Jejak dan Warisan : Rumah Melayu



Rumah Melayu Tradisional adalah sebahagian warisan seni bina Malaysia yang sangat bernilai. Ianya telah direkabentuk dan dibina oleh orang kebanyakan yang menampakkan betapa mahir dan kreatifnya mereka dalam bidang seni bina. Ia memaparkan kebijaksanaan dalam penggunaan dan perluasan ruang mengikut keperluan semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan.

Marilah sama kita menjejaki warisan bangsa dari aspek reka bentuk rumah Melayu. Ia khazanah berharga yang amat bernilai.

RUMAH MELAYU



Warisan rumah Sutan Puasa

KALAU Hang Tuah pernah berpesan tidak akan Melayu hilang di dunia, maka rumah ini juga tidak akan hilang di Kuala Lumpur.”

Itulah ungkapan anak pemilik rumah yang beralamat di No. 41, Jalan Chow Kit, Batiah Jaafar kira-kira 25 tahun yang lalu.

Siapa sangka rumah kayu tradisional Melayu yang terletak di antara deretan bangunan komersial di celah-celah kesibukan Jalan Chow Kit itu sebenarnya adalah kediaman warisan keturunan Sutan Puasa yang masih ada hingga ke hari ini.

Menurut Norhayati Salleh, 48, rumah itu didirikan oleh moyangnya, Sutan Mengatas atau Jaafar Sutan Sinombar yang juga anak saudara Sutan Puasa pada tahun 1926.

Cerita Norhayati lagi, dahulunya kawasan tersebut sama seperti perkampungan Melayu lain. Jalan di depan rumah juga cuma laluan tanah berkerikil.

Rumah-rumah pula dibina sebelah-menyebelah. Biasanya setiap penghuni rumah-rumah itu mempunyai pertalian keluarga.

Katanya, di kawasan tersebut juga mempunyai sebuah sekolah Inggeris, Penuel High School selain padang.

“Boleh dikatakan kebanyakan rumah yang ada di sekitar kawasan ini dahulunya dimiliki oleh moyang saya iaitu Jaafar Sutan Sinombar.

“Sejak kawasan di sekitar Jalan Chow Kit dimajukan sekitar tahun 1940-an, satu persatu tanah di kejiranan tersebut dijual kepada pemaju Cina,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Kata Norhayati lagi, kini rumah No. 41 itu menjadi satu-satunya rumah tradisional Melayu yang masih kekal sejak tahun 1920-an hingga sekarang di Jalan Chow Kit.

Lebih unik, katanya, rumah tersebut masih mengekalkan ciri-ciri binaan asal sejak 86 tahun lalu dengan kelengkapan dan barangan usang seperti papan congkak, almari kayu serta batu giling rempah yang diwarisi turun-temurun.

Pun begitu, Norhayati tidak pasti sampai bila rumah peninggalan moyangnya itu akan mampu melawan arus kemodenan Kuala Lumpur.

“Apabila nenek saudara (Batiah) meninggal dunia dan ibu saya (Normah Majawali) juga semakin uzur, rumah ini tidak diduduki sesiapa.

“Sejak itu, saya mendengar ura-ura bahawa rumah ini mahu dijual oleh waris-waris keluarga yang lain,” katanya.

Sebelum ini, kata Norhayati, nenek saudaranya (Batiah) yang berkeras tidak mahu menjual rumah tersebut kerana telah tinggal di situ sejak berusia enam tahun hingga ke akhir hayatnya.

Malah mengikut cerita generasi terdahulu, katanya, rumah No. 41 itu telah dikhaskan untuk anak-anak perempuan Jaafar Sutan Sinombar.

Namun kini, tanah rumah tersebut perlu dibahagikan dengan waris-waris yang lain mengikut hukum faraid.

“Sayang memanglah sayang, lagi-lagi saya dibesarkan di sini. Tapi nak buat macam mana, saya tidak mampu membeli rumah ini,” katanya.

Utusan Malaysia

Seni Rumah Melayu Melaka

Rumah tradisional orang-orang Melayu Melaka pada kebiasaanya berteraskan bumbung atap yang panjang dan sesuatu yang menjadi tanda pengenalan bagi rumah Melayu Melaka adalah mempunyai tangga batu yang istimewa ianya unik berbanding dengan rumah tradisional orang Melayu di negeri-negeri lain.

Keunikan tangga batu ini diperindahkan lagi dengan jubin pelbagai corak disamping ukiran-ukiran kayu pada tiang, pintu, tingkap dan papan gendeng. Keserian rumah tradisional Melayu Melaka ini ditambah lagi dengan lanskap laman yang biasanya dihiasi dengan pokok-pokok bunga khususnya bunga kertas yang diletak dalam pasu beralaskan batu bata dan disusun disekitar bahagian hadapan rumah.

Rumah tradisional orang Melayu Melaka ini jelas menunjukkan ketinggian kreativiti dan keprihatinan terhadap unsur alam sekitar telah diabadikan ke atas tempat kediaman, begitulah indah dan seninya orang-orang Melayu di Melaka.


Sumber 

Rumah Melayu Asli Penghulu Natar
oleh :  Mazlina Abd Majid



RUMAH Penghulu Natar yang terletak di Merlimau, Melaka sudah berusia hampir dua abad. Namun, ia masih tegap dan gah di tapak asalnya. Sesungguhnya, ia kekal tersergam atas titik peluh dan kemahiran tukang kayu pada zaman dulu sangat mengagumkan.

Pewaris rumah bersejarah itu, Md. Ramli Md. Natar, 66, berasa bertuah. Dia telah mewarisi satu hasil seni bina yang dikatakan melampaui zaman dan warisan budaya.

Rumah persis Istana Melaka itu mula dibina pada tahun 1895 sebelum menjalani siri proses ubah suai dan siap sepenuhnya pada tahun 1918. Sesetengah penduduk Merlimau memberi jolokan rumah itu sebagai Istana Merlimau atau Rumah Merlimau.

“Datuk saya, Datuk Demang Haji Abdul Ghani Haji Abdul Majid dan ayah saya, Penghulu Natar berjaya melahirkan nilai-nilai estetika dan kehalusan pada rumah yang kami anggap sebagai satu yang luar biasa,” kata Md. Ramli. Ketika kedatangan Kosmo!, anaknya, Rizal, 37, yang merupakan pewaris seterusnya turut serta.

Mahkamah rakyat

Md. Ramli dengan rela hati membawa penulis meninjau isi dalam rumah yang penuh nostalgia itu. Rumah yang mempunyai pengaruh Palembang, Kemboja, Champa dan Filipina itu boleh disimpulkan sebagai unik.

Bentuk rumah itu mempunyai ciri Melayu tetapi anjungnya berbumbung limas. Rumahnya besar dua sebandung dengan dapur masaknya berbumbung lintang dan ruangnya juga sangat luas. Rumah besar dan dapurnya dipisahkan oleh sebuah pelantar simen, tiga buah anjung, serambi, dapur memasak dan perigi.

Perkara yang menarik dalam rumah itu ialah tiang serinya. Ia mempunyai tiang asas tetapi tiang tersebut telah dilapik dengan papan berlorek yang hiasi kelopak bunga. Tangga di hadapan rumah pula dihiasi dengan jubin yang diimport dari China.

Rumah Penghulu Natar mematuhi prinsip rumah Melayu asli yang mengekalkan tradisi seni bina alam Melayu. Rumah itu cukup luas tetapi tidak berbilik. Kata Md. Ramli, jika ia berbilik, rumah itu akan bertentangan dengan elemen rumah Melayu tulen.

Pada era dahulu, rumah tradisional bukan semata-mata dijadikan kawasan kediaman tetapi fungsinya umpama istana.


Antara peranan penting ialah rumah itu juga bertindak sebagai Mahkamah Rakyat. Demang Abd. Ghani ketika itu telah diberi kuasa oleh pihak British untuk menyelesaikan dan membicarakan masalah sosial rakyat. Antara kes yang dibicarakan mengikut pertimbangan ialah kes mencuri, melarikan anak dara dan masalah tanah.

Lazimnya, Mahkamah Rakyat akan bersidang pada sebelah malam. Di belakang rumah itu juga, terdapat lokap untuk penahanan sementara, sebelum pesalah dihantar kepada pihak polis.

Pelamin kekal dan loteng

Md. Ramli menambah, rumah tersebut juga pernah dijadikan sebagai Pejabat Daerah dan Pejabat Memungut Cukai.

“Mesyuarat rasmi kerajaan selalu diadakan di sini. Pegawai British biasanya akan menaiki kuda untuk datang ke sini dan selalu akan bermalam di rumah ini,” katanya.

Perang Naning (1831-1832) dan Perang Rokam (1887) yang meletus di Serkam, Melaka telah menyebabkan British memaksa orang Melaka membayar cukai. Cukai yang dibayar dalam bentuk tunai atau hasil tanaman seperti padi dan kelapa turut berpusat di rumah bersejarah itu. Setiap hari ada saja cukai yang dihantar melalui kereta lembu ke rumah itu.

Sepanjang tinjauan Kosmo! di kawasan rumah tradisional itu, tumpuan jadi terarah ke kawasan tengah rumah.

“Itulah pelamin yang dibina secara kekal. Ia digunakan ketika masyarakat Merlimau melangsungkan perkahwinan,” terang Md. Ramli.

Pelamin itu mempunyai dua aras dan lengkap dengan pagarnya sekali. Ukirannya begitu menarik dan teliti. Pada masa dulu, di kiri kanan pelamin itu terdapat ukiran dua ekor naga yang dicat dengan warna emas.

Satu lagi ciri rumah Melayu yang terdapat di rumah Penghulu Natar ialah loteng.

Lotengnya sangat luas. Untuk naik ke loteng berkenaan, sebuah tangga kayu disediakan.

Menurut Md. Ramli, biasanya ruang loteng itu menempatkan anak-anak gadis ketika majlis perkahwinan.

Inap desa

Baru-baru ini, Kerajaan negeri Melaka berhasrat menjadikan rumah tradisional Penghulu Natar menjadi produk pelancongan inap desa. Memetik kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, keunikan dan populariti rumah tersebut wajar dikomersialkan.

Menurutnya, usaha itu selain meningkatkan pencapaian industri pelancongan negeri, turut menyumbang kepada pendapatan negeri dalam sektor berkenaan.

“Amat wajar keunikan dan keistimewaan rumah ini diketengahkan kepada masyarakat luar terutama pelancong asing yang belum pernah melihat sendiri rumah kampung tradisional,” kata beliau.

Mohd. Ali sendiri terpesona dengan keunikan jubin lama dan saiz rumah itu yang boleh menampung kehadiran pelancong, termasuk mereka yang ingin bermalam.

Sementara itu, tokoh sejarah Melaka, Baharam Azit, 69, berkata, rumah itu perlu diawasi dan dijaga sebaik-baiknya supaya tidak lenyap ditelan zaman.

“Sejarah rumah ini harus dipelihara supaya terus menjadi kenangan bangsa dan kebanggaan negara,” katanya.

Sumber : Kosmo



Rumah Penghulu Abdul Ghani





Rumah Penghulu Abdul Ghani bin Abdul Majid di Merlimau, Daerah Jasin, Melaka ini adalah antara Rumah Melaka tertua yang masih berdiri megah dan merupakan antara rumah Tradisional Melayu yang tercantik di negara ini. Ia mempunyai seni bina yang sangat unik dengan gabungan gaya seni bina Melayu, Cina dan Eropah. Skala rumah ini adalah jauh lebih besar dari ukuran lazim Rumah Melaka. Rumah ini pernah didiami oleh seorang ketua masyarakat yang menjawat jawatan Demang atau Ketua Penghulu iaitu Penghulu Abdul Ghani bin Abdul Majid dan anaknya Penghulu Natar bin Abdul Ghani. Segala peralatan perabot gaya Eropah seperti meja, almari, kerusi dan katil yang diguna pakai di dalam rumah ini berbeza dengan cara tradisional Melayu seperti kebiasaannya yang hanya duduk bersila.

Rumah ini mempunyai dua buah komponen rumah yang bersambung menjadi satu. Rumah Melaka iaitu Rumah Bumbung Panjang Tiang Enam Belas terletak pada bahagian belakang merupakan kediaman rasmi keluarga Penghulu. Manakala Rumah Limas Johor yang bersambungan menjadi anjung terbuka kepada Rumah Melaka berkenaan. Di sinilah Penghulu Ghani mengadakan pertemuan dengan penduduk kampung di mana bangku panjang gaya Victoria dibina pada sepanjang sisi anjung untuk duduk bermesyuarat. Rumah ini diilhamkan oleh Penghulu Abdul Ghani sendiri dan dibina oleh beberapa Tukang Cina. Oleh itu tidak hairanlah terdapat motif-motif Cina menghiasi dinding, pintu, tingkap dan pagar rumah ini. Pengunjung akan disambut dengan tangga batu Melaka yang sangat elegan berturapkan jubin berhias pelbagai warna yang diimport. Ia diapit oleh dua buah kolah air serta tiang berhias sebiji buah nenas sebagai lambang kemakmuran di kiri dan kanan tangga. Terdapat sepasang pintu unik dengan hiasan dua ekor naga berlaga terletak di antara ruang verandah dengan anjung. Selain itu juga, motif flora dan burung pada kepala pintu, tingkap serta pelamin yang jarang terdapat pada rumah-rumah Melayu asli menyerlahkan lagi seni pertukangan gaya Peranakan Cina yang dibina kekal di Rumah Ibu.

Rumah Belakang dan Rumah Dapur dipisahkan dari Rumah Ibu dengan sebuah halaman dalam (courtyard). Ia mempunyai dua buah pintu masuk di sebelah sisi dan belakang dengan rekabentuk Cina berbumbung genting Belanda. Di ‘courtyard’ ini juga terdapat sebuah kolah besar untuk membasuh kain serta sebuah bilik mandi tanpa bumbung yang juga mempunyai kolah besar. Bumbung Rumah Anjung, Rumah Ibu dan Rumah Belakang dibina dari zink iaitu bahan bumbung yang eksklusif pada masa itu. Manakala bumbung Rumah Dapur adalah dari genting India. Keseluruhan bangunan ini dicat dengan motif mempunyai pelbagai warna. Ini merupakan pengaruh senibina Cina kerana rumah-rumah tradisi Melayu lazimnya mengekalkan warna kayu tanpa dicat.

Bagi menyelamatkan khazanah Negara yang tidak ternilai ini, Jabatan Warisan Negara telah melaksanakan kerja-kerja baikpulih pada keseluruhan bangunan termasuk membaikpulih dan memperkukuhkan struktur tembok dinding dan tiang konkrit yang rosak, mengikis dan mengecat semula, menanggal dan memasang jubin seramik, meroboh dinding tambahan, membaikpulih struktur kerangka dan kemasan bumbung serta lain-lain kerja berkaitan seperti membaikpulih pelamin, kabinet dinding, tempat memasak, kabinet dapur, kolah bilik air serta tiang dan pelbagai motif ukiran. Semoga usaha murni ini dapat meneruskan warisan peninggalan nenek moyang untuk generasi akan datang.

Sumber


Comments

  1. Aku hampa, rumah-rumah melayu di Kg Baru bakal dirobohkan. Arus pembangunan dalilnya. Yang akan naik bangunan2 kaca yang hampir serupa, tiada seninya... Dari pemerhatian, selain KLCC, pelancong-pelancong asing akan berhenti lama di hadapan rumah-rumah Melayu seni lama untuk sesi pengambaran. Takde dia orang nak ambil gambar bangunan batu de! Kat tempat dia orang melambak dah! Seni Warisan seperti rumah Pn Norhayati di Chow Kit tue, guna dana negara, ambil alih jagaan pihak berwajib kalau betul pun nak dijual, kekalkan warisan pusaka Melayu untuk tatapan anak bangsa, punyai nilai yang tidak ada galang gantinya. Sayang, aku tidak mampu memilikinya...

    ReplyDelete

Post a Comment