10 Jul 2013

Keindahan Pantun Budi



Pantun Budi

Pisang emas dibawa belayar,
                Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
                Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
                Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
                Budi yang baik dikenang juga.

Tenang-tenang air dilaut
                Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut tersebut,
                Budi yang baik rasa nak junjung.


Kepentingan pantun  budi kepada masyarakat  Melayu

Nasihat
Pantun budi bertujuan memberi nasihat secara halus berkaitan dengan kebaikan dan budi. Budi menjadi kepentingan utama dalam masyarakat. Segala kebaikan dan jasa perlu disanjung dan dikenang.  Emas dan harta masih boleh dibayar tetapi budi akan terpahat dalam hati dan lama dikenang.  Pantun ini memberi signifikan kepada masyarakat untuk sentiasa memberi pertolongan dan bantuan bagi mereka yang mampu. Budi dan kebaikan itu pula harus lama dikenang dan tidak mudah dilupakan.

Pengajaran
Pantun ini membawa unsur dedaktif yang penting kepada masyarakat agar mengamalkan kebaikan dan ketulusan dalam perbuatan.  Mereka yang lemah dan memerlukan perlu diberi bantuan dan tidak harus dibiarkan. Sebagaimana kata perib ahasa Melayu “hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah” pantun ini membawa mesej kebersamaan dan setiakawan sepanjang masa. Hidup bermasyarakat tidak harus mengutamakan diri sendiri sebaliknya sentiasa mengambil peduli permasalah dan kesusahan orang lain.  Sikap kepentingan diri, sombong dan angkuh ditolak masyarakat. Budaya bantu membantu, tolong menolong dan bekerjasama menjadi falsafah dalam pengajaran pantun tersebut. Oleh itu, masyarakat harus berpadu dan kental pada amalan Seterusnya pantun tersebut mengajar manusia supaya mengamalkan perbuatan menolong orang lain atau dengan kata lain berbudi kepada rakan. Ajaran mulia ini mampu diterapkan andai seseorang itu memahami maksud pantun di atas. Malah ia juga akan mendorong khalayak mengamalkan budaya tolong menolong kerana amalan mulia akan menjadi bekal ketika kita sudah meninggal dunia.

Citra masyarakat
Sastera adalah cermin masyarakat. Sesebuah karya sastera tidak akan terlepas dari membawa warna dan suara masyarakat. Pantun budi dapat membina kefahaman kepada kita berkaitan dengan citra masyarakat.  Citra amalan berbudi dapat dilihat dalam kegiatan harian masyarakat melayu. Mereka menjadikan budaya tolong menolong sebagai amalan hidup seharian kerana ahli masyarakat saling bergantung antara satu sama lain. Hidup yang serba kekurangan akan mendorong individu supaya perihatin akan kesusahan ahli masyarakat yang ada di sekitar mereka. Budi dianggap sebagai teratas dalam kepentingan masyarakat.  Citra ini jelas dipapar pada ungkapan :
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang  juga

Dalam masyarakat Melayu, tidak ada garis pemisah antara budi, bakti dan kebaikan yang ditumpahkan. Ia sebaliknya akan lama dikenang hingga ke akhir hayat.  Banyak perkara terbatas oleh kematian tetapi budi akan tetap dikenang dan menjadi ingatan sepanjang masa. Citra ini menjelaskan keutamaan budi mengatasi yang lain. Ia menjadi keutamaan dan tidak dipermudahkan kerana budi adalah teratas dalam segala urusan hidup manusia.

Motivasi supaya berkelakuan baik.
Pantun di atas boleh menjadi pendorong seseorang supaya berbudi kepada orang lain. Dorongan ini wujud kerana masyarakat melayu sangat menghargai jasa orang lain. Malah balasan orang berbudi akan di bawa setelah seseorang itu meninggal dunia. Bagi mereka yang menerima budi pula akan cuba menolong rakan yang lain pada waktu yang sesuai. Budi dan kebaikan tidak ada penghujungnya dan ia harus diamalkan kerana mereka yang berjasa dan berbakti akan mendapat sanjungan dan perhatian masyarakat. Pantun ini menjadi pendorong kepada ahli masyarakat untuk berbuat kebaikan dan menolak kelakuan buruk dan merugikan.

Kesopanan dan kesantunan
Menerusi gaya bahasa yang lembut dan penuh imeja alam, ia memberi gambaran kepentingan kesantunan dan kesopanan dalam kehidupan.  Suatu yang baik atau nasihat berguna disampaikan dengan bahasa yang sederhana tetapi berkesan.  Ia menterjemahkan keluruhan budi masyarakat Melayu yang mengambil banyak pertimbangan dalam menyampaikan hikmah dan nasihat. Dalam mengekalkan hidup masyarakat yang sentiasa melakukan kebaikan, mengutamakan keperluan masyarakat, berhemah mulia dalam menyampaikan nasihat, dan ketinggian bahasa seninya pantun ini muncul dengan gaya bahasa pantun yang menarik dan berkesan. Natijahnya adalah supaya pesan dan pengajaran dalam puisi dapat diterima dengan terbuka dan diamalkan setepatnya.  Bahasa pantun ini memainkan peranan melahirkan kesedaran, pujukan, peringatan yang sederhana dan tidak memaksa, agar masyarakat mengengenang budi dan berjasa.

Prihatin
Pantun budi secara halusnya mengangkat keprihatinan masyarakat ke tahap terbaik. Amalan kepentingan diri, sombong, dan bermegah suatu yang boleh merosakkan hubungan intim antara ahli masyatakat Pengikat segala hubungan mesra dan hormat menghormati ini adalah keluhuran dan keikhlasan rasa prihatin sesama ahli masyarakat. Nilai prihatin ini dikaitkan di antara  budi dan kematian.  Kematian hanya menghancurkan jasad dan fizikal tetapi tidak lagsung menanggalkan kebaikan dan budi seseorang. Malah kematian menjadi kemuncak apabila kebaikan dan kemuliaan nilai budi dianggap berterusan dan dikenang sepanjang masa.  Prihatin masyarakat begitu tinggi terhadap mereka yang berjasa. Ia tidak boleh dilupakan dengan mudah walaupun oleh batas kematian.

Nilai prihatin ini juga disebarkan sebagai amalan bersama dalam hidup bermasyarakat. Ia berkait dengan falsafah Melayu “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” Nama yang dimaksudkan adalah budi, kebaikan, dan pekerti mulia seseorang itu. Ia memberi impak kepada masyarakat agar tidak lupa diri dan mementingkan hidup bersama dan bertimbang rasa.


Aspek Estetik Pantun

Karya sastera merupakan garapan luapan perasaan pengarang yang dicurahkan dalam bentuk tulisan. Kata-kata yang digunakan pengarang adalah wahana penting yang menghubungkan karya dengan pembaca. Bahasa menjadi intisari utam sesebuah karya sastera. Sebagai karya seni yang mengandungi unsur keindahan, bahasa menjadi elemen penting dalam pernyataan keindahan tersebut. Sebuah karya sastera amat akrab dengan penggunaan bahasanya. Keindahan bahasa inilah yang menjadi nilai estetik karya berkaitan. Estetik yang termuat dalam bahasa berkaitan melenturkan pemikiran pengarang, kekuatan daya imaginatifnya, saranan emosi yang terbawa dalam karya serta amanat dan pesan yang mahu disampaikan dapat dikuliti melalui bahasanya.
Tokoh pengkaji ternama A. Teeuw menulis Tergantung pada Kata (1980). Buku ini menganalisis sepuluh puisi dari sepuluh penyair terkenal yang mewakili ciri-ciri pemakaian bahasa dan dan identiti estetik mereka. Kajian kebahasan dalam karya sastera ini dikenali sebagai stilsitika atau ilmu gaya bahasa.  Umar Junus kemudian menghasilkan sebuah buku Stilistika Satu Pengantar (1989).  Penciptaan karya sastera tidak terlepas dari penggunan stilistik yang menjadi identiti kebahasaan pengarangnya. Ini bermakna karakter bahasa berbeza antara seorang pengarang dengan pengarang yang lain. Perbezaan inilah yang meletakkan ketajaman estetik dan  identiti estetik masing-masing. Wellek dan Warren (1995) melihat bahawa sifat estetis sesebuah karya  itu meletakkan sesebuah karya sebagai mahakarya.  Di samping itu penilaian estetis atas gaya bahasa, komposisi dan kekuatan penyampaian yang tercermin dalam pelbagai ujaran menjadi kriteria kehebatan sesebuah karya sastera.
Istilah estetik berasal dari bahasa latin “aestheticus” atau bahasa Yunani “aestheticos” yang bersumber dari kata “aithe” yang membawa maksud merasa. Estetik merupakan  susunan bahagian daripada sesuatu yang berpola. Pola ini menyatukan bahagian-bahagian yang mengandungi keselarasan unsur sehingga menimbulkan keindahan. Estetik merupakan salah satu cabang ilmu pengetahuan yang membicarakan tentang keindahan dalam seni. Keindahan tersebut dapat dicapai melalui bentuk. Sekalipun estetik terus berubah mengikut selera masyarakat yang berubah. Namun prinsip-prinsip umum estetik dalam karya menjadi jambatan kepada kita mendapatkan pengalaman estetik.

Plato melihat keindahan sebagai dua bahagian. Pertama yang berkaitan dengan idea. Keduanya Plato menyebut bahawa bahwa yang indah dan sumber segala keindahan adalah yang paling sesderhana.  Aristotle menyebutkan bahwa keindahan berkaitan  keseimbangan dan keteraturan ukuran. Pandangan ini, menurut Aristotle, berlaku untuk benda-benda alam ataupun untuk karya seni buatan manusia. Karya seni yang dimaksudkan oleh  Aristotle adalah sastera dan drama. Bagi Aristotle drama terutama dalam bentuk tragedi harus dinilai sebagai suatu peniruan.  Karya seni diharapkan menjadi lambang atau simbol, yang maknanya dapat ditemukan dan dikenali oleh penggemar karya seni itu, berdasarkan pengalaman mereka sama ada mereka sebagai pembaca audien atau pemain.

Pada abad ke 20 para falsafah Barat membicarakan bidang estetik dengan memerhatikan apa yang disebut pengalaman estetik, baik dalam diri si seniman pencipta karya seni ataupun dalam diri para penggemar seni atau audien.Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa nilai seni dalam karya sastera tidak semata-mata terletak pada  penggunaan bahasa.  Keindahan bukan sekadar terpamer kepada kebolehan pengarang mengolah kata-kata saja, tetapi juga pada aspek-aspek lain yang berkaitan dengan seni pengalaman pengarang dan sebagainya. Dalam memahami nilai-nilai estetik pada karya sastera harus melihat pada hubungan antara aspek-aspek kesusastraan dengan kod-kod yang mendasarinya.  Pemahaman ini berkait rapat dengan keilmuan semiotik.

Dalam melihat ke dalam sebuah karya sastera, ada tiga kelompok penting yang tidak harus dipisahkan iaitu penulis, karya, dan pembacanya.  Ketetapan ini kemudian menghasilkan pandangan bahawa seseorang peneliti perlu mengetahui pengalaman estetik pembaca ketika mereka berhadapan dengan  sebuah karya sastera. Hubungan estetik karya sastera dengan pembaca terletak pada proses pemaknaan yang dilakukan oleh pembaca karya sastera tersebut, di mana nantinya kita juga akan kembali berkaitan dengan penggunaan tanda-tanda atau semiotik pada karya sastera yang mereka baca.

Dengan menggunakan estetik sastera sebagai salah satu objek penelitian kesusasteraan, kita dapat menentukan makna atas pengalaman, emosi, dan perasaan yang terkandung dalam karya sastera tersebut sehingga pembaca menjadi pihak yang aktif. Ini menjelaskan bahawa dalam melihat estetik karya sastera bukanlah sekadar memerhati bahasa dan strukturnya dalam karya sastera. Ia harus ditumpukan kepada keseluruhan karya sastera berkenaan. Melihat ke dalam aspek-aspek unsur-unsur  sastera yang terbentuk merupakan hasil dari pemikiran seni yang dituliskan kembali dalam karya sastera. Di sinilah letaknya nilai keindahan yang dapat ditemui pembaca. Hubungan karya dengan pembaca adalah memberi ruang kepada pembaca memahami apa yang tertulis dalam karya berkaitan.

Membaca merupakan proses penjelajahan ke dalam ruang teks. Ia tidak dibatasi oleh aksara tetapi proses membaca suatu karya sastera adalah perjalanan antara karya dengan pembacanya. Pembaca mencari kenikmatan membaca melalui narasi, penggunaan kata  dan deksripsi yang dimuatkan pengarang  melalui keupayaan dan ketrampilan  pengarang  mengolah bahasa. Keterikatan antara karya sastera dengan pembaca inilah yang membawa kepada pengalaman estetik. Apabila pembaca membaca karya sastera perkara penting yang ingin dicari adalah apakah pengalaman estetik yang terangkum dalam karya berkaitan.


Keindahan pemilihan kata
Aspek utama nilai estetik pantun ialah pemilihan kata yang tepat. Perkataan yang wujud dalam pantun sangat menepati maksud dan tujuan puisi dicipta.  Ungkapan yang dihasilkan memberi kesan  terhadap pengalaman estetik pembaca. Ungkapan  “pulau pandan jauh ke tengah // gunung daik bercabang tiga” misalnya melahirkan kesan estetik dari sudut imaginatif  citra alamnya. Ia melambangkan suatu tempat yang begitu indah dan terpisah di kejauhan iaitu di sebuah pulau. Manakala gunung daik yang bercabang tiga melahirkan lantunan imaginasi yang amat berkesan kerana ia bukan imej biasa tetapi gunung yang tiga cabangnya.  Ada unsur mistik dalam garapan pembayang pantun ini. Bahasa dan citra yang dipaparkan melahirkan suatu pengalaman indah dan menarik kepada audien. Keterpisahan, keluarbiasaan, dan citra alam yang indah sebagai sebuah pulau, memberi kesan estetik kepada pembaca. Ia menyuburkan pengalaman pembaca tentang kewujudan pulau pandan tiga cabangnya.

Sesudah digabungkan dengan aspek maksud pantun, iaitu hubungan budi dan manusia, jelas bahawa unsur pembayang tadi cuba melahirkan kesan mendalam dari sudut kejiwaan pembaca untuk membuka rasa prihatin, kesedaran, keinsafan, dan ketakwaan.  Ungkapan hancur badan di kandung tanah// budi yang baik dikenang juga” sebagai maksud pantun memiliki citra  kematian atau kehilangan yang begitu lama. Tetapi kehilangan itu hanya melunturkan jasad tetapi tidak melenyapkan kebaikan, jasa, dan sumbangan yang pergi. Ia dimaksudkan dengan budi mereka yang berbakti dan tulus jiwanya akan sentiasa dalam  ingatan dan tidak dilupakan.  Inilah aspek kejiwaan dan psikologikal yang berjaya diterapkan pengarang dalam pantun. Ia menjadi begitu berpengaruh terhadap kesan maksud yang menyarankan nasihat penting bahawa budi tidak ada batas penyudahnya meskipun oleh kematian budi masih kekal dalam kenangan dan  sanjungan manusia. Citra pulau seiringan dengan citra mati yang menggambarkan keterpisahan dan kehilangan.  Unsur estetik yang cukup berpengaruh ini menjadikan pantun budi sebagai pantun yang dapat membina estetik pembaca yang kukuh. Kehadiran citra pulau, mati,  hancur, tanah, dan kenang adalah pemusatan  estetik dalam pantun ini.

Keindahan unsur bunyi
Bunyi bukan sahaja melahirkan rentak dan ritma sebaliknya menjadi nada dan irama yang menggetarkan sukma.  Bunyi yang dilihat pada unsur rima melahirkan kesan nada yang menarik dan memikat. 
Pisang emas dibawa belayar,                                           a
                Masak sebiji di atas peti,                                  b
Hutang emas boleh dibayar,                                             a         
                Hutang budi dibawa mati.                                b

Kesan rima akhir abab dalam pantun di atas terasa persis nada dalam muzik yang bertingkah dan berirama.  Kewujudan nada dan irama ini menjadikan pantun begitu merdu diungkapkan atau diujarkan.  Pengujaran pantun melahirkan  kesan romantis dan indah pada pendengaran.  Oleh itu pantun menjadi antara seni sastera Melayu yang memiliki intonasi dan nada tertentu dalam melafazkannya. Kewujudan hentian di tengah-tengah baris menambah kemerduan muzik bahasa yang lahir dari pengujaran pantun. Ia membawa kesan estetik terhadap pendengaran pembaca atau audien. Ia melazatkan  bunyi yang didengar dan meninggalkan kesan merdu dan tingkah irama yang indah.

Selain kesan rima akhir dan rima tengah dalam pengujaran pantun, kesan estetik bunyi juga dapat dirasakan atas kehadiran diksi yang melantunkan irama dan rentak.  Penggunaan kata seperti pisang, hutang,  belayar, bayar,  peti, dan mati bukan sekadar diksi biasa tetapi mengandungi muzik dan irama yang merdu didengar.  Kemerduan ini melahirkan kesan keindahan apabila pantun diujarkan dengan penuh kemerduan. Ia seolah-olah muzik atau rentak yang terhasil dari tingkah kata dan mainan diksi dalam pantun. Inilah kehabatan pantun yang memberi kesan dari aspek pendengaran dan  visualnya.  Keindahan visual dapat dikesan pada bilangan baris, kata, dan suku kata dalam pantun

Tidak harus dilupakan adalah keindahan unsur asonansi dan aliterasi dalam setiap baris pantun. Asonani membina kemerduan dan ketertiban bunyi yang romantis dan menarik serta memberi kesan dan pengaruh terhadap  estetiknya


Pemikiran Pantun

Ketinggian nilai budi
Budi tidak boleh dibandingkan dengan sebarang nilai harta dunia termasuk emas. Budi itu mempunyai nilainya yang tersendiri. Budi tidak ada tukar ganti. Sesuai dengan ayat “hutang emas boleh dibayar”, maka orang yang menerima budi tetap tidak akan mampu membayarnya sekalipun dengan harta yang paling tinggi nilainya iaitu emas.  Budi tidak ada batas pemisah.  Orang berbudi akan dikenang segala jasanya mesikpun sudah pun jauh di batas bumi. Segenap kemuliaan manusia diukur pada budi dan kebaikan yang disumbangkan untuk orang lain.
                                                     
Mengenang budi sehingga mati.
Mengenang budi seseorang bukan setakat ketika seseorang hidup di dunia sahaja. Budi seseorang itu akan tetap dikenang walaupun dia telah mati tetap akan disebut orang. Sesuai dengan isi pantun tersebut iaitu “hancur badan dikandung tanah” yang memberi maksud sudah meninggal dunia.

Menghargai budi
Bagi mereka yang telah menerima budi tentunya akan rasa terhutang budi. Penghargaan terhadap orang yang berbudi begitu tinggi sehingga meletakkan penghargaan itu di tempat yang sangat mulia dan dibawa ke mana sahaja. Hal ini merujuk kepada maksud perkataan “rasa nak junjung” dalam rangkap ketiga pantun di atas.  Budi meskipun sedikit begitu berharga dan diletakkan begitu tinggi dan mulia di sisi masyarakat.  Semua ini bertujuan untuk memberi peringatan kepada anggota masyarakatr bahawa budi dan jasa seseorang itu tidak boleh dibiarkan begitu saja sebaliknya diingat dan  dikenang melebihi kepentingan yang lain.

Nilai Kemanusiaan

Manusia yang saling bergantung antara satu sama lain.
Hidup masyarakat melayu pada zaman tradisional penuh dengan kesusahan dan saling bergantung antara satu sama lain. Setiap individu yang menjadi ahli masyarakat akan sering memerlukan pertolongan ahli masyarakat yang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Budi merupakan amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Sesiapa yang tidak mengamalkannya dianggap bersifat melukut di tepi gantang, seperti kera sumbang dan sebagainya.

Manusia yang sentiasa mengejar harta
Masyarakat melayu tidak ketinggalan dari segi mengumpulkan harta kekayaan. Lambang kekayaan masyarakat diukur dari sudut jumlah hartanya. Harta yang dianggap paling tinggi nilainya adalah emas. Lalu perbandingan kekayaan seseorang diukur melalui jumlah emas yang mampu dimiliki oleh seseorang. Namun nilai emas tidak sama dengan nilai budi.

Manusia yang boleh menilai erti budi berbanding harta.
Seeorang itu perlu meletakkan kedudukan budi itu sesuatu yang amat mulia di sisi mereka. Budi perlu diletakkan pada tempat yang tinggi dan tidak boleh dibandingkan nilainya dengan harta seperti emas. Oleh itu manusia hendaklah sedar bahawa budi itu tidak boleh dibayar.

Manusia yang sentiasa mengenang budi orang lain.
Setiap individu perlu menghargai pertolongan orang lain walau sekecil mana budi tersebut. Rangkap puisi ketiga menggambarkan betapa seseorang yang pernah menerima budi akan sentiasa menjunjung budi.

Manusia yang percaya dengan hari pembalasan.
Kebanyakan pantun budi mengaitkan balasan budi itu tertangguh sehingga seseorang itu meninggal dunia sebagaimana rangkap pertama dan rangkap kedua pantun. Manusia percaya bahawa berbudi adalah amalan mulia yang mendapat balasan pahala di sisi Allah. Kita perlu ikhlas dengan pertolongan yang telah diberikan dan jangan terlalu mengharapkan balasan di dunia sahaja.

Gambaran masyarakat dalam pantun.

Masyarakat yang tinggal di tepi pantai.
Melalui ketiga-tiga pembayang maksud pantun terdapat gambaran bahawa pencipta pantun ini tinggal dalam persekitaran tepi pantai dan lautan. Ini dapat digambarkan melalui pemilihan kata yang berkaitan dengan latar tempat berkenaan seperti “belayar”, “pulau pandan”, ”tanjung”,  “kolek” dan gambaran suasana “air tenang”

Masyarakat petani dan nelayan.
Masyarakat melayu terdisional tidak boleh lari daripada menjalankan kegiatan bertani seperti menanam “pisang” dan sebagainya. Manakala bagi mereka yang tinggal di persisir pantai akan “belayar” dan menjalankan kegiatan nelayan.

Air menjadi paksi sistem kehidupan masyarakat.
Air menjadi paksi kepada sistem kehidupan masyarakat. Sama ada ia berupa laut, sungai dan sebagainya, ia adalah paksi masyarakat. Penempatan didirikan di sekitar kawasan ini serta air menjadi sumber keperluan, pengangkutan dan sebagainya. Air menjadi sumber manusia bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan menjadi jalan perhubungan yang utama. Oleh itu berlakulah pelayaran, perjalanan menggunakan kapal, perahu dan sebagainya yang membawa manusia dari satu tempat ke satu tempat. 

Oleh kerana air menjadi dominan dalam masyarakat, segala aspek  berkaitan air ini menjadi citra penting dalam pantun. Maka lahirlah ungkapan yang memberi gambaran tentang hubungan masyarakat dan air seperti :  belayar, sampan kolek, tenang-tenang air di laut,  pulau dan sebagainya. Citra ini begitu dekat dengan masyarakat  dan penggunaan citra tersebut memberi impak yang mendalam dari sudut makna puisi.

Masyarakat yang saling tolong menolong.
Lumrah kehidupan orang yang hidup bermasyarakat adalah saling bantu membantu antara satu sama lain. Orang yang  tidak mengamalkan hidup berbudi dan tolong menolong akan dianggap tidak bermasyarakat.

Masyarakat yang sentiasa mengenang budi.
Masyarakat yang baik akan selalu mengenang budi walau budi itu kecil nilainya. Perkara tersebut termaktub dalam ketiga-tiga maksud pantun budi di atas. Malah mereka yang tahu erti budi akan menjunjung dan mengingati budi orang lain.

Masyarakat yang mempercayai hari kemudian.
Mesyarakat melayu secara umumnya beragama Islam. Mereka mempunyai kepercayaan yang kukuh terhadap hari kemudian atau disebut juga hari pembalasan. Mereka yakin seseuatu amal samada baik atau buruk akan mendapat pembalasan yang setimpal. Begitu juga amal berbudi kepada orang lain dipercayai akan mendapat balasan baik selepas meninggal dunia sekalipun tidak mendapat balasan di dunia.


Analisa karya secara umum.

Kehidupan masyarakat Melayu zaman dahulu yang serba kekurangan menyebabkan mereka saling bergantung antara satu sama lain. Budaya tolong menolong dan berkerjasama adalah amalan yang diamalkan setiap hari. Tanpa bantuan ahli masayarakat yang lain, sesuatu kerja itu mungkin tidak akan selesai. Sebagai contoh dalam kegiatan membina sebuah rumah. Pembinaan rumah akan bermula daripada kegiatan menebang pokok, membelah, memahat sehingga mendirikannya tentu tidak mampu dilaksanakan secara bersendirian. Semuanya memerlukan bantuan ahli masyarakat.

Semua aktiviti yang memerlukan pertolongan pihak lain ini dianggap aktiviti yang tergolong sebagai perbuatan berbudi. Apabila manusia sudah menerima budi tentunya individu tersebut akan sentiasa terkenang budi, terhutang budi dan cuba untuk membalas budi. Mungkin pada masa yang lain, pihak yang sudah menerima budi tersebut akan cuba membalas budi mengikut kemampuan masing-masing. Bentuk pertolongan yang mereka akan lakukan mungkin dalam bidang yang lain pula. Kalau dahulunya mereka ditolong ketika membina rumah, mungkin pada masa yang lain balasan budi itu berbentuk pertolongan lain pula.

Oleh itu nilai budi tak mungkin sama dengan nilainya ketika budi seseorang itu diberi berbanding ketika pihak yang telah menerima budi itu membalas budi. Oleh itu nilai budi tidak boleh dibanding-bandingkan. Malah sekiranya dibandingkan akan menyebabkan ungkitan dan rasa tidak ikhlas. Nilai pertolongan ketika seseorang itu memerlukan sebenarnya amat tinggi nilainya. Contohnya seperti pertolongan ketika lemas di sungai, ketika lapar dan sebagainya. Seseorang itu mungkin sukar untuk menolong pihak yang telah berbudi pada peristiwa yang sama. Jika adapun mungkin wujud dalam bentuk pertolongan yang lain.

 Tegasnya budaya berbudi ini adalah sebahagian daripada kehidupan masyarakat melayu zaman dahulu dan akan diamalkan sehingga sekarang. Sesiapa yang tidak mahu berbudi akan dianggap sombong dan mementingkan diri sendiri. Ahli masyarakat tidak boleh hidup bersendirian seolah-olah tidak memerlukan rakan-rakan dan saudara mara. Oleh itu tema budi menjadi salah satu tema pantun masyarakat melayu zaman tradisional.

1 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena