Imbas Merdeka


Sejarah Merdeka

Suara tuntutan kemerdekaan telah lama kedengaran. Malangnya setelah Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 apabila Hiroshima dan Nagasaki dibom, penjajah Inggeris kembali ke Tanah Melayu dengan niat menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah koloni.
Di Tanah Melayu, penyerahan kuasa secara rasmi oleh Jepun kepada Inggeris dibuat di Victoria Institution, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1946. Inggeris telah memperkenalkan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara.

Malayan Union ternyata mendatangkan kerugian dan meminggirkan hak kaum Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal negara ini serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-Raja Melayu. Oleh itu, cadangan Inggeris memperkenalkan Malayan Union mendapat tentangan hebat seluruh orang Melayu termasuk Majlis Raja-Raja. Datuk Onn telah mengumpulkan lebih 200 perwakilan Melayu dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan En. Zainal Abidin (Za’ba) ditubuhkan.

Kongres bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang dinamakan United Malays National Organisation (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang akan dibentangkan dalam kongres akan datang. Dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-3 di Johor Bharu Dato’ Onn Jaafar mengumumkan penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946. penubuhan ini bertujuan untuk memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya dan memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu.
Penentangan mereka berjaya mengubah Malayan Union kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani oleh Raja-Raja pada 21 Januari 1948 yang mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu; kedaulatan raja-raja, hak keistimewaan dan hak kewarganegaraan. Perjuangan orang Melayu berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 9 buah negeri Melayu iaitu Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ia diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa eksekutif dan dibantu serta dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

Kedudukan Majlis Raja-Raja berjaya diletakkan pada tempat yang lebih baik yang antara lain berfungsi menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar-dasar yang akan dilaksanakan di Persekutuan Tanah Melayu. Jawatan Residen diganti oleh seorang Menteri Besar. Sementara syarat-syarat kerakyatan diperketatkan melalui kuatkuasa undang-undang dan naturalisasi secara permohonan.

Selangkah orang Melayu terus mara dengan kesatuan yang bulat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. UMNO dipimpin oleh ramai tokoh yang terbilang seperti Datuk Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Ghaffar Baba, Dr. Ismail, Aziz Ishak, Sardon Jubir dan sebagainya untuk menyusuri jalan kemerdekaan. Pelantikan Tunku Abdul Rahman Putra menggantikan Dato’ Onn Jaafar yang meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada 26 Ogos 1951 nyata membuka lembaran baru dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.


Ternyata perjuangan berabad lamanya orang Melayu bermula sejak kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bersama sultan atau pemimpin tempatan sentiasa cuba mengembalikan maruah bangsa dan negara. Perjuangan mereka dimulai secara perang gerila sebagaimana dirintis oleh bekas kesultanan Melaka (1511) dan kesultanan Johor, Raja Haji (1782), Dol Said (1831), Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor (1875), Datuk Bahaman, Mat Kilau (1891), Tok Janggut (1914), Haji Abdul Rahman Limbong (1928), Datu Mat Salleh (1894), Sharif Mashahor (1860), Rentap (1853) dan sebagainya.

Bentuk perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan pada sekitar awal 1900 mula digerakkan oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol, begitu juga peranan Syeikh Abdullah Fahim, guru agama di Kepala Batas pada tahun-tahun 1930-an dan guru-guru Melayu khususnya dari Sultan Idris Training College.

Selepas itu, bentuk perjuangan berubah menggunakan tinta dan mata pena. Mereka daripada kalangan novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan Melayu khususnya daipada Utusan Melayu banyak memberikan pendedahan mengenai perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan. Antara pelopornya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), A. Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan ramai lagi hingga sebahagian daripada mereka menjadi buruan Inggeris dan dipenjarakan. Sesungguhnya apabila kita menyusuri akar perjuangan kemerdekaan, ternyata ia telah banyak menumpahkan keringat, darah dan air mata.

Ketika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris bimbang sekiranya orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya, Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka.

Pilihanraya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta dalam merebut 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan sejagat, UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihanraya tersebut.


Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan Inggeris bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak ansur antara kaum di Tanah Melayu. Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa empat tahun.

Pada 1Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama yang dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India. Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz Ishak, En. Baba Leong Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T. Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan En. Bba Ong Yok Lin. Mereka mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955.

Selain memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan kemerdekaan. Inggeris berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani, kemerdekaan mungkin lewat diberikan. Bagi menyahut cabaran tersebut, Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama ini berhadapan dengan PKM secara kekerasan.

Kebimbangan Inggeris memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian kemerdekaan. Ia memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk membubarkan partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan bersenjata yang ternyata telah banyak membawa kesengsaraan khususnya kepada penduduk luar Bandar dan menggugat keselamatan dan ekonomi negara.
Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.


Rombongan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat.

Selaras dengan persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah Melayu mengambl alih dan terus berkibar megah.

Pada keesokan harinya, gema merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan beberapa kaum lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya merungkai rantai penjajahan yang sekian lama membelenggu peribuminya.


Peristiwa Di Malam Bersejarah

Menjelang malam 30 Ogos, kelihatan jalan-jalan sekitar Bandar Kuala Lumpur dipenuhi dengan kenderaan-kenderaan awam yang membawa bendera Persekutuan Tanah Melayu. Batu Road umpamanya, sesak dengan kereta, bas, beca, basikal serta pejalan-pejalan kaki. Tua dan muda bersama-sama melangkah berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor. Suasana malam penuh meriah diterangi lampu-Iampu hiasan di jalan-jalan dan bangunan sekeliling. Banyak kedai-kedai di sepanjang Batu Road dibuka sehingga larut malam.

Sebuah pentas khas didirikan di padang itu dengan dihiasi dengan lampu yang berwama-warni sebagaimana juga di keliling padang. Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri. Manakala berpuluh-puluh ribu rakyat jelata dari berbagai bangsa berkumpul di sekeliling padang sehingga ke jalan raya. Turut hadir pada malam itu ialah perwakilan-perwakilan rasmi, pemberita-pemberita dan jurugambar dari dalam dan luar negara serta Ketua-Ketua Parti Perikatan dari seluruh negeri.


Rentetan Peristiwa / Acara

10.00 malam
Di padang, wakil ahli-ahli Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dari Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Singapura (12 delegasi) mengambil tempat di sekeliling 3 bahagian padang. Barisan hadapan memegang tali dan dengan jarak 6 kaki, seramai 2000 ahli-ahli Pemuda UMNO memegang satu lagi tali.

10.30 malam
300 Pemuda Perikatan membentuk perbarisan kehormatan mengambil tempat di tengah-tengah padang mengadap Jalan Raja (menara jam). Perbarisan ini diketuai oleh En. Ismail Bontak.

11.55 malam
YTM Tunku Abdul Rahman diiringi 30 ahli-ahli Perikatan bermotorsikal (15 UMNO, 10 MCA, 5 MIC) dan 2 polis pengiring bermotorsikal (outriders) tiba di Jalan Raja. Perarakan bermotorsikal ini bermula dari rumah kediaman rasmi YTM Tunku Abdul Rahman.

Apabila tiba, YTM Tunku telah disambut oleh Dato' Abdul Razak bin Hussein, Encik Saadon Zubir (Ketua Pemuda UMNO), Dato' Sir Tan Cheng Lock (Yang Dipertua MCA) dan V. T. Sambantan (Yang Dipertua MIC). Tunku kemudiannya dibawa ke atas pentas menghadap ke tiga-tiga tiang bendera.

11.58 malam
Semua lampu di padang dan disekelilingnya dipadamkan sehingga seluruh kawasan menjadi gelap gelita.

12.00 malam
Lampu dipasang semula apabila jam besar berbunyi menandakan detik 12 malam tiba. Ini diikuti dengan laungan 'Merdeka' oleh orang ramai yang menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]

Sepasukan 12 orang Pemuda dan Pemudi Perikatan yang terdiri dari 6 pemuda dan 6 pemudi (6 UMNO, 4 MCA, 2 MIC) tampil ke hadapan membawa 2 buah dulang. Satu dulang untuk diisi bendera Union Jack yang diturunkan dan sebuah dulang lagi berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu. Dulang yang berisi bendera Persekutuan Tanah Melayu dibawa oleh Cik Dasimah Ibrahim yang diikuti oleh Encik Tahir Abdul Majid serta Cikgu Abdul Wahab.

Bendera Union Jack mula diturunkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diringi lagu God Save The Queen yang dimainkan buat kali terakhir sebagai tanda berakhimya pentadbiran British di Tanah Melayu. Penurunan bendera Union Jack disambut dengan tepukan yang bergemuruh dan laungan 'Merdeka' yang menggegarkan seluruh padang. [secara spontan]

Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan oleh Encik Tahir Abdul Majid dengan diiringi lagu kebangsaan Negaraku yang diperdengarkan buat pertama kalinya kepada umum pada malam bersejarah itu. Setelah bendera Persekutuan Tanah Melayu sampai ke puncak tiang, sorakan 'Merdeka' telah dilaungkan sebanyak tujuh kali. Tunku Abdul Rahman memberikan tabik hormat semasa bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan.

12.10 malam
Tunku Abdul Rahman menerima tabik hormat dari Barisan Kehormatan Pemuda UMNO, MCA dan MIC dan memeriksa perbarisan dengan diiringi oleh Encik Sardon Zubir. Kemudian Tunku mengelilingi padang dan memeriksa 12 kumpulan rombongan-rombongan UMNO, MCA dan MIC dari negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura.

Tunku Abdul Rahman mengambil tempat di atas pentas. Pasukan Pemuda Perikatan seramai 24 orang yang diketuai oleh Encik Abdul Majid Othman tampil membawa dulang yang berisi rantai emas yang tergantung padanya sebuah Pingat Emas yang berukir peta Semenanjung Tanah Melayu serta gambar Tunku di dalam peta itu. Di tepi bulatan peta itu, ditulis perkataan Bapa Kemerdekaan Tanah Air, iaitu gelaran yang diberikan oleh UMNO kepada Tunku.

Kalung emas dikalungkan ke leher Tunku oleh Encik Sardon Zubir diikuti dengan pekikan "Bapa Kemerdekaan Tanah Air" sebanyak tiga kali.

12.25 malam
Tunku Abdul Rahman berucap.

12.55 malam
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Tuan Haji Massood Hayati.

1.10 malam
Barisan Kehormatan berkawat di hadapan pentas untuk memberi tabik hormat kepada Tunku Abdul Rahman.

1.25 malam
Tunku Abdul Rahman meninggalkan pentas.

1.30 malam
Acara tamat.


Penubuhan Malaysia

Tunku Abdul Rahman dalam satu ucapan beliau di depan Persatuan Wartawan Asing di sebuah hotel di Singapura pada 27 Mei 1961, menggagaskan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei Sarawak, dan Sabah. Antara lain, ia bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis, mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepat proses kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Singapura menyambut baik idea tersebut manakala Brunei enggan menyertainya. Manakala Sarawak dan Sabah yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri.

Untuk memberikan kebebasan dan keadilan kepada semua pihak, pada 17 Januari 1962 sebuah suruhanjaya yang akan meninjau pandangan penduduk negeri-negeri tersebut telah diumumkan dan dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya itu dianggotai oleh 5 orang ahli, dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-pati politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Secara keseluruhan, lebih lapan puluh peratus bersetuju dengan gagasan tersebut dan pada 21 Jun 1962, laporan tersebut telah diserahkan kepada kerajaan British.

Kata sepakat telah dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut berlangsung selama 2 minggu. Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne.


Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Sabah pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari negeri Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg. Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Kedua-dua negara bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12hb Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju menyerahkan kedaulatan Sabah, Sarawak dan Singapura kepada Kerajaan Malaysia dan Malaysia akan wujud pada 31hb Ogos, 1963.

Ketika ura-ura pembentukan Malaysia menjadi kenyataan, Filipina dan Indonesia menentang keras gagasan tersebut. Filipina mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada wilayahnya manakala Indonesia yang mempunyai perancangan mewujudkan Indonesia Raya telah cuba menggagalkan usaha tersebut dengan lebih keras lagi dengan mengisytiharkan Konfrantasi pada 20 Januari 1963 dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’. Tentera Indonesia dihantar menyusup sempadan Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak serta Johor.

Cabaran getir yang dihadapi ini tidak mematahkan semangat pemimpin dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah untuk melihat satu negara bersatu. Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Lawrance Michelmore selaku wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjuan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoroti penduduk negeri tersebut menyokong penyertaaan dalam Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah kesatuan yang dikenali sebagai Malaysia.

Pengisytiharan tersebut dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Upacara membaca deklarasi penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negeri yang baru di dalam Persekutuan Malaysia iaitu En. Lee Kuan Yew, En. Donald Stephens dan En. Stephen Kalong Ningkan. Bagaimanapun, penyertaan Singapura hanya mampu bertahan selama dua tahun apabila terpaksa berpisah pada 1965.

Sumber 


Senarai Lengkap Aktiviti dan Program Sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-56

JULAI 2013
Pertandingan Merekacipta Logo Hari Kemerdekaan ke-56
Tempoh Penyertaan: 13 Julai - 22 Julai 2013




OGOS 2013
Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan 2013
Tarikh: 16 Ogos 2013 (Jumaat)
Masa: 8.00 malam
Tempat: Dataran Zero, Sungai Petani, Kedah
Tetamu: YAB Perdana Menteri & YAB Timbalan Perdana Menteri

Ambang Merdeka 2013
Tarikh: 30 Ogos 2013 (Jumaat)\
Masa: 8.00 malam
Tempat: Pusat Maritim, Presint 5, Putrajaya
Tetamu: YAB Perdana Menteri & YAB Timbalan Perdana Menteri

Acara Perbarisan Hari Kemerdekaan ke-56
Tarikh: 31 Ogos 2013 (Sabtu)
Masa: 8.00 pagi
Tempat: Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
Tetamu: SPB Yang di-Pertuan Agong, YAB Perdana Menteri & YAB Timbalan Perdana Menteri



SEPTEMBER 2013

Istiadat Perbarisan Dan Rapat Raksaksa Sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia 50 Tahun
Tarikh: 16 September 2013 (Isnin)
Masa: 7.30 pagi
Tempat: Padang Merdeka, Kuching Sarawak

Pelancaran Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun Sabah
Tarikh: 16 September 2013 (Isnin)
Masa: 8.00 malam
Tempat: Taman Philip, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah


Comments