Sengsara Sungai


Berakrablah dengan alam. Alam tersedia sebagai sebahagian dari elemen kehidupan manusia. Alam tidak pernah begitu berdosa pada kehidupan manusia sebaliknya alam menjadi sumber keperluan, dan sumber kekayaan buat manusia. Sedarlah betapa banyaknya manfaat alam buat kita. Tetapi bagaimana manusia menghukum segala pemberian alam?. Apakah ia penuih kesantunan, penghargaan atau manusia dengan kerakusannya banyak memusnahkan daripada membina.

Tatap sahaja di sekitar kita. Bagaimana sungai yang dapat kita lihat? Bagaimana laut yang dapat kita harungi? Bagaimana udara yang kita hirup? Berapa banyak hutan dan belantara yang ditumbangkan tanpa rasa simpati atau kehilangan. Atas nama perekonomian bagaimana hutan digondolkan dan ketandusan menggantikan kehijauan. 

Alam menjadi sentuhan Ihsan Norzali dalam puyisinya Tangisan Langit Tatkala Sengsara Sungai. Nadanya penuh kesal dan huba. Kesal atas segala kerosakan yang terjadi terhadap sungai. Sungai dirasakan mengalami penderitaan  dan kesengsaraan panjang semata kerana perbuatan rakus manusia  Tidak ada rasa belas atau simpati. Sebalinya sungai dikotorkan, dirosakkan sebagaimana perbuatan jalang. Hiba hati pengarang atas segala kejadian. Kehibaan yang terisi kekesalan kerana segala kerosakan dan kebinasaan tidak pernah berhenti dan semakin membiak.  Perhatikan pada baris-baris berikut bagaimana pengarang melontarkan perasaannya : 
menangisi nasib sungai
seakan tidak mampu
segala tangan dan mata yang ada
semuanya sekadar menunjuk dan menatap
kesengsaraan sungai
tangan-tangan kotor dan jalang

Hubungan manusia dengan sungai tidak lagi intim dan akrab. Sebaliknya sungai banyak menanggung beban kerana kegiatan dan keliaran jiwa dan hati manusia.  Cinta material seolah menjadi pencetus segala kerakusan dan kebinasaan. Manusia mementingkan keuntungan dan kekayaan akhirnya membinasakan sungai yang tidak lagi jernih dan indah.
seorang manusia
jauh-jauh di belakang sana
di sebalik tabir cinta meterial
tetapi kau lupa bahawa sungai itulah
yang membesarkan anak-anakmu
hingga dewasa dan mewah.

Kerakusan merosakkan. Meskipun sungai pernah menjadi sebahagian keperluan manusia, Sungai menjadi tempat anak-anak mereka membesar dan dewasa. Sungai menjadi sumber air, kehidupan dan puca pertanian akhirnya menjadi  objek yang dimusnahkan oleh manusia atas nama kebendaan dan pembangunan. Bagi penyair, kerakusan  ini tidak akan berhenti selagi lahirnya keinginan mencari kekayaan, kemewahan, dan mahu hidup senang. Sungai dianggap sebagai bahan yang boleh dibinasakan demi kekayaan. Atas keperluan itulah sungai dikotorkan, dinafikan kebersihan dan dibiarkan  melarat.

Pengarang secara halus membandingkan sungai sebagai manusia yang berjiwa dan bernafas persis manusia. Segala denyut sengsara sungai ditafsirkan dalam baris-baris puisi ini.  Pengarang berkali-kali menyatakan kesakitan dan kesengsaraan sungai. Pengarang juga menjelaskan ramai yang melihat dan menatap atas kejadian kerakusan terhadap sungai, tetapi jarang yang tampil membantu sungai. Akhirnya pengaarang sendiri mengakui  bahawanya dirinya amat kerdil dan tak dapat membantu sengsara sungai. Harapan akhir pengarang adalah akan lahir kesedaran dan keinsafan  manusia untuk menyelamatkan sungai, Akan ada rasa kecintaan dan kasih sayang yang dapat menyelematkan sungai. Penyair yakin pada suatu ketika manusia akan dapat memikir dan menginsafi kesilapan diri dan membela sengsara sungai :
Sungai tidak pernah berdosa
kerana kejadiannya sarat hikmah
yang berselindung di sebalik
kerakusanmu itu.

Jika dilihat dari aspek tema puisi ini membawakan tema penderitaan sungai akibat pencemaran, Pencemaran bverpunca dari kerakusan kegiatan manusia sama ada di tebing atau di darat akan memberi kesan kekotoran terhadap sungai, Kemusnahan berlaku dari aspek fizikal sungai yang tidak lagi bersih dan jernih malah meninggalkan kesan psikologi akibat kekotoran dan kehodohan fizikal sungai.

Persoalan kerakusan manusia dikemukakan pengarang. Kerakusan manusia menggunakan  segala kebolehan, kelebihan dan kekuatan tenaga manusia melakukan kegiatan yang merosakkan fizikal sungai. Kerosakan ini pula tidak dipedulikan oleh manusia dan berterusan dilakukan.

Persoalan manusia yang mementingkan kebendaan. Sikap kebendaan menjadikan manusia hanya mementingkan kekayaan dan kemewahan. Sungai menjadi objek yang mudah diperlakukan apa saja asalkan memberi pulangan wang kepada manusia. Akibat kegiatan manusia sungai dicemari sepanjang manusia. Rasa keinsafan dan simpati pada nasib sengsara sungai tidak langsung terjelma. Manusia demi wang dan kemewahan melakukan perbuatan pemusnah terhadap sungai.

Persoalan lupa akan jasa orang lain. Sungai dianggap sebagai penyumbang untuk keluarga manusia membesar. Sungai telah memberi bakti sama ada dari aspek penggunaan airnya, kemudahan untuk pengaira n atau pertanian, sumber tangkapan ikan dan sebagainya. Apapun segala jasa dari sungai dilupakan manusia dan dianggap tidak penting. Manusia mengejar kemewahan dan harta membiarkan  sungai dalam sengara.

Sekarang kita beralih kepada aspek struktur puisi ini pula. Sebuah karya sastera terdiri dari elemen isi dan strukturnya. Telah dibincangkan aspek isinya tentang tujuan  pengarang menghasilkan puisi ini. Baca sekali lagi puisi ini untuk melihat aspek strukturalnya :


TANGISAN LANGIT TATKALA SENGSARA SUNGAI
Ihsan Norzali

Tatkala kulihat langit itu
menangisi nasib sungai
seakan tidak mampu
segala tangan dan mata yang ada
semuanya sekadar menunjuk dan menatap
kesengsaraan sungai
tangan-tangan kotor dan jalang
teramat menghinamu – sungai tercinta.

Apakah tiada lagi hati dan budi
kerana kau meletakkan perasaan
seorang manusia
jauh-jauh di belakang sana
di sebalik tabir cinta meterial
tetapi kau lupa bahawa sungai itulah
yang membesarkan anak-anakmu
hingga dewasa dan mewah.

Aku bukanlah seorang pemilik kuasa
yang mampu bersuara serigala
namun hanya seorang pemilik rasa
yang tak pernah tertidur dalam ketenteraman
di tebing sungai yang jernih.

Sungai tidak pernah berdosa
kerana kejadiannya sarat hikmah
yang berselindung di sebalik
kerakusanmu itu.

Bicara Kasih Buat Ibu 2002



Dari aspek fizikalnya, puisi ini terdiri daripada empat rangkap. Setiap rangkap dibangunkan berdasarkan baris yang berbeza-beza iaitu rangkap 1  terdiri daripada 8 baris, rangkap 2 mempunyai  8 baris, rangkap 3nya mempunyai  5 baris, dan rangkap terakhir sebanyak 4 baris.

Jumlah kata dalam sebaris dilihat tidak sekata. Terdapat baris yang memnpunyai dua patah perkataan dan ada baris yang memiliki sebanyak 6 patah perkataan. Ini menunjukkan bahawa bilangan barisnya tidak seimbang.

Bilangan sukukara menujukkan pola tidak sekata. Ada yang mempunyai 7 suku kata dan ada baris mempunyai sebanyak 14 sukukata.

Rima akhirnya juga bersifat bebas. Contohnya : rangkap 1 - abacdbec

Kesimpulannya puisi ini mempunyai bentuk bebas.

Jika ditinjau dari sudut bahasanya didapati susunan diksi puisi ini puitis dan menarik, misalnya :
Apakah tiada lagi hati dan budi

Terdapat penggunaan sinkof iaitu tak.

Gaya bahasa asonasi pula dapat dikesan pada baris ini :
sungai tidak pernah berdosa  - pengulangan bunyi vokal a

Alitrerasi pula dapat ditemui dalam baris ini :
di tebing sungai yang jernih  (pengulangan bunyi konsonan g)

Personifikasi digambarkan sebagaimana berikut :
atkala kulihat langit itu
menangisi nasib sungai

Keindahan bahasa puisi ini disulam dengan adanya unsur metafora :
tabir cinta,

Unsur pengulangan kata pula dilihat pada ungkapan  sungai

Kata ganda pula ada pada ungkapan ini,  tangan-tangan,

Keseluruhannya dari aspek kebahasaan menunjukkan puisi ini begitu puitis  dan menarik.

Sebagai sebuah puisi yang mengajak kesedaran bersama terhadap kebersihan sungai dan alam sekitare, puisi ini membawa beberapa amanat penting.

Janganlah merosakkan keindahan alam sekitar. Manusia harus menyanyangi alam sekitar kerana ia merupakan sahabat terdekat kepada manusia. Alam sekitar perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran.

Jasa dan bakti seseorang hendaklah sentiasa dikenang. Sungai mempunyai bakti besar kepada manusia. Oleh itu sungai harus dikenang jasanya dengan menjaga keindahan dan kebersihannya.

Hendaklah menjaga maruah diri dan peribadi. Maruah yang runtuh ibarat sungai yang tercemar. Jagalah maruah peribadi untuk menjadikan seseorang itu dihargai sepanjang masa.

Marilah bersama selamatkan sungai kita. Manusia harus memberi sumbangan besar dalam menjaga nama baik, keindahan dan kesegaran sungai.

Tuliskan sesuatu berkaitan puisi ini...


Comments