Nyanyian Luka : suara sengsara manusia

MANUSIA dilahirkan dalam fitrah kesucian. Yang menjadikan manusia itu hilang kemanusiaan adalah kerana ego, tidak prihatin, rapuh keimanan, hilang jati diri dan luntur nilai-nilai murni yang diajari oleh agamanya.

Sebagai manusia yang dilahirkan mempunyai sensitiviti kepada perubahan sikap dan persekitaran, Husna Nazri tampil menyanyikan lagu sungkawa menerusi kumpulan puisi terbaharunya, iaitu Nyanyian Luka.

Nyanyian Luka menghimpunkan 139 buah puisi yang kebanyakannya mengalunkan nada kesedihan dan kesengsaraan. Sesekali puisi yang termuat dalam kumpulan ini meniupkan semangat perjuangan dan tidak mudah mengalah demi mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara.

Sebagai penyair, Husna Nazri menghantar rasa kemanusiaan kepada rakyat yang tertindas di luar negara seperti yang digambarkan dalam puisi Waktu Kutatap Cerita Lukamu, Aqsa, Biografi Kecil Khaleeda di Gaza, Suara Luka Anak-anak Palestin, Catatan Tanggal Rejab di Qanaa, Nyanyian Intifadah dan Nyanyian Luka yang menjuduli kumpulan puisi.

Kematian akibat peperangan dan pembunuhan yang kejam tidak harus dimaafkan. Apabila manusia menyalin sikap kebinatangan dan bertuhankan syaitan, maka mereka hilang rasa kemanusiaan seperti yang digambarkan dalam Biografi Kecil Khaleeda di Gaza.

Selain itu penyair turut menitipkan pesan dan harapan menerusi Rumah Bahasamu dan Kembalikan Dusun Bahasaku supaya bahasa ibunda dijaga walau apapun yang berlaku agar tidak tergadai.

Menerusi Penjenayah Bahasa pula, penyair menyelar pengguna bahasa ibunda yang sewenangnya melakukan jenayah bahasa seperti mencabul dan memperlekehkan kemampuan bahasa Melayu mendepani zaman globalisasi. Seharusnya, penutur punya jati diri dan rasa sayang akan bahasa tercinta ini.

Husna Nazri turut menyelami kesusahan dan penderitaan pencari rezeki untuk menyara keluarga. Begitulah yang cuba disogokkan Husna Nazri menerusi puisi Pengayuh Beca, Primadona, Peminta, Penggali Kubur, Seorang Tukang Gunting, Biografi Tukang Urut, Pemotong Rumput dan Biografi Si Tukang Sapu.

Setiap pekerjaan yang ditukangi berdepan dengan ranjau dan cabaran lalu menuntut kesabaran menghadapinya seperti yang digambarkan: "...seorang lelaki pengayuh beca tradisi/ mencurah keringat demi menampung hayat/ anak-anak dan isteri yang dikasihi..."

Puisi dalam kumpulan ini turut menerbitkan citra keislaman. Penyair mengajak pembaca agar selalu bermuhasabah diri dan mengajak hamba-hamba yang terpesong arah dan tersilap langkah untuk kembali kepada Yang Maha Esa.

Dalam Sujudku, Qasidah Rindu Sang Abid, Perempuan di Lorong Hitam, Takwa, Catatan pada Subuh Limun, Memasuki Rumah-Mu, Dalam Sirah Hijrah, Zikir Sang Mujahid, Munajat (iii), Dalam Cumbu Akrab dengan-Mu dan Di Hamparan Sejadah (ii) merupakan puisi yang dikesan memancarkan nur keislaman.

Turut dirakam dalam kumpulan puisi ini adalah pengembaraan seorang hamba ke alam barzah antara rela ataupun dijemput oleh kekejaman. Antara puisi tersebut termasuklah Ratib Kepulangan, Sebujur Mentah dalam Ratah Sadis, Muntassir Najwa dan Kamelia.

Kekuatan puisi yang dihidangkan oleh Husna Nazri terletak pada pertimbangan bahasa dan perlambangan yang terkawal. Husna Nazri bijak mengadun rasa dan menggandingkan dalam bahasa yang sederhana.

Oleh itu, jika kita mengiktiraf diri kita sebagai manusia berilah rasa kemanusiaan itu dengan memiliki kumpulan puisi Nyanyian Luka ini. Setidak-tidaknya, dengan membaca sejumlah puisi ini mampu memberi kesedaran bahawa masih ada manusia yang hidup sengsara, derita dan bergelut untuk melepaskan diri dari kurungan hitam dan kejaran muncung senapang.

Sumber : Utusan Malaysia


Comments