31 Aug 2013

Catatan Pagi Merdeka


Syukur Alhamdulillah, pagi ini kita masih mampu menghirup nafas merdeka. Dirgahayu Tanahairku, Tanah Tumpahnya Darahku. Negara kita berdiri di fajar merdeka untuk kali ke-56. Kita berada pada panas pagi dan udara merdeka yang pernah dirasai dalam ruap semangat merdeka 56 tahun lalu di Stadium Merdeka. Pagi pertama kita menyaksi bendera negara berkibar bangga dan Union Jack lenyap dari tatap mata.

Semakin lama kita akan semakin jauh dari detik keramat itu. Apakah semangat dan sari merdeka masih kekal wangi dan harum? Masihkah kita akan melihat merdeka bukan ritual tetapi suatu penghargaan, pengorbanan, kasih sayang, jati diri, dan kesetiaan hidup bernegara?.

Apakah nama-nama pahlawan dan pejuang begitu dihafal dan melekat dalam fikir ketika berada di  bangku sekolah, tetapi sesudah meninggalkannya semua dilupakan?.  Begitu juga cerita-cerita kepayahan, kesusahan, dan kesulitan hidup dalam cengkaman penjajah, apakah harus dibiarkan berlalu dan lenyap dari fikir dan imbau generasi baru. Sejarah penindaskan empat ratus empat puluh enam tahun, mungkinkah akan lenyap atau dianggap mitos atau dongeng? Semuanya boleh berlaku sekiranya kemerdekaan dan pengertiannya, penghayatan dan  pengabadian tidak diatur dengan sebaiknya.


Kita masih berbangga saban pagi merdeka, masih berlangsung majlis perayaan sambutan kemerdekaan yang disusun penuh tradisi dan semarak semangat merdeka dan hidup bernegara. Biarlah semangat dan semarak ini menyubur dan menghijau dalam akal fikir, relung jiwa, dan kunci kesetiaan sebagai warganegara. Barangkali masih banyak ruang baru yang perlu diisi dengan semangat dan khabar yang dapat mencetuskan kesedaran, keinsafan dan kesetiaan terhadap negara. Biarlah kefahaman merdeka itu meniti dan mengarus ke dalam sanubari setiap warganegara dan kita mengenangnya dengan penuh bangga dan insaf bahawa kita pernah datang dari duka dan luka yang menyakitkan.

Persitiwa di Tanduo, adalah bukti terdekat bagaimana kezaliman, kesombongan, dan kejahatan penjajah dan musuh terhadap kemakmuran, kedamaian, dan kesentosaan yang kita nikmati. Segalanya menjadi titik pandang bahawa kita seharusnya dan sepanjang masa mengenang pengorbanan dan kegigihan para pahlwan dan pejuang yang tidak gentar menentang penindasan. Banyak airmata mengalir, dan keharuan akan tumbuh mengenang mereka yang gugur dan keluarga yang hilang tempat bergantung. Inilah sebenarnya harga merdeka. Datang dari pengorbanan, kesungguhan, kegigihan mereka yang berbakti dan berjuang.

Tertinggal pada kita sekarang adalah Perlembagaan Negara yang menjadi khazanah warganegara untuk bersama kita pertahankan. Perlembagaan Negara dan Rukunegara adalah dokumen yang memandu kita untuk hidup makmur dan damai bersama dalam menghirup udara pagi dan panas matahari merdeka ini.

Sekali merdeka, biarlah selamanya kita hidup merdeka


Beberapa catatan di bawah ini barangkali dapat memberi imbas dan insaf terhadap harga sebuah kemerdekaan.


Nama pejuang kemerdekaan diabadikan di tempat sewajarnya
OLEH ABDUL RAZAK IDRIS

HANG TUAH, Mahsuri, Cik Siti Wan Kembang, Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung, Mat Salleh, Rosli Dhobi dan lain-lain lagi nama tokoh sejarah yang disebut semasa belajar subjek Sejarah sering bermain di fikiran dan dihafal sebagai wadah untuk berjaya dalam peperiksaan seperti Sijil Rendah Pelajaran (SRP, kini PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Selepas tamat belajar nama-nama tersebut terus dilupakan seolah-olah ia wujud hanya untuk menjadi input peperiksaan bukan untuk kita mengingati jasa dan sumbangan mereka hingga kita mampu tersenyum sambil memandu kereta Proton Suprima S.

Semakin jauh kita memandu semakin jauh kita meninggalkan perkara-perkara yang berlaku di belakang. Namun kita perlu ingat tanpa sejarah kita tidak akan mampu memecut laju ke depan. Tokoh-tokoh sejarah yang dinyatakan adalah pemangkin kepada keberadaan dan kejayaan kita hari ini.

Jangan sesekali kita melihat Hang Tuah tidak relevan dengan kemajuan kita hari ini, hingga ada yang menganggap wira negara yang menjadi pahlawan di Melaka pada kurun ke-15 adalah legenda semata-mata.

Namun kata-kata keramat "Tak Melayu Hilang di Dunia" yang disebut oleh pahlawan tersohor itu menjadi azimat kepada perjuangan parti keramat orang Melayu, parti UMNO untuk menjadi tonggak pentadbiran negara dari selepas merdeka 31 Ogos 1957 hingga ke detik kini.

Walaupun Melaka telah tidak mengamalkan sistem beraja namun nama pahlawan Melayu itu diabadikan di beberapa pusat beli-belah dan jalan di Melaka Bandar Bersejarah. Begitu juga tokoh- tokoh lain seperti Mat Kilau yang diabadikan namanya di sekolah rendah dan menengah di Pahang.

Namun dalam kita menghargai perjuangan tokoh-tokoh bangsa dari zaman Melaka hingga selepas era Belanda dan British jangan kita lupakan nama-nama wira negara yang meninggal dunia kerana berjuang demi menjaga kedaulatan negara pada zaman Jepun dan darurat dari 1948 hingga 1960 serta era 1970-an dan hujung 1980-an.

Nama seperti Leftenan Adnan Saidi, Sarjan Jamil Shah dan Pegawai Waran II Kanang Anak Langkau begitu dekat dengan kepahlawanan perang era moden. Nama-nama ini perlu diabadi di kem-kem tentera dan tidak sekadar menjadi watak dalam pentas hidup dan dalam filem semata-mata.

Ini bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam diri anak-anak kita yang terlampau 'laju' dengan capaian internet hingga mereka lupa bagaimana teknologi tersebut bermula di negara ini.

Tanpa adanya pahlawan yang sanggup bergadai nyawa dan darah untuk membasmi elemen negatif seperti anasir-anasir subversif komunis dan tali barut asing maka kita tidak dapat melakukan apa sahaja kegiatan ekonomi di bumi bertuah ini.

Hari ini di Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita tidak dapat melihat suatu bangunan yang mempunyai nama pahlawan dan pemimpin negara yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang pesat membangun.

Alangkah baik jika Menara Berkembar Petronas dinamakan Menara Berkembar Tun Mahathir, Muzium Negara dinamakan Muzium Hang Tuah, Pasar Seni dinamakan Pasar Seni Tun Seri Lanang dan Putra World Trade Centre (PWTC) dinamakan Menara Datuk Onn Jaafar.

Bagaimana rakyat pada masa depan dapat menghargai pemimpin kerajaan yang ada jika kita gagal menghargai penyumbang kepada kejayaan dan kemajuan negara kita.

Dalam dunia serba pantas hari ini, manusia sudah menjadi manusia hybrid iaitu bermutasi menjadi separuh elektronik separuh orang. Ini disebabkan manusia sudah menjadi hamba gajet hingga tanpa ada telefon tangan mahupun telefon pintar dibawa ke tempat kerja, hidup dirasakan tidak sah.

Sekurang-kurangnya apabila rakyat negara ini melihat aplikasi telefon pintar seperti Google Maps mereka akan melihat nama bangunan yang tertera nama tokoh sejarah dan ini akan menyebabkan mereka terfikir, apakah sejarah di sebalik nama tersebut.

Terutama dalam kalangan pelancong itu sendiri. Mesti mereka tertanya-tanya mengapa nama Hang Tuah diabadikan di muzium misalnya.

Justeru, masih belum terlambat untuk kita mengabadikan nama-nama tokoh bersejarah di negara ini. Kerana di negara Barat ia penting sebagai menghargai jasa pemimpin dan sumbangan mereka.

Mungkin bagi negeri Selangor pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) boleh mencadangkan nama Stadium Shah Alam menjadi Stadium Mokhtar Dahari sebagai simbol pemain yang hebat dan tangkas menggempur benteng lawan dan dijelmakan dalam diri mereka.

Dalam keadaan prestasi pemain dan bola sepak negara hari ini cadangan tersebut amat relevan. Tepuk dada tanya selera, insya-Allah jika Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan majlis kerajaan tempatan menghargai tokoh sejarah, insya-Allah rakyat lebih menghargai kemerdekaan dan pengisiannya.

Walau ada pujangga berkata, apa ada pada nama, jawapannya mudah sahaja tanpa nama siapalah kita. Tanpa tokoh sejarah yang sanggup berkorban untuk kejayaan bidang politik, ekonomi, sukan dan keselamatan tiadalah negara bernama Malaysia.

Sesungguhnya tema "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" menggambarkan pengorbanan tokoh-tokoh yang sudah lama meninggalkan kita dengan legasi keamanan yang begitu berharga.

Walau nama hilang di mata, namun di hati dihilangkan jangan. Merdeka! Merdeka! Merdeka. Al-Fatihah untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tokoh yang begitu sinonim dengan kemerdekaan negara.

Sumber :Utusan Online



Kepayahan hidup sebelum merdeka

MASIH segar lagi memori datuk kepada lapan orang cucu itu apabila diminta bercerita keadaan penduduk di Tanah Melayu sebelum ia mencapai kemerdekaan pertama pada 31 Ogos 1957.

Dibesarkan di sebuah kampung di Rompin Bahau, Gemas, Negeri Sembilan, Mejar bersara Lee Ah Pow, 76, begitu teruja menceritakan zaman kanak-kanaknya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu memberitahu, kampung tersebut dihuni kira-kira 300 penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

"Masa itu saya masih kecil, kami hidup bermasyarakat.

"Saya sendiri ada lima hingga enam kawan Melayu dan India dan tiga hingga empat orang sahaja kawan Cina. Tiada kawan lain lagi kerana semua orang sibuk bertani dan menoreh," katanya yang lahir pada tahun 1937.

Namun, hubungan erat yang terjalin antara kaum pada zamannya dahulu sukar dilihat pada masa kini. Generasi kini pada pandangan Ah Pow suka melakukan hal sendiri tanpa mempedulikan orang lain.

"Dahulu hidup susah. Bapa saya datang ke Tanah Melayu dengan beberapa saudaranya pada tahun 1910 dan menjadi ketua persatuan orang Cina di Rompin.

"Ketika kecil, saya melihat komunis minta wang daripada petani. Kami orang kampung mana ada apa-apa. Jika tiada wang, mereka minta makanan," ujarnya sambil memberitahu, siapa yang enggan membantu komunis akan dibunuh.

Masih terbayang-bayang di minda Ah Pow apabila melihat saudara-saudaranya semua habis dibunuh komunis dengan kejam sekali kerana mereka dituduh antikomunis.

Namun, tiada apa-apa yang boleh dilakukan olehnya dalam usia yang masih mentah iaitu dalam lingkungan usia tujuh hingga sembilan tahun.

"Sangat sedih apabila melihat penoreh getah diikat pada pokok getah, dirobek perutnya hingga terkeluar isi perut gara-gara tidak memberi bantuan makanan kepada komunis.

"Kejadian itulah yang membuatkan saya berkobar-kobar mahu menjadi tentera untuk membalas dendam di atas perbuatan kejam mereka," ceritanya penuh bersemangat.

Menurut Ah Pow, dia bernasib baik kerana ketika itu, Maktab Tentera Diraja (RMC) membuka tawaran kepada budak-budak sekolah sekali gus dapat menunaikan hasratnya untuk menjadi tentera.

Mula diterima masuk RMC pada tahun 1953, Ah Pow bertekad tidak akan mempersia-siakan peluang yang diberikan hingga berjaya menamatkan pengajian dan latihan pada tahun 1958.

Ketika Tunku Abdul Rahman mengumumkan kemerdekaan buat Tanah Melayu, Ah Pow memberitahu, hatinya gembira bukan kepalang walaupun pada ketika itu dia sibuk menguruskan tetamu kenamaan dari luar negara sempena hari bersejarah tersebut.

"Saya bertugas sebagai pegawai protokol ketika itu di bawah Muhammad Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri) yang bertanggungjawab merangka program keselamatan buat tetamu kenamaan.

"Siapa yang tidak gembira apabila Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Kita bebas daripada penjajah dan anasir luar yang menghuru-harakan negara," katanya yang pernah berkhidmat di Congo dan membantu pasukan pertahanan negara menghadapi konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963.

Ah Pow dikurniakan Pingat Gagah Berani (PGB) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1964. Momen itu memberikan kepuasan dalam dirinya sepanjang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mejar bersara ini juga menerima penghargaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berikutan jasanya sebagai ketua pasukan pengaman selain menerima Pingat Khidmat Bakti, Pingat Peringatan Malaysia dan Pingat Perkhidmatan Awam.

Dia yang bersara pada usia 38 tahun bersyukur dengan elaun yang diterima selepas mendapat pingat PGB bagi menyara sisa-sisa usianya bersama isteri tercinta, Alice Tan.

Ditanya mengenai pendapatnya terhadap anak-anak muda kini yang lebih suka menyuarakan ketidakpuasan hati melalui protes jalanan, Ah Pow memberitahu bahawa semua itu berlaku kerana mereka terlalu bebas, tidak tahu menilai sesuatu perkara dan emosional apabila bertindak.

"Apa yang mereka mahukan lagi? Saya sudah pergi banyak tempat di luar negeri dan yang paling aman ialah negara kita, Malaysia. Lihat sahaja negara Asia seperti India dan China rakyatnya susah, malah kerja pun susah.

"Generasi kini, kurang menghargai nilai kemerdekaan seperti kami dahulu kerana mereka tidak lalui kepayahan pada zaman komunis, konfrontasi dan sebagainya. Mereka tidak melalui kesusahan dan penderitaan generasi terdahulu," luahnya sedikit terkilan tetapi pada masa yang sama memuji usaha kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Berkongsi kepayahan hidup pada zaman Jepun dan komunis, Mohamad Nor Mahmud, 75, berasal dari Kampung Penajis, Rembau, Negeri Sembilan memberitahu, makanan ruji pada ketika itu adalah ubi kayu.

Memandangkan keluarga Mohamad Nor boleh dikatakan senang pada ketika itu, beras sentiasa dalam simpanan. Namun begitu, bahan mentah tersebut tidak boleh disimpan di dalam rumah.

"Beras dan padi disimpan di dalam hutan, seperti dalam filem Sarjan Hassan kerana khuatir diketahui oleh barua-barua tentera Jepun.

"Zaman itu memang susah. Masa zaman Jepun, orang-orang Cina ramai dipancung. Kemudian selepas Jepun kalah dan British mahu ambil semula Tanah Melayu, komunis ambil kesempatan mahu memerintah selama 14 hari," katanya sambil menyifatkan tempoh 14 hari yang dahsyat.

Baginya antara komunis dengan Jepun, komunis lebih kejam. Ketika komunis berkuasa, setiap hari ada sahaja berita polis dibunuh.


Walaupun yang diseksa tidak melibatkan saudara terdekat, Mohamad Nor tekad masuk askar pada 7 Julai 1958 kerana dendam kesumatnya terhadap komunis.

Mohamad Nor yang bersara daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 6 Julai 1979 memberitahu, ketika Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan, dia bersama penduduk kampung menonton wayang pacak menyaksikan detik-detik bersejarah itu.

"Bagi saya, kemerdekaan sangat berharga. Keamanan yang ada kini tidak harus dipersiakan semata-mata kerana kepentingan pihak-pihak tertentu.

"Semangat watan, jati diri, sayangkan negara dan bangsa sudah luntur dalam diri generasi kini kerana tiada pengalaman melalui saat-saat genting, semuanya telah tersedia buat mereka," ujarnya.

Menurutnya, tidak mustahil suatu hari nanti, negara ini kembali dijajah oleh kuasa luar jika perpaduan tidak diperkukuhkan.

"Kuatkan perpaduan, hormati budaya dan agama masing-masing. Jangan sesekali sentuh perkara-perkara yang mendatangkan sensiviti hingga menggugat keharmonian kaum," pesan bapa kepada 14 cahaya mata ini.

Sumber : Kosmo Online


Tragedi Berdarah 'Tanduo' Suntik Kesedaran Rakyat Cintakan Negara


KOTA KINABALU: Tragedi berdarah di 'Tanduo', Lahad Datu yang menyaksikan pencerobohan pengganas bersenjata dari Selatan Filipina memberi kesedaran kepada seluruh rakyat khususnya generasi muda di negeri ini untuk memahami dan menyelami nilai-nilai serta nikmat kemerdekaan.

Benarlah seperti apa yang dikatakan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman semasa melancarkan sambutan bulan kemerdekaan di sini baru-baru ini bahawa insiden itu dapat menaikkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

"Kita seharusnya berterima kasih serta bersyukur kerana atas pengorbanan pasukan keselamatan, kita dapat mengecapi nikmat kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran sehingga ke saat ini," katanya.

Lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat susulan insiden Lahad Datu itu manakala 68 pengganas ditembak mati dan pelbagai pihak melihatnya sebagai 'pembuka mata' yang memberi pengajaran berharga tentang betapa pentingnya mempertahankan kemerdekaan negara.

Rata-rata rakyat Sabah mengatakan di sebalik insiden itu membawa makna yang amat bernilai dan seharusnya direnung setiap kali menyambut kemerdekaan.

Seorang pemimpin masyarakat dari Tenom Tukimin Tumin, 51, berkata berbanding era sebelum merdeka atau peringkat awal pasca merdeka keadaan sudah jauh berubah.

"Dulu kita serba kekurangan dari segi kemudahan infrastruktur terutama di luar bandar. Kini keadaan jalan-jalan kampung dan jalan-jalan bandar bertambah baik dan nampak kemajuan dengan sebahagian besar rakyat Sabah termasuk di luar bandar menikmati kemudahan air bersih yang lebih ketara di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) kita," katanya.

Beliau berkata banyak janji kerajaan yang ditepati sekaligus menepati harapan mereka untuk menikmati pembangunan yang lebih baik hasil daripada kemerdekaan yang diperjuangkan pemimpin terdahulu.

"Ini termasuk pembangunan Perumahan Bantuan Rakyat dan Mesra Rakyat yang telah ramai orang mendapat kemudahan dan mendudukinya, katanya.

Seorang kontraktor dan ahli perniagaan wanita dari Tandek, Kota Marudu Suriannie Zulkiflie, 42, berkata kerajaan memberi pelbagai peluang kepada semua kaum tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

"Bagi golongan Bumiputera kita diberi peluang untuk berniaga dengan mendapat bimbingan dan bantuan modal. Dalam soal ruang niaga menerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. (Sedcovest), sebuah syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (Sedco) memberi 30 peratus potongan harga kedai kepada Bumiputera yang menceburi bidang keusahawanan," katanya sambil menambah bahawa pertumbuhan ekonomi negeri terus kekal teguh.

Selain itu, katanya, perniagaan berskala kecil dan sederhana membuka banyak peluang perniagaan kepada rakyat Sabah terutama kontraktor binaan dan jalan raya, perniagaan sektor perkilangan, pertanian, perikanan, pembuatan dan yang terbaharu dalam sektor minyak dan gas.

Sebelum dan awal pasca merdeka, peluang sebegini sukar diperoleh dan menurut Suriannie rakyat negeri ini sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan yang benar-benar memperjuang dan membela nasib mereka.


Seorang pendidik Rosmaini Othaman, 35, berkata rakyat sememangnya beruntung kerana sistem pendidikan terbuka negara tidak pernah menyekat akses pendidikan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, kaum dan agama, sebaliknya semua lapisan masyarakat berhak menerimanya.

"Keberkesanan sistem pendidikan negara wajar dipuji kerana ia menjanjikan masa depan terbaik buat generasi masa depan tanpa mengira jantina dan kaum, menerusi asas pembelajaran yang kukuh termasuk bantuan kewangan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Kalau kita imbau keadaan dahulu di mana pada waktu itu kita mempunyai sedikit sahaja sekolah di peringkat sekolah menengah dan rendah apa lagi universiti dan kolej.

Kita dulu terpaksa hantar anak-anak kita yang layak melanjutkan pelajaran ke universiti di Semenanjung, namun keadaan sudah berubah negeri kita sudah ada banyak sekolah serta kolej, politeknik dan Universiti Malaysia Sabah selain cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan tidak lama lagi kita akan ada Kolej Universiti Yayasan Sabah dan Kolej KDM (Kadazandusun Murut)," katanya.

Selain itu, Rosmaini berkata Sabah kini mempunyai hab pendidikan di Sandakan, sekaligus memberi peluang lebih luas kepada pelajar, khususnya di bahagian pantai timur Sabah untuk menuntut ilmu di peringkat yang lebih tinggi.

Shereen Liew, 27, dari Penampang pula berkata pembangunan jelas semakin pesat seperti sekolah-sekolah bantuan kerajaan, sekolah jenis kebangsaan Cina selain pusat kesihatan yang sedang dirancang untuk dibina di daerah itu.

"Jika dibandingkan dahulu dan sekarang, sudah banyak yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama dalam soal kebajikan dan bantuan kepada masyarakat Cina. Hari ini masyarakat Cina tidak lagi berasa terasing. Kami mendapat perhatian dan agihan sama rata dan semua ini adalah hasil nikmat kemerdekaan.

Bagaimanapun, kemajuan yang dinikmati tidak membawa erti sekiranya keadaan keselamatan negara tidak terjamin, sebab itu rakyat di Sabah seharusnya bersyukur di atas kemakmuran dan keamanan yang dikecapi sekarang.

Dalam hal ini, Pemimpin Kemajuan Rakyat Bugaya, Semporna Abdul Suhud Jaani, 45, berkata peristiwa Tanduo membawa rahmat kepada rakyat Sabah kerana insiden itu telah memberi 'inspirasi' kepada kerajaan untuk mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang ternyata berjaya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara.


ESSCOM, yang menjangkau usia lima bulan kini diterajui Ketua Pengarah Datuk Mohammad Mentek, merupakan ejen penguatkuasaan bagi Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE), merangkumi 10 daerah sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah, dan diwujudkan bertujuan menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini ekoran krisis pencerobohan itu.

Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) pula yang meliputi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, antara lain bertujuan memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan pelbagai entiti pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen.

"Rakyat Sabah kini sudah dapat tidur dengan lena dan nyenyak dengan terbinanya balai Polis Pulau Bum Bum sejak bulan lepas yang menempatkan lebih ramai anggota polis dari pekan Semporna," kata Abdul Suhud yang berterima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Najib di peringkat persekutuan serta Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di peringkat negeri, sambil melaungkan kata-kata keramat Merdeka! Merdeka! Merdeka!. - BERNAMA

Sumber : MStar Online



Hayati merdeka menerusi Perlembagaan
Shamrahayu A Aziz

Perlembagaan Persekutuan yang kita ada sekarang mula beroperasi selepas kita mencapai kemerdekaan. Seperti tulisan saya pada minggu lalu, Perlembagaan adalah lambang kemerdekaan.

Dalam mengisi Perlembagaan ketika kemerdekaan itu, kita maklum bahawa dalam Perlembagaan itu terkandung prinsip hasil inspirasi pimpinan politik dan paling utama ialah inspirasi Raja-Raja Melayu ketika itu. Di samping itu, ada juga cadangan kepakaran daripada Ahli Suruhanjaya Perlembagaan atau juga dikenali Suruhanjaya Reid.

Inspirasi pimpinan politik dan juga Raja-Raja Melayu itu jelas sekali dilihat dalam pelbagai perkara dalam pengisian Perlembagaan, iaitu dalam perkara membabitkan unsur warisan. Paling jelas ialah mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama negara, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, keistimewaan Melayu yang mencakupi beberapa perkara, iaitu tanah rizab Melayu serta kuota permit perniagaan, biasiswa dan dalam perkhidmatan awam. Begitu juga dengan kedudukan institusi Raja yang diperjelas kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan dalam sistem demokrasi beraja.

Ada juga penulis yang menamakan perkara ini sebagai unsur tradisi. Walaupun ada perbezaan dalam istilah ini, apa yang penting untuk difahami ialah kebanyakan prinsip penting terkandung dalam Perlembagaan itu adalah berasal dari tanah air ini. Seperti yang sentiasa saya sebut dalam tulisan sebelum ini, Perlembagaan sebenarnya adalah dokumen yang mempunyai pengisian yang begitu padu dengan kehendak dan keinginan warganya.

Oleh itu, dalam mengisi kemerdekaan ini setiap prinsip warisan atau tradisi ini perlu diberikan penghayatan sepenuhnya. Walaupun kita menyedari mengenai perubahan yang sudah dan perlu berlaku dalam perkembangan keadaan negara, ia adalah prinsip warisan ini. Tujuannya supaya kita tidak menyimpang daripada tujuan asal Perlembagaan.

Dalam membahaskan perkara tradisi ini, ramai juga yang berasakan kita tidak perlu lagi berpusing menggunakan gear undur untuk mengisi kemerdekaan. Ada yang berhujah bahawa mungkin perkara terbabit baik pada masa itu, iaitu pada masa ia diperkenalkan, tetapi ia harus berubah apabila masa dan keadaan berubah. Banyak yang sudah dibahaskan mengenai isu ini.
Kebijaksanaan pimpinan

Walau apa pun, saya mahu menegaskan di sini bahawa, dalam apa juga perubahan keadaan kita, mengekalkan pusaka lama seumpama nilai tradisi ini adalah satu keperluan dan sebarang perubahan hendaklah apa yang sebenar-benar boleh membawa kepada kebaikan. Nilai pusaka inilah yang menjadikan sesebuah bangsa itu dapat mengekalkan jati diri mereka serta mempunyai landasan kegemilangan yang nyata dan teratur. Nilai tradisi ini juga yang berupaya memangkin pembangunan.

Kebijaksanaan pimpinan juga memainkan peranan paling penting dalam mengekalkan nilai tradisi ini. Oleh itu, dalam apa juga pembangunan dan polisi sudah tentu nilai tradisi ini hendaklah dijadikan kayu pengukur dan pengimbang.

Perkara ini kita boleh lihat dalam proses membuat Perlembagaan merdeka dulu. Daripada dokumen sejarah saya dapati banyak perkara yang sudah disebut oleh kepemimpinan mengenai perkara yang dijangka berlaku. Oleh itu, nilai tradisi itu dijaga oleh peruntukan berkaitan pindaan Perlembagaan.

Boleh dikatakan semua nilai tradisi tidak boleh dipinda menerusi proses demokrasi atau undian di Parlimen. Nilai ini hanya boleh dipinda dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Bahkan polisi berkaitan keistimewaan Melayu di bawah Perkara 153 hanya boleh dipinda dengan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja.

Oleh itu, jelas di sini, bahawa semua perkara tradisi itu adalah tonggak kepada Perlembagaan. Maka, amalan dalam bentuk polisi hendaklah sentiasa dipadankan dengan kedudukannya dalam Perlembagaan.

Pemahaman kita kepada nilai tradisi dalam bulan kemerdekaan ini boleh dijadikan cara untuk kita mencernakan kefahaman terhadap hubungan antara Perlembagaan dan kemerdekaan. Selain itu, ia juga bagi menjelaskan lagi kecintaan kita kepada tanah air tumpah darah ini dan seterusnya dapat mendatangkan kesan positif terhadap kecintaan kepada negara dan bangsa.

Sumber : Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena