Jejak dan Warisan : Kitab Tib


Kitab Tib  mengandungi pelbagai pembicaraan mengenai perubatan Melayu tradisional, dipetik dan disunting daripada 10 naskhah manuskrip Melayu dalam koleksi Perpustakaan Negara Malaysia. Selain itu, karya ini juga mengambil kira teks-teks lain (sekitar 40 naskhah) dalam koleksi yang sama dan di koleksi-koleksi lain di Leiden, London, Aceh, Jakarta, Sri Lanka dan Brunei Darussalam.

 Suntingan edisi dibuat secara ilmiah, menurut disiplin ilmu filologi dengan diberi catatan, glosari dan indeks yang membantu pemahaman pembaca. Karya ini dikemukakan sebagai sebuah karya ilmu dalam rangkuman ilmu atau epistemologi Melayu: iaitu ilmu perubatan, selain ilmu bintang, ilmu ramalan dan penujuman, ilmu tanaman, ilmu bahasa dan sastera, ilmu pertukangan, ilmu berahi dan lain-lain. 

Kitab Tib juga diangkat sebagai Seni Warisan Negara  di bawah Kategori Warisan Bahasa dan Persuratan

Beberapa catatan penting Kitab Tib di bawah ini mungkin membuka hijab pengetahuan kita terhadap khazanah warisan bangsa

Kitab Tib rahsia kearifan Melayu
Oleh Hafizah Iszahanid

BANGSA Melayu sejak dulu sudah memiliki pengetahuan dalam ilmu perubatan dan secara umum sebahagian besar maklumat dalam bidang ini ditulis dalam tulisan jawi dengan manuskrip yang dikenali sebagai Kitab Tib, iaitu pinjaman daripada bahasa Arab bermaksud ilmu mengenai ubat-ubatan.
Hampir kesemua kandungan Kitab Tib merujuk kepada perubatan, tabib, penyakit dan ubat, tetapi dalam kebanyakan teks, Kitab Tib juga mengandungi pelbagai ilmu termasuk ilmu perubatan, ilmu ramalan rejang, manakala pecahan kecil dalam kitab ini ialah ilmu kesihatan diri, analisis mimpi, ilmu falak dan hubungannya dengan mengenal serta mengubati penyakit.

Tidak ketinggalan, perkara berhubung pengubatan masalah tenaga syahwat, ilmu berahi dan pemulihan serta menguatkan tenaga batin turut didokumentasikan dalam Kitab Tib.

Perkara ini yang dibangkitkan Mantan Mualim Tamu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Dr Harun Mat Piah, ketika membincangkan Kitab Tib Sebagai Wadah Ilmu dan Kearifan Orang Melayu pada Siri Wacana Manuskrip Melayu di PNM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Jika puisi Melayu tradisi seperti pantun adalah petanda kearifan orang Melayu dalam ilmu geografi, Kitab Tib pula adalah himpunan kebijaksanaan orang Melayu dalam ilmu perubatan dan penjagaan diri,” katanya yang turut mendedahkan 80 manuskrip yang tergolong dalam kategori Kitab Tib tersimpan di seluruh dunia termasuk 40 daripadanya di PNM.

Bakinya menjadi hak milik individu, organisasi dan kerajaan negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei hinggalah negara barat seperti Belanda, Britain selain Perancis, manakala antara Kitab Tib yang terkenal ialah Tajul Muluk dan Kitab Tib Pontianak.
“Kearifan orang Melayu dalam dunia perubatan sangat jelas jika kita mengkaji Kitab Tib. Seolah-olah setiap bomoh atau pawang itu lepasan sekolah perubatan. Ilmu pengubatan untuk sesuatu penyakit hampir sama dengan ubat-ubatannya, sukatan dan cara menghasilkan ubat juga dibuat dengan ukuran standard,” jelasnya.

Kehadiran Kitab Tib yang menjadi warisan berharga bangsa Melayu hari ini jelas menunjukkan wujudnya pelbagai bidang ilmu yang dipelajari masyarakat dengan sebahagian besarnya dirakam dalam naskhah lama dengan kebanyakan jenis ilmu terbabit mempunyai konsep dan kaedah penyampaiannya tersusun.

Meskipun Kitab Tib kurang seninya daripada segi bahasa atau penampilannya berbanding manuskrip sastera atau sejarah, tetapi isi kandungannya relevan, malahan kandungannya yang kekal menjadi petua berkesan sehingga terus diamalkan generasi hari ini.

Buktinya, pantang larang tidak boleh makan daging untuk mereka yang buasir, jangan makan telur bagi mereka yang sakit mata dan madu asli sebagai penawar mujarab untuk masalah batuk, masih menjadi amalan sebahagian besar bangsa Melayu hari ini.

“Yang menjadi masalah ialah bahasa yang digunakan dalam Kitab Tib. Kebanyakan bahasanya Melayu lama dan ditulis berdasarkan zamannya. Justeru bahasanya sedikit sukar difahami orang kebanyakan, manakala ada beberapa ramuan ubat yang mungkin sukar dicari. Justeru, pada logiknya perubatan moden lebih sesuai dan menjimatkan masa,” ujarnya.

Dr Harun turut berkongsi dengan khalayak wacana bahawa tidak semua Kitab Tib ditulis dalam bentuk catatan perubatan kerana ada sesetengah kandungan Kitab Tib ditulis dalam bentuk syair dan hikayat, misalnya Syair Laksana Kita, Syair Bahr An-Nisa dan Hikayat Nurul Lisan.

“Satu lagi pecahan kecil dalam Kitab Tib ialah ilmu jimak, iaitu perkara yang berkaitan dengan hubungan intim suami isteri. Ilmu ini disebut juga sebagai ilmu berahi atau ilmu syahwat. Ia bukan pendidikan seks ala barat, tetapi pendidikan berhemah dalam masa sama memberi didikan kepada amalan penjagaan kesihatan diri. Misalnya dalam Kitab Kanz al-Ikhtisas disebut tentang jika jimak terlalu banyak dilakukan, ia memberi mudarat daripada manafaat,” katanya.

Dalam Kitab Hayawat al-Haiwan pula ilmu berahi ditampilkan sebagai, ‘empat perkara yang mendaifkan badan dan menyegerakan tua, pertama banyak jimak, kedua banyak citaan hati (terlalu bercita-cita tinggi tidak sepadan usia), ketiga banyak minum air pagi-pagi serta keempat banyak makan yang masam.

Kitab Syaikh Razak al-Maki pula menyebut, ‘tiga perkara yang menyegerakan rukuh badan dan mendaifkan dia, pertama menjimak perempuan yang sangat tua, kedua tidur pada ketika sangat kenyang, ketiga memasukkan di dalam jimak tatkala kenyang perut’.

Begitupun, apa yang paling menarik dalam Kitab Tib bagi Dr Harun ialah kaedah pembicaraan kitab itu dengan setiap jenis penyakit, rawatan, ubat-ubatan, penggunaan bahan, sistem sukatan dan timbang ramuan ubat, proses pembuatan ubat dan pantang larangnya hampir sama dalam kebanyakan kitab.

“Selain itu dalam ilmu perubatan Melayu, unsur pantang larang iaitu kalau berubat mesti ada pantangnya dan kalau langgar pantang akan bentan. Justeru ada konsep makanan berangin atau sejuk dalam ilmu perubatan Melayu. Namun, apa yang menarik kearifan orang Melayu sangat menyerlah kerana kalau sudah bentan, ilmu perubatan Melayu ada pula ilmu untuk menangani bentan,” katanya.

Sungguhpun demikian, Dr Harun tidak menafikan kearifan orang Melayu bukan saja dirakam dalam Kitab Tib, tetapi juga karya sasteranya dan ratusan jenis ilmu, dalam semua bidang mahupun peringkat, selain wujud serta subur berkembang dalam semua zaman.

“Bagaimanapun, meskipun secara keseluruhan direkodkan ada 22,000 naskhah manuskrip Melayu di seluruh dunia, namun hanya separuh daripadanya berada di Malaysia, manakala sebahagian lagi berada dalam simpanan negara asing,” katanya.

Sumber : Berita Harian


2,000 NASKHAH MANUSKRIP MELAYU DALAM FORMAT DIGITAL

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah memindahkan sebanyak 2,000 naskhah Manuskrip Melayu yang ditulis dalam skrip jawi klasik berusia ratusan tahun ke dalam bentuk digital agar ia boleh diakses lebih mudah dan pantas.

Ketua Pengarahnya Datuk Raslin Abu Bakar berkata ia adalah sebahagian transformasi dan usaha PNM untuk menarik minat orang ramai terhadap penulisan jawi klasik khususnya di kalangan generasi muda.

"Perpustakaan Negara mempunyai kira-kira 4,600 naskhah manuskrip Melayu sejak tahun 1985 sehingga sekarang dan sebahagian daripada jumlah itu masih dalam proses pemindahan dalam format digital.

"Pada masa yang sama manuskrip asal, pihak kami masih simpan dengan rapi kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan negara," katanya dalam sidang media selepas program Wacana Manuskrip Melayu di PNM di sini Khamis.

Program itu melibatkan perbincangan dan pembentangan kertas kerja berhubung 'Aset Ilmu Rumpun Melayu' oleh Siti Mariani S.M Omar dan 'Kitab Tib' (Ilmu Perubatan Melayu) oleh Dr Harun Mat Piah.

Raslin berkata buat masa sekarang bahan Manuskrip Melayu tersebut boleh diakses menerusi portal PNM.

Manuskrip Melayu dalam bentuk digital itu adalah usaha menarik golongan muda yang kini lebih gemar menggunakan sistem komunikasi yang canggih seperti telefon bimbit blackberry, iphone, komputer dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat dengan cara yang mudah dan pantas, katanya.

PNM juga akan mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam, swasta dan sekolah menengah dan rendah untuk mempromosikan Manuskrip Melayu dan pada masa yang sama menyemarakkan program penulisan jawi, katanya.

"Perpustakaan Negara baru-baru ini telah menganjurkan program 'Wacana Manuskrip Melayu' dengan kerjasama Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya sebagai pentas mempromosikan penulisan manuskrip kepada orang ramai khususnya, golongan pelajar dan pendidik," katanya.

Sementara itu, tokoh budaya dan sastera tradisional Dr Harun Mat Piah yang ditemui selepas wacana tersebut berkata dakwaan tokoh sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim bahawa Hang Tuah dan Hang Li Po dan sejarah berkaitan mereka tidak wujud adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Beliau berkata dakwaan tersebut hanya setakat pandangan serta pendapat masing-masing.

"Dia (Prof Khoo) hendakkan fakta kukuh tetapi tradisi persejarahan Melayu yang kita anggap sejarah itu tidak semestinya fakta sahaja. Malaysia juga ada kisah mitos dan juga lagenda," katanya.

Katanya Hang Tuah telah dianggap sebagai seorang tokoh pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dan ia menjadi bahan rujukan dalam buku teks sejarah peringkat sekolah menengah.

"Jadi hendak dikatakan Hang Tuah tidak wujud itu bereti kita menolak sejarah yang dipegang," katanya.

Khoo dalam satu temu bual dengan stesen radio Business Radio Station (BFM) baru-baru ini mendakwa tiada bukti dan rekod tentang kewujudan Hang Tuah begitu juga dengan Puteri Hang Li Po dari China yang dikatakan telah berkahwin dengan Sultan Melaka di abad ke-15. BERNAMA

Sumber



Dunia Buku: Kitab Tib - Ilmu Perubatan Melayu

Penulis: Harun Mat Piah Halaman: 436 muka surat Tahun terbit: 2006
Harga senaskhah: RM70 senaskhah

MAAFKAN bahasa Melayu lama yang menyeluruhi buku ini. Namun berdasarkan kedudukan pengubatan Melayu sebagai cabang khazanah Tamadun Melayu Nusantara, isi kandungan buku ini lebih berharga daripada permata.

Kitab Tib - Ilmu Perubatan Melayu adalah buku yang berbicara mengenai tradisi pengubatan. Dari halaman pertama hingga ke akhirnya, terlalu banyak rahsia dunia pengubatan Melayu dan terlalu tinggi ilmu generasi lalu.

Sebelum kewujudan perubatan moden, rawatan penyakit, pembuatan ubat, penyediaan bahan semuanya bergantung sepenuhnya pada alam. Meskipun sebahagiannya dicatat dalam naskhah khusus, ada juga yang dihafal dan diturunkan dari satu generasi ke generasi. Ada juga sebahagiannya dicatat dalam hikayat Melayu lama.

Dalam buku Sejarah Melayu misalnya, ada catatan mengenai Tun Hamzah yang parah ditikam hamba raja, tetapi berjaya diubat oleh tabib. Pada catatan yang sama ditulis jika seinci lagi dalamnya luka itu, Tun Hamzah mungkin tidak dapat diselamatkan.

Cerita penglipur lara juga ada banyak merakamkan tentang amalan pengubatan. Misalnya Syair Madhi, watak wira yang berjaya mengubati seorang puteri raja. Begitu juga dalam Hikayat Cekel Waneng Pati, apabila seorang daripada anak Panji, Misa Tenderaman perlu mendapatkan Air Gandapurawangi bagi menyembuhkan penyakit Panji.

Tiada sumber tepat tentang asal mula tradisi pengubatan ini. Namun, diketahui serba sedikit ilmu pengubatan Melayu dicatat dalam sejumlah hikayat Melayu lama dan naskhah lain yang bercerita tentang tradisi pengubatan. Justeru mengambil kira kebanyakan manuskrip ditulis sekitar 1820-an hingga ke abad 20, jelas menunjukkan tradisi pengubatan sudah lama bermula. Apatah lagi dari segi penggunaan kata-kata ia menggunakan bahasa dan istilah Melayu lama.

Kitab Tib - Ilmu Perubatan Melayu adalah himpunan tradisi pengubatan Melayu daripada pelbagai manuskrip dan terhasil daripada projek penulisan Mualim Tamu di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Ilmu yang ada dalam buku ini adalah himpunan ilmu pengubatan Melayu daripada lebih 40 naskhah kitab jenis ini, baik yang diberi judul kitab tib atau bukan yang ada dalam simpanan PNM. Untuk rekod, kitab tib digunakan sebagai kata nama khas untuk ilmu pengubatan Melayu bersempena manuskrip perubatan Arab yang menggunakan nama al-Qanun al-Tibb karya Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina.

Selain itu, karya ini juga mengambil kira sekitar 40 teks lain dalam koleksi yang sama dan di Leiden, London, Aceh, Jakarta, Sri Lanka dan Brunei Darussalam. Suntingan edisi dibuat secara ilmiah, menurut disiplin ilmu filologi dengan diberi catatan, glosari dan indeks yang membantu pemahaman pembaca.

Karya ini dikemukakan sebagai karya ilmu dalam rangkuman epistemologi Melayu: iaitu ilmu perubatan, selain ilmu bintang, ilmu ramalan dan penujuman, ilmu tanaman, ilmu bahasa dan sastera, ilmu pertukangan serta ilmu berahi.

Justeru ia digolongkan sebagai naskhah pengubatan, kandungan buku ini tebal dengan sifat pengubatannya. Bagaimanapun ia tidak terhad kepada aspek memulihkan pesakit, tetapi juga merangkumi sudut menjaga kesihatan diri, zahir dan batin, penyakit lelaki dan wanita, selain turut bercerita mengenai penyakit biasa seperti lelah, buang air berdarah, buasir, sakit mata, penyakit kulit. Turut dimuatkan adalah amalan perubatan bagi menangani penyakit berkaitan hantu, dirasuk syaitan, diganggu jin berserta dengan bacaan jampi manteranya.

Jika dirasuk hantu, ambil daun kersik tujuh helai, bawang, cekur, jeringau, bonglai, jintan hitam, giling lumat pilis pada dahi dan sapu pada tubuh. Boleh juga ambil cendana, kapur barus dan akar ketumbar, akar gandarusa, asahkan bersama dan celakkan pada mata. Jika diusik pelesit atau hantu hutan, ambil daun sengguri, daun kuda berlembu, setawar bendang, rumput gurang, bonglai, lengkuas getang, lengkuas besar, belerang busuk dan gelang sumbu giling lumat hancurkan dengan air dan bedakkan seluruh badan. Diusik hantu juga boleh ditangani dengan jampi manteranya.

Antara yang diselitkan dalam buku ini adalah doa hambat sekalian jin:
Permulaan kata aku menyatakan
hakikat jin seribu empat puluh dua lagi
aku tahu akan asal dirimu
asal dirimu dari huruf alif
mu keluar di cahaya yang kelam
aku keluar dari cahaya yang cerah

Bagi mereka yang berhadapan dengan resdung beberapa petua yang dituliskan dalam buku ini mungkin boleh membantu. Antara lain, mengubati resdung memerlukan anda mengambil kunyit, bonglai, akar terung perat, akar mengkudu, kulit bonglai kayu, akar bunga pekan dan akar bunga melur asah dengan limau nipis dan minum airnya.

Satu lagi cara, ambil daun tanjung muda segenggam kerat ekor kepalanya, bawang merah seulas, halia bara tujuh keping,halia putih tujuh keping, lada sulah tujuh biji, garam jantan tiga buku digiling lumat dihancurkan dengan air dan minum. Jika hendak, perah ke dalam hidung atau dalam telinga.

Bukan sekadar buku untuk menambah pengetahuan, sebahagian ilmu yang terkandung dalam buku ini sebenarnya masih lagi diamalkan oleh sebahagian kita.

Sumber : Berita Harian



DR Harun Mat Piah mendapat pendidikan di Universiti Malaya (UM) sebelum melanjutkan pengajian di Sekolah Pengajian Afrika dan Asia Timur (SOAS), Universiti London selain di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), cukup dikenali kerana sumbangannya dalam penyelidikan sastera dan budaya Melayu tradisional.

Anak kelahiran Kuala Kangsar ini turut memiliki ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam Kesusasteraan Melayu Klasik dan pernah berkhidmat sebagai pegawai pelajaran di Kementerian Pendidikan, selain bertugas sebagai pensyarah di UKM, Universiti Michigan dan pensyarah kanan di Universiti Brunei Darussalam.

Dr Harun juga mengkaji dan menulis dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan Melayu tradisional, puisi Melayu tradisional, sastera lisan dan kajian manuskrip Melayu dalam pelbagai koleksi dunia. Antara penerbitan pentingnya termasuklah Cerita Cerita Panji Melayu, Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi, Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Pantun Bingkisan Permata.

Beliau pernah bertugas sebagai Mualim Tamu di Perpustakaan Negara Malaysia pada 2002 dan buku Kitab Tib- Ilmu Perubatan Melayu adalah antara projek yang dikendalikannya ketika itu.\



Carian Manuskrip Melayu Koleksi Pusat Dokumentasi Melayu. Kuala Lumpur: Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka menemui Kitab Tib sebagai berikut :

Kitab Tib
Kitab Tib
Tib
MS174
Tiada penulis. [No creator.]
Kitab Tib [Traditional Medicine]
Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
T.H. 1216 (=T.M. 1801)
Tiada tempat. [No location.]
25 x 18sm. [25 x 18 cm]
42 hlm. 42 leaves.
Lengkap. Purata 13 perkataan setiap baris dan 42 baris setiap halaman.
[Complete. On average 13 words per line and 42 lines per page.]
Malay, Jawi.
Naskhah telah ditulis atas kertas putih yang telah menjadi kekuningan.
[The manuscript is written on white paper which has turned yellow.]
Manuskrip berkeadaan baik. Tulisan adalah kecil, rapat dan boleh dibaca.
[Manuscript is in good condition. The writing is small, close and can be read.]
Setiap halaman mempunyai sempadan empat segi, beriluminasi dengan pelbagai lukisan bercorak bunga rampai. Warna hitam, merah dam emas digunakan dalam lukisan.
[Each leave is squarely bordered and illustrated with various floral designs. Black, red and gold colours are used in the illustrations.]
Ditulis dengan dakwat hitam dan merah.
[Written in black and red ink.]
PDF, 176mb, 43 imej, Dibuat pada 9.8.2008 pada pukul 10.31 pagi.
[Created on 9.8.2008 at 10.31am.]
Perubatan tradisional Melayu, Perubatan rakyat Melayu, Kesihatan, Manuskrip Melayu, Traditional medicine, Malay; Folk medicine, Malay; Health rites; Manuscripts, Malay
Cara menyediakan ubat-ubatan untuk pelbagai penyakit.
[Methods for preparing medicines for various illnesses.]
Tiada. [None.]
Katalog manuskrip Melayu: Koleksi Pusat Dokumentasi Melayu. Kuala Lumpur: Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, p.65.

Comments