Surat Cinta Seorang Kekasih





Salinan surat Zainab:

Abangku Hamid! Baru sekarang adinda beroleh berita di mana abang sekarang. Telah hampir dua tahun hilang saja dari mata, laksana seekor burung yang terlepas dari sangkarnya sepeninggalan yang empunya pergi. Kadang-kadang adinda sesali diri sendiri. Agaknya adinda telah bersalah besar sehingga kekanda pergi tak memberitahu dahulu. Sayang sekali, pertanyaan abang belum adinda jawab dan abang hilang sebelum mulutku sanggup menyusun perkataan penjawabnya. Kemudian itu abang perintahkan adinda menurut perintah orang tua, tetapi adinda syak-wasangka melihatkan sikap abang yang gugup ketika menjatuhkan perintah itu.

Wahai abang, pertalian kita diikat oleh beberapa macam tanda tanya dan teka-teki, sebelum terjawab semuanya, kita telah berpisah dengan tiba-tiba. Memang demikiankah kehendak takdir? Adinda sentiasa tiada putus pengharapan, adinda tunggu khabar dan berita. Di balik tiap-tiap kalimah daripada suratmu.

Abang! Surat yang terkirim dari Medan, ketika abang akan belayar jauh, telah adinda periksa dan adinda selidik; banyak sangat surat itu berisi bayangan, di balik yang tersurat ada yang tersirat. Adinda hendak membalas tetapi ke arah manakah surat itu hendak adinda kirimkan, abang hilang tak tentu rimbanya! Hanya kepada bulan purnama di malam hari adinda bisikkan dan adinda pesankan kerinduan adinda hendak bertemu. Tetapi bulan itu tetap tak datang; pada malam yang berikutan dan seterusnya ia kian kusut. Hanya kepada angin petang yang berhembusan di ranting-ranting kayu di dekat rumahku, hanya kepadanya ku bisikkan menyuruh supaya ditolongnya memeliharakan abangku yang berjalan jauh, entah di darat di laut entah sengsara kehausan.

Hanya kepada surat abang itu, surat yang hanya sekali itu adinda terima selama hidup adinda tumpahkan airmata, kerana hanya menumpahkan airmata itulah kepandaian yang paling penghabisan bagi orang perempuan. Tetapi surat itu bisu, meski pun ia telah lapuk dalam lipatan dan telah layu kerana kerap dibaca, rahsia itu tidak juga dapat dibukanya.

Sekarang abang, badan adinda sakit-sakit, ajal entah berlaku pagi hari entah besok petang, gerak Allah siapa tahu, besarlah pengharapanku supaya abang dapat pulang, dapat juga hendaknya kita bertemu dan jika abang terlambat pulang, agaknya bekas tanah penggalian, bekas air penalkin dan jejak mijan yang dua, hanya yang akan abang dapati.

Adikmu yang tulus: Zainab.

(dipetik daripada novel Di Bawah Lindungan Kaabah karya HAMKA)

Hamid dan Zainab dalam filem Di Bawah Lindungan Kaabah

Demikian pengaruh bahasa dan sastera. Hasil pena Buya Hamka begitu berladung emosi. Jejak kata yang tertulis dari novel indahnya Di Bawah Lindungan Kaabah amat menyayat dan menggetar sukma.

Antara surat cinta terbaik pernah tertulis dalam sebuah novel.

Bacalah, pasti ada air mata yang menitis...

Comments