Tanda Putera : 29 Ogos 2013

 Hanyalah Sebuah Filem...




 Tanda putera hanya sebuah filem. Hanya sebuah pemikiran dan karya seni yang digalurkan melalui medium filem. Tapi bagi mereka yang kecanduan fikir, segala tohmahan diberikan kepada Tanda Putera. Kencanduan inilah yang seringkali memberi bahaya kepada masyarakat bukannya filem itu sendiri. Kecanduan akal yang dilingkari oleh kemabukan sentimen,  kedangkalan prejudis dan kedangkalan sejarah  akan meleburkan segala apa yang murni dan harus menjadi petunjuk kepada rakyat negara ini.

Sebuah filem adalah ekspresi seni sang pangarah dan para aktor. Filem adalah wahana manusia menyampaikan cerita,  pengisahan dan peringatan dalam bauran dunia moden. Filem berada sebaris dengan karya sastera seperti novel, sajak, atau drama yang mempunyai implikasi yang sama iaitu hiburan dan nasihat kepada audiennya. Malah lebih awal dari wujudnya filem dan sastera, kita disuburkan oleh pengaruh fairytales, penglipurlara yang menjadi komunikasi seni masyatakat. Ia kemudian bercambah kepada kesenian seperti mak yong, wayang kulit, dan sebagainya sebagai hasil seni masyarakat. Di dalamnya terisi hiburan dan peringatan secara halus.


Tanda Putera adalah sebuah filem yang sebaris pula dengan produksi besar seperti Ghandi, Jurassic Park, dan The Godfather dari segi genrenya. Tanda Putera juga sama dengan produksi Seniman Agung Negara Tan Sri P Ramlee menerusi Anakku Sazali, Pendekar Bujang Lapok, dan lain-lainnya. Ia adalah filem adunan pemikiran, imaginasi, dan kemahiran produksi para karyawan filem tanahair. Sebagai sebuah filem ia pastinya akan menterjemahkan pengalaman menerusi penceritaannya. Pengalaman yang mungkin diambil dari sudut sejarah, moral, sosial, politik dan sebagainya. Pengalaman yang dibawa ke dalam bentuk filem untuk dinikmati oleh audiennya. Ia akan menjadi pengalaman baru audien yang membawa kepada pengalaman estetik filem itu. Ini jika kita melihat dari sudut estetik filem. Maka pengalaman estetik ini akan menunaskan pengalaman baru yang akan menjadi perenungn dan pemikiran audiens. Segala yang tersaji dilayar sudah pasti akan memberi kesan estetik kepada audien. Inilah tugas filem iaitu memberi rasa baru dan pengalaman baru untuk menjadi renungan dan fikiran masyarakat.

Kita pun sudah lama melihat bagaimana pengalaman estetik ini digarap oleh Seniman Agung Tan Sri P Ramlee. Dalam pengisahan Pendekar Bujang Lapok, kita bertemu dengan kritik budaya yang halus tetapi tajam berkaitan dengan masalah membaca dan buta huruf, kelas sosial yang melihat bagaimana golongan kaya mendominasi golongan miskin, serta kejujuran dan keserakahan manusia. Semua ini menjadi pengalaman estetik yang lama bermain dalam fikir masyarakat hingga ke hari ini. Apakah yang silapnya sebuah filem yang begini? Masyarakat menerimanya dan mula memahami soal pendidikan dan kelas manusia.
 

Jika kita kembali kepada Tanda Putera, ia sebuah filem yang membentangkan peristiwa sejarah. Sebagai sebuah filem mungkin perisitiwa itu ada kebenarannya atau sebagai imaginasi pengarang atau pengarahnya semata-mata.  Filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba Suhaimi mengisahkan persahabatan di antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sejak tercetusnya peristiwa 13 Mei. Inilah inti filem itu. Bagaimana kesan dan pengaruh estetiknya kepada audien akan tersaksi apabila selesai audien menonton filem ini.  Kita harus menontonnya untuk melihat sejauhmana kejujuran, kesungguhan, dan keupayaan pengarah merakam peristiwa sejarah atau diambil dari sejarah ke filem.  Kita tidak harus menyekat ia ditayangkan kerana filem ini harus tiba kepada audien sebagai penilainya. Audien bertanggungjawab untuk menghukum atau mengangkat filem ini. Selagi ia tidak ditayangkan maka selagi itu ia hanya menjadi tomahan yang tak berkesudahan. Akhirnya Tanda Putera akan memasuki pawagam pada 29 Ogos 2013.

Tidak dapat disangkal bahawa sebuah filem akan membawa peristiwa yang tertentu dan melekat dalam fikir audien. Apakah kita bimbang filem ini akan mengaulkan semula kekeruhan 13 Mei? Apakah filem ini membawa dokumentasi ras dan etnik yang keterlaluan? Semua ini tak dapat dijawab selagi ia tidak ditayangkan kepada umum.  Kita pula tidak harus dicandukan dengan pemikiran sempit soal ras dan perkauman. Biarlah sebuah filem bercerita sebagai sebuah filem. Barangkali tidak disedari dalam  filem Ali Baba Bujang Lapok  pengarah telah memasukkan scene Apek yang ketagihan madat. Ia adalah gambaran masyarakat yang mahu dijelaskan oleh pengarah. Tidak ada niat atau tujuan untuk menghukum mana-mana ras atas tabiat buruk mereka. Begitu juga dalam filem The Blackhawk Down, banyak insiden yang dipaparkan bebeza dengan pengalaman pasukan keselamatan kita ketika berjuang di Mogadishu. Tapi sebagai filem kita harus menerimanya kerana ia adalah keperihalan manusia yang dilihat dari sudut pandang pengarahnya.


Kita sering menyebut tentang kemandulan intelektual dalam masyarakat. Jika kita mahu keintelektualan ini subur dan dinamis berkembang, sudah pastinya sebuah filem seperti Tanda Putera perlu dihayati bersama-sama. Segala kurangnya dibahas secara intelek dan segala fakta dan benarnya dibincang secara intelek. Inilah hamparan terbaik membawa kita kepada landas fikir, renung, dan memberi pandangan. Usah amalkan pemikiran yang disuburkan melalui fakta yang  tidak kukuh, mengutamakan persepsi dari fakta, dan menyangkal sesuatu tanpa hujah yang kritis dan intelek. Kita tidak mahu kemandulan intelek berlaku. Kita mahu menuju ke sebuah negara maju. Sampai ketika kita menolak sentimen dan dangkal fikir untuk menerima suatu yang lebih terbuka dan  berfakta. Kita tidak harus bermain fantasi dalam langkah menjadi sebuah masyarakat global.

Tahniah kepada Tanda Putera. Kesabaran adalah segalanya.
Semoga kita menjadi yang lebih waras dan lebih beristiqamah dalam membawa
segala yang terbaik untuk negara kita.

Kita menunggu tarikh tayangan itu.....

Trailer Tanda Putera



Comments