Dari Jiwa Hamba Ke Tanahair


JIWA HAMBA

Menung seketika sunyi sejenak
kosong di jiwa tak berpenghuni
hidup terasa diperbudak-budak
hanya suara melambung tinggi

Berpusing roda, beralih masa
berbagai neka, hidup di bumi
selagi hidup berjiwa hamba
pasti tetap terjajah abadi

Kalau hidup ingin merdeka
takkan tercapai hanya berkata
tetapi cuba maju ke muka
melempar jauh jiwa hamba

Ingatan kembali sepatah kata
dari ucapan seorang pemuka
di atas robohan Kota Melaka
kita dirikan jiwa merdeka

Tongkat Warrant


TANAHAIR
(menjelang kemerdekaan)

Engkau Tanah Air
pemilik perut yang berbudi
penampung hujan penyedut sinar mentari
lahirlah anakmu dari semaian petani

Engkau Ibu Murni
dengan jasa abadi
berdetik didenyut nafas kami
kerna kita satu sama dipunyai

Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati

Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan

Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan

Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.

Tongkat Warrant


BINTANG DI LANGIT ZAMAN

Hanya semalam baru dijulang kemenangan harum
direnggut mengejut ketika teman dan lawan merasa kagum
meninggalkan terkulai dua hati yang masih muda
untuk berteriak dan memanggil-manggil nama yang telah tiada.

Kematian! Kematian dari suatu kehidupan yang mulia
yang telah ditinggalkan, jadilah ia ukiran kenangan
bahawa di tanah ini seorang daripada lelaki berani
yang berdiri menjunjung keyakinan, dan berkata
Islam tidak pernah takut kepada apa saja
laksana dirinya dalam cahaya kebenaran yang dipeluknya.

Demikian maut telah bersabda pintu hidup pun tertutup
maka terbukalah lahad dan keranda seiring bersanding
di pelamin putih didindingi tanah-tanah yang dingin
dan para malaikat mengelilingi lalu merestui.

Begitu pendek nafas ini berdetik dalam usia hidup
setiap manusia dalam perjalanan ke pintu maut
tapi kematian seorang berjasa lebih memberi erti
kerana kematian itu sendiri menyebabkan ia tidak mati
seperti sekarang kita menyebut-nyebut namanya, dan ia
telah menjelma menjadi bintang bersinar di langit zaman.

Usman Awang (1964)



Jiwa Merdeka Usman Awang
oleh Arif Atan

PERBINCANGAN mengenai kepengarangan Usman Awang tidak dapat dipisahkan daripada inti manusiawi. Pandangan sesetengah pihak bahawa Sasterawan Negara ketiga pada tahun 1983 selepas Keris Mas dan Shahnon Ahmad ini adalah penyair idealis-romantis sebenarnya tidaklah tepat.

Melihatkan pola isi jiwa karyanya sebahagian besar berkisar tentang kemanusiaan. Beliau yang pergi menemui Ilahi dalam bulan penuh berkat pada 13 Ramadan 1422H bersamaan 29 November 2001 telah meninggalkan khazanah karya yang lahir dari jiwanya yang memusuhi ketidakadilan dan penindasan.

Bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara, puisi-puisi Usman yang mengangkat tema ini seperti Merdeka, Pahlawan dan Tanah air, Pahlawan Kemerdekaan, Jiwa Hamba dan Tanah Air wajar diuar-uarkan kepada generasi muda hari ini.

Tidak keterlaluan untuk kita bersetuju bahawa Usman Awang adalah penyair humanis dan nasionalis selain perhatiannya kepada aspek lain seperti kekeluargaan dan kedamaian. Hal ini dapat diteliti daripada tinggalan khazanah karya puisinya. Usman tegas menolak kolonial, menjenayahkan perang serta pergelutan kelas sosial dan ekonomi.

Menariknya, Usman kerap melawan arus perasaan masyarakat. Reaksi majoriti masyarakat yang bersimpati dengan kematian penuh kontroversi J.F. Kennedy misalnya disambut oleh Usman Awang secara kritis. Beliau mengingatkan kita patut bersedih dengan kematian umat manusia lain yang tidak didendang seperti halnya tumpuan sedunia terhadap kematian Presiden Amerika itu.

Beliau juga antara sasterawan yang banyak bersimpati dengan nasib dan masa depan kelompok yang diabaikan dalam masyarakat. Nukilan akal budinya berjudul Nelayan, Buruh, Pak Utih dan Cerita dari Ladang antara puisi yang sarat dengan nilai sedemikian.

Puisi Pak Utih misalnya yang kemudian memiliki 'episod' kedua kira-kira selepas dua dekad dilahirkan mengungkapkan pertembungan ekonomi masyarakat desa dengan pemimpin yang bergaya mewah di kota. Intipati puisi Usman juga menuntut keadilan sosial, persaudaraan dan kasih sayang melampaui kekangan warna kulit malah halangan geopolitik.

Apa yang sedang berlaku dalam masyarakat Islam Rohingya, Syria dan Palestin tentunya adalah pertumpahan darah yang telah lama dibenci oleh Usman lewat puisinya. Bunga Popi misalnya adalah puisi yang jelas menunjukkan taring kemusnahannya terhadap kemusnahan peradaban dan kasih sayang sesama insan.

Usman benar-benar mencintai keamanan itu meramahi seluruh alam ini. Puisinya Merpati Putih, Jelajahi Dunia Ini antara ilham tulusnya yang membenci peperangan. Bermula dengan sajak pertamanya, Korban Tanahair (Utusan Zaman, 7 November 1948) rasa cintanya pada ibu pertiwi tidak pernah pudar dihanyut masa.

Malah, karya beliau yang pada dasarnya seperti bercakap tentang keluarga pun tetap terselit nilai kemanusiaan yang tinggi. Dalam puisi Hadiah (1960) misalnya, Usman mengkritik kecenderungan segelintir masyarakat ketika itu memberi alatan permainan berkonotasi perang kepada anak-anak kecil.

Usman sama sekali tidak pernah berkompromi dengan peperangan apatah lagi "mengasuh" anak untuk bermesra dengan perang. Banyak pesan Usman kepada pembaca puisinya. Paling penting yang kita boleh tekankan ialah kesatuan dan kesepakatan kita dalam menjadikan kehidupan ini lebih aman, adil dan makmur untuk setiap jiwa di bumi ini.

Dalam Duri dan Api misalnya, Usman menegaskan pentingnya keberanian dan perpaduan masyarakat untuk menolak penindasan. Antara seruan beliau ialah:

"Kawan-kawanku yang dikasihi,
di belakang duri di depan api,
kita tidak bisa undur lagi,
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.

Rasa kemanusiaan Usman juga terserlah dengan sejumlah puisi yang khusus mengenai tokoh tertentu atas jasa yang telah ditaburkan. Contohnya, arkitek pendidikan tanah air, Aminuddin Baki disanjung tinggi dalam puisi Usman berjudul Gema manakala ketokohan Zulkifli Muhammad pula diangkat lewat puisi Bintang di Langit Zaman.

Malah, rasa hormatnya kepada individu lain meskipun dinyatakan dalam puisi sebagai "berlainan bicara" juga menampakkan jalur tinggi kemanusiaan Usman Awang. Puisi Dato' Onn sesuai dengan judulnya meramu jasa bakti Dato' Onn yang telah berjasa mengelak maruah bangsa dan tanah air tersungkur dimamah perancangan jahat kolonial melalui Malayan Union.

Jelaslah, karya puisi-puisi Usman Awang yang 'berkhasiat', malar segar dan malar segar dalam proses kita meniti negara maju begitu berharga dalam korpus perbendaharaan kesusasteraan negara ini.

Sumber : Utusan Malaysia


Catatan Usman Awang penuh pesanan
Mazlan Nordin

JARANG ada buku dalam bahasa Melayu dengan terjemahan serentak pelbagai bahasa. Demikian Sahabatku buku khas memaparkan 12 buah puisi Usman Awang yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan bahasa Iban.

Lalu dalam kata pengantar oleh anaknya, Lyna Usman, dicatat pengalamannya semasa masih muda: "Hidupnya susah, kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang".

Oleh kerana itu, ayah hanya dapat bersekolah hingga darjah enam sahaja. Apabila Perang Dunia II meletus, dia menjadi petani, kemudian diambil pihak komunis untuk menjadi buruh paksa. Setelah tamat perang, dia mohon kerja sebagai seorang polis.

Beliau mendapat banyak bahan bacaan ketika menjadi polis apabila berkenalan dengan ramai guru sekolah di Melaka, ketika itu. Mereka dengan senang hatinya meminjamkan buku-buku sastera kepada ayah. Bagi seorang yang dahagakan bahan penulisan yang baik, ini adalah satu peluang emas. Dari sini penghayatan dan bakat penulisannya diasah dan digilap sehingga beliau mula membuahkan perasaannya di atas kertas dengan penanya.

Beliau memilih puisi untuk meluahkan kandungan isi hati dan mindanya. Demikian antara catatan Lyna. Pada tahun 1954 Usman Awang menulis puisi berjudul Bahasa Bonda:

Tersusun indah menjadi madah
jauh mengimbau menjangkau pulau
ayun beralun lembut membuai
jauh meresap mendakap damai.
Ada ketika marak menyala
memercik api semangat bangsa
meletus gemuruh menyadap segala
menjadi alat perjuangan merdeka.
Seribu tingkah membawa lagu
mainan gadis diusik rindu
senjata teruna menawan cinta
pusaka rakyat pendukung budaya.
Seribu bahasa kita bicara,
manakan sama bahasa bonda.

Beliau kemudian berkhidmat dengan Utusan Melayu di Singapura bersama Keris Mas dan Asraf. Menjadi ketua ialah Samad Ismail dan kesemuanya berperanan dalam penubuhan ASAS 50. Lantas berlaku debat mengenai "Seni untuk seni dan seni untuk masyarakat".

Selanjutnya beliau berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1955 beliau menulis puisi berjudul Tanah Melayu (Malaya dalam bahasa Inggeris). Antara lain disebut:

Kita rakyat di bumi jantung ini
tiada beza dalam segala apa jua
penanam padi atau buruh memberi tenaga
terkepung dalam semboyan muluk "demokrasi".

Ketika penekanan jauh sampai ke tulang
dengarlah jeritan keras tani di ladang
dengarlah teriakan gemuruh buruh di kilang
sama bersatu sederap barisan bangun berjuang!

Puisinya memupuk perhubungan akrab antara kaum seperti dalam puisi Anak Jiran Tionghua. Antara yang ditulis:

Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar
kilat matanya memanggil Iskandar
siapa lalu siapa berkaca
melihat keduanya bergurau senda.
Anak Tionghua kelahirannya di sini
di bumi hijau ladang-ladang getah dan padi
ia bisa bercerita untuk siapa saja
di sini tanahnya dan ibunya bersemadi.
Bumi tercinta resapkan wahyumu
jantung mereka adalah langitmu
darah mereka adalah sungaimu
nafas mereka adalah udaramu.

Juga menarik ialah Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar. Antaranya:

Tuan Datuk Bandar
kami masyarakat burung telah mengadakan mesyuarat agung
pada suatu pagi yang manis dan ranum
di atas bangunan Parlimen yang kosong.
Seluruh kaum burung telah diwakili
oleh para cerdik pandainya, kecuali
perwakilan burung gagak yang sibuk dengan urusan kematian
penembakan, bangkai hanyut di Sungai Klang.

Puisi Mereka Telah Bangkit ditulis pada tahun 1967:

Mereka telah bangkit
dari buku yang dibacanya
dan tembok yang melindunginya
dengan bendera dan lilit kepala.
Mereka telah bersuara
dari bumi tanah air yang subur
demi Islam yang mengajar hidup berani
demi janji yang kini telah dimungkiri.
Mereka sekarang telah bangkit
di tengah-tengah gelombang zaman
dari keperibadian yang telah ditindas
untuk masa depan warisan keturunan.
Dari bahasa lidah zaman hidup kita
kebangkitan ini dipancang detik batu-tanda
untuk pelaksanaan: Satu Bahasa
yang berdaulat menyinar mutiara.
Pada kulit buku pula diulangi:
Bilakah semua warganegara mendapat hak layanan dan keadilan yang sama dikenal dengan satu rupa nama: Bahasa Malaysia?

Ertinya beliau dari dulu lagi "prescient", iaitu mengetahui lebih dahulu akan hal-hal yang akan terjadi pada masa akan datang. Sahabatku dalam bahasa Iban ialah Bakihku.

Setelah menjadi anggota polis beliau memakai nama samaran Tongkat Warrant. Selain daripada anugerah Sasterawan Negara (1983) beliau juga menerima SEA Write Award (1982) dan Doktor Kehormat (Persuratan) Universiti Malaya (1983). Beliau meninggal dunia pada 29 November 2001.

Al-Fatihah.

Sumber


Usman Awang menulis dalam pelbagai genre, puisi, cerpen, novel dan juga drama. Dalam apa juga genre penulisan yang dihasilkannya, idiosinkrasinya sebagai seorang pejuang sosial tetap terserlah. Namun, perjuangan ini bukanlah bermakna beliau meminggirkan keindahan karyanya. Karyanya tetap indah dan bermakna sama ada beliau memperkatakan soal yang kecil mahupun soal yang besar dalam masyarakat.

Karya-karyanya telah memperlihatkan suara hati marhaen pada setiap dekad pengkaryaannya. Beliau berkarya sejak zaman sebelum kemerdekaan, zaman darurat (1948-1960) dan zaman pascamerdeka. Golongan marhaen yang dibela dan dihargainya yang dipancarkan melalui karya terlalu ramai. Antaranya ialah pejuang nasionalisme, buruh, anggota polis, nelayan, petani, mahasiswa, guru dan sebagainya.

Pada zaman sebelum kemerdekaan, karya-karyanya dalam pelbagai bentuk mengandungi seruan yang membangkitkan semangat nasionalisme kepada rakyat. Sajak “Jiwa Hamba”, “Langit Tinggi”, “Aliran Hidup”, “Aku Sedar”, “Tanah Air” dan banyak lagi yang dihasilkan antara tahun 1949-1956 adalah antara sajak yang bertemakan semangat nasionalisme yang menyeru rakyat agar bangkit untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajah. Buakn setakat seruan kemerdekaan daripada penjajahan kuasa asing yang diperkatakannya, bahkan beliau juga memperkatakan elemen menuju kemerdekaan, iaitu islah dalam diri (perubahan). Kemerdekaan tidak hanya akan tercapai hanya dengan kata-kata, seperti petikan sajak “Jiwa hamba” di bawah:

Menurut Usman Awang dalam sajak tersebut, “kalau hidup ingin merdeka/ tiada tercapai hanya berkata/ ke muka maju sekata, maju kita/ melemparkan jauh jiwa hamba”. Sajak di atas ditulis pada tahun 1949, iaitu lapan tahun sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas 49 tahun negara Malaysia mencapai kemerdekaan, apa yang diperkatakan oleh Usman Awang itu sememangnya benar, kerana sekiranya kemerdekaan negara ini hanyalah semata-mata bebas daripada penjajahan kuasa British, sudah tentu Malaysia tidak akan mencapai kemakmuran seperti yang dinikmati pada hari ini.

Usman Awang teruja dan kagum dengan ketokohan pejuang nasionalisme tanah air yang dianggap oleh pihak penjajah sebagai kumpulan berhaluan kiri, iaitu Dr. Burhanuddin Helmi. Oleh sebab itu, sajak di atas mengandungi petikan kata-kata Dr. Burhanuddin yang cukup terkenal dalam membangkitkan kesedaran rakyat dan membangkitkan jiwa merdeka rakyat, iaitu “Di atas robohan kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka”. Usman Awang juga menghasilkan sajak untuk mengenang jasa pejuang nasioanalisme tanah air yang lain. Beliau menghasilkan sajak-sajak seperti “Boestamam”, “Dato Onn”, dan “Pak Sako Putera Besar Tanah air”. Sungguhpun demikian, bukanlah bererti beliau berada di pihak golongan berhaluan kiri walaupun karya-karyanya benyak yang mengkritik penjajah dan menegur kerajaan.


Comments