Talibun


Talibun ketika meredah hutan belantara dalam Hikayat Indera Bayu

Langkah disusun satu persatu
Meredah belantara menyusur belukar
Keringat menitis membasahi baju
Terus dilalui walaupun sukar
Air sungai, lembah dan paya
Menjadi minuman penghilang dahaga
Buah-buahan hutan turut dirasa
Di samping bekalan yang sedia ada
Bertemu lurah terus dituruni
Sungai lebar terpaksa direnangi
Duduk sebentar melunjur kaki
Terlena hingga terbenam matahari.

(Hikayat Indera Bayu)

Talibun rakyat menyahut panggilan daripada istana dalam Hikayat Malim Deman :

Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Yang capik datang bertongkat
Yang buta beraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjau
Yang kurap mengekor angin
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh.

(Hikayat Malim Deman)

Menjunjung duli:

Mengangkat kadam kepak yang indah
Kuncup seperti sulur bakung
Sayap seperti susun sirih
Tertanggam paruh yang keemasan
Tertimpuh kaki yang kiri
Terdiri kaki yang kanan
Sembah bergelar lela sembah
Tiga tapak mara ke hadapan
Dua tapak undur ke belakang.

(Hikayat Malim Dewa)


Pertabalan menjadi raja:

Seluar intan dikarang
Karangan Hassan dengan Hussain
Jikalau ditiup angin selatan
Menghabis tahun berbalik musim
Maka dikenakan pula
Baju baldu ain-ul banat
Kain kembung kampuh pelangi
Kain kelambu Rasulullah
Berikat pinggang kain cindai
Panjang tengah tiga puluh
Tiga puluh dengan rambutnya
Keris bersepuh emas sepuluh
Hulunya manikam sembilan warna
Keris bernama jalak jantan
Berkerawang pamur di pangkalnya
Pedang jenawi lantai balai
Selebar daun padi
Solek belah mumbang di ulunya
Tengkolok bernama tengkolok alang
Tepi bertelepok kalimah Arab
Sekalian hikmat pelas peperangan
Dipandang musuh tak dapat ditentang.

(Hikayat Malim Dewa)

Tepung Tawar

Pertama alat Tepung Tawar.
Daun setawar penawar biasa,
Bisa dilaut bias dibumi,
Bisa terbang di buat orang,
Bisa racun dengan santau.

Daun sedinding penyejuk hati.
Kalau marah mulai marak,
Dapat teduh isinya,
Dapat membuang hati dengki,
Dapat membuang umpat puji,
Dapat menyabar-menyabar hati.

Daun ati-ati tanda bijak.
Bijak bercakap bijak berunding,
Bijak mengambil kata putus,
Bijak duduk di orang ramai.

Daun gandarusa daun penangkal.
Menengkai musuh dari luar,
Menangkal musuh dari dalam,
Menagkal sihir dengan serapah.

Menagkal tuju dengan tinggam.
Yang dibawa jin lalu,
Yang dibawa hantu peleit,
Yang dibawa puaka jembalang.

Bedak limau pencuci hati,
Mencuci dengki dengan iri,
Mencuci dengki dengan khianat,
Mencuci dendam berkepanjangan,
Mencuci salah dengan silih,
Mencuci penyakit nan menahun.

Air percung tanda ikhlas.
Ikhlas dalam bergaul,
Ikhkas dalam bergaul,
Ikhlas dalam bercakap,
Ikhlas beri-memberi,
Ikhlas tolong- menolong

Beras kunyit beras basuh.
Tiga dengan beras bertih,
Itulah tanda rezeki dating,
Rezeki tiba dari langit,
Rezaki tumbuh dari bumi,
Rezeki timbul dari laut,
Rezeki keluar dari hutan,
Yang dating tidak berpintu,
Yang tibanya tidak berketika.


Alamat Hari Nak Siang

Tengah malam sudah terlampau
Dinihari belum lagi nampak
Budak-budak dua kali jaga
Orang muda pulang bertandang
Orang tua berkalih tidur
Embun jantan rintik-rintik
Berbunyi kuang jauh ke tengah
Sering lanting riang di rimba
Melenguh lembu di padang
Sambut menguak kerbau di kandang
Berkokok mendung, Merak mengigal
Fajar sidik menyinsing naik
Kicak-kicau bunyi Murai
Taktibau melambung tinggi
Berkuku balam dihujung bendul
Terdengar puyuh panjang bunyi
Puntung sejengkal tinggal sejari
Itulah alamat hari nak siang
(Hikayat Malim Deman)


TALIBUN 
Perkataan talibun menggantikan istilah bahasa berirama yang digunakan oleh R.O. Winstedt yang dirasakan terlalu umum untuk suatu bentuk puisi yang sebenarnya mempunyai identitinya sendiri. Dalam kamus Wilkinson, talibun bermakna `satu untai atau urutan pantun-pantun atau `pantun setalibun; atau sejenis puisi yang rima akhirnya serima. Beberapa pengkaji lain menggunakan talibun untuk pantun yang lebih daripada empat larik serangkap; misalnya yang enam, lapan, sepuluh dan seterusnya dalam serangkap.

Harun Mat Piah (1989), Ismail Hamid (1987) mendefinisikan talibun atau sesomba sebagai puisi berangkap tentang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara (cerita kaba) dalam kalangan masyarakat Minangkabau.

Untaian Talibun atau sesomba memiliki ciri-ciri seperti :  Ia tidak mempunyai  bentuk atau struktur tertentu.Ia tidak semestinya  beragkap, jika ia  berangkap ia tidak memiliki jumlah  baris tertentu dalam ragkap. Ia juga tidak mempunyai sistem rima tertentu. Talibun merupakan sisipan  dalam cerita terutama penglipur lara. Ia mengandungi ungkapan-ungkapan pemerian kepada cerita yang disampaikan.

Mohd. Taib Osman (1979) mula menamakan talibun ini sebagai “ikatan puisi bebas”. Puisi ini menurut beliau merupakan puisi yang memakai kata-kata yang menimbulkan gambaran mata kerana kata-kata yang digunakan dapat menimbulkan pemikiran dan pendengaran tentang imej yang lantang dan bermakna. Baris-barisnya memberikan dua macam gambaran, iaitu gambaran bunyi seolah-olah kita mendengarnya, dan gambaran objek-objek dalam situasinya masing-masing. Kedua-dua gambaran ini berlatarbelakangkan alam Melayu.

Terdapat pelbagai tema talibun yang terungkap dalam cerita-cerita lipur lara Melayu yang didasarkan kepada fungsi puisi tersebut di dalam karya atau cerita tersebut iaitu memerikan kebesaran, kehebatan dan keagungan sesuatu tempat seperti ibu kota dan bandar, memerikan keadaan dan kesibukan atau keajaiban sesuatu peristiwa dan suasana, memerikan kehebatan dan kecantikan sesuatu objek seperti pakaian, manusia, sikap dan kelakuan manusia.

Selain tema, talibun juga boleh dikenal melalui penggunaan bahasa berulang yang menjadi lumrah dalam pembentukannya. Teknik pengulangan ini bukan sahaja wujud dalam penggunaan gaya bahasa tetapi pengulangan seluruh puisi tersebut. Wilkinson menamakan puisi tersebut sebagai runs, yang merujuk kepada konsep pengulangan ini. Pengulangan ini ditambah pula dengan bentuk-bentuk pemerian yang lain sehingga terdapat pelbagai variasi dalam bentuk seperti pengulangan di bahagian permulaan tetapi di bahagian akhir telah ditambah dengan ungkapan puisi yang lain.

Menurut Ismail Hamid (1987) pengulangan ini terjadi kerana talibun sangat mementingkan bahasa yang berirama yang menjadi kegemaran masyarakat terutamanya dalam kalangan masyarakat Minangkabau. Bahasa yang berirama ini digunakan secara meluas seperti berpidato atau semasa bergurau senda.

Fungsi utama dan khusus talibun ialah untuk memerikan secara terperinci tentang sesuatu gambaran seperti suasana, benda dan sifat manusia dalam bentuk yang ringkas, teliti dan menyeluruh. Umumnya, talibun merupakan gambaran pemikiran masyarakat khalayak yang mementingkan perincian tentang sesuatu, tetapi disusun dan dibentuk dengan keindahan terutamanya dalam penggunaan gaya bahasa.


Penakik pisau siraut
ambil galah batang lintabung
selodang ambilan nyiru
setitik jadikan laut
sekepal jadikan gunung
alam terkembang jadikan guru

Comments