30 Aug 2013

Ambang Merdeka : Supermokh


Kita telah menamakan beliau dengan pelbagai gelar : Supermokh, Raja Bola
dan segala yang menggambarkan kekaguman dan penghargaan kita terhadap kebolehan
dan kehebatan beliau. Kebangaan kita adalah kehadiran beliau yang membawa
banyak harapan terkembang indah dalam sorak dan sokongan
untuk pasukan negara. Beliau jarang menghampakan ribuan peminat
yang sentiasa menyokong dan mengharap kejayaan.
Banyak kejayaan diraih. Banyak hati yang senyum senang atas kejayaan yang
terhasil.

Itulah seorang yang ternama dan terkenal dalam arena bola sepak negara
Mokhtar Dahari Supermokh

Beliau telah pergi meninggalkan kita.
Yang tinggal adalah baris-baris kejayaan yang tercatat dalam nota sejarah
sehingga ke detik kita merayakan kemerdekaan negara ke 56
catatan kejayaan itu tak terbandingkan tak tergantikan

Sempena kebangaan dan semangat kita menjelang
Perayaan Kemerdekaan ke 56 ini
marilah kita sama mengenang kembali
Supermokh
sebagai ukir inspirasi dan renung semangat
untuk kita sama-sama membina negara
ke arah kesentosaan, kemakmuran, dan kejayaan
yang lebih baik dalam harung masa ke hadapan


Petikan National Geographic - Mokhtar Dahari


TARIKH LAHIR: 13 November 1953, di Setapak
ISTERI: Tengku Zarina Tengku Ibrahim
BAPA: Dahari Abeng
EMAK: Maimon Sadikin
ANAK: Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina
KELAB: Kelab Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco,Kwong Yik Bank
MULA WAKILI SELANGOR: Piala Burnley 1971
PIALA MALAYSIA: Wakili Selangor 1972
MULA WAKILI NEGARA: Pestabola Merdeka 1972
TERAKHIR WAKILI NEGARA: Pra-Piala Dunia menentang Korea Selatan di Seoul 1985
KAPS: 167
GOL PIALA MALAYSIA: 177
GOL ANTARABANGSA: 125
JARINGAN TERBAIK: Gol penyamaan menentang England B pada 1978



Ulas Riwayat 

Mokhtar Dahari dilahirkan pada 13 November 1953 di Setapak, Kuala Lumpur, hasil perkahwinan Dahari Abeng dan Maimon Sadikin. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan (1960-1965) dan Victoria Institution (1966-1970).

Ketika beliau berusia 15 tahun, Mokhtar telah dihadiahkan sepasang but bola yang hanya berharga RM15 oleh ayahnya selepas menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1968 atau lebih tepat dipanggil LCE pada ketika itu.

Beliau amat menghargai pemberian itu sambil berkata: “Kasut but yang diberi oleh ayah saya hanya berharga RM15, tetapi ia amat bermakna dalam kerjaya bola sepak saya.”

Dengan kasut itulah beliau menempa nama sebaris dengan wira-wira bola sepak negara sebelumnya seperti Datuk Ghani Minhat dan Arthur Koh.

Pada tahun 1971, Mokhtar telah mula mewakili pasukan Selangor dalam saingan Piala Burnley. Beliau juga pernah menyertai beberapa kelab bola sepak antaranya Kelab Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco dan Kwong Yik Bank.

Beliau telah berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina. Salah seorang anaknya, Mohamad Redza, juga mengikuti jejak langkah ayahnya apabila pernah mewakili negeri Selangor.

Mokhtar merupakan pemain yang memiliki bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara adalah dikancah Pestabola Merdeka yang menjadi gelanggang beliau mempamer taring dan kehebatannya menembusi gawang lawan.

Pada usia 23 tahun, Mokhtar yang lebih terkenal dengan jolokan ‘SuperMokh’ diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976.

Gelaran ‘SuperMokh’ yang diterimanya itu juga adalah kerana kehebatannya menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak. Beliau juga telah mewakili Malaysia selama 13 tahun iaitu dari 1972 hingga 1985.

Kelebihan dimiliki ‘SuperMokh’ banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen penting hinggakan tiga jari bekas penjaga gol negara, mendiang R. Arumugam, pernah patah ketika cuba menampannya. Malah penyerang ternama negara ini juga bijak dalam membaca gerakan lawan dan meloloskan diri dari kawalan pertahanan pihak lawan.

Mokhtar telah membuat penampilan di padang bola sebanyak 167 kaps (penampilan), menjaringkan 117 gol dalam saingan Piala Malaysia dan 125 gol antarabangsa.

Mokhtar merupakan seorang pemain yang sangat gigih ketika latihan, sejak di bangku sekolah lagi dia tidak pernah jemu berlatih sehingga sudah sebati dengan dirinya.

Ketika berada dalam skuad kebangsaan, Mokhtar masih gigih berlatih apabila gemar mengawal bola sambil mengelecek tiang-tiang kecil sebelum melepaskan tendangan kencang ke gawang yang kosong untuk menajamkan kuasa pemusnah yang ada pada dirinya.

Malah beliau juga tidak suka diganggu ketika latihan apatah lagi mengaitkan kemasyuran dirinya di padang dengan kehidupan peribadi hingga menjadikan beliau seorang idola paling diminati.

Perjalanan karier ‘SuperMokh’

Karier Mokhtar sebagai pemain bola sepak bermula pada 1970 di mana ketika itu beliau telah terpilih untuk mewakili Selangor ke pertandingan bola sepak bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Turut bermain bersamanya ketika itu adalah Santokh Singh dan Reduan Abdullah.
Mokhtar yang juga dikenali dengan gelaran ‘SuperMokh’ merupakan penyerang yang amat berbahaya apabila melepaskan rembatan.

Pada tahun 1971, Mokhtar telah mewakili Selangor dalam pertandingan Piala Burnley (sekarang Piala Razak) di Kuching Sarawak. Perlawanan pertama menentang Kedah dan beliau berjaya menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan itu.

Pada tahun 1972, buat pertama kalinya beliau beraksi untuk pasukan utama Selangor dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Hitachi dari Jepun pada Februari. Pada bulan April beliau turun dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pertama dalam kariernya menentang Perak dan bermain di posisi sayap kiri.

Beliau menjaringkan gol pada minit ke-29 hasil umpanan Rahim Abdullah untuk membantu Selangor menang 3-0. Dalam tahun yang sama, beliau telah mewakili Malaysia buat pertama kalinya dalam Piala Jakartaraya (Piala Kemerdekaan Jakarta) pada bulan Jun.

Mokhtar juga telah bermain bersama skuad Malaysia di pra Piala Dunia di Seoul pada tahun 1973. Beliau juga telah bermain dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka menentang Kuwait dan menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1. Mokhtar juga telah membantu Selangor mengekalkan Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu 2-1 dalam perlawanan akhir.

Pada tahun 1974, Mokhtar telah mencipta rekod peribadinya sebagai penjaring gol terbanyak dalam satu perlawanan antarabangsa apabila menjaringkan lima gol sekaligus ketika menentang Filipina di Sukan Asia di Tehran, Iran sekaligus membantu negara memenangi pingat gangsa.

Karier Mokhtar memuncak pada tahun 1975 apabila beliau mewakili pasukan Malaysia menentang pasukan gergasi England, Arsenal F.C. Dalam perlawanan tersebut Malaysia telah menewaskan Arsenal 2-0 di mana kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh Mokhtar. Selepas perlawanan itu, Mokhtar khabarkannya telah menerima tawaran dari pasukan Arsenal untuk bermain dengan mereka.

Mokhtar terus mempamerkan kehebatannya apabila menjaringkan dua gol untuk membantu Selangor menewaskan Singapura 3-0 dan sekali gus muncul sebagai juara Piala Malaysia bagi kali ke-19. Malah beliau telah mendapat kaps Malaysia ke-100 ketika menentang Jepun di Pestabola Merdeka. Mokhtar juga telah mendapat kecederaan lutut ketika mewakili PKNS menentang Pemuda Umno di peringkat suku akhir Piala FAM. Beliau terpaksa menjalani pembedahan lutut di Hospital Universiti.

Pada tahun 1977, setelah pulih daripada kecederaan lutut beliau kembali beraksi mewakili PKNS menentang Kilat dalam Liga Perdana Selangor. Beliau juga membantu Selangor mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Lebih membanggakan, beliau telah menjaringkan satu gol ketika Malaysia menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan akhir untuk pingat emas Sukan Sea pertama beliau. Mokhtar telah menerima Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976 di atas kejayaannya itu.

Bagaimanapun, aksi ‘SuperMokh’ yang tidak dapat dilupakan oleh para peminatnya ialah apabila beliau berjaya menjaringkan gol penyamaan ketika menentang England B yang pada ketika itu di bawah bimbingan Bobby Robson pada tahun 1978. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan 1-1.

Pada tahun yang sama juga, beliau telah memenangi Piala FAM pertamanya bersama PKNS malah turut membantu Selangor bangkit dari ketinggalan 2-0 kepada Singapura untuk menang 4-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

Pada tahun 1979, Mokhtar buat pertama kalinya mengetuai barisan Selangor selepas mengambil alih jawatan ketua pasukan daripada Soh Chin Aun lalu mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia selepas menang 2-0 ke atas Singapura. Buat pertama kali juga, rentangan sepanduk tertulis ‘Super Mokhtar’ gelaran yang kekal hingga kini, terpampang di Stadium Merdeka. Bagaimanapun, Mokhtar telah membuat kejutan apabila mengumumkan persaraannya dalam arena bola sepak antarabangsa pada tahun yang sama.

Tetapi, pada tahun berikutnya Mokhtar menarik balik keputusan persaraan antarabangsa untuk beraksi di Pestabola Merdeka di mana Malaysia muncul naib johan selepas tewas kepada Maghribi dalam perlawanan akhir.

Pada tahun 1981, Mokhtar telah menerima kad merah pertama dan terakhir dalam kariernya ketika menentang Singapura dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia. Kad merah tersebut dilayangkan oleh pengadil Othman Omar. Kegagalan Malaysia di pertandingan pra Piala Dunia di Kuwait mendorong Mokhtar mengumumkan persaraannya pada peringkat antarabangsa buat kali kedua.

Mokhtar telah mengetuai pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai oleh Diego Maradona dalam satu perlawanan persahabatan pada tahun 1982. Selangor tewas 2-1.

Pada tahun 1985, Mokhtar kembali menyarung jersi negara ke pertandingan pra Piala Dunia di Seoul menentang Korea Selatan di mana Malaysia tewas 2-0 dan beliau mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa untuk kali ketiga dan terakhir.

Pun begitu, beliau masih meneruskan kariernya dalam pertandingan domestik. Ketika bermain bersama Selangor pada tahun 1986, beliau telah membantu Selangor menjadi juara Piala Malaysia menewaskan Johor 6-1 pada perlawanan akhir. Beliau juga telah diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir tersebut. Mokhtar akhirnya mengumumkan persaraannya dari bola sepak peringkat negeri dan menghadiahkan jersi nombor 10 miliknya kepada Raja Muda Selangor.

Tetapi, seperti masa-masa yang lalu dan atas desakan peminat, Mokhtar menarik balik persaraannya untuk mewakili Selangor semusim lagi. Pada tahun 1988, Mokhtar telah bersara dari bola sepak peringkat negeri dan menyertai Kwong Yik bank, kehadirannya membawa kelab itu menjadi juara Liga Dunhill Selangor.

Mokhtar disahkan menghidap penyakit Mascular Dystrophy pada tahun 1989 dan berlepas ke London untuk mendapat rawatan lanjut, namun pulang ke Malaysia tanpa sebarang perubahan.

Pada hari Khamis, 11 Julai 1991, Mokhtar Dahari telah meninggal dunia pada jam 8.25 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya, akibat penyakit yang dihidapinya itu.



Perjalanan Dalam Karier 

1971: Mewakili Selangor dalam Pertandingan Piala Burnley (sekarang Piala Razak), diKuching, Sarawak. Perlawanan pertama menentang Kedah dan menjaringkan gol pertamanyapada perlawanan itu.

1972: Kali pertama turun mewakili pasukan utama Selangor menentang Kelab Hitachi dariJepun dan perlawanan akhir pertama Piala Malaysia ialah ketika Selangor menewaskan Perak 3-0 dengan Mokhtar menjaringkan satu gol. Mula mewakili Malaysia di Kejohanan Belia Asia,di Bangkok.- Kali pertama terpilih mewakili pasukan utama Malaysia ke Kejohanan Piala Jakartaraya.Perlawanan pertama menentang Sri Lanka.

1973: Mewakili Malaysia ke pra Piala Dunia di Seoul. Kali pertama beraksi di PestabolaMerdeka menentang Kuwait pada perlawanan akhir. Malaysia menang 3-1 dan Mokhtar jaringkan dua gol.

1974: Mencipta gol terbanyak dalam satu perlawanan antarabangsa apabila menjaringkanlima gol ketika menentang Filipina di Sukan Asia Teheran.

1975: Mewakili negara menentang Arsenal. Malaysia menang 2-0. Mokhtar menjaringkankedua-dua gol itu.

1976: Mendapat kaps Malaysia ke-100 ketika menentang Jepun di Pestabola Merdeka.

1977: Mendapat Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976.

1978: Menjaringkan gol penyamaan ketika menentang England `B'. Perlawanan berkesudahan seri 1-1.

1979: Kali pertama dipilih menjadi ketua pasukan Piala Malaysia Selangor (menentangTentera) apabila Soh Chin Aun enggan meneruskan tugas itu. Mengakhiri zaman bujang selepas berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim. Mempertahankan pingat emasSukan Sea dengan mengalahkan Indonesia 1-0 menerusi jaringan gol tunggal. - Mengumumkan persaraan arena bola sepak antarabangsa.

1980: Kembali beraksi di Pestabola Merdeka dan membawa negara muncul naib juara selepas tewas kepada Maghribi di final. Membawa negara meraih pingat emas Sukan Sea pertama apabila menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan akhir. Mokhtar menjaringkan 1 gol.

1981: Menerima kad merah pertama dan terakhir dalam kariernya ketika menentangSingapura (Piala Malaysia). Pengadil `bersejarah' itu ialah Othman Omar. Mewakili negara kepra Piala Dunia di Kuwait. Malaysia dikecam kerana gagal. Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali kedua.

1982: Mengetuai Pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai Diego Maradona.

1985: Kembali menyarung jersi negara ke pertandingan pra Piala Dunia di Seoul menentangKorea Selatan. Malaysia tewas 0-2 dan Mokhtar mengumumkan persaraannya bagi kali ketigadan terakhir.

1986: Memimpin Selangor menjadi juara Piala Malaysia dan muncul sebagai `PemainTerbaik Perlawanan Akhir'. Mengumumkan persaraan peringkat negeri dan menghadiahkan jersi `keramat' nombor 10 kepada Raja Muda Selangor.

1987: Menarik balik persaraannya untuk mewakili Selangor semusim lagi.

1988: Menyertai Kwong Yik Bank dan membawa kelab itu menjadi juara Liga Selangor.Khabar angin bertiup Mokhtar mengidap penyakit ganjil.

1989: Disahkan mengidap penyakit Mascular Dystrophy. - berlepas ke London untuk mendapat rawatan lanjut. Pulang ke tanah air tanpa sebarang perubahan.

1990: Keadaan Mokhtar semakin buruk.

1991: Meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang pada Khamis, 11 Julai jam 8.25 pagi


Supermokh (TV3)



Kehebatan Supermokh

Mukadimah

TIDAK keterlaluan dikatakan, melihat kelibatnya saja sudah cukup mendatangkan gerun kepada lawan. Kelincahannya menggelecek, kepaduan rembatan serta kepantasannya berlari sering mendatangkan igauan buruk kepada benteng pertahanan dan penjaga gol pasukan lawan.
Itulah Datuk Mohd. Mokhtar Dahari, legenda bola sepak negara yang sentiasa mekar namanya di hati peminat bola sepak tanah air.

Patahnya masih belum tumbuh, hilangnya sehingga kini belum berganti.

Tanyalah kepada orang-orang lama sama ada sudah muncul pemain yang mampu menandingi kehebatan Mokhtar di negara ini mahu pun di rantau Asia Tenggara selepas ketiadaannya. Dan kesemua jawapan yang diterima penulis mengatakan ‘tidak ada’.

Bagi mengenang bintang yang terkenal dengan gelaran Supermokh ini, wartawan S2, MOHD. RAFIE AZIMI dan ABDUL HALIM HADI pada awalnya cuba mendapatkan slot temu bual bersama keluarga arwah.

Namun disebabkan kebelakangan ini timbul satu isu melibatkan nama legenda itu dengan sebuah kelab bola sepak, keluarganya enggan menonjol di dada akhbar.

Begitu pun, bersama jurugambar, ASWAD YAHYA, IZHAM JAAFAR, FAIRUZ IZYANA AYUB dan ESZREEN QUYYUM SIES kami menjejaki rakan-rakan lama pemain berjersi nombor 10 itu agar kisah kecemerlangan legenda tersebut dapat dipaparkan bagi dicontohi generasi muda untuk bersungguh-sungguh mencapai cita-cita supaya menjadi yang terbaik.


HARI Khamis, 11 Julai 1991, seluruh negara terutama peminat-peminat bola sepak tanah air menerima khabar sedih. Khabar tentang jagoan bola sepak negara, Mohd. Mokhtar Dahari meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang, Subang Jaya kira-kira pukul 8.25 pagi.

Meskipun seluruh negara mengetahui Mokhtar menderita sakit, namun tidak ramai menyangka bintang pujaan ramai itu yang amat bertenaga beberapa tahun sebelumnya, menghembuskan nafas terakhir hanya ketika berusia 38 tahun.

Apatah lagi ramai yang mengetahui terlampau banyak usaha dijalankan untuk memastikan Mokhtar kembali pulih termasuklah secara tradisional.

Antara yang dilakukan adalah dengan membawa Mokhtar ke Hospital Radcliffe Infirmary di Oxford, London untuk diperiksa oleh salah seorang doktor pakar di situ, Dr. Sir John Walton.

Ketika itu, ramai yang tertanya-tanya. Apa sebenarnya penyakit yang menyebabkan bintang kesayangan ramai itu menjadi lemah tidak berdaya?

Maka pelbagai telahan dan tohmahan timbul. Ada yang mengatakan Mokhtar menerima kesan daripada pengambilan steroid dan dadah. Ada pula yang mendakwa Mokhtar menggunakan susuk hanya semata-mata kerana aksi luar biasanya di padang.

Hakikatnya Mokhtar merupakan seorang yang amat bersih. Semua mereka yang rapat dengan Mokhtar tahu tuduhan-tuduhan liar itu tidak lebih daripada sekadar fitnah kerana pemain berjersi nombor 10 itu terkenal memiliki disiplin tinggi serta amat mementingkan kecergasannya termasuk dengan tidak merokok.

Setelah beberapa lama, media mula mencanangkan kononnya Mokhtar menghidap penyakit Mascular Dystrophy.

Carian di Internet sehingga kini mendapati masih ramai yang percaya dengan dakwaan itu dan menganggap itulah penyakit yang membawa kepada pemergian Mokhtar.

Hakikatnya, Mokhtar diserang penyakit Motor Neuron Disease (MND). Difahamkan, penyakit itu menyebabkan pesanan otak ke ototnya terganggu mengakibatkan aktiviti otot menjadi tidak menentu dan akhirnya terhenti dengan sendiri.

Mengimbas sejarah kecemerlangan Mokhtar dalam dunia bola sepak tanah air, segala-galanya bermula apabila anak kelahiran Setapak yang dibesarkan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu terpilih menyertai Selangor dalam pertandingan Piala Burnley di Kuching, Sarawak.

Tidak berapa lama selepas itu, bakatnya yang menonjol menyebabkan Mokhtar mendapat tempat dalam pasukan senior Selangor serta beraksi dalam Piala Malaysia biar pun usianya baru berusia 18 tahun.

Nyata peluang itu tidak dipersia-siakan. Beliau menjaringkan sembilan gol dalam kejohanan itu termasuk dalam perlawanan akhir ketika Selangor menjulang kejuaraan dengan menewaskan Perak 3-0.


Aksinya yang memukau menyebabkan beliau dipanggil menyarung jersi negara setelah hanya dua bulan beraksi bersama pasukan senior itu.

Setelah itu, nama Mokhtar mula menjadi sebutan seiring dengan zaman kegemilangan bola sepak Malaysia. Turut menjadi sanjungan rakyat ketika itu adalah beberapa lagi pemain terbilang seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Shukor Salleh, R. Arumugam serta beberapa nama lagi.

Gandingan mantap pemain-pemain ini membawa Malaysia memenangi pingat pertama bola sepak dalam Sukan Asia apabila meraih gangsa di Teheran, Iran pada 1974.

Selain itu, Malaysia turut menewaskan Kuwait, Korea Selatan dan Jepun untuk menjuarai Piala Merdeka pada 1973, 1974 dan 1976.

Impak Mokhtar buat Selangor juga cukup besar. Beliau merupakan pemain paling lama yang beraksi untuk Selangor iaitu selama 16 tahun. Dalam tempoh itu, Selangor mara sebanyak 12 kali ke perlawanan akhir dan menjuarainya sebanyak 10 kali.

Pada 1986, sebaik diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang dimenangi dengan menewaskan Johor 6-1, Mokhtar mengumumkan persaraannya dari arena bola sepak tanah air.

Namun cintanya kepada bola sepak cukup mendalam. Setelah dipujuk, Mokhtar kembali beraksi bersama Selangor untuk semusim lagi.

Dan rasa cinta itu terus dibuktikan apabila membawa pasukan Kwong Yik Bank menjadi juara Liga Dunhill Selangor selaku pengarah sukan merangkap jurulatih pada 1988 biar pun ketika itu ramai yang mengetahui beliau sedang bertarung dengan ‘penyakit ganjil’ (MND) yang tanpa disangka menyebabkan bintang pujaan ramai itu pergi pada usia muda.

Utusan Online



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena