’, ‘Tuah Taji’, ‘Awang Kecil’, ‘Mat Jenai’, ‘Labu Putih’, ‘Kundur’, ‘Padi’, ‘Nasi’ dan juga ‘Sulung’.

Manakala S.Othman Kelantan (2003), yang merupakan sahabat baik kepada Abdulaziz H.M. menyatakan bahawa skrip Wan Sari ditulis oleh Aziz berdasarkan watak yang dianggap daripada novel asalnya Perwira (Teks Publishing: 1982) yang mengisahkan tentang perjuangan orang kanan Tuk Janggut yang bernama Awang Teleng dalam meneruskan inspirasi gurunya untuk terus membebaskan Kelantan dari penjajahan Inggeris ketika itu. Awang Teleng memiliki tunang yang bernama Wan Sari. Mendapat idea daripada novel tersebutlah, Aziz akhirnya menulis kembali skrip yang diberinya judul Wan Sari.

Kerana itulah, Aziz telah memberikan keunikan yang tersendiri dalam perkembangan drama moden di Malaysia dengan gaya peribadinya yang tersendiri pula. Sehinggakan ada tanggapan daripada sejumlah dramatis yang setia kepada purbawara di Kelantan menuduh Aziz sebagai punca kemerosotan jumlah penonton yang hadir untuk melihat persembahan mereka.

Namun situasi itu sebenarnya tidak benar, kerana setiap drama yang dipentaskan oleh Aziz ditontoni oleh lebih seribu ke tiga ribu penonton. Aziz mementaskan drama-dramanya dengan pembaharuan dari aspek cerita yang diangkat, dan kaedah lakonan yang spontanisme, tetapi masih teguh kepada tradisi setempat. Aziz tetap menghormati masyarakatnya sebagai penonton yang akan hadir untuk melihat apa yang dipentaskan oleh kumpulan mereka. Aziz akan terus dikenang sebagai pelopor teater improvisasi di Malaysia.

Sumber : perjalanan salik

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena