Puisi : Cetera Dari Langit

Cetera dari Langit

akan selalu ada di depanmu
cetera dari langit itu
barangkali ada yang tak sempat kau tatap
atau terbiar dalam nafas waktu dan urai masa
siapa yang harus dipersalahkan 
kita pun tak selalu bertanya 
ia begitu diam di atas sana, hingga kesenyapan itu melupakan
dan kita tidak melihat lagi
sehingga pada suatu detik, kita  dalam pencarian
di manakah singgah sebuah kekuatan
atau setelah terjatuh dalam kerapuhan 
di mana tempatnya
tanda dan pedoman
kekuatan



akan selalu ada di depanmu
garis dan cahaya berbicara pelbagai cetera
di langitmu
sering waktu hadir dengan hikayat berbeza
dengan irama dan lakaran warna
dengan siul dan lagu angin 
tataplah seketika, bagaimana langitmu becerita
tentang awan, angin , matahari, bintang dan purnama
tentang hujan, ribut, dan kepul awan
ia selalu memberitahu
cuma barangkali kita terlalu tak peduli
pada kesenyapan
kerana kita selalu mengisi keriuhan
dengan warna-warni yang kita pilih sendiri
menghias langit menghias bingkai hari


langitmu bercerita
dengan warna dan gerak bayang
dengan kepul awan dan gerak angin
dengan garis dan jalur cahaya
dengan gelap dan terang warna
berbicara denganmu 
di kanvas langit itu

siapa yang ingin peduli
tentang cetera dari langit
atau kisah dari awan dan mainan cahaya matahari
ia tak berharga kerana tak semanis cerita cinta
yang terbawa dalam novel dan puisi
sekadar warna-warna dan cahaya 
bergerak dan berakhir
tanpa memberi kesan dan pedoman
kerana di bawah langit inilah
kita hidup mencari rezeki dan hidup
menguji kekuatan, kebijaksanaan dan ketinggian fikir
hanya itu memberi kita nafas dan hayat
sebuah hidup yang berputar

benarkah,
langit hanya hias  kosong
tak perlu kau peduli
kerana ia akan begitu
sepi bisu dan tak memberitahu 

sedang untuk apakah segala warna dan cahaya
bergerak dan bertukar saban ketika
melingkari langit memagari matahari
bagaimana warna dan garis
memutar lingkar membancuh cahaya
 mengapungkan awan merendahkan kabus
angin pun berhembusan 
dan langit tak pernah diam
menebar warna dan cahaya
mengutus gerak dan garis
untuk siapakah segala itu
cetera apakah yang tertulis
di langitmu?
bukankah semua itu bahasa cinta
asma rindu syair abadi 
memuja dalam ratib 
pedoman dalam cahaya
hikmah alam  khabar langit
 dan kita hanya kerdil memerhati
menafsir dan mengunyah makna
pasrah dan taufik



di bawah langit itu
kita tak bersendirian
di atasmu ada cetera dan warna
dalam bisu dalam sepi dalam gerak
khabar dan iktibar
dukalara atau bahagia
tertulis dalam warna
dalam garis hitam panjang
atau biru warna terbentang


kita begitu kerdil
langit yang bercetera
mencari dalam mengerti
memahami dalam mengabdi
menghayati  dalam pasrah
subhanallah


Comments