Mana Sikana

MANA SIKANA

Mana Sikana atau nama sebenar beliau ialah Abdul Rahman Napiah. Dilahirkan pada 9 Oktober 1946 di Bagan Serai, Perak . Bersekolah rendah di Sekolah Umum Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Kemudian menyambung pelajarannya di Sekolah Izuddin Shah, Ipoh (1959 – 1967). Menuntut di Maktab Perguaruan Bahasa, Kuala Lumpur (1967-1968). Menjadi guru di Johor Bharu selama lima tahu. Kemudian menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi (1974) mendapat Ijazah Sarjana Muda Persuratan kelas Pertama. Menyambung ijazah Sarjana pada tahun 1980 dan Doktor Falsafah pada 1990. Pernah bertugas sebagai pensyarah dan Profesor Madya di Jabatan Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini bertugas sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Sumbangan Mana Sikana

Menghasilkan buku-buku kritikan sastera. Buku-buku kritikan sastera yang ditulis oleh Mana Sikana menjadi rujukan pengkaji- pengkaji sastera untuk mendalami kejian mereka. Antara buku yang dihasilkan: Aliran Dalam Sastera Melayu (1983), Esei Dalam Kritikan Drama (1983), Kaedah Kajian Drama (1985), Kritikan Sastera: Pendekatan dan Kaedah (1986), Asas Menganalisa Sastera (1988), Di Sekitar Pemikiran Drama Moden (1989), Pendekatan Kesusasteraan Melayu Moden (1980), Tuah-Jebat Dalam Drama: Satu Kajian Intertekstualiti (1994), Teori Sastera Tekdealisme (1996), Teori dan Kritikan Sastera Moden (1998), Teori Sastera Kontemporari (2005), Teori dan Kritikan Sastera Malaysia dan Singapura (2005)

Meneroka/ menyumbangkan pemikiran pendekatan-pendekatan kritikan sastera yang baru.
Mana Sikana telah berjaya menambah pendekatan baharu dalam kritikan sasatera Malaysia melalui beberapa teori baharu yang diperkenalkan melalui kritikan-kritikan yang pernah dibuat. Antaranya termasuklah: Teori Intertekstualiti, Kritikan sastera berunsur Islam : Teori Taabudiyyah, dan Teori Satera Teksdealisme

Menghasilkan banyak esei-esei kritikan di dalam majalah dan akhbar tempatan. Mana Sikana banyak membuat kritikan melalui tulisan-tulisannya yang pernah tersiar dalam beberapa buah majalah tempatan, termasuk Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Jurnal Perisa (Utusan), Berita Harian/Minggu, Utusan/Mingguan Malaysia dan majalah Dewan Bahasa. Antaranya:
Mana Sikana (2008). Wacana Dinamika Sastera Melayu Pascamoden. Jurnal e-UTAMA, 1 (Jilid 1, Bilangan 1, Januari-Jun 2008), 60-82., Mana Sikana (2007). Disiplin Pengajian Budaya dan Transformasi ke Teori Sastera Budaya. Jurnal Aswara, 2(1/2007), 41-63. Mana Sikana (2005). Pengajaran dan Pembinaan Bahasa dalam Konteks Pendidikan Drama. Jurnal Aktivis, 1(5), 116-138., Mana Sikana (2003). Wacana Bahasa dalam Teori Sastera Pascamoden. Jurnal Bahasa, 3(4), 505-536, Mana Sikana (2002). Semiotik: Kajian Bahasa dan Sastera. Jurnal Bahasa, 2(3), 325-341., Mana Sikana (2002). Usman Awang: Shifting as Realist Metahistoriographer. Malay Literature, 15(2), 37-57., Mana Sikana (2002). The Strength of Zakaria Ariffin's Drama. Malay Literature, 15(1), 1-11. Mana Sikana (2001). The Theory of Literature: Theory of Taabudiyyah Malay Literature, 14(2), 54-75., Sastera Arab Parsi dan Hubungannya dengan Sastera Melayu, Novel Sampah Kesan sebuah Falsafah Dewan Sastera Mei 71, Teori New Historirisme dlam Dewan Sastera Ogos 1977, Historirisme Baru dlm Dewan Sastera Ogos 2001 , dan Teori Bacaan Idealistik dlm. Majalah Penulis Mac 1994

Membantu melahirkan ramai pengkritik. Sepanjang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu UKM dan di Institut Pendidikan Nasional Universiti Singapura, Mana Sikana telah melahirkan ramai pelajarnya yang kini merupakan pengkritik sastera tanah air antaranya termasuklah Dr. Mawar Shafie, Dr. Abdullah Che Ya, Dr. Halim Ali

Menyebarkan ilmu kritikan melalu pembentangan kertas kerja. Mana Sikana bergiat aktif dalam bidang kritikan dan kerap dipanggiluntuk membentangkan kertas kerja tentang kritikan sastera, sama ada dalam seminar-seminar di dalam dan di luar negara. Antaranya
a. Teori Kritikan Sastera di Malaysia dlm Seminar Kritikan Sastera
anjuran DBP 2001
b Mana Sikana (2007). Wacana Dinamika Sastera Melayu Pascamoden.
Seminar Kesusasteraan Bandingan Antarabangsa 2007 Persatuan
Kesusasteraan Bandingan Malaysia.
c. Mana Sikana (2006). Tamu di Bukit Kenny karya Usman Awang
daripada Perspektif Teori Teksdealisme. Pemikiran Sasterawan Negara
Usman Awang: Dewan Bahasa dan Pustaka.
d. Mana Sikana (2006). Teori Penulisan Teks Drama: Pemikiran dalam
Wacana Sejagat dan Kontekstual Budaya. Seminar Penulisan
Dramatik Akademi Seni Budaya dan
Warisan Kebangsaan.
e. Mana Sikana (2005). Keris Mas Sebagai Cerpenis Pandangan
Teksdealisme. Seminar Pemikiran Keris Mas dalam Kesusasteraan
f. Mana Sikana (2004). Juara Perspektif Teori Sastera Teksdealisme.
Pemikiran Sasterawan Negara S.Othman Kelantan DBP
g. Mana Sikana (2003). Pembentukan dan Pemantapan Teori Sastera
Mandiri. Teori Pemikiran Tamadun Melayu DBP

Kajian tentang kritikan drama di Malaysia. Mana Sikana telah berjaya menghasilkan beberapa kajian kritikan tentang pemikiran, perkembangan dan sumbangan drama dalam kesusasteraan Melayu. Antaranya : a. Pemikiran Drama Melayu Moden; b. Perkembangan dan Perubahan Dalam Drama Malaysia, c. Drama Tuah Jebat: Satu kajian Intertekstualiti, d. Drama Melayu Moden, dan e. Berkenalan Dengan Drama

Sumbangan pemikiran dalam kritikan-kritikan sastera yang berunsur Islam.
Mana Sikana telah mencuba melakukan kritikan menggunakan kedah pendekatan Islam sekitar tahun 1980-an. Hasilnya beliau telah berjaya membina teori Sastera Taabudiyyah pada tahu 1998. Melalui kritikan berunsur Islam ini juga, Mana Sikana berjaya menghasilkan buku berjudul Kritikan Sastera: Kaedah dan Aplikasi, Sastera Islam di Malaysia dan Khazanah Islam: Falsafah dan kesusasteraan


MANA SIKANA SASTERAWAN PERAK KE-2
Oleh Zabidin Haji Ismail

Mana Sikana atau Abdul Rahman Hanapiah dinobatkan sebagai Sasterawan Perak oleh Kerajaan Negeri di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah pada 23 Jun 2004.

Beliau merupakan pengarang anak Perak yang kedua diiktiraf sebagai Sasterawan Perak selepas Suhaimi Haji Muhammad (1987). Pengiktirafan ini sesungguhnya amat besar ertinya kepada Mana Sikana kerana dilihat Kerajaan Negeri cukup berhati-hati dalam memilih penerima watikah, apatah lagi majlis penyempurnaannya jarang-jarang diadakan.

Mana Sikana berasal dari Bagan Serai berketurunan Banjar yang dilahirkan pada 9 Oktober 1945 mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan, Bukit Chandan, Kuala Kangsar hingga lulus darjah VI (1954-1959). . Beliau menyambung pelajaran seterusnya ke Sekolah Izzudin Shah, Ipoh (1959-1966). Pada tahun 1965 Mana Sikana lulus Sijil Pelajaran Malaysia pangkat dua. Pada tahun 1966 pula dia ke Syahadah Agama Tinggi Perak sebelum ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur (1967-1968) dengan memperoleh Dilploma Pendidikan; Bahasa Melayu dan Geografi.

Pada tahun 1973 Mana Sikana lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan (STP) yang melayakkan beliau menyambung pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar 1974-1978 atas pembiayaan biasiswa UKM dan berjaya meraih Sarjana Muda Persuratan Kelas Pertama. Kemudian dia meneruskan pendidikan sarjana (1980-1981) dan menerima ijazah doktor falsafah (PhD) pada tahun 1991.

Sejarah Kerjaya

Selepas tamat pengajian di Maktab Perguruan Bahasa, Mana Sikana diterima menjadi guru mulai tahun 1969 hingga tahun 1974. Antara sekolah yang beliau berkhidmat sebagai pendidik ialah Sekolah Menengah Laksamana Kota Tinggi, Johor serta tiga buah sekolah di Johor Bahru iaitu Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Rendah Tasik Utara dan Sekolah Menengah Gelang Patah.

Kerjaya kedua yang disandang oleh Mana Sikana selepas guru ialah pensyarah. Beliau mula bekhidmat sebagai tutor pada tahun 1981 dan telah berkhidmat sebagai pensyarah sastera Melayu moden di beberapa buah universiti termasuk di UKM dan Tekonologi Nanyang, Singapura. Kini beliau bertugas di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Sepintas lalu latar belakang kepengarangannya

Mana Sikana mula menulis pada sekitar tahun 60-an dan pernah memenangi hadiah cerpen; Kawan yang Berbudi dan yang Berduri bernilai seratus ringgit menerusi Berita Harian pada tahun 1964. Kemenangan ini telah menggalakkan Mana Sikana untuk menulis karya sastera, bukan hanya cerpen tetapi melebar genre lain seperti rencana dan kritikan drama.

Pada peringkat awal dalam arena drama, Mana Sikana menghasilkan skrip drama berjudul Anak-anak Jahanam (1965) di samping bergiat dalam bidang lakon pentas. Di sekolah, drama pentas Ashah al-Kahfi (dalam bahasa Arab) dan The Fish (dalam bahasa Inggeris) karya gurunya adalah di antara drama yang pernah dilakonkan.

Di sekolah, selain berjinak-jinak dengan alam penulisan, Mana Sikana terbibit pula dengan aktiviti berbentuk penulisan yang menyuburkan minatnya tentang kepengarangan. Misalnya, dia pernah dilantikan sebagai Ketua Pengarang majalah sekolah, Pengerusi Persatuan Bahasa dan Persuratan Melayu serta menjadi pembahas dan pemidato dalam beberapa pertandingan bahas dan pidato sekolah-sekolah menengah di Perak.

Kemudian, semasa mengajar di Johor, Mana Sikana terus mengembangkan bakat dalam penulisan skrip drama radio dan TV yang dikirimkan ke Radio Singapura secara serius Sewaktu di pusat pengajian tinggi, Mana Sikana mula menulis karya kreatif sama ada cerpen atau skrip drama yang bercorak intelektual dan eksprimental sifatnya.

Hal ini adalah hasil kritikan membina daripada gurunya seperti Dr Muhammad Haji Salleh, Ramli Isin, Bill Watson dan Dr Ungku Maimunah yang sekaligus memberikan perangsang kepadanya untuk menulis esei dan kritikan.

Lantaran itu Mana Sikana lebih tersohor dalam bidang kritikan sastera yang ditukanginya secara serius, analitikal, spesifik dengan analisis yang berlandaskan pengetahuan mendalam tentang teori-teori kesusasteraan.

Karya yang dihasilkan

Mana Sikana menulis dalam banyak genre sastera kreatif serta kertas penyelidikan tentang kesusasteraan Melayu moden. Selaku pengarang dan pengkaji, Mana Sikana seorang pengkarya yang prolifik, tepu dengan falsafah dan pemikiran kontemporari dalam karya-karya kreatif yang dihasilkan.

Umpamanya, drama berjudul Pasir-pasir di Pasir Salak yang dipentaskan baru-baru ini mengajak penonton memikirkan falsafah yang tersirat dalam peristiwa pembunuhan JWW Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak. Mana Sikana mentafsir perisitiwa itu dengan pelbagai dimensi bertolak daripada sifat-sifat Melayu, tindak-tanduk penjajah, nasionalisme, kronisme serta bibit-bibit kapitalisme yang mula menular dalam kalangan masyarakat setempat.

Drama yang sarat dengan falsafah ini memperlihatkan kemampuan Mana Sikana mentafsir sejarah secara bebas, kemudian menghidangkan kepada penonton untuk dikunyah atau dimamah; dan inilah kepakaran Mana Sikana dalam menukangi teater.

Cerakinan karya Mana Sikana

Antara karya beliau ialah empat kumpulan cerpen berjudul Santau (1982), Jejak Yang Hilang (1984), Abzyx (1986) dan Nusia (2002). Bagi drama telah terhasil kumpulan berjudul Apa-Apa (1982), Tok Awang (1984) dan Hikmah (1998). Antara novel yang dihasilkannya ialah Ronjang (1984), Kesesatan (1987), Klimak (1989) dan Syajar (1996).

Mana Sikana banyak sekali menghasilkan buku kajian sastera, antaranya; Teras Sastera Melayu Moden (1982), Esei-esei Kesusasteraan (1983), Kritikan Sastera: Kaedah dan Aplikasi (1986), Di Sekitar Pemikiran Drama Moden (1989), Teori Sastera Moden (1990), Drama Melayu Moden (1996), Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme (1998), Sastera Pascamodenisme Melayu (2002) dan Teori dan Kritikan Sastera (2002).

Jumlah keseluruhan buku yang telah dihasilkan oleh Mana Sikana melebihi 100 buah.

Pelopor Absurdisme

Mana Sikana adalah pelopor cerpen aliran absurdisme dalam sastera Melayu. Aliran tersebut dapat dikesan melalui cerpen-cerpennya berjudul Fakurdabakia, Hipokondriakal, Aqula dan Maaj.

Sebelum kemunculan aliran absurdisme, kebanyakan aliran cerpen Melayu di Negara ini dibebani dengan aliran realisme yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad, Anuar Ridhuan dan Othman Puteh. Selain meneroka absurdisme, Mana Sikana juga memugar aliran surealisme dan eksistensialisme.

Semua novel yang dihasilkan Mana Sikana bersifat anti-realisme sebaliknya mengetengahkan aliran absurdisme, metahistiriografik dan realism magis.

Transformasi yang dilakukan Mana Sikana dalam karyanya adalah hasil daripada kursus penulisan kreatif yang diikutinya di UKM, menterjemahkan teks-teks cerpen James Joyces dan Franz Kafka serta hasil pembacaan karya Albert Camus, Allain Robbe Grilett, Iwan Simatupang, Putu Wijaya dan Ariffin C. Noer.

Mana Sikana mentranformasikan absurdisme Barat yang tidak berhubungan dengan agama dan manusia itu, telah diislamisasikan dengan menghasilkan teks-teks Islam.

Di samping itu, Mana Sikana menulis dan mementaskan drama di sekitar tahun 1970-an dalam kebangkitan surealisme di Malaysia yang membariskan namanya sebaris dengan rangkaian lima dramatis waktu itu; Nooordin Hassan, Dinsman, Hatta Azad Khan dan Johan Jaaffar.

Pencipta Teori Sastera

Dalam kebangkitan teori sastera tempatan ekoran kebanjiran teori Barat, Mana Sikana menerobos fenomena itu dengan mencipta teori sastera teksdealisme pada tahun 1992. Dia mencipta teori tersebut kerana beberapa hujah yang disimpulkan seperti berikut;

“Tidak terelakkan dunia sastera dan pendidikan kesusasteraan, kini sangat menuntut pengaplikasian teori atau beberapa teori. Khasnya, di Barat, penguasaan teori sudah dianggap wajib. Justeru teori menjadi landasan penelitian dan pengajian teks-teks kreatif. Di tanah air kita juga halnya sedemikian. Sebuah kritikan tidak akan dianggap sebagai kritikan, seandainya tanpa penerapan teori. Tugasan dan penulisan tesis pula bukan sahaja dituntut penjabaran teori itu, malah menggunakannya secara eklektikal, iaitu dengan mengkombinasikan beberapa teori untuk menjadi kerangka kerja akademik. Justeru itu beberapa buah universiti di tanah air kita, juga maktab-maktab perguruan menyediakan kursus pendekatan dan teori sastera.”
(Mana Sikana, Teori Sastera Kontemporari, hlm. Xi)

Teori sastera teksdealisme telah diajar di beberapa buah pusat pengajian tinggi. Sudah banyak latihan ilmiah dan tesis sarjana di UKM yang menggunakan teori tersebut. Begitu juga di Universiti Malaya (UM) terdapat dua orang pelajar sarjana menggunakan teori ini, manakala di Singapura ada pelajar sarjana dan kedoktoran telah menggunakan teori ini untuk penulisan tesis mereka.

Sementara itu dalam kebangkitan sastera berunsur Islam di sekitar tahun 1970-an, Mana Sikana turut menyumbangkan pemikiran; dan oleh kerana banyak teks kreatif Islam dicipta menggunakan kaedah dan pendekatan sastera Islam, akhirnya pendekatan tersebut berkembang menjadi teori sastera yang dinamakan teori sastera taabudiyah. Teori ini dicipta pada tahun 1986 dan seperti teksdealisme, ia juga digunakan untuk kerja-kerja akademik, latihan ilmiah dan tesis.

Kedua-dua teori tersebut sedang dalam proses penerbitan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang masing-masing berjudul Teori Sastera Teksdealisme dan Teori Sastera Taabudiyah; merupakan buku terkini Mana Sikana.

Pengembang teori moden dan pascamoden

Mana Sikana bertanggungjawab mengembangkan teori dan kritikan sastera di Malaysia. Ini sesuai kerana beliau mengajar pendekatan, kritikan dan teori sastera di universiti.

Daripada teori moden ke pascamoden; daripada strukturalisme ke semiotik hingga teori budaya dan teori sastera-eko telah beliau kembangkan melalui pengajaran, penulisan kritikan dan penghasilan buku-buku teori sastera.

Pelopor Kajian Drama

Mana Sikana juga terkenal sebagai pengkaji drama dan teater. Drama adalah bidang pengkhususan kajian dari peringkat sarjana muda hingga ke doktor falsafah. Semasa beliau mula memasuki kajian drama, waktu itu boleh dikatakan tidak ada kajian tentang drama Melayu dilakukan. Banyak esei, kritikan, buku laporan penyelidikan dan kajian tentang drama yang beliau hasilkan.

Dalam bidang teater, banyak menghasilkan skrip dan terlibat dengan pengarahan dan pementasan. Untuk sekian lama menjadi panel drama dalam pertandingan menulis skrip dan pementasan Pekan Teater.

Kini buku kajian dramanya menjadi rujukan di semua universiti termasuk Brunei, Singapura dan Indonesia. Malah bidang drama sekarang telah menjadi popular sama tarafnya dengan bidang kajian fiksyen dan puisi.

Nama Pena

Mana Sikana memiliki banyak nama pena yang digunakan sewaktu pada peringkat awal kegiatan penulisannya seperti Abd Rahman M.S; Anakis Anam, Reihman M.S; Ustaz Abd. Rahman al-Mana @ al-Senawari.

Walau bagaimanapun, nama Mana Sikana lebih dominan dan menjadi sinonim dengan diri beliau dan masyarakat sastera serta pembaca karyanya amat mengenali nama ini berbanding dengan nama sebenarnya.


Anugerah dan Panel Sastera

Sepanjang penglibatan Mana Sikana dalam dunia penulisan tanah air, beliau telah banyak meranggul hadiah dan anugerah. Beliau pernah memenangi anugerah Seri Angkasa bagi skrip drama radio dan Tv terbaik (1973), Penulis Terbaik Dewan Sastera (1978), Hadiah Sastera UKM (1978), Hadiah Sastera Nasional untuk cerpen dan kritikan sastera (1978 dan 1982).

Di samping itu, beliau juga menerima Medal Watan Perak Cemerlang (1999), Ahli Mangku Perak (2000) dan Anugerah Sasterawan Perak (2004).

Selain meraih hadiah dan anugerah, Mana Sikana terbabit juga dalam panel sayembara menulis skrip drama, cerpen dan novel serta anggota panel Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera MASTERA dan Sea Write Award. Di Singapura, beliau turut terpilih menganggotai panel juri Hadiah Sastera anjuran republik tersebut.

Penutup

Mana Sikana nama yang tersohor sebagai pengarang, pengkaji sastera serta pelopor beberapa teori sastera di Malaysia. Dan sumbangan terbesar beliau ialah mengislamisasikan teori-teori sastera Barat yang kini banyak dimanfaatkan di beberapa buah universiti tanah air.
 
Penulis Perak

Comments

Post a Comment